Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Pesta Sukan Air kembali 'hidup'
- Program Mesra Komuniti rapat ukhuwah masyarakat
- Penduduk terjejas akibat paip bocor
Pesta Sukan Air kembali 'hidup' Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT Oleh Rosalinda Md Said Aksi para peserta menangkap itik yang dilepaskan dalam salah satu acara Pesta Sukan Air di Pulau Kekabu, Marang. MARANG 5 Mei - Setelah lebih dua dekad, Pesta Sukan Air Marang kembali dihidupkan, baru-baru ini untuk dijadikan rutin kegiatan tahunan sebagai satu tarikan bagi pelancong ke pekan Marang dan bukan sekadar menjadi transit ke pulau-pulau. Tentunya pula dikaitkan dengan usaha untuk menyuburkan semula pelbagai kegiatan seni tradisional dan pada masa yang sama merapatkan hubungan di kalangan masyarakat melalui penyertaan dalam pelbagai acara sukan rakyat dan lain-lain. Pesta yang berlangsung dalam suasana meriah dengan acara berbentuk pertandingan, persembahan, pameran dan demonstrasi serta aktiviti jualan itu dianjurkan Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Marang, dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang berkata, penganjuran pesta dengan acara sukan rakyat seperti itu mampu menarik minat masyarakat setempat dan pelancong dengan kehadiran pengunjung yang ramai. "Sejak 25 tahun dahulu pesta sebegini merupakan acara tahunan yang meriah dalam kalangan penduduk jadi kita mahu acara ini diteruskan selaras untuk mengekalkan budaya masyarakat nelayan di Marang. "Di Marang, kita sudah ada program tahunan seperti mencandat sotong, kejohanan swimathon, pekan budaya dan bermula tahun ini kita tambahkan satu lagi produk iaitu sukan air yang akan dijadikan acara wajib tahunan berdasarkan sambutan memberangsangkan yang diterima," katanya. A. Latiff yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Kebudayaan dan Kesenian Daerah Marang berkata, Pulau Kekabu akan menjadi lokasi rasmi bagi penganjuran acara sukan itu berikutan kedudukannya yang strategik, persekitaran yang cantik selain menjadi lokasi tumpuan nelayan sejak dulu lagi. "Tahun depan kita jangkakan pesta ini lebih meriah dengan pelbagai acara menarik, malah kita sudah dapat persetujuan daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Cawangan Terengganu berhubung hasrat itu," ujarnya ketika merasmikan program itu. Salah seorang pengunjung, Zakaria Dali, 54, berkata, penganjuran semula pesta sukan air itu merupakan langkah positif bagi memperkenalkan kepada generasi muda berkaitan permainan tradisi dan budaya masyarakat setempat. "Sejak awal pagi tadi penduduk hadir ke sambutan pesta ini bersama keluarga masing-masing. Mereka dapat bergembira bersama-sama dan pekan ini nampak hidup," katanya. Namun ternyata apa yang lebih menarik ialah tentang suasana pemandangan Pulau Kekabu yang yang menjadi lokasi pesta berkenaan cukup memukau dan persekitaran kehidupan tenang serta bersahaja keluarga nelayan di situ. Menurut A. Latiff lagi berkata, pihak kerajaan negeri sudah membuat perancangan untuk memajukan Pulau Kekabu dalam masa terdekat menerusi pembinaan kemudahan asas seperti tandas, surau dan gerai-gerai perniagaan. Untuk ke pulau itu, pengunjung tidak perlu menggunakan bot atau perahu bagi meredah laut seperti ke Pulau Kapas kerana ia hanya dipisahkan oleh sungai kecil dan boleh diharungi begitu sahaja. Ia dihubungkan dengan jambatan kecil dari pekan Marang dan dari situ, pengunjung terutama pada waktu petang dan awal pagi dapat menyaksikan panorama indah sebagaimana lazimnya dalam poskad dengan perahu dan bot nelayan berlatarkan kehijauan kelapa dengan rumah-rumah terselit di bawah redupnya. Perkampungan ini juga merupakan salah satu lokasi kegemaran bagi para peminat fotografi untuk mengabadikan detik-detik dan suasana alam yang ternyata memberi gambaran mengasyikkan dengan suasana silam yang kekal. Malah di sini merupakan tempat kegemaran kaki pancing yang menunggu dengan sabar di sepanjang tambak atau tebing sungai dan lazimnya mereka pulang dengan hasil tangkapan atau bermain bola sepak pantai dan bola tampar. Selain menyediakan prasarana asas, usaha mengindahkan kawasan itu boleh dilakukan termasuk membersihkan sampah sarap di persekitaran, membaiki keadaan sebilangan rumah yang agak daif dengan memberikan ciri tradisional. Pada masa yang sama menggalakkan penduduk menjayakan program inap desa supaya wajah tradisi tidak berubah dan dirosakkan atas nama pembangunan manakala tahap kesejahteraan hidup dapat ditingkatkan. |
Program Mesra Komuniti rapat ukhuwah masyarakat Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT AZMAN Ismail (tengah) menyaksikan pertandingan karom terbuka JKKKP Mentuan dalam Program Mesra Komuniti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Mukim Mentuan, Kota Bharu, kelmarin. KOTA BHARU 5 Mei - Program Mesra Komuniti Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Mentuan dekat sini semalam berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 2,000 pengunjung. Pengerusi JKKKP mukim itu, Azman Ismail berkata, program selama sehari suntuk itu bertujuan membolehkan pihaknya turun padang dan mendengar permasalahan penduduk setempat. Paling penting kata beliau, program itu dilihat berjaya memupuk ukhuwah apabila orang ramai yang berbeza keturunan, agama serta fahaman politik dapat berkumpul dan beramah mesra. "Bukan senang untuk kita mendekati dan beramah mesra dengan penduduk namun menerusi program seperti ini, ruang untuk kita berbuat demikian terbuka luas," katanya ditemui selepas menghadiri program tersebut, di sini semalam. Sebagai acara kemuncak, program tersebut diceriakan dengan persembahan dikir barat serta pertandingan karom terbuka melibatkan 100 peserta. Menurut Azman, melihat kejayaan penganjuran edisi julung-julung kali itu, pihak berhasrat menjadikan program tersebut sebagai acara tahunan. |
Penduduk terjejas akibat paip bocor Posted: 05 May 2014 12:19 PM PDT Oleh AIMUNI TUAN LAH GUA MUSANG 5 Mei - Lebih 200 penduduk di Kampung Kuala Betis di sini mendesak pihak pengurusan syarikat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) menukarkan paip utama di kampung itu yang kerap bocor sehingga menjejaskan rutin harian mereka. Malah penduduk yang tinggal di kawasan tinggi menghadapi masalah yang lebih teruk apabila tidak menerima langsung bekalan air daripada syarikat itu disebabkan tekanan rendah akibat paip yang bocor itu. Seorang penduduk, Ramli Abu Samah, 47, mendakwa, sepanjang bulan lalu sahaja paip tersebut bocor sebanyak 10 kali dan tiada sebarang tindakan diambil oleh AKSB biarpun aduan telah dibuat oleh penduduk kampung. "Kami penduduk hairan bagaimana AKSB boleh membiarkan perkara tersebut terjadi malah kejadian bocor itu di tempat yang sama dan tiada tindakan diambil. "Saya mencadangkan bagi kemudahan penduduk kampung, AKSB perlu menukar segera paip lama dengan paip baharu supaya masalah itu tidak berulang. "Kami juga kesal apabila terpaksa melaporkan kejadian paip pecah itu berulang kali dan selepas dibaiki, bekalan air akan pulih tiga hari sahaja, kemudian masalah itu berulang lagi," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam. Seorang lagi penduduk, Nasarudin Sani, 47, mendakwa, setiap bulan penduduk perlu membayar bil walaupun tidak menerima bekalan air bersih daripada syarikat tersebut. Katanya, AKSB sepatutnya lebih bertanggungjawab memandangkan ia adalah milik kerajaan negeri yang tidak berasaskan keuntungan dan untuk kemudahan rakyat. "Penduduk kampung juga tidak boleh menggunakan sumber air sungai kerana ia sangat kotor dan tercemar disebabkan pembukaan tanah pertanian di Tanah Tinggi Lojing. "Masalah ini menjejaskan kehidupan penduduk, saya amat berharap tindakan segera diambil dengan menukar paip baharu di kawasan tersebut," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |