Harian Metro: Rap
Posted by Tanpa Nama
Harian Metro: Rap |
Posted: 28 Jun 2013 06:09 AM PDT Dalam mencari ketenangan, pelakon Ramona Zam Zam gemar melancong. Justeru, kesempatan yang ada pada Mac lalu digunakan sepenuhnya dengan menghabiskan masa selama sebulan melancong ke beberapa negara Eropah antaranya United Kingdom (UK), Itali, Perancis, Switzerland dan Liechtenstein. Ramona yang semakin popular menerusi drama Cinta Jangan Pergi itu juga beruntung kerana tidak perlu memikirkan tempat penginapan berikutan ramai saudaranya berkahwin dengan bangsa asing menetap di sana termasuklah kenalannya yang belajar di UK. Pelakon cantik itu memulakan perjalanannya dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke London sebelum meneruskan perjalanan ke Lucerne, Switzerland untuk ke rumah sepupunya yang dikenali sebagai Dada di sana. Dia berada di negara itu selama lebih dua minggu sebelum bersama-sama Dada memandu ke Milan dan Im Moos di Itali; Evian-les-Bains (Perancis) dan sebuah negara kecil di Eropah iaitu Liechtenstein. KETIKA di Geneva, Switzerland. BERADA di kota fesyen, Milan, Itali sememangnya menyeronokkan. PEMANDANGAN indah di Liechtenstein.
"Bentuk muka buminya berbukit-bukau dan dipenuhi taman dengan bunga yang amat cantik. Saya ke sana ketika musim dingin sudah di penghujung dan cuacanya cukup nyaman dan tenang. "Saya benar-benar jatuh cinta dengan negara itu. Hingga sekarang saya masih terkenangkannya dan jika ada rezeki, saya akan ke sana lagi. Barangkali orang Malaysia belum begitu mengetahui negara ini. Jika anda melancong ke Switzerland atau negara yang terletak berhampiran dengannya, pergilah ke Liechtenstein," katanya. Ramona berkata, ketika ingin meneruskan percutiannya ke Paris, dia mengalami masalah apabila tertinggal kereta api dan bagi menggantikan rancangannya yang tidak jadi itu, Dada membawanya ke sebuah bandar kecil Evian-les-Bains yang terletak di selatan Tasik Geneva di sempadan Perancis dan Switzerland. Di kawasan itulah tempat asal air mineral jenama Evian yang terkenal di seluruh dunia. "Di situ ia dijual dengan harga yang sangat murah dan saya mengambil peluang meminumnya sebanyak yang boleh! Penduduk di sana boleh membeli bertong-tong air berkenaan dan ada yang mandi dengannya, sebab itu kulit mereka cantik. Di negara kita, jenama terbabit dijual pada harga yang tinggi berbanding air minuman lain," katanya. Katanya, kebanyakan penduduk bandar itu kaya raya dengan hasil perniagaan air berkenaan. Mereka juga mengusahakan perniagaan restoran dan kafe, namun hanya membuka dan menutupnya sesuka hati kerana perniagaan itu tidak serius. Ia hanya hobi mereka saja. Dari Switzerland, mereka berdua memandu hingga ke Milan, Itali. "Dada jarang memandu apatah lagi ke tempat yang jauh, namun kami gagahi juga untuk ke Milan. Saya pula tak biasa memandu kereta dengan tempat duduk pemandu di sebelah kiri. "Dengan menggunakan pengesan sistem kedudukan global (GPS), kami menuju ke Milan tetapi apabila tiba di sempadan Itali, kami sesat dan petrol pula nak habis. Untuk ke Itali kami terpaksa melalui terowong sejauh 17 kilometer iaitu Terowong Gotthard. "Mustahil kami akan sempat sampai ke Itali dengan tangki minyak yang hampir kosong lalu dalam usaha kami mencari stesen minyak, kami terjumpa sebuah perkampungan kecil terletak di atas bukit," katanya. Katanya, selepas puas berada di Itali, dia ke London pula berseorangan dan menumpang di rumah rakan karibnya yang menyambung pengajian di bandar raya itu. Dia berada di London selama sembilan hari sebelum pulang ke tanah air. Menurut Ramona, dia terkilan kerana tidak berkesempatan untuk berkunjung ke Paris dan bercadang ke sana pada Disember nanti. "Saya suka melancong dan sekarang saya sedang mengumpul wang untuk bercuti lagi. Saya bercuti untuk merawat hati yang luka ketika itu. Sebab itu saya pergi seorang diri. Balik daripada percutian yang panjang, saya rasa lebih relaks dan meneruskan kerja seperti biasa," katanya. "Hati saya masih 'tertinggal' di sana. Walaupun mereka masyarakat yang sangat moden tetapi saya jatuh cinta dengan situasi kehidupan mereka yang tenang dan mendamaikan, apatah lagi dengan keindahan negaranya yang sukar diungkapkan dengan kata-kata," katanya. Balik saja daripada bercuti, Ramona terus ke lokasi telefilem Cinta Itu Kerja Allah dan Dendan Terindah, kedua-duanya untuk siaran RTM. Kini Ramona sibuk pula di set drama Syurga Tanpa Bidadari untuk slot Akasia, TV3. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28 |
Sarah, Fify GM2: Ubah nasib keluarga Posted: 28 Jun 2013 06:01 AM PDT Berbekalkan paras menawan, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf, 22, atau Sarah meraih pelbagai tawaran 'modeling' menerusi foto menarik yang dimuat turun ke dalam akaun Facebook, selain membawanya ke program Gadis Muka 2 (GM2). Latar belakang gadis kacukan Jerman, Amerika Syarikat dan Melayu itu sendiri ternyata memberi kelebihan kepadanya, tambahan pula industri pengiklanan, peragaan dan fesyen tempatan sememangnya memburu bakat berwajah Pan Asian dan Eurasian. Namun, di sebalik kecantikan dan perwatakannya yang ceria, tersimpan kisah menyentuh perasaan mengenai gadis ini. Ibu bapanya bercerai ketika Sarah masih kecil dan selepas perceraian itu, bapanya kembali ke negara asalnya, Amerika Syarikat. Sarah kemudiannya dibesarkan ibunya hingga bersekolah menengah dengan berbekalkan sumber pendapatan mengusahakan kedai menjahit baju. Fify Sarah
"Bagaimanapun, beberapa tahun di sana saya memutuskan untuk kembali ke Malaysia menemani ibu, selain membuat keputusan untuk menyambung pengajian di Monica Lee Art Academy dalam jurusan solekan. "Antara alasan kenapa saya tegar untuk pulang, pertamanya saya kasihan ibu yang bersendirian di sini. Ibu saya seorang wanita yang tabah. Dia menguruskan perniagaan menjahit baju untuk menyara hidup kami. "Hendak dijadikan cerita sekembalinya ke tanah air, seperti remaja yang lain saya suka melayari Facebook dan tidak sangka foto yang dimuat naik dalam Facebook menarik minat pengiklan," katanya. Sama seperti Sarah, Nur Afiqah Mohd Azmi,22, atau Fify yang berasal dari Subang Jaya, Selangor juga mempunyai kisah hidup tersendiri. Dilahirkan mempunyai pasangan kembar bernama Khalie, pembabitan Fify dalam program GM2 ini, selain mahu mencuba bakat, dia juga berhasrat untuk mengubah nasib keluarga. "Orang yang paling saya rindukan sepanjang program ini tentunya pasangan kembar saya, Khalie kerana dia adalah sebahagian diri saya. Ahli keluarga yang lain turut saya rindukan, cuma Khalie susah hendak jumpa kerana dia masih belajar. "Untuk pengetahuan umum, kami datang daripada keluarga yang sederhana. Bapa saya dulunya bekerja, tetapi sejak terlantar koma kerana asma kronik, ibulah yang mengambil alih tugas sebagai bapa. "Antara sebab saya menyertai GM2, manalah tahu rezeki, saya boleh membantu meringankan beban keluarga. Ironinya, selepas tiga bulan bapa saya disahkan lumpuh tiba-tiba I Like Entertainment Sdn Bhd selaku penerbit GM2 dan Harian Metro, akhbar rasmi pertandingan ini mengumumkan Pencarian GM2. "Ia datang pada saat yang tepat, di mana saya memang berhasrat untuk memanfaatkan bakat seni yang saya ada agar kelebihan ini boleh dijadikan sebagai mata pencarian dan kerjaya tetap saya," katanya. Selain Sarah dan Fify, lima lagi peserta masih meneruskan perjuangan dalam GM2 yang ditayangkan di saluran Astro Ria 104, setiap Ahad, jam 10 malam iaitu Alia Afiqah Abden (Lia) 21, Tawau, Sabah; Siti Nursyahira Nabila (She) 23, Subang Jaya ,Selangor; Atira Remimurni Mohamed Ali (Tyra) 21, Setapak, Kuala Lumpur, Nur Syifa Athirah Amirol Melvin (Syifa) 19, dari Parit Buntar, Perak serta Nur Asikin Kamarudin (Ekin) 24, Masjid Tanah, Melaka. Artikel ini disiarkan pada : 2013/06/28 |
You are subscribed to email updates from Harian Metro: Rap To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |