{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


RM1 bilion atasi kelemahan SDE

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD
utusanjohor@utusan.com.my

Hasni Mohammad (empat dari kanan) beramah mesra dengan sebahagian daripada anggota perwakilan sewaktu Mesyuarat Agung Tahunan PKMMNJ ke-16 di Wisma PKMMNJ, Taman Universiti, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 30 Jun - Kerajaan negeri yakin langkah menyediakan jajaran laluan dan penyediaan utiliti terbaik, khususnya di projek mega Kompleks Petroleum Bersepadu Pengerang (PIPC) mampu merancakkan pembangunan di kawasan tersebut mengikut jadual.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad mengakui akses jalan raya ke kawasan terlibat mempunyai kelemahan, khususnya di Lebuh Raya Senai-Desaru (SDE).

"Kalau kita lihat Lebuh Raya SDE ini merupakan akses yang penting kepada pembangunan di Pengerang, yang mana keadaannya kini dilihat tidak berupaya menjadi akses utama berikutan tidak memenuhi piawaian reka bentuk.

"Sekiranya SDE tidak segera dinaik taraf memenuhi piawaian, bukan hanya menimbulkan masalah kemudahan akses di Pengerang, malah yang membimbangkan turut merugikan kerajaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-16 Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Johor di sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Benut berkata, usaha memperbaiki SDE memerlukan pelaburan besar dengan anggaran RM1 bilion, melibatkan pengambilan tanah, pelebaran satu lorong kepada dua lorong dan sambungan jajaran ke Pengerang.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) mempunyai 30 peratus kepentingan dan usaha naik taraf perlu dijalankan segera, apatah lagi Pengerang sedang menyaksikan pembangunan yang rancak.

Dalam perkembangan lain, Hasni turut mendedahkan pembinaan empangan baharu dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan taraf utiliti bagi projek minyak dan gas di kawasan tersebut.

"Empangan ini akan membekalkan air bersih dari Sungai Seluyut, Kota Tinggi bagi menampung keperluan projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) Petronas dan Dialog. Kemudahan ini akan dibina oleh Petronas manakala kerajaan negeri menyediakan tapak serta jajaran paip," katanya.

Kikis tanggapan pendidikan agama sebagai kelas kedua

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

Mohd. Azahar Ibrahim menyampaikan hadiah kepada pemenang sewaktu Majlis Perujian al-Quran Sekolah Agama Segamat sambil diperhatikan oleh Zamri Mo'men di Felda Chempelak, Labis, semalam.

LABIS 30 Jun - Penekanan terhadap bidang akademik dan pengetahuan agama kepada kanak-kanak seharusnya dilakukan secara seiring bagi melahirkan insan yang seimbang dalam aspek pengetahuan, fizikal dan kerohanian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim mahu golongan ibu bapa mengikis tanggapan bahawa sekolah agama sebagai pendidikan kelas dua berbanding sekolah kebangsaan.

"Sekolah agama yang terdapat di negeri ini merupakan tempat terbaik untuk kanak-kanak menimba ilmu agama dan masyarakat harus mengikis sebarang anggapan yang merendahkan tahap pendidikan di sekolah tersebut.

"Ilmu agama adalah panduan dalam sebuah perjalanan sementara akademik pula umpama modal bagi sebuah perniagaan dan kedua-duanya harus seiring, jika tidak kehidupan akan pincang," katanya selepas merasmikan Majlis Perujian al-Quran Sekolah Agama Segamat di Felda Chempelak, di sini baru-baru ini.

Mohd. Azahar juga meminta ibu bapa menerapkan semangat membudayakan pembacaan al-Quran seawal usia prasekolah bagi menangani masalah buta al-Quran.

Dalam perkembangan lain, Pegawai Pendidikan Agama Segamat, Zamri Mo'men memaklumkan bahawa seramai 108 pelajar dari 59 buah sekolah agama seluruh Segamat akan bersaing dalam pertandingan melibatkan 12 acara untuk mencari wakil daerah ini ke pertandingan peringkat negeri.

"Acara yang dipertandingkan tidak lama lagi adalah seperti seni khat, membaca al-Quran, berzanji dan bercerita dalam bahasa Arab dengan kesemua peserta merupakan pemenang dalam peringkat zon melalui satu majlis perujian yang telah diadakan sebelum ini.

"Secara keseluruhan peserta pada tahun ini menunjukkan peningkatan terhadap mutu bacaan dan saya berharap ia akan terus dapat dipertingkatkan setiap tahun. Ini menunjukkan kita di landasan yang betul dalam usaha melahirkan masyarakat celik al-Quran," katanya lagi.

Penduduk mahu rumah kos rendah di Sri Gading

Posted: 30 Jun 2013 11:24 AM PDT

BATU PAHAT 30 Jun - Kerajaan negeri diminta bertegas terhadap syarikat pembinaan yang belum membina rumah kos rendah dan sederhana seperti yang dijanjikan khususnya di Pura Kencana, Parit Raja di sini.

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Ab. Aziz Kaprawi berkata, hal ini kerana rakyat menuntut perumahan kos rendah dan sederhana yang sepatutnya dibina di kawasan tersebut.

Menurutnya, gesaan itu juga semakin disuarakan majoriti masyarakat di sini kerana syarikat pembinaan di Pura Kencana hingga kini belum mendirikan rumah kos rendah dan sederhana, sebaliknya hanya membina rumah mewah.

"Seperti yang kita lihat sekarang hanya rumah teres setingkat dan dua tingkat yang bernilai RM300,000 ke atas dibina di kawasan tersebut, sebaliknya rumah kos rendah dan sederhana tidak didirikan lagi.

"Oleh itu, penduduk kini semakin tertekan dan mahu kerajaan negeri bertegas dalam hal itu termasuk syarikat pembinaan terlibat dikenakan tindakan sekiranya gagal membina rumah seperti dalam pelan pembangunan asal kawasan berkenaan," katanya ketika bersama lebih 500 penduduk menyaksikan perlawanan akhir Piala FA antara pasukan Johor Darul Takzim menentang Kelantan di Parit Raja malam tadi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, masalah ketiadaan pembinaan rumah kos rendah dan sederhana dibina di kawasan Parlimen itu hingga kini turut memberikan tekanan kepada masyarakat.

"Tidak semua penduduk mampu membeli rumah semahal RM300,000, oleh itu, kediaman yang menjadi kepentingan asas perlu diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.

"Sebagai Ahli Parlimen, saya berharap perkara ini akan menjadi perhatian kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu kerana pembinaan rumah kos rendah adalah permintaan penduduk di mana sahaja," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar