{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Cukai pintu terpaksa dinaikkan - Ahmad

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Oleh Radhuan Hussain
terengganu@utusan.com.my

Ahmad Said

HULU TERENGGANU 8 Mei - Langkah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) untuk menaikkan kadar cukai pintu selepas lebih 30 tahun tidak dilakukan bertujuan menambahkan sumber untuk meningkatkan prasarana dan tahap kesejahteraan penduduk.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said menjelaskan, rakyat harus mengubah mentaliti dengan bersikap positif terhadap usaha kerajaan negeri termasuk dalam hal berkaitan cukai kerana akhirnya akan kembali kepada rakyat melalui perkhidmatan dan pembangunan.

Beliau menarik perhatian, kerajaan negeri kini terpaksa memperuntukkan sebanyak RM50 juta setahun untuk pengurusan pihak berkuasa tempatan itu, tidak termasuk hampir RM20 juta dalam aspek pengendalian kebersihan dan pungutan sampah.

Katanya, MBKT tidak sebagaimana pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri lain yang menaikkan cukai pintu sekali dalam tempoh lima tahun dan keputusan yang diambil MBKT bertujuan menyediakan keadaan yang lebih baik buat masyarakat setempat sejajar dengan perkembangan bandar raya.

Katanya, kadar peningkatan yang dicadangkan dari segi peratusannya mungkin dilihat tinggi tetapi ia mengikut nilai semasa yang tentunya jauh berbeza berbanding tiga dekad lalu namun penduduk diberi peluang untuk membantah.

"Kita ada formula, macam cukai pendapatanlah, kalau kena bayar RM30,000, maknanya pendapatan anda adalah RM30,000 sebulan," katanya tentang rasional kadar kenaikan yang dicadangkan.

Beliau menyatakan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan negeri di Tasik Kenyir dekat sini semalam ketika diminta mengulas rungutan terhadap langkah MBKT untuk menaikkan cukai pintu sehingga 600 peratus yang dijangka akan berkuat kuasa tahun depan.

Kelmarin, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Datuk Adzlan Dagang memberitahu Utusan Malaysia, pihaknya masih belum memuktamadkan kadar kenaikan cukai pintu itu dan akan turut mengambil kira bantahan yang dilakukan oleh penduduk.

"Pada masa ini masih dalam tempoh bantahan umum yang akan tamat pada 2 Jun ini setelah Notis Semakan Senarai Nilaian sejak dikeluarkan kepada pemilik premis di kawasan bandar raya pada Mac lalu.

"Apabila tamat tempoh bantahan, kita akan buat rumusan untuk dibawa kepada pihak perunding, seterusnya ke peringkat jawatankuasa mesyuarat Ahli Majlis MBKT dan kalau ada dasar sesuai, kita akan tetapkan kadar cukai mengikut kesesuaian," ujar Adzlan.

Menurut beliau, jika terlalu banyak bantahan dan setelah dirumuskan bahawa perlu diturunkan kepada kadar baharu, MBKT akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan negeri untuk kelulusan.

"Memang kelihatan cukai pintu ini dinaikkan mendadak sehingga 600 peratus tapi kalau mengikut nilaian pada tahun 1986 iaitu 30 tahun lalu berbanding sekarang, ia adalah relevan dengan nilai semasa.

"Contohnya, kalau satu lot tanah di Cendering dulu (30 tahun lalu) nilainya cuma RM30,000 tapi sekarang mencecah RM400,000. Begitu juga tanah di sekitar Ladang, 30 tahun lalu nilainya mungkin RM300,000 sedangkan nilai sekarang mencecah RM8 juta," katanya.

Indeks jenayah di Pasir Mas menurun

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Haliludin Rahim (kanan) mengagihkan risalah berkaitan pencegahan jenayah kepada peniaga pasar malam di bandar Pasir Mas, Kelantan, malam kelmarin. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH

PASIR MAS 8 Mei - Indeks jenayah di daerah ini semakin menunjukkan penurunan sepanjang Januari hingga April lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Haliludin Rahim berkata, penurunan tersebut adalah hasil pelbagai pendekatan yang dijalankan oleh pasukannya dalam usaha mewujudkan persekitaran lebih selamat.

Menurutnya, pendekatan tersebut melibatkan penubuhan Unit Ronda Bermotosikal (URB), Program Peace Lady (Amanita), Rakan Cop dan sebagainya termasuklah rondaan rutin.

Ujarnya, antara jenayah yang menunjukkan penurunan adalah pecah rumah pada waktu siang, ragut, kecurian dan beberapa lagi kes-kes lain.

"Bagaimanapun, pihak kami masih perlu bekerja lebih keras dan tidak boleh berada selesa dengan keadaan ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Polis Bersama Komuniti Peniaga Pasar Malam di sini semalam.

Pada majlis tersebut, Haliludin turut mengagihkan risalah berkaitan dengan pencegahan jenayah d dalam kalangan peniaga pasar malam.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Haliludin memberitahu, pihaknya turut berjaya memberkas seorang pemuda berusia 20-an atas kesalahan mencuri di pasar malam berkenaan.

Katanya, hasil ujian air kencing yang dijalankan ke atas pemuda terbabit mendapati dia positif dadah.

Ujarnya, pemuda berkenaan ditahan untuk tindakan selanjutnya.

Program Laman Saya Bersih perkasakan peranan komuniti

Posted: 08 May 2014 11:41 AM PDT

Abdul Fatah Mahmood (kanan) membuang botol plastik ke dalam bekas kitar semula sebagai gimik pelancaran Program Laman Saya Bersih bagi Jajahan Machang di Taman Kemahkotaan di Machang, Kelantan, semalam.

MACHANG 8 Mei - Majlis Daerah Machang telah mengambil langkah proaktif dengan menjadi jajahan pertama yang melancarkan Program Kebersihan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, program itu adalah untuk memperkasa peranan komuniti dalam menjaga kebersihan serta mengawal penyebaran penyakit.

"Melalui program ini, masyarakat akan diberi kesedaran mengenai tanggungjawab dalam menjaga kebersihan alam sekitar.

"Membuang sampah merata-rata adalah sifat pengotor yang menyumbang kepada pencemaran alam dan udara selain mencacatkan pemandangan.

"Oleh itu, setiap penduduk terutama yang tinggal di kawasan perumahan dan premis perniagaan harus peka dengan keadaan persekitaran mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Laman Saya Bersih peringkat Jajahan Machang di Pekarangan Taman Kemahkotaan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Chondong, Zulkifli Mamat; ADUN Kemuning, Mohd Roseli Ismail dan Yang Dipertua Majlis Daerah Machang, Ghazali Mohamad.

Sempena pelancaran program itu, kira-kira 30 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hamzah 2 di sini akan turut terlibat mengedarkan risalah berkaitan kebersihan kepada penduduk kawasan Machang.

Abdul Fattah memberitahu, pihak majlis daerah akan menyediakan tong kitar semula bagi kemudahan masyarakat sebagai langkah untuk mereka mempraktikkan cara hidup yang lebih teratur, bersih dan selesa.

Tambah beliau, masyarakat tidak boleh bersikap lepas tangan dan hanya berharap kepada kerajaan negeri semata-mata dalam soal penjagaan alam sekitar.

"Diharap segenap lapisan masyarakat dapat menyambut baik pelaksanaan program ini kerana secara tidak langsung membentuk sikap cintakan kebersihan alam sekitar.

"Saya juga berharap, pihak berkuasa tempatan (PBT) lain juga akan turut melancarkan program sebegini yang mana memberi manfaat kepada pelbagai pihak terutama kepada orang ramai," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat