Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- RM6j baik pulih khidmat Telekom
- Othman dipilih Tokoh Guru Kemaman selepas 24 tahun bersara
- 300 peserta bersaing Pesta Wau Antarabangsa Kelantan
RM6j baik pulih khidmat Telekom Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT Oleh YATIMIN ABDULLAH Ab. Rasid Che Othman (dua dari kiri) menyampaikan insentif kepada penangkap pencuri kabel TM di Masjid Mukim Galok, Chetok, Kelantan, malam semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH PASIR MAS 26 Mei - Telekom Malaysia (TM) Kelantan terpaksa membelanjakan sehingga RM6 juta setiap tahun bagi membaik pulih gangguan perkhidmatan disebabkan masalah kecurian kabel. Pengurus Besar TM negeri, Ab. Rasid Che Othman berkata, sepanjang empat bulan pertama tahun ini, pihaknya telah membelanjakan RM1.4 juta untuk membaik pulih kerosakan tersebut. Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan juga sebanyak 400 kes kecurian kabel telah direkodkan dan kawasan Wakaf Bharu, Tumpat menjadi penyumbang terbesar kepada kejadian tersebut. "Kita memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan kepentingan umum yang menggunakan perkhidmatan disediakan oleh TM. "Bagi mengatasi masalah ini, TM memperkenalkan pelbagai langkah antaranya memasang alat penggera yang dikenali sebagai I Wacth dan meletakkan cerucuk pada tiang milik TM bagi mengelakkannya terus berulang," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Kepada Penangkap Pencuri Kabel TM dan Komuniti TM Bersama Masyarakat di Masjid Mukim Galok, Chetok dekat sini malam tadi. Yang turut hadir Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas, Deputi Supritanden Shamsulmudin Sulaiman dan Imam Masjid Mukim Galok, Ali Abdul Rahman. Dalam majlis tersebut, TM Kelantan turut menyampaikan sumbangan zakat bagi tahun 2013 kepada seramai 50 golongan asnaf di mukim berkenaan. Ab. Rasid memberitahu, TM turut bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan melakukan pemeriksaan mengejut ke atas kedai-kedai yang menjual barangan lusuh di seluruh negeri. Katanya, langkah berkenaan bertujuan memastikan pemilik kedai barangan lusuh tidak terlibat dengan aktiviti membeli kabel milik TM yang telah dicuri kerana ia bercanggah dengan undang-undang negara. "Pemilik kedai lusuh yang berbuat demikian boleh berdepan dengan tindakan undang-undang atas kesalahan memiliki dan membeli barangan curi. "Selain itu, saya berharap orang ramai turut memainkan peranan dengan segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya melihat kejadian kecurian kabel," ujarnya. Mengulas mengenai pemberian insentif kepada penangkap pencuri kabel TM, Ab. Rasid berkata, ia merupakan tanda terima kasih pihaknya kepada masyarakat di atas usaha yang dijalankan untuk mencegah perlakuan jenayah itu. |
Othman dipilih Tokoh Guru Kemaman selepas 24 tahun bersara Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT KEMAMAN 26 Mei - Othman Hussain, 79, bersara 24 tahun lalu namun bekas guru itu yang memulakan kerjayanya sebagai guru pelatih di sebuah sekolah rendah di sini pada 1951, masih dikenang. Tanpa diduga, malah membuatkannya tertanya-tanya pada awalnya apabila dipilih sebagai Tokoh Guru Daerah Kemaman dan beliau kemudian hadir untuk menerima anugerah dalam Majlis Sambutan Hari Guru 2014 peringkat Daerah Kemaman semalam. Anugerah berupa sepasang persalinan, sijil penghargaan dan wang tunai RM1,000 disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman di Dewan Canselor Kolej Universiti Tati (TatiUC), di sini. "Saya ucap terima kasih dan bersyukur dengan penghormatan yang diberikan. Saya langsung tak menyangka kerana sudah begitu lama bersara. "Asalnya, saya meminta agar diberi masa untuk memutuskan sama ada untuk menerima anugerah itu apabila nama saya dicalonkan," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis itu. Sepanjang khidmatnya, beliau bertugas di lapan buah sekolah dan yang terakhir di Sekolah Rendah Seri Kemaman sebelum bersara pada 1990. Lebih 1,000 warga pendidik dari seluruh daerah ini hadir menjayakan majlis tersebut yang turut dimeriahkan dengan penyampaian hadiah dan sijil kepada guru dan sekolah yang cemerlang serta memenangi beberapa pertandingan yang diadakan. Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar; Pengarah Pendidikan negeri, Zakaria Husin dan Pengarah Agensi Pembangunan Masyarakat Negeri Terengganu, Roshali Taha. |
300 peserta bersaing Pesta Wau Antarabangsa Kelantan Posted: 26 May 2014 12:08 PM PDT KOTA BHARU 26 Mei - Seramai 300 peserta termasuk 42 wakil daripada 18 buah negara luar bersaing dalam Pesta Wau Antarabangsa Kelantan 2014 di Pantai Geting, Tumpat bermula Rabu hingga Sabtu ini bagi merebut hadiah keseluruhan berjumlah RM32,000. Pengerusi Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, penganjuran program bagi edisi ke-32 itu telah menarik penyertaan dari Australia, Brunei, Belgium, China, Indonesia, Itali, India, Jerman, Kemboja, Korea, Macau, Nepal, New Zealand, Filipina, Sweden, Amerika Syarikat, Thailand dan United Kingdom (UK). Menurutnya, sebanyak 22 kategori dipertandingkan termasuk acara menaikkan dan membuat beberapa jenis wau seperti wau bulan dan wau puyuh peringkat kebangsaan serta pertandingan layang-layang cabaran 'rokakku' dan 'train' antarabangsa. "Selain usaha memastikan permainan wau terus diminati dan merancakkan industri pembuatan wau tempatan, kita menganjurkan pertandingan ini bagi mahu mempromosi Pantai Geting sebagai tapak pesta dan tempat peranginan di negeri ini kepada pelancong dari dalam dan luar negara. "Sehingga Mac lalu seramai 1.3 juta pelancong telah melawat negeri ini dan kita berharap penganjuran pesta wau akan memberi lebih impak terutamanya apabila ia diadakan pada musim cuti persekolahan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Md. Anizam berkata, acara sampingan seperti pertandingan dikir barat antara Kelantan dan Singapura serta pesta wau bercahaya akan turut diadakan pada waktu malam bagi menarik lebih ramai pengunjung. Beliau memberitahu, Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan, Pejabat Tanah dan Jajahan Tumpat, Tourism Malaysia, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Kelantan, Jabatan Pendidikan negeri, Jabatan Belia dan Sukan Kelantan serta Urusetia Belia dan Sukan negeri akan menjadi agensi utama yang berperanan memastikan kelancaran program tersebut. Tambahnya, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada Majlis Pelayang Malaysia (MPM); Persatuan Pemain, Pembuat dan Peminat Layang-layang (Pelayang) Kelantan serta Majlis Kebudayaan Kelantan. "Pada tahun ini kita juga menumpukan kepada penyertaan golongan remaja. Jadi, buat pertama kali kita mengadakan program bengkel membuat dan menaik wau tradisi khusus untuk mereka. "Kita mahu pesta ini menjadi tempat peminat wau segenap usia dan peringkat berkumpul dan bertukar-tukar pandangan bagi memastikan permainan ini tidak luput ditelan zaman," katanya. Sementara itu, Bendahari Pelayang Kelantan, Suradi Muhammad pula berkata, pihaknya berharap peserta Kelantan dapat mempertahankan kejuaraan pada pesta tersebut yang telah dimenangi tiga tahun berturut-turut sejak 2011. "Kita juga menyandang reputasi sebagai negeri yang menjuarai kategori kebangsaan di Pesta Wau Antarabangsa Pasir Gudang, Johor sebanyak tiga tahun berturut-turut dengan yang terbaru pada Februari lalu," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |