{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Memantau integriti penjawat awam

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

BERIKUT ialah bahagian akhir wawancara bersama Ketua Setiausaha Negara, TAN SRI ALI HAMSA tentang semangat Merakyatkan Perkhidmatan Awam" bersama wartawan Mingguan Malaysia, KU SEMAN KU HUSSAIN dan HAFIZAHRIL HAMID.

UTUSAN: Bagaimana penambahbaikan melibatkan pegawai pelaksana?

ALI: Penambahbaikan melibatkan mereka telah dimulakan apabila Perdana Menteri mengumumkan pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas (MAPPA XIII) di mana mereka yang menjawat Gred 1 hingga Gred 10 akan dibuat penambahbaikan terhadap gred mereka. Tidak ada lagi gred yang lebih rendah dan kelayakan mereka sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan boleh mula pada Gred 11. Contoh skim perkhidmatan yang terlibat antaranya Pembantu Am Pejabat, Pemandu Kenderaan dan Tukang K3.

Proses perbincangan dalam memuktamadkan penambahbaikan skim-skim perkhidmatan tersebut dijangka akan selesai sebelum akhir tahun ini. Dengan penambahbaikan skim-skim perkhidmatan berkenaan, maka daripada segi jangka panjang seramai 166,541 penyandang akan menerima manfaat dari segi laluan kerjaya yang lebih baik dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji mereka.

Bagaimana Tan Sri melihat beberapa persepsi negatif yang ditimbulkan oleh rakyat melibatkan penjawat awam antaranya rasuah, kerenah birokrasi, pegawai kanan berbelanja secara boros dan sebagainya. Apakah cabaran yang perlu dilalui Tan Sri dalam menidakkan dan menjelaskan perkara ini?

ALI: Isu yang selalu dibangkitkan oleh segelintir masyarakat terhadap agensi kerajaan dan penjawat awam adalah berkaitan isu birokrasi dan integriti. Saya berpandangan dalam isu ini, rakyat tidak boleh meletakkan kesalahan semata-mata kepada penjawat awam secara keseluruhan. Sebagai contoh, proses pengeluaran pasport antarabangsa suatu masa dahulu memerlukan tempoh masa sebulan setengah untuk disiapkan, bagaimanapun pada hari ini, penyiapannya hanya memerlukan masa satu jam sahaja. Banyak sektor kerajaan pada hari ini telah menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan mereka. Kemudahan-kemudahan ini adalah antara perkhidmatan yang ditawarkan untuk memberi kemudahan kepada rakyat dan proses penambahbaikan ini sentiasa berterusan.

Antara pembaharuan yang telah laksanakan oleh kerajaan adalah dengan pengenalan Pusat Transformasi Bandar (Urban Tranformation Centre - UTC) dan Pusat Transformasi Luar Bandar (Rural Transformation Centre - RTC). Suatu masa dahulu, terdapat anggapan bahawa sektor kerajaan hanya bekerja dalam waktu pejabat iaitu 8 pagi hingga 5 petang. Bagaimanapun pada hari ini, dengan penubuhan UTC dan RTC ini, anggapan tersebut tidak boleh diguna pakai lagi. Penjawat awam kini sedia bekerja luar daripada waktu pejabat, contohnya bagi UTC dan RTC ini yang waktu operasinya 8 hingga 10 malam, pegawai kerajaan sentiasa bersedia berkhidmat. Penjawat awam telah melakukan transformasi minda dengan sedia bekerja dengan waktu kerja yang fleksibel. Penjawat awam hari ini sentiasa sedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat selaras dengan hasrat kerajaan untuk memberikan kemudahan terbaik untuk rakyat. Program-program penambahbaikan sistem penyampaian perkhidmatan awam diperkenalkan oleh kerajaan selain UTC dan RTC ini adalah pusat panggilan setempat atau dipanggil Pusat Panggilan 1Malaysia (1MOCC-1Malaysia One Call Centre).

Isu integriti dalam kalangan penjawat awam pula sentiasa dipantau oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) khususnya melalui siasatan kes-kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Malahan SPRM juga sentiasa menyediakan khidmat pemeriksaan dan perundingan dan sedia memberi khidmat nasihat untuk mengkaji sistem dan prosedur mana-mana jabatan kerajaan supaya menutup ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan. Manakala Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) pula bertanggungjawab memantau integriti dalam kalangan pegawai agensi penguatkuasaan supaya sistem penyampaian yang disediakan sentiasa memenuhi kehendak dan harapan rakyat. Kedua-dua agensi ini berperanan bagi memastikan penjawat awam sentiasa melaksanakan tugas mengikut peraturan dan bidang kuasa yang diperuntukkan, dan sekiranya mana-mana penjawat awam melakukan apa-apa kesalahan, mereka pasti akan diambil tindakan demi memelihara integriti sektor awam.

Mutakhir ini didapati tahap integriti penjawat awam meningkat apabila statistik menunjukkan terdapat perubahan ketara dari segi jumlah penjawat awam yang menolak rasuah dan kemudian melaporkan kes tersebut kepada SPRM. Pada tahun 2010, sebanyak 414 tangkapan, 2011 pula sebanyak 343 dan pada 2012 pula mencatatkan 252 kes di mana penjawat awam telah menolak rasuah dan kemudian melaporkan kepada SPRM bagi kes-kes yang mana orang awam cuba merasuah mereka. Ini adalah petanda dan kayu ukur kepada peningkatan integriti penjawat awam dan saya percaya, integriti penjawat awam ini semakin hari semakin meningkat kepada tahap lebih baik. SPRM dan SIAP mampu memainkan peranan dalam memastikan mereka bersalah dan menyeleweng serta penjawat awam yang melanggar undang-undang diambil tindakan dan dikenakan hukuman yang sewajarnya.

Apakah Tan Sri melihat Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) masih relevan sebagai jawatan premier dan jika benar apakah yang perlu dilakukan untuk memperkasakan mereka?

ALI: PTD masih relevan dalam memegang jawatan premier perkhidmatan awam. Salah satu skim yang ada dalam perkhidmatan awam ialah skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik. PTD dilatih untuk memainkan pelbagai peranan yang berbeza dalam perkhidmatan awam seperti menggubal dasar dan menjadi pelaksana dasar tersebut, mahupun menjadi penasihat, perunding, penyedia perkhidmatan dan pengurus, pengurusan kewangan dan juga teraju pimpinan dalam perkhidmatan awam. Skim ini juga khusus menjaga pentadbiran kementerian-kementerian, agensi-agensi pusat, di peringkat negeri, daerah, termasuk di luar negeri dan juga kedutaan-kedutaan. Skim PTD sudah ditubuhkan sejak negara merdeka dan peranan mereka sangat khusus dan kemasukan ke PTD juga mempunyai kriteria tertentu.

PTD juga bukan eksklusif untuk hanya graduan baru sahaja tetapi terbuka dan semua boleh memohon termasuk penjawat awam yang sedia ada. Andaian PTD adalah eksklusif adalah hanya tanggapan semata-mata. Mereka (PTD) perlu berubah mengikut keadaan semasa dengan perlu mengamalkan keterbukaan termasuk menggunakan media sosial dan bersedia untuk menjawab persoalan yang dikemukakan dalam saluran terbabit daripada orang awam. Daripada aspek kenaikan pangkat, ia adalah seperti biasa, malahan golongan profesional dilihat mempunyai peluang kenaikan pangkat lebih cepat daripada PTD. Untuk kekal relevan, pegawai PTD diingatkan pegawai PTD supaya meningkatkan diri sendiri dan pengetahuan yang ada, agar sentiasa berupaya dan bersedia untuk menghadapi cabaran baru yang dibawa oleh peredaran masa.

PTD perlu sentiasa think out of the box dan mencari penyelesaian yang inovatif dan kreatif supaya boleh membuat penambahbaikan yang berterusan dan tidak berada di takuk yang lama dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Program Jejak Mesra Perkhidmatan Awam (atau Search and Assist) yang diperkenalkan, pegawai PTD perlu turun padang" dan mencari" rakyat yang memerlukan bantuan, dan menyelesaikan masalah mereka. Pegawai PTD juga perlu sentiasa ingat bahawa sebagai penjawat awam, mereka perlu bertanggungjawab kepada kepentingan awam, dan memastikan kepentingan awam sentiasa ditegakkan. Saya yakin bahawa pegawai PTD akan dapat terus menggalas tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan baik dan kekal relevan.

Bagaimana dengan kedudukan penjawat awam yang menjadi sasaran politik, serta apa yang wajar dilakukan berikutan landskap politik negara yang telah berubah?

ALI: Terdapat silent majority (majoriti senyap) yang tidak berkata apa-apa dalam soal politik yang mana mereka ini berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan kerajaan, tetapi terdapat juga pihak-pihak tertentu yang selalu juga melemparkan pelbagai persoalan, yang ragu terhadap kebolehan dan integriti penjawat awam. Kita tidak menyalahkan sekiranya persoalan-persoalan ini mempunyai bukti kerana terdapat agensi yang bertanggungjawab menguruskan salah laku penjawat awam seterusnya dan tindakan boleh diambil. Perkara yang kita tidak persetujui, tidak boleh diterima ialah tohmahan-tohmahan yang tidak berasas terhadap penjawat awam kerana tidak ada bukti yang dikemukakan dan ia boleh disifatkan sebagai fitnah semata-mata.

Sekiranya seseorang itu bertanggungjawab, kritikan membina, cadangan dan maklum balas untuk memperbaiki perkhidmatan awam adalah diterima tetapi bukannya fitnah yang mensasarkan agensi atau jabatan tertentu yang sengaja dilakukan untuk menjatuhkan imej penjawat awam. Untuk perkara ini, pesanan saya ialah tindakan untuk melawan semula dengan memberikan fakta dan juga perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat. Penjawat awam perlu memberi penerangan dengan membenteng dan bersedia menangkis kritikan yang melulu.

Bagaimana Tan Sri melihat cadangan daripada pihak pembangkang untuk mengurangkan saiz penjawat awam?

ALI: Malaysia mempunyai 1.4 juta penjawat awam untuk 29 juta orang penduduk dan sama ada saiz itu besar atau kecil bergantung kepada definisi yang digunakan di negara ini. Menurut Perlembagaan, tentera, polis dan guru adalah termasuk dalam struktur perkhidmatan awam, berbeza dengan sesetengah negara termasuk negara maju di mana ketiga-tiga ini tidak termasuk dalam definisi penjawat awam. Jumlah penjawat awam yang ada pada masa ini adalah saiz yang tepat (right size) untuk negara ini. Sebagai negara yang membangun yang menuju ke arah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020, terdapat pelbagai perkara yang mahu disampaikan kepada rakyat termasuk program-program pembangunan di bandar dan luar bandar.

Oleh yang demikian, negara memerlukan tenaga kerja dalam membantu melicinkan pelaksanaan semua dasar-dasar dan projek kerajaan dan oleh itu saiz yang ada adalah sesuai. Ada juga kemungkinan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak jumlah penjawat awam akan ditambah. Permohonan memasuki perkhidmatan awam adalah terbuka kepada semua kaum. Adalah ditegaskan tidak ada dasar untuk menghalang atau menutup peluang mana-mana kaum daripada kalangan rakyat Malaysia untuk memohon menjadi penjawat awam. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dari semasa ke semasa sentiasa mengadakan kempen untuk pelbagai kaum menyertai perkhidmatan awam di mana kerajaan turut memaklumkan dari aspek gaji, kemudahan yang diperolehi sebagai penjawat awam. Kenaikan pangkat berdasarkan sesuatu kaum juga adalah satu tohmahan semata-mata. Kenaikan pangkat adalah berdasarkan beberapa aspek iaitu pengetahuan, kelayakan akademik, pengalaman, sahsiah diri di samping kekosongan jawatan. Ini jelas untuk jawatan Ketua Setiausaha kementerian yang kini mempunyai beberapa orang KSU bukan Melayu.

Nasihat Tan Sri kepada penjawat awam yang masih berpolitik.

ALI: Peraturan mengenai larangan berpolitik memang telah wujud sejak sekian lama dan diperbaharui pada April 2009. Tugas penjawat awam bukannya berpolitik dan apabila baru-baru ini terdapat aduan penjawat awam menghabiskan masa berpolitik, mereka sudah dimaklumkan supaya berhenti berbuat demikian dan meneruskan tugas dan amanah melaksanakan dasar-dasar kerajaan. Jikalau ada pegawai yang terlibat, tindakan tatatertib akan diambil dan semua ketua jabatan juga diminta mengambil tindakan mengikut pekeliling yang sedia ada. Tindakan akan dikenakan mengikut peraturan yang sedia ada iaitu Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.1.

Kami difahamkan Tan Sri adalah penyokong tegar kelab Liverpool dan apakah ini sebahagian daripada cara mengisi masa lapang dan menghilangkan tekanan kerja?

ALI: Apabila seseorang menyandang jawatan sebegini, kerja serta cabaran yang dihadapi adalah 24-7 iaitu 24 jam seminggu. Tugas sebagai Ketua Setiausaha Negara ini sangat mencabar namun ia juga merupakan amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul setelah diberikan kepercayaan oleh kerajaan.

Saya percaya bahawa kita perlu mempunyai keseimbangan antara kerjaya dan keluarga. Jadi, saya cuba meluangkan satu hari setiap minggu bersama keluarga. Selain daripada itu, saya gemar menonton Liga Perdana Inggeris, terutamanya pasukan kegemaran saya Liverpool, sebagai salah satu cara untuk merehatkan diri pada hujung minggu. Saya juga giat mengikuti liga bola sepak tempatan yang semakin hangat persaingannya.

Kalau sudah sedap dan ketagih, lupa mudarat

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

Oleh Hassan Mohd. Noor

BARU-BARU INI, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan mengenakan larangan terhadap penjualan dan penggunaan rokok elektronik atau e-rokok, yang tidak mengandungi tembakau. Persatuan itu mendakwa semakin ramai anak muda tertarik menggunakan e-rokok yang pertama kali diperkenalkan di China pada Mei 2004 yang secara langsung memberi kesan negatif alat itu sebagai kaedah menghentikan tabiat merokok.

Para saintis di University of Athens, Greece, mendapati e-rokok boleh menyebabkan kerosakan kepada paru-paru dan nikotin yang merupakan racun toksik serupa dengan racun serangga. Apabila terlalu banyak yang dihisap, ia boleh membawa kepada keracunan nikotin yang menyebabkan muntah, rasa mual dan pening.

Rokok elektronik itu merupakan alat yang menggunakan bateri untuk katrij yang berisi cecair yang mengandungi pelbagai perisa seperti pudina, vanila, ceri dan biji kopi.

Semalam, CAP muncul lagi dengan gesaannya supaya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa yang mengharamkan penggunaan shisha sama seperti fatwa yang mengharamkan rokok.

Gesaan itu susulan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok.

Seperti e-rokok, shisha juga mempunyai pelbagai perisa. Pada 2012, CAP telah menggesa supaya shisha diharamkan kerana penggunaannya boleh memudaratkan kesihatan. Bagaimanapun gesaan itu tidak mendapat perhatian walaupun penggunaannya semakin berleluasa di seluruh negara terutama dalam kalangan anak muda.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), amalan menghisap shisha mempunyai risiko kesihatan yang sama seperti merokok atau menggunakan produk tembakau lain. Penghisap shisha biasanya menyedut asap sebanyak 50 hingga 200 kali atau selama 20 minit hingga 80 minit yang dianggarkan sebanyak 0.15 liter hingga satu liter. Mereka yang menghisap rokok selalunya menyedut sebanyak lapan hingga 12 kali dan mengambil masa hanya lima hingga tujuh minit serta menyedut 0.5 liter hingga 0.6 liter asap.

Perlis muncul dengan fatwanya mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha. Sebelum ini Melaka mengambil tindakan yang sama. Beberapa negeri lain dijangka mengikut jejak ini. Mungkinkah Majlis Fatwa Kebangsaan juga akan mengambil pendekatan yang sama seperti mengharamkan rokok?

Jika ini berlaku, persoalannya sejauh manakah fatwa seumpama ini mampu menyedarkan pengguna terutama dalam kalangan masyarakat Islam yang sudah ketagih? Tidak kiralah sama ada rokok, e-rokok atau shisha.

Apabila sudah sedap dan ketagih, maka soal makruh, mudarat dan haram menjadi perkara kedua. Perkara pertama, ialah mengutamakan sedutan. Biarlah apa orang kata, apa yang penting nikmat sedutan itu. Pedulikan soal fatwa atau segala kajian mengenai kesan terhadap kesihatan, soal poket kering, asalkan dapat menikmati sedutan berkenaan. Walaupun sudah banyak yang memperkatakan mengenai kesan buruk sedutan rokok, e-rokok dan shisha, semuanya itu tidak berkesan. Begitu juga dengan pelbagai kempen yang dilakukan oleh kerajaan. Ruangan Selak ini juga beberapa kali memperkatakan tentang bahaya rokok ini. Pada awal ruangan ini iaitu menjelang fajar 2009, Selak sudah mengajak pembaca terutama perokok meninggalkan tabiat merokok ini melalui tulisan bertajuk Hijrah demi undang-undang dan nyawa manusia (29 Disember 2008) diikuti Apabila perokok ketegar, undang-undang jadi hiasan (22 Jun 2009), Bicara harga kembar si manis dan si racun pembawa diabetis (11 Januari 2010), Kos berubat lebih mahal daripada sekilo gula, sekotak rokok (16 Mei 2011) dan Harga gula, fatwa rokok selepas bentang Bajet 2013 (1 Oktober 2012). Hampir setiap tahun, ada sahaja peruntukan atau undang-undang berkaitan penguatkuasaan mengenai larangan merokok termasuk meluaskan kawasan larangan. Bagaimanapun semuanya itu tinggal peraturan di atas kertas.

Orang ramai masih merokok di kawasan larangan termasuk di kawasan-kawasan yang berhawa dingin sama ada di kompleks membeli-belah, pejabat, lapangan terbang, stesen kereta api, stesen bas dan sebagainya. Peraturan dan hukuman tidak mampu mendidik mereka untuk mematuhi arahan. Tidak ada penguatkuasaan.

Apalah yang ada pada undang-undang dan peraturan kerana operasi penguatkuasaan hanya dilakukan sekali-sekala. Bagi yang beragama Islam, jika fatwa haram boleh ditolak ke tepi, inikan pula penguatkuasaan yang boleh ditebus dengan membayar denda RM. Wang ringgit boleh dicari untuk membeli dan membayar denda kerana kesalahan merokok di tempat awam. Bagi sesetengah orang, istilah haram itu hanyalah melibatkan beberapa perkara yang perlu dipatuhi.

Dalam erti amat sukar untuk menentukan sejauh mana seseorang itu cuba mengelak daripada melakukan perkara yang diharamkan. Saban hari sama ada sedar atau tidak, ada sahaja perbuatan atau tindakan yang menjurus ke arah melanggar perkara yang diharamkan. Samalah seperti menyertai perhimpunan haram. Hakikatnya, kita mudah lupa soal haram, makruh dan mudarat kerana nikmat yang dikecapi.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat