{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Harian Metro: Mutakhir

Posted by Tanpa Nama

Harian Metro: Mutakhir


Penyokong Kelantan, Johor DT tiba awal di stadium

Posted: 29 Jun 2013 05:30 AM PDT

KUALA LUMPUR: Peminat bola sepak sanggup berkampung di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini sejak semalam kerana tidak ingin melepaskan peluang menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan Johor Darul Takzim (Johor DT) malam ini.

Zainuddin Ibrahim, 25, dari Tanah Merah, Kelantan berkata beliau bersama tiga rakannya tiba di Kuala Lumpur lewat malam semalam dan bermalam di perkarangan stadium itu.

"Setiap kali ada perlawanan akhir membabitkan pasukan The Red Warriors, saya bersama rakan-rakan akan berkonvoi ke ibu kota sehari lebih awal bagi mengelak kesesakan lalu lintas," katanya kepada Bernama.

Zainuddin berkata beliau mendapat lebih kepuasaan apabila menyaksikan sendiri perlawanan di stadium berbanding menonton di kaca televisyen.


"Saya harap pasukan Kelantan mampu mengekalkan kejuaraan pada musim ini bagi tidak menghampakan sokongan dan pengorbanan seluruh peminat bola sepak Kelantan," katanya.


Sementara itu, penyokong setia pasukan Johor DT, Haikal Ismail, 40, berkata perlawanan akhir Piala FA ini cukup penting bagi pasukan Harimau Selatan itu setelah menanti selama 15 tahun untuk mara ke perlawanan akhir.

Haikal, dari Batu Pahat, berkata beliau dan rakan-rakannya mula tiba di Stadium Nasional sejak 3 pagi tadi bagi mengelak kesesakan.

Beliau berharap keputusan perlawanan malam ini bakal melakar sejarah baharu buat bola sepak Johor.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama mendapati segelintir penonton yang berada di aras tiga Stadium Nasional bertindak liar dengan melempar beberapa objek larangan termasuk bekas minuman berisi air serta sisa makanan sehingga terkena beberapa petugas media yang membuat liputan di aras dua.

Jaminan polis sebelum ini berhubung kehadiran kira-kira 2,000 anggota keselamatan nyata tidak menghalang segelintir penyokong daripada melakukan perbuatan itu.

Seorang wartawan sebuah akhbar arus perdana yang hanya mahu dikenali sebagai Azman mendakwa balingan sebuah tin minuman yang masih berisi air hampir terkena komputer riba miliknya.

"Saya sedang leka menaip berita untuk dihantar dan terkejut apabila sebuah tin minuman berisi air hampir terkena komputer riba saya," katanya dengan nada kesal.

Azman, yang sudah berkhidmat hampir 10 tahun sebagai wartawan sukan, mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku pengelola perlawanan itu dapat mengambil langkah sewajarnya untuk menangani masalah itu.

Ini dipersetujui anggota Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), Noah Tan yang mendakwa FAM masih gagal menjamin keselamatan petugas media yang membuat liputan.

Wartawan Bernama TV itu mendakwa belum pun perlawanan bermula, beliau melihat gelagat segelintir penyokong kedua-dua pasukan yang bertindak membaling botol air dan sebagainya sehingga mengganggu penyokong lain.

"FAM sepatutnya menepati janji dalam memastikan keselamatan semua pihak termasuk petugas media terjamin...ia wajar menjadi keutamaan FAM bagi mengelak insiden tidak diingini," katanya. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Operasi Daulat kini dikenali sebagai Operasi Sanggah

Posted: 29 Jun 2013 04:32 AM PDT

LAHAD DATU: Operasi Daulat yang dilancarkan pada 5 Mac lalu untuk memerangi kumpulan pengganas Sulu yang menceroboh Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari sini, kini dinamakan Operasi Sanggah.

Pengumuman perubahan nama operasi itu dibuat sempena penyerahan rasmi operasi Ops Daulat kepada Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (ESSCOM) yang disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, pada Majlis Perbarisan Penghargaan Ops Daulat di Padang Awam Felda Sahabat 16 di sini hari ini.

Tugas operasi Ops Daulat berkenaan diserahkan kepada Ketua Pengarah ESSCOM Datuk Mohammad Mentek oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di saksikan oleh Musa yang juga Pengerusi ESSCOM.

Turut menyaksikan penyerahan berkenaan ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.


Dengan penyerahan berkenaan segala pengoperasian dan pengawalan operasi Ops Sanggah dilaksanakan sepenuhnya oleh ESSCOM.


Mengulas mengenai majlis penyerahan rasmi hari ini, Musa berharap kerjasama dan komitmen semua pihak yang menjayakan Ops Daulat sebelum ini akan diteruskan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa dalam Ops Sanggah agar kesejahteraan rakyat, khususnya di pantai timur Sabah, terus terpelihara.

Musa juga menegaskan bahawa penglibatan rakyat amat penting untuk bertindak sebagai mata dan telinga kerajaan dalam menyalurkan maklumat kepada anggota keselamatan.

"Kerajaan negeri Sabah akan terus berganding bahu dengan kerajaan Persekutuan dan komited untuk membantu anggota keselamatan dalam memastikan maruah dan integriti negara terus dipertahankan," katanya.

"Sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara, Perdana Menteri akan memantau dan memberi perhatian khusus kepada keseluruhan operasi ESSCOM," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jen. Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain berkata sementara menunggu kewujudan lima batalion anggota keselamatan di sepanjang pantai timur Sabah, anggota dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibawa dari seluruh negara untuk ditempatkan di kawasan ESSCOM.

"Kita akan tetapkan bahawa kekuatan itu tetap sama sehinggalah lima batalion ini diwujudkan secepat mungkin. Satu unit batalion ATM akan diwujudkan di Felda Sahabat dengan kekuatan antara 600 hingga 800 anggota," katanya.

Zulkifeli juga berkata semua aset yang digunakan semasa operasi memerangi pengganas seperti kereta perisai, pesawat, meriam akan tetap berada di kawasan ESSCOM. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/29

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat