{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


G-Dragon si pencuri hati

Posted:

G-Dragon si pencuri hati

G-Dragon si pencuri hati

SEBENARNYA, secara luaran, tidak ada yang luar biasa mengenai lelaki bernama Kwon Ji-yong ini. Dia nampak seperti kebanyakan pemuda Korea Selatan yang lain, tinggi, kurus, bermata sepet, berkulit licin dan bijak berfesyen - tidak ada kelebihan luar biasa.

Jika adapun, cita rasa dalam berfesyennya yang terkadang eksentrik itu akan menjadi perhatian.

Namun, tunggu dulu. Transformasi biasa kepada luar biasa Kwon Ji-yong terjadi apabila pengenalan dirinya bertukar menjadi G-Dragon atau GD. Sebut sahaja nama GD, seluruh peminat muzik Korea Selatan tahu siapa yang dimaksudkan.

"Kwon Ji-yong merupakan seorang pemalu, namun sebahagian hidupnya banyak dihabiskan sebagai GD di atas pentas dan menghiburkan orang melalui apa yang dia gemari. Lantas, dia telah menjadi lebih matang dan mengikis sifat tersebut serta membuang perasaan tidak percaya diri dengan menghiburkan orang. Jadi secara tidak langsung, saya sukakan kedua-dua pengenalan diri saya itu," ujarnya dalam satu temu bual tentang dua identiti dirinya.

Menerusi nama GD, dia yang baru berusia 25 tahun diberi gelaran sebagai 'lelaki paling berkuasa dan berpengaruh dalam muzik' di negara kelahirannya. Ini semua kerana magis yang dicipta lewat karya-karya seninya.

Merupakan ketua grup Big Bang, GD mula terjebak dalam dunia seni sejak berusia lapan tahun. Dia kemudian terus menjadikan lapangan seni sebagai padang permainannya yang tiada sempadan.

Dia berkarya tanpa rasa segan. "Saya suka berkarya dan rasa seronok berbuat demikian. Setiap karya yang saya hasilkan membuat saya semakin matang," ujarnya yang pertama kali berkarya selepas datang ke rumah seorang teman dan terpengaruh dengan muzik hip hop penyanyi Barat.

Sejak jatuh cinta dengan muzik hip hop dan sempat menyanyi secara rap bersama seorang rakan lain, GD kemudian bijak memanipulasi kebolehan dirinya dengan menubuhkan Big Bang yang kini menjadi antara grup K-Pop paling berpengaruh di dunia.

Seiring sukses bersama Big Bang, GD mencuri peluang dengan bergerak secara solo. Percubaan sulung dengan debut Heartbreaker beberapa tahun lalu mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.


GD seorang yang cukup berdisiplin dan mementingkan kesempurnaan dalam setiap kerja yang dilakukannya.


Lantas, dia melahirkan One of A Kind yang juga membuahkan hasil cukup lumayan. Kelahiran album tersebut akhirnya telah membawa penyanyi ini ke Malaysia dalam rangka konsert solo pertamanya, G-Dragon World Tour 2013: One Of A Kind.

Dan di sini, cerita tentang bagaimana GD berjaya mencuri hati dan meninggalkan kesan yang tidak mungkin dilupakan para peminatnya bermula.

Semua itu dipertontonkan selama dua jam dalam konsertnya yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada hujung minggu lalu.

Secara jujur, untuk penonton yang bukan peminat GD dan 'menyertai' gerombolan peminat lelaki ini yang mahu menjadi salah seorang 'one of a kind', saya cuba meneliti dan menilai mengapa penyanyi ini digilai.

Jujurnya juga, saya tertanya-tanya tentang kehebatan GD kerana dalam pemikiran saya, GD barangkali hanya seorang lagi lambakan bintang K-Pop yang tipikal - kurang mempunyai vokal yang baik, tetapi hebat menari dan memperdagangkan fizikal kepada umum.

Ini kerana saya hanya mengenali GD sebagai ketua kumpulan Bing Bang, dan secara jujur, penilaian saya terhadap muzik grup tersebut tidak lari daripada ritma K-Pop yang sudah berlambak dalam pasaran.

Namun, persepsi tersebut berubah selepas saya tanpa sedar secara perlahan-lahan telah dipukau untuk masuk ke dalam dunia ciptaan GD bersama lebih 25,000 peminatnya yang memenuhi stadium pada malam konsert tersebut.

GD, seperti yang saya tonton menerusi Youtube dan tayangan istimewa klip-klip videonya menerusi saluran MTV seminggu sebelum konsert berlangsung memang bukan penghibur yang biasa. Muzik dan penampilan dirinya memang internasional.

Tidak hairan apabila ada pihak yang melabelkan dirinya sebagai gabungan antara Lady Gaga (mengenai fesyen yang eksentrik) dengan Michael Jackson (cukup lincah dan menggoda di atas pentas).

Dia telah memanipulasi semua yang terbaik di dalam dirinya untuk menjadi seorang penghibur yang hebat dan didigilai banyak orang. Skil tariannya bukan calang-calang. Mutu vokalnya juga boleh dibanggakan.

Malah, skil yang paling hebat dimiliki lelaki ini ialah cara dia 'menggoda' peminat melalui senyuman dan jelingan mata serta cara dia berjalan yang juga bukan calang-calang. Semuanya seperti sudah dirancang dengan cara yang cukup halus dalam usaha untuk membuat peminatnya terus terkesima dengan pakej menyeluruh daripadanya.

Dengan set pentas yang ringkas, namun begitu hebat ditambah penataan cahaya yang banyak membangkit mood dramatik dalam konsert tersebut. GD berjaya membuat G-Dragon World Tour 2013: One Of A Kind menjadi sebuah konsert yang spektakular.

Selama dua jam, GD yang mula menghasilkan karya-karyanya sendiri sejak berusia belasan tahun telah memukau peminat-peminatnya dengan untaian lagu yang sudah cukup mesra telinga.

Ini termasuklah Heartbreaker, One of A Kind, Bad Boy, Butterfly, Missing You, Obsession dan Crayon.

Hampir setiap lagu yang dinyanyikan, tiada satu pun yang tidak mendapat sambutan. Begitu juga saat Taeyang yang menjadi tetamu jemputan muncul di pentas, sorakan bergema hebat menandakan peminat cukup teruja dengan kehadiran penyanyi yang juga merupakan rakannya dari grup Bing Bang.


LEBIH 25,000 peminat GD membanjiri Stadium Nasional, Bukit Jalil minggu lalu untuk menyaksikan konsert sulung dalam rangka jelajah G-Dragon World Tour 2013: One Of A Kind.


Pecahan segmen mengikut ritma lagu yang dipersembahkan bersama konsep lagu-lagu berentak perlahan membuat pentas bertukar menjadi begitu romantik dan cukup memikat hati.

GD juga telah menggunakan pentas yang dibina luas dengan barisan pemain muzik antarabangsa pada belakang pentas yang ditempat di dalam 'kotak' masing-masing dengan cukup baik.

Dia tahu bagaimana untuk bermain dan bergembira di atas padang permainan yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM4.5 juta itu.

Malah, perkara yang membuatkan konsert tersebut bukan aksi K-Pop yang biasa apabila GD menggunakan muzik secara langsung melalui pemuzik-pemuzik profesional yang memang setia menjadi pendampingnya sejak sekian lama.

Maka, semua lagu yang dipersembahkan kedengaran cukup segar dan mengujakan.

Cuma, satu fakta yang tidak boleh dinafikan dan harus diterima oleh semua peminatnya, GD mempunyai mutu vokal yang kurang menyengat.

Namun kebijaksanaannya bermain dengan gabungan 'mesin' yang diacu dalam sebuah irama rancak dalam kebanyakan lagu miliknya membuat khalayak 'memaafkan' kekurangan tersebut.

Dia kemudian memasang janji dengan berkata: "Terima kasih Malaysia kerana telah menerima saya. Saya berjanji saya akan kembali bersama Bing Bang dalam konsert akan datang."

Janjinya itu telah membuat khalayak terlupa tentang mutu vokalnya yang barangkali bukan bertaraf gred A. Ini kerana, seorang peminat tegar, akan terus menyokong artis pujaan mereka, dalam baik atau buruk mereka, asalkan karya yang dihasilkan terus memberi magis dalam kehidupan.

Dan, itulah yang dilakukan GD. Pada usia 25 tahun, populariti dan kekayaannya setaraf dengan kerja keras yang dilakukan. Dia, memang seorang yang terpilih, sama seperti judul albumnya, 'One of A Kind'.

Katoon Network mara tanpa battle

Posted:

Katoon Network mara tanpa battle

Katoon Network mara tanpa battle

Oleh NURUL NAFISAH MAZLAN


PUSINGAN battle menjadi penentu kepada kumpulan yang layak mara ke peringkat seterusnya.


KUMPULAN yang dianggotai tujuh anak muda iaitu Katoon Network menepati jangkaan apabila berjaya mara ke peringkat akhir Showdown 2013 bagi kategori All Star tanpa perlu bersaing dengan kumpulan lain.

Menerusi kategori tersebut, sudah ditetapkan mana-mana peserta terhebat akan mendapat kad imuniti sekali gus memberikan kelebihan kepada kumpulan berkenaan untuk tidak bertanding di peringkat battle.

Dua lagi kumpulan yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir ialah Elecoldxhot dan Rejuvenate Crew, sementara The Last Hustler dan Art In Motion kecundang pada peringat separuh akhir.

Menerusi aksi yang dilakukan pada Ahad lalu, kumpulan Katoon Network memberikan persembahan hebat dengan gaya tarian yang penuh bertenaga sehingga mendapat reaksi positif daripada keempat-empat juri.

Mereka yang mengadili Showdown 2013 bagi kategori All Star ialah Jay Smooth dari Amerika Syarikat, Prepix Haw dari Korea, Jow Flizzow dan Maple Loo dari Malaysia.

Menurut Jay, kumpulan Katoon Network mempunyai kekuatan luar biasa yang tidak ada pada kumpulan lain.

"Saya dapat melihat dari sisi lain kumpulan Katoon Network ini. Mereka mampu menari dengan gaya persembahan yang belum pernah dipamerkan," komen Jay selepas Katoon Network membuat persembahan mereka.


KATOON Network teruja untuk bersaing secara sihat dengan kumpulan lain dalam final Showdown 2013.


Sejurus diumumkan layak ke peringkat akhir tanpa bertanding, Katoon Network yang diwakili Shah Rizal berkata, mereka sangat terkejut dengan pemilihan berkenaan.

Menurutnya, mereka tidak meletakkan harapan yang tinggi, sebaliknya memberitahu tujuan mereka menyertai pertandingan itu hanya sekadar mahu meluaskan bakat dan mempamerkan kebolehan yang ada.

"Semua kumpulan ada kelebihan masing-masing, tetapi kami tidak memandang pengalaman mereka itu sebagai penghalang.

"Kita jadikan mereka sebagai pesaing yang sihat supaya semua orang (ahli kumpulan) dapat melakukan yang terbaik," jelas Katoon Network.

Untuk Kategori All Star, kru yang bakal bergelar juara bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM75,000 selain perbelanjaan ke pertandingan tarian peringkat antarabangsa bernilai RM125,000. Naib juara pula bakal memenangi hadiah wang tunai RM30,000.

Pentas akhir Showdown 2013 akan berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 30 Jun ini dan akan disiarkan secara langsung pada pukul 8.30 malam di saluran 8TV.

Program HaHa HiHi gabung pelawak Malaysia, Indonesia

Posted:

Program HaHa HiHi gabung pelawak Malaysia, Indonesia

Program HaHa HiHi gabung pelawak Malaysia, Indonesia

Oleh FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA


PROGRAM lawak Haha Hihi menggabungkan pelawak dari Malaysia dan Indonesia.


PIHAK Astro dengan kerjasama Broadway Media membawakan sebuah lagi program komedi terbaharu gabungan pelawak dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia berjudul HaHa HiHi.

Menurut Ketua Saluran Premium Astro, Nizam Sani, program lawak HaHa HiHi menampilkan pelawak-pelawak yang berbakat, tetapi kurang menyerlah di Malaysia.

Program Astro telah melahirkan ramai pelawak berbakat, rugi sekiranya pihak kami (Astro) tidak ketengahkan bakat mereka itu kepada penonton.

"Antara pelawak-pelawak Indonesia dan Malaysia yang terlibat dalam program ini ialah kumpulan Shiro, R2, Shuk (Balas), Jihan (Meletop), Mamat (Sepah), Saywho, Fuad Cacing dan Endah," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program tersebut yang sudah mula bersiaran sejak 20 Jun lalu, setiap Khamis, pukul 10 malam di dalam pakej Indopek, saluran Astro Bintang (141).

Mengulas lanjut, jelas Nizam, program yang berdurasi 30 minit setiap episod itu menceritakan kehidupan seharian masyarakat dua negara itu dalam tiga segmen iaitu sketsa komedi, prank & magic serta parodi.

Ujar Nizam lagi, saluran Bintang yang biasanya memaparkan program-program dari Indonesia bukan sahaja ditonton oleh warga negara seberang tetapi juga, penonton Malaysia.

"Bagi memberi kepuasan kepada penonton, kami menggabungkan pelawak-pelawak dua negara ini dalam menghasilkan sebuah program komedi berbeza namun dalam masa yang sama tidak mengambil mudah intipati lawak yang akan mereka sampaikan," ujarnya lagi.

Menurutnya, Astro juga yakin melalui kolaborasi dua negara itu, ia dapat mengeratkan lagi hubungan diplomatik yang sudah sedia terjalin.

Program lawak HaHa HiHi turut menampilkan Datuk AC Mizal sebagai pengacara.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat