{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Admin

Utusan Online - Utara


Petani terus dilindungi

Posted: 24 May 2014 12:40 PM PDT

Oleh ASLIZA MUSA
pengarang@utusan.com.my

Ismail Sabri Yaakob (tiga dari kiri) menyampaikan replika cek kepada seorang peserta Pengukuhan Bekalan Ladang Kontrak Ke Pasaran (Kukuh) pada Majlis Program Jihad Memerangi Orang Tengah anjuran FAMA di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak, semalam. Turut hadir Badruddin Amiruldin (kiri). - FOTO IHSAN THE STAR

GOPENG 24 Mei - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terus menggempur orang tengah yang sering menindas golongan petani dengan melancarkan kempen terbaharu iaitu jihad memerangi orang tengah bagi sub-sektor sayur-sayuran dan buah-buahan hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kempen tersebut merupakan usaha kerajaan membebaskan petani daripada terus ditindas dan berada dalam cengkaman golongan tersebut.

Malah katanya, kempen itu juga sejajar dengan matlamat menyelesaikan isu membabitkan monopoli orang tengah sebanyak 50 peratus menjelang tahun 2020.

"Dalam situasi ini, saya tidak katakan orang tengah boleh dihapuskan terus kerana kita tidak boleh memaksa petani memilih alternatif yang disediakan kerajaan. Kebanyakan mereka ini telah lama bergantung kepada orang tengah dan untuk mengubahnya akan memakan masa.

"Kita ada enam tahun lagi untuk capai sasaran 50 peratus ini. Pada tahun ini, sasaran adalah sekitar 10 peratus dan lebih kepada kesedaran dalam menyedarkan golongan petani mengenai kesan buruk jika bergantung kepada orang tengah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jihad memerangi orang tengah dalam sub-sektor sayur-sayuran dan buah-buahan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin dan Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Datuk Hamidah Osman.

Menurut Ismail Sabri, melalui kempen tersebut, beberapa inisiatif telah dirangka kerajaan antaranya menyediakan kemudahan pembiayaan sebanyak RM80 juta melalui Agrobank dan RM40 juta di bawah skim TEKUN.

Malah katanya, bagi membantu golongan petani meningkatkan pendapatan, program ladang kontrak untuk sayur-sayuran dan buah-buahan akan diperluaskan kepada 1,000 hektar dengan melibatkan seramai 587 peserta.

"Dalam aspek membantu pemasaran buah-buahan bermusim, FAMA telah menggembleng sebanyak 792 buah lori pelbagai jabatan dan agensi untuk membantu mengangkut produk-produk petani daripada ladang ke pusat pengumpulan dan pasar tani.

"Selain itu, sebanyak 1,000 buah khemah jualan akan disediakan kepada pengeluar buah-buahan bermusim di samping menyediakan portal agrobazaar.com sebagai landasan memperluaskan pasaran.

"Kita juga akan menambahkan pasar-pasar tani di seluruh negara yang ketika ini berjumlah sebanyak 538 buah dan akan ditambah sehingga 1,000 buah pasar tani," ujar beliau.

Curi besi kapal karam, nelayan sangkal penjelasan Guan Eng

Posted: 24 May 2014 12:40 PM PDT

Sekumpulan nelayan dan kaki pancing memegang poster sebagai membantah kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang berhubung kecurian besi kapal karam yang dijadikan tukun di jeti Pulau Betong, Pulau Pinang, semalam.

BALIK PULAU 24 Mei - Persatuan Nelayan kawasan Pulau Pinang Selatan menyangkal penjelasan Ketua Menteri, Lim Guan Eng berhubung kedudukan kapal karam yang besinya dicuri pihak tertentu yang dikatakan berada 5.5 kilometer (km) atau tiga batu nautika di luar perairan negeri ini atau 55.56 km (30 batu nautika) dari Pulau Kendi di sini.

Pengerusinya, Arshad Omar berkata, kedudukan kawasan kapal karam berkenaan hanya beberapa batu nautika dari Pulau Kendi iaitu sekitar 5.5 hingga 7.4 km (tiga atau empat batu nautika) dari pulau berkenaan dan bukan seperti yang dinyatakan.

Kata beliau, pihaknya kecewa dengan kenyataan itu kerana kecurian besi kapal karam berkenaan adalah serius dan memberi kesan terhadap pendapatan nelayan tempatan.

Malah, menurutnya, nelayan di kawasan itu juga sudah melaporkan tindakan mencuri besi daripada kapal karam tersebut sejak beberapa bulan lalu namun tiada sebarang tindakan diambil pihak terlibat sama ada Jabatan Laut, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Perikanan atau kerajaan negeri.

"Kemusnahan kapal karam ini besar impaknya kepada nelayan kerana di situ merupakan kawasan pembiakan ikan, jadi adalah tidak munasabah kawasan terbabit tidak diberi perhatian oleh pihak berwajib," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Semalam dalam sidang akhbar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Guan Eng berkata, kejadian kecurian daripada bangkai kapal karam itu berlaku 30 batu nautika dari Pulau Kendi iaitu tiga batu nautika di luar sempadan negeri ini berhampiran Pulau Kendi.

Tambah Arshad, pihak terlibat terutama kerajaan negeri seharusnya mengambil tindakan drastik bagi menggantikan bangkai kapal karam terbabit dengan tukun-tukun tiruan yang baharu memandangkan kerja-kerja menaikkan besi telah memusnahkan lubuk ikan nelayan.

"Terdapat lima kapal karam di perairan negeri ini yang digelar para nelayan sebagai Kapal Jepun, Kapal Taiping, Kapal Rusia, Kapal Taiwan dan Kapal Sayur yang karam sejak 1940-an.

"Kapal berhampiran Pulau Kendi adalah Kapal Jepun yang juga popular kepada kaki pancing, namun sejak kegiatan mencuri besi dari bangkai kapal itu berlaku, jumlah ikan di kawasan terbabit mula merosot," katanya.

Menurut beliau, pendapatan nelayan khususnya yang mempunyai lesen membawa pemancing ke kawasan kapal karam berkenaan juga terjejas teruk kerana kurang daripada 10 perjalanan sebulan diperoleh kini berbanding 15 perjalanan sebelum ini.

Pasangan suami isteri daif mohon bantuan rumah sendiri

Posted: 24 May 2014 12:40 PM PDT

ALOR SETAR 24 Mei - Seorang suami kepada orang kurang upaya (OKU) merayu mendapatkan tempat tinggal lebih selesa berbanding bilik yang disewa sejak empat bulan lalu di Lorong Titi Siam, Jalan Teluk Wanjah, di sini.

Zainudin Zainun, 49, berkata, bilik yang disewa RM100 sebulan itu hanya bersaiz 5x4 meter dan mereka terpaksa berkongsi tandas dengan penyewa yang lain.

Dia berkata, isterinya, Sazlina Salleh, 38, menghidap penyakit kencing manis,buah pinggang dan darah tinggi selain mengalami masalah penglihatan sejak empat tahun lalu akibat penyakit kencing manis yang dihidapinya.

"Saya pernah mohon bantuan rumah daripada Jabatan Zakat dan bank namun gagal disebabkan tidak memiliki tanah.

"Kami amat memerlukan rumah untuk mudahkan pergerakan isteri saya terutama apabila saya tiada di rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Zainudin yang kini hanya bergantung pada ihsan orang ramai dan Bantuan OKU Tidak Bekerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 tidak mampu bekerja disebabkan terpaksa menjaga Sazlina.

Katanya, Sazlina yang tidak mampu menguruskan diri sendiri disebabkan penyakit yang dihadapinya itu memerlukan sepenuh perhatian.

"Kalau dia nak ke tandas saya kena papah dia perlahan-lahan kerana kedua-dua kakinya bengkak selain mata tidak nampak," katanya.

Ujar Zainudin, dia amat amat berharap agar ada pihak yang dapat membantu mereka mendapatkan tempat tinggal yang lebih selesa berbanding sekarang selain pekerjaan bagi menampung kos perubatan isterinya.

Ujarnya, kos perubatan isterinya mencecah RM350 termasuklah membeli jarum insulin bagi penyakit kencing manis.

"Sekarang saya sedang mencari pekerjaan di kedai makan berhampiran untuk sumber pendapatan kami namun masih gagal,"katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bolehlah menghubungi Zainudin 017-4182036 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional milik Sazlina 02100-29-00064442-1

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar