{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Jual kek atas lori

Posted:

Jual kek atas lori

Jual kek atas lori

TIDAK sukar mencari kelibat wagon merah jambu yang diparkir di celah-celah bangunan Jabatan Audit Negara yang terletak bersebelahan Istana Kehakiman di Presint 2, Putrajaya ini.

Warnanya cukup terang. Ditambah pula dengan dekorasi hiasan pelekat maskot kartun berbentuk kek cawan jenama Cookies Wagon, ia sudah cukup untuk membangkitkan aura ceria yang seakan-akan menggamit sesiapa sahaja untuk mendekatinya.

Wagon itu ternyata mampu menarik minat ramai pelanggan untuk datang bertandang, apatah lagi selepas melihat barisan kek cawan pelbagai warna dan perisa.

Menampilkan konsep perniagaan baharu dengan pendekatan mesra pelanggan, usaha pasangan suami isteri ini untuk menjadikan Cookies Wagon sebagai kedai bakeri bergerak yang pertama di Malaysia mula membuahkan hasil.

"Saya memang meminati bidang perniagaan makanan sejak di bangku sekolah lagi. Malah, jika ada waktu lapang, saya akan menghasilkan sendiri biskut dan menjualnya kepada rakan-rakan di sekolah.

"Minat itu bagaimanapun terpaksa dilupakan seketika apabila saya menyambung pengajian di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

"Selepas menamatkan pengajian ijazah di UiTM, saya bekerja dalam bidang pengurusan korporat manakala suami merupakan seorang jurutera kimia.

"Walaupun seronok dengan cabaran dan kerjaya pada waktu itu, ia tidak memberi kepuasan pada diri saya. Sejak itu, saya mula merancang untuk memiliki perniagaan sendiri. Alhamdulillah, berkat doa, usaha dan sokongan penuh daripada suami dan keluarga, maka lahirlah Cookies Wagon yang menjadi teduhan rezeki buat kami," ujar pemilik dan pengasas Cookies Wagon, Fatimah Husna Razali yang berusia 26 tahun.

Tepung segera

Tanggal Ogos 2011, wagon merah jambu yang menjadi impiannya itu mula menjengah pasaran tempatan.

Sebagai cara untuk menampilkan suatu kelainan, Fatimah memperkenalkan perniagaan dengan konsep mesra pelanggan khususnya daripada kalangan kanak-kanak, keluarga serta belia urban.

"Seperti van bergerak yang biasanya menjual makanan dan minuman, belum ada lagi van yang menjual produk bakeri. Sejak itu, tercetusnya idea untuk membuat bakeri bergerak yang pertama di negara ini.

"Selain lebih mudah mendekati pelanggan, perniagaan ini juga lebih fleksibel dan pelanggan boleh berhubung dengan kami berpandukan Facebook, Twitter dan laman web untuk mengetahui lokasi lori kami.



"Operasi bakeri bergerak ini juga sangat mudah. Kek cawan kami dibakar segar pada setiap hari dengan menggunakan tepung segera yang diadun khusus menggunakan resipi tersendiri di dapur khas yang terletak di Seri Kembangan, Selangor.

"Kek yang sudah siap dimasak akan dibawa menggunakan wagon ke tapak perniagaan. Di situ, barulah kami menghiasnya dengan kemasan gula aising sebelum kami memulakan perniagaan.

"Sekiranya ada tempahan di luar kawasan barulah kek cawan itu dibakar di atas lori dengan menggunakan ketuhar," ujar Fatimah yang mengambil masa selama tiga bulan untuk menghadiri bengkel masakan dan rundingan perniagaan sebelum Cookies Wagon beroperasi.

Tidak hanya Fatimah, suaminya, Muhammad Azmi Azi, 26, turut bersama-sama melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Saya akui, isteri saya pandai membuat kek cawan di rumah. Namun, banyak aspek yang perlu diambil kira terutamanya berkaitan dengan kualiti apabila kita ingin berniaga.

"Memandangkan kami berniaga di luar bangunan dan terdedah kepada cuaca panas, kami perlu mengetahui bagaimana untuk mengekalkan kualiti kek cawan supaya rasanya segar seperti baru dibakar selain lembut, tidak kering serta gula aisingnya tidak cair.

"Jadi, kami ke Institut Teknologi Inovasi untuk belajar membuat biskut dan kek cawan daripada cef di sana. Kami turut menghasilkan tepung segera yang diadun khas menggunakan resipi asal untuk memudahkan kek cawan itu dimasak dan menyeragamkan rasanya, memandangkan kami bercadang membuka cawangan di lokasi berbeza.

Buang kek

"Tepung tersebut hanya perlu ditambah air dan telur untuk mendapatkan rasa kek cawan yang sama.

"Tepung itu turut dijual bagi memberi peluang kepada pelanggan merasai keenakan kek cawan Cookies Wagon di rumah sendiri dengan cara yang lebih mudah," jelas Muhammad Azmi.

Memiliki 10 orang pekerja, tiga buah lori yang beroperasi di Melaka, Seri Kembangan dan Putrajaya serta sebuah kios jualan yang terletak di Presint 2, Putrajaya, Fatimah menarik nafas lega apabila melihatkan sambutan menggalakkan yang diterimanya.

"Respons daripada pelanggan sangat menggalakkan. Kami bersyukur kerana konsep perniagaan bergerak itu diterima masyarakat dan mula menjadi trend," kata ibu kepada seorang anak ini.


LEBIH kurang 300 kek cawan dijual pada setiap hari.


Fatimah dan suaminya menawarkan pelbagai perisa kek cawan antaranya cip coklat asli bersama walnut, cip coklat bersama oat, oreo dan coklat gelap.

Dalam pada itu, Cookies Wagon menggunakan bijian kopi Arabica bermutu tinggi untuk menghasilkan minuman ice blended premium.

Malah, Fatimah turut mendapatkan bimbingan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memilih bijian kopi bermutu tinggi untuk menghasilkan ice blended premium seperti yang dijual oleh rangkaian kafe kopi mewah namun boleh didapati pada harga yang lebih murah kios Cookies Wagon.

"Untuk rangkaian kek cawan, pada setiap hari kami akan menjual perisa yang berbeza. Namun, perisa royal red velvet dan oreo dijual setiap hari memandangkan ia produk yang paling laris dan diminati ramai.

"Bagi ice blended pula, ramai yang menggemari gabungan perisa oreo bersama coklat serta caramelo," ujar Fatimah yang turut bekerjasama dengan kumpulan profesional dari Universiti Putra Malaysia bagi menghasilkan aising vanila yang dicampur dengan buah burberi yang mampu menjadi agen antikanser.

Selain menggunakan wagon berwarna ceria untuk menarik perhatian golongan muda serta keluarga, pasangan suami isteri ini turut menjual produk mereka pada harga yang berpatutan.

Francais

"Kami menjual setiap satu kek cawan pada harga RM2.80 dan ice blended bermula daripada RM5. Ia bukan sahaja mampu dibeli tetapi berkualiti, bersih dan segar kerana setiap hari kami akan membakar kek cawan yang baharu.

"Polisi kami, tiada kek cawan yang akan dijual sebanyak dua kali. Jika jualan pada hari tersebut tidak habis, bakinya kami akan berikan kepada jiran ataupun dibuang," katanya yang berminat untuk mencuba pelbagai resipi keluarga selain mendalami buku-buku masakan yang dibeli oleh ibunya sejak kecil.

Turut bercita-cita untuk membuka kedai bakeri sendiri, Fatimah kini sedang mengumpulkan seberapa banyak pengalaman dan ilmu perniagaan memandangkan ia memerlukan komiten dan modal yang tinggi.

"Impian itu ada. Namun, saya lebih selesa berniaga begini, lagipun anak masil kecil. Saya mahu orang mengenali jenama Cookies Wagon sebelum membuka cawangan kedai bakeri. Kalau boleh, saya mahu lori merah jambu ini ada di setiap negeri," katanya yang menjemput orang ramai yang berminat untuk turut serta dalam perniagaan francais Cookies Wagon.

Rosnani bekerja dari rumah demi anak

Posted:

Rosnani bekerja dari rumah demi anak

Rosnani bekerja dari rumah demi anak

Oleh AQMA MOHD. NOOR
aqma.mohdnoor@kosmo.com.my

MELANGKAH masuk ke pekarangan rumah milik seorang kontraktor wanita dan pereka hiasan dalaman, Rosnani Mohamad, 53, kru Jurnal kagum dengan hiasan serta dekorasi yang diketengahkan bagi memberi inspirasi kepada para pelanggannya.

Menjadi pereka hiasan dalaman selama 26 tahun, Rosnani tidak menyangka kerjaya yang pada mulanya dilakukan secara sambilan kini menjadi sumber pendapatannya apabila dia mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai eksekutif pemasaran di sebuah syarikat perkapalan pada tahun 2002.

"Sebenarnya, saya tiada langsung latar belakang dalam bidang hiasan dalaman. Namun, saya meminati bidang tersebut," katanya.

Rosnani berkata, dia menceburi bidang itu juga secara tidak sengaja apabila dia memerlukan perbelanjaan kerana suaminya, Muhammad Nor Katim, 56, jatuh sakit.

"Sejak itu, saya mula tercari-cari kerja apa yang saya boleh lakukan bagi menambah pendapatan," katanya.

Wanita itu memberitahu, dia kemudian mendapati dirinya mewarisi kemahiran menjahit daripada ibunya.

"Buat permulaan, saya mengambil upah menjahit langsir dan lama-kelamaan saya cuba pula menjual kertas dinding dan perabot bagi menambah pendapatan kami sekeluarga.

"Saya mengambil inisiatif dengan mengikuti kursus jangka pendek dalam bidang hiasan dalaman untuk menambah pengetahuan saya dalam bidang itu selain mendalami ilmu berkaitan pembuatan perabot," ujar ibu kepada empat orang anak ini.

Tambahnya, dia juga pernah membuat hiasan dalaman di rumah rakan-rakannya secara percuma ketika mula-mula menceburi bidang hiasan dalaman.

Secara tidak langsung, kata Rosnani, ia merupakan promosi buat dirinya sendiri kerana rakan-rakannya itu mula menyukai konsep hiasan yang dibawanya.

"Untuk mengetahui sesuatu material itu cantik atau tidak, saya akan mengaplikasikannya di rumah saya terlebih dahulu sebelum memberi cadangan kepada para pelanggan.

"Saya sudah banyak kali menukar kertas dinding di rumah ini.

Ketelitian

"Saya turut mengambil kursus untuk menjadi kontraktor bagi mendalami ilmu berkaitan pembuatan rumah yang bermula dari A hingga Z kerana saya sememangnya tiada pengetahuan mengenai bidang yang diceburi itu tetapi saya berusaha untuk mempelajarinya.

"Saya sendiri tidak menyangka akan serius dalam bidang ini kerana bagi saya, apabila bercakap tentang perniagaan yang hendak dijalankan, ia mestilah mempunyai kaitan dengan hobi dan minat seseorang.

"Jika perniagaan yang dijalankan itu sudah menjadi minat kita, segalanya-galanya tidak mustahil. Saya pernah cuba untuk menjadi mak andam tetapi saya mendapati, jiwa saya bukan ke arah itu walaupun saya boleh menyolek dengan baik," jelasnya yang pernah membuka spa tetapi menjualnya kepada rakan disebabkan kekangan masa.

Menurutnya, bidang hiasan dalaman merupakan sesuatu yang baharu di Malaysia dan ia boleh dikatakan sinonim dengan golongan atasan disebabkan kosnya yang mahal tetapi golongan pertengahan juga sebenarnya boleh mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman mengikut bajet mereka.


ROSNANI akan memastikan dia terlibat sepenuhnya dalam projek pembinaan kendalian syarikatnya.


"Selalunya, bidang ini lebih menjadi tumpuan golongan atasan dan bagi saya, jika kena pada bajetnya dan apa yang dimahukan pelanggan, tidak mustahil golongan pertengahan juga boleh mendapatkan khidmat pereka hiasan dalaman.

"Menceburi bidang ini memerlukan saya menjadi seorang yang sangat teliti kerana jika terdapat kesalahan, hasilnya pasti tidak memuaskan hati saya dan pelanggan selain menimbulkan banyak masalah pada kemudian hari.

"Selain itu, sukar untuk mencari satu konsep yang spesifik dan sesuai serta menepati cita rasa pelanggan. Saya akan memastikan konsep yang diberi kepada pelanggan mestilah sesuatu yang praktikal dan ia juga boleh digabungkan dengan perabot lama milik mereka," tambahnya yang akan memastikan semua projeknya mengikut bajet pelanggan.

Ujarnya, pelbagai pengalaman serta bermacam-macam kerenah pelanggan yang terpaksa dilaluinya.

Namun, semua itu tidak pernah mematahkan semangatnya demi mencari sesuap nasi untuk keluarganya.

"Agak sukar juga memenuhi permintaan para pelanggan kerana pasti terdapat percanggahan pendapat dan saya perlu menyatukan semua pendapat yang diterima itu untuk memperoleh hasil yang memuaskan.

"Saya juga pernah ditipu apabila disuruh melakar reka bentuk terlebih dahulu tetapi setelah lukisan itu diberi kepada pelanggan, dia bertindak mendapatkan khidmat daripada pereka hiasan dalaman yang lain dengan menggunakan idea saya itu.

"Bayangkan perasaan saya ketika itu kerana untuk mendapat idea bagi sesuatu konsep itu bukannya kerja yang mudah sehinggakan saya tidak tidur malam bagi menyiapkan lakaran tersebut tetapi akhirnya mereka senang-senang sahaja mengupah pereka lain dan menggunakan idea saya itu," ujarnya yang bercita-cita mahu membuka sebuah syarikat pembinaan.

Wanita itu berkata, semasa dia mula menjadi kontraktor, ramai orang yang tidak percaya dengan kemampuannya untuk mengendalikan sesuatu projek.

Berfikiran positif

"Semua itu menjadi cabaran kepada saya termasuklah membina perhubungan dengan pihak pembekal. Namun, selepas melihat hasil kerja saya, mereka mulai percaya kemampuan seorang wanita untuk mengendalikan projek pembinaan dan secara keseluruhannya, masa selama satu tahun setengah diperlukan untuk menyiapkan satu projek pembinaan.

"Saya akan sentiasa memantau sesuatu projek pembinaan kendalian saya dari A hingga Z bermula dari tanah kosong sehinggalah ia menjadi sebuah rumah dan saya tidak boleh lepas tangan kerana semuanya memerlukan ketelitian yang tinggi.

"Dahulu saya menyewa sebuah pejabat untuk memudahkan urusan. Namun, disebabkan kerja itu memerlukan saya sentiasa berada di lokasi pembinaan, saya membuat keputusan untuk hanya beroperasi dari rumah sahaja," katanya yang mempunyai tujuh orang pekerja tetap.

Menurut Rosnani, keadaan itu berlaku kerana selain dapat menjimatkan kos ia lebih fleksibel sekali gus menyebabkannya mempunyai lebih masa bersama keluarga.

Dia berkata, pelbagai cabaran terpaksa dilaluinya kerana jarang sekali kaum wanita menjadi kontraktor.

"Saya percaya rezeki masing-masing walaupun terpaksa bersaing dengan bangsa lain yang sememangnya pakar dalam bidang ini. Bagi saya, jika orang lain boleh lakukan, tidak mustahil saya boleh melakukannya," jelasnya.

Ketika ditanya mengenai pengalaman pahit dan manis dalam hidupnya, Rosnani memberitahu, kenangan pahitnya ialah apabila satu-satunya anak lelakinya, Aizat Naim, 21, sakit sejak 13 tahun.

"Ketika dia berumur lapan tahun, dia disahkan menghidap demam panas dan sejak itu, dia hanya terlantar di katil kerana tidak boleh berdiri serta bercakap. Dia hanya sempat bersekolah sehingga darjah dua namun saya berfikiran positif selain berharap dia akan sembuh.

"Hati ibu mana yang tidak sedih apabila melihat remaja sebayanya melalui zaman persekolahan, universiti dan seterusnya mendirikan rumah tangga. Namun, saya menganggap ia merupakan ujian kepada saya," ujarnya.

Menurutnya, saat-saat manis yang dirasainya sebagai ibu adalah apabila dia berpeluang membawa anaknya itu mengerjakan haji dan umrah.

"Dia hanya tersenyum ketika memandang Kaabah ketika kami membawanya mengerjakan umrah dan saya bersyukur kerana perjalanannya dipermudahkan sebagai tetamu Allah SWT. Dia juga tidak banyak meragam sepanjang berada di sana," jelasnya.

Menurutnya, pelanggan merupakan kekuatan utama bagi kemajuan perniagaan.

"Saya akan memastikan para pelanggan saya memperoleh apa jua mereka inginkan selain berpuas hati dengan mutu kerja saya kerana ada di antaranya yang sangat teliti dan cerewet dengan hasil kerja.

"Saya juga sering berpesan kepada para pekerja supaya sentiasa teliti dalam setiap kerja yang dilakukan bagi meminimakan aduan daripada para pelanggan selain menjaga kebajikan mereka," katanya.

Jasa NGO kita

Posted:

Jasa NGO kita

Jasa NGO kita

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
megatlutfi.rahim@kosmo.com.my


KEMISKINAN di seluruh dunia mendorong pertubuhan bukan kerajaan di Malaysia aktif menghulurkan bantuan makanan. – Gambar hiasan


PERANAN pertubuhan bukan kerajaan (NGO) penting untuk memperjuangkan isu-isu semasa negara seperti kenaikan harga barangan, kemasyarakatan dan bantuan kemanusiaan.

Walaupun terdapat banyak NGO di negara ini, timbul persoalan sama ada mereka aktif memainkan peranan masing-masing atau hanya sekadar mengharapkan populariti serta bantuan dana kerajaan semata-mata.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, FOMCA terkenal kerana bersuara lantang membela kebajikan orang ramai setiap kali berlaku kenaikan harga barangan.

"Fokus kami memberikan kesedaran secara intelektual kepada para pengguna untuk berbelanja dengan bijak.

"Kami juga sedia maklum tidak semua harga barangan dikawal kerajaan.

"Hanya harga beberapa barangan keperluan asas yang dikawal kerajaan seperti minyak masak, beras dan ayam," katanya kepada Jurnal.

Namun, Mohd. Yusof berpendapat, negara cukup kaya dengan sumber alam, tanah dan cuaca yang baik.

"Jika kita dapat memaksimumkan penggunaan sumber tersebut, kita tidak perlu mengimport beras, ayam dan ikan.

"Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan perbelanjaan import dan harga yang lebih rendah kepada para pengguna," ujarnya.

Namun Mohd. Yusof berkata, kesedaran hak-hak penggunaan dalam kalangan konsumer mula meningkat kerana pelaksanaan pelbagai mekanisme oleh kerajaan dan FOMCA seperti laman web serta talian pengguna.

"Para pengguna zaman moden sedar hak mereka untuk memperoleh barangan dan perkhidmatan yang sewajarnya walaupun kesedaran itu tidak begitu meluas," ujarnya.

Peranan NGO bukan sahaja memperjuangkan hak pengguna tetapi juga kebajikan masyarakat serta wanita.

Malah, terdapat individu yang sudah berusia lanjut masih gigih membantu golongan kurang bernasib baik.

Termasuk dalam golongan itu ialah Raiyah Abd. Ghani yang berusia 74 tahun. Dia mengusahakan Rumah Anak-Anakku Sayang Ar-Rayyan, Rumah Ibuku Sayang Ar-Rayyan, Tadika Ar-Rayyan dan Tahfiz Ar-Rayyan di Seremban, Negeri Sembilan sejak awal tahun 2011.

Katanya, dia ingin membantu mereka yang kurang bernasib baik terutamanya di sekitar negeri itu.

Wanita ini mengusahakan rumah anak yatim, rumah penjagaan orang tua dan pusat tahfiz.

Raiyah yang mempunyai 10 orang cucu merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam, al-Quran dan Sunnah dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Kesemua ini merupakan bakti saya sebelum menuju ke alam akhirat.

"Saya juga dapat menyampaikan ilmu kepada individu lain agar semua golongan mendapat manfaatnya," katanya.

Kesempitan hidup ibu-ibu tunggal turut mendapat perhatian NGO.

Zakiah Abu Kasim, seorang ibu tunggal menubuhkan Wealth yang berperanan membantu wanita termasuk ibu tunggal dalam aspek promosi perniagaan.

RIZAN (berdiri) pernah membantu mangsa renjatan elektrik bervoltan tinggi, Muhammad Hairuman Miskon.


"Pencapaian kami setakat ini boleh dibanggakan.

"Terdapat lebih 10 orang ibu tunggal sekitar Selangor dan Kuala Lumpur telah dibantu dari segi promosi produk barangan dan perkhidmatan mereka dalam pameran dan ekspo perniagaan dalam dan di luar negara," katanya.

Bantuan kemanusiaan

Tambahnya, hasil yang diperoleh cukup membanggakan kerana kesemua ibu tunggal terbabit dapat menambah sumber kewangan mereka untuk menampung keluarga selain meningkatkan taraf ekonomi tanpa bergantung kepada bekas suami semata-mata.

"Malah, ada yang berjaya mengusahakan perniagaan restoran, butik, salun kecantikan serta rumah inap desa," katanya dengan penuh bersemangat.

Bencana alam, kemiskinan tegar dan peperangan boleh melibatkan risiko kehilangan nyawa, kemusnahan harta benda serta kerugian yang tidak ternilai harganya.

Pertubuhan Islamic Relief Malaysia (IRM) yang ditubuhkan hampir 30 tahun lalu agak aktif menjalankan program kemanusiaan di kawasan konflik perang di seluruh dunia termasuk di Gaza, Syria dan Somalia.

Menurut Pengarah Negara IRM, Zairulshahfudin Zainal Abidin, IRM telah membantu penduduk yang mengalami bencana alam, konflik peperangan dan kemiskinan di lebih 40 buah negara.

"Kami bukan sekadar memberikan bantuan makanan tetapi juga perubatan, pendidikan dan membantu memulihkan infrastrukturseperti bangunan yang musnah kerana konflik peperangan serta bencana alam.

"Seperti di Gaza, kami turut menghantar pakar-pakar perubatan serta ubat-ubatan yang diperlukan penduduk Palestin," ujarnya.

Zairulshahfudin turut teruja menceritakan program bantuan Ramadan dan MySedekah kelolaan IRM untuk membantu umat Islam yang miskin di seluruh dunia termasuk di Malaysia.

"Program itu diadakan pada setiap tahun. Sebagai contoh, kami membekalkan bekalan makanan sepanjang bulan Ramadan manakala MySedekah pula merupakan bantuan berterusan kepada golongan miskin di seluruh dunia," ujarnya.

Tokoh Belia Negara 2011, Muhammad Rizan Hassan, 36, pula aktif membantu golongan belia yang pernah terlibat dengan gejala sosial supaya insaf dan menjadi insan berguna.

Sebelum ini, dia merupakan antara pengasas Kolej Tekat yang berperanan membantu remaja yang bermasalah untuk mempelajari ilmu kemahiran dan membina kerjaya demi masa depan yang lebih cerah.

Dia juga aktif melalui Persatuan Asrama Belia Malaysia yang membantu penduduk di Kota Pariaman, Sumatera Barat, Indonesia yang terjejas setelah ditimpa bencana gempa bumi pada tahun 2009.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat