Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Kelantan juara lagiOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI dan NOR AZIRAN YUNUS KELANTAN membuktikan status sebagai pasukan gergasi selepas menundukkan Johor Darul Takzim (Johor DT) 1-0 pada final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi. Penyerang The Red Warriors, Mohd. Norfarhan Muhammad muncul wira pasukannya apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-16. Kemenangan itu turut menyaksikan skuad kendalian Bojan Hodak berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA selepas menjulang trofi berprestij negara itu dengan menewaskan Sime Darby 1-0 tahun lalu. Beraksi di separuh masa pertama, Kelantan jelas menguasai permainan dengan mendominasi bahagian tengah. Gandingan kapten The Red Warriors, Mohd. Badhri Mohd. Radzi bersama Mohd. Shakir Shaari memberikan impak kepada jentera serang yang kerap kali berjaya menembusi benteng pertahanan Harimau Selatan. Hasilnya, Bahdri yang juga dikenali sebagai Piya, bijak melorongkan bola kepada Norfarhan dan penyerang Kelantan itu mudah menolak masuk dengan menewaskan penjaga gol Johor DT, Muhammad Al-Hafiz Hamzah pada minit ke-16. Tersentak dengan jaringan pertama perlawanan itu, jurulatih Harimau Selatan, Fandi Ahmad melakukan tiga pertukaran pemain iaitu membawa masuk Leonel Nunez, K. Thanaraj dan Ahmad Ezrie Shafie dan mengeluarkan Safee Sali, Andrea Francisco dan Safiq Rahim. Begitupun, percaturan pengendali kelahiran Singapura itu masih gagal membuahkan hasil sekali gus menyaksikan keputusan 1-0 kekal sehingga tamat aksi babak pertama perlawanan. Bersambung di separuh masa kedua, Harimau Selatan kembali mengasak benteng pertahanan The Red Warriors, namun Obinna Nwaneri dan Nik Shahrul Azim yang mengetuai benteng pertahanan Kelantan, mempamerkan aksi cemerlang dengan menggagalkan setiap percubaan merbahaya pasukan dari selatan tanah air itu. Gandingan pertahanan Kelantan itu berjaya menggagalkan setiap asakan jentera serangan Harimau Selatan yang diketuai Norshahrul Idlan Talaha. Penyerang import Johor DT, Nunez hampir berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma namun percubaan itu masih gagal untuk menewaskan penjaga gol The Red Warriors, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-78. Berselang seminit kemudian, Nurul Azwan Roya berjaya melepasi benteng pertahanan lawan tetapi hantaran lintang itu berjaya dihidu Khairul Fahmi yang mudah menangkap bola itu bagi menyelamatkan keadaan. Harimau Selatan yang terdesak untuk memburu jaringan penyamaan, akhirnya terpaksa akur selepas gagal menembusi benteng pertahanan The Red Warriors sekali gus menyaksikan Kelantan memenangi perlawanan tersebut dengan keputusan 1-0. |
Ratusan penyokong Johor DT tersadai Posted: Ratusan penyokong Johor DT tersadaiOleh TAUFIK SALIMIN SEBAHAGIAN penyokong tegar Johor DT hampa apabila pihak penganjur gagal menyediakan bas untuk membawa mereka ke Bukit jalil semalam. LEBIH 200 penyokong Johor Darul Takzim (Johor DT) yang berkobar-kobar untuk menonton final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi hampa apabila bas yang dijanjikan untuk membawa mereka ke sana tidak kelihatan. Kosmo! difahamkan, orang tengah yang menguruskan perkara tersebut juga dianiayai hingga memaksanya memulangkan semula duit yang sudah dibayar sebanyak RM110 setiap seorang. Meskipun situasi itu mencetuskan kemarahan, tiada sebarang insiden ganas antara penyokong dan orang tengah yang menguruskan segala kemudahan untuk membawa mereka ke Bukit Jalil. Orang tengah berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Shafiq berkata, susulan daripada kejadian itu, dia telah bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Larkin. Ujarnya, sepatutnya kesemua penyokong dijadualkan menaiki tiga buah bas untuk ke Bukit Jalil. Namun, entah mana silapnya, bas-bas berkenaan tidak muncul mengikut jadual. "Saya memohon maaf kepada semua kerana saya sendiri pun kena tipu dengan pihak pengurusan bas tersebut," katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin semalam. Seorang penyokong, Muhd. Rasul Abd Razak, 28, dari pasir Gudang berkata, dia dengan penuh semangat menunggu bas sejak pukul 6 pagi semalam. "Saya berulang kali menghubungi orang tengah itu untuk bertanya mengenai bas yang membawa mereka sudah sampai atau belum. "Selepas lebih kurang dua jam menunggu, bas tidak sampai dan sejak itu kami rasa teraniaya dan diperdaya," katanya. Seorang lagi mangsa, Norhaslinda Mohd Roslan, 27, berkata dia terkilan kerana tidak dapat menyertai rombongan ke Bukit Jalil untuk memberikan sokongan kepada pasukan kesayangannya. "Selama ini, kalau di Larkin saya sentiasa datang dan menyokong, jadi untuk kali ini saya terkilan, tetapi akan cuba pergi menggunakan kenderaan sendiri serta dapatkan tiket di sana," katanya yang turut lega selepas wang deposit dipulangkan segera dan boleh digunakan untuk perbelanjaan ke Bukit Jalil. |
Posted: Penguasaan pelumba MalaysiaOleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR HARRIF (kiri), Sea Keong (tengah) dan Zamri antara pelumba negara yang menampilkan prestasi cemerlang pada siangan peringkat keempat Jelajah Malaysia semalam. TIGA pelumba Malaysia menguasai kelima-lima jersi yang dipertandingkan pada peringkat keempat Kejohanan Lumba Basikal Jelajah 1 Malaysia (J1M) 2013. Pada saingan dari Angsana, Johor Bahru ke Bukit Katil, Melaka sejauh 206.3 kilometer (km) semalam, jaguh pecut negara, Mohd. Harrif Salleh dari Terengganu Cycling Team (TSG) mempertahankan Jersi Hijau (Raja Pecut) yang dimenangi kelmarin selepas menjadi pelumba kedua yang melepasi garisan penamat. Perlumbaan di laluan terpanjang pada edisi ke-50 jelajah itu dimenangi pelumba Huon Salmon-Genesys Wealth Advisershgp, Anthony Giacoppo, manakala tempat ketiga menjadi milik Mariusz Wiesiak dari Matrix Powertag dengan catatan masa yang sama iaitu lima jam 03:23 saat. Harrif yang 'tenggelam' sepanjang dua peringkat pertama lalu, semakin pasti untuk dinobatkan selaku Raja Pecut J1M 2013 selepas mengumpul keseluruhan 54 mata iaitu 14 mata di depan rakan senegara, Mohd. Adiq Hussainie Othman (Malaysia) 40 mata, manakala pelumba Polygon Sweet Nice Team, Ploeg Van Der Paul di tempat ketiga (37 mata). Kegembiraan Harrif turut dikongsi bersama abangnya, Mohd. Zamri yang merampas Jersi Merah (Raja Bukit) daripada pelumba LBC-MVPSF Cycling Pilipinas, Rustom Lim. Selepas empat hari berkayuh, Zamri dari TSG berjaya mengumpul keseluruhan sembilan mata diikuti Rustom Lim (enam mata) dan Adiq (empat mata). Perebutan Jersi Merah akan ditentukan di zon pendakian terakhir (katagori 4) iaitu di Bukit Mantin, Negeri Sembilan (119.7km) hari ini. "Meskipun berjaya mempertahankan Jersi Hijau hari ini (semalam), saya berasa sedih kerana sekadar menamatkan perlumbaan di tempat kedua. Saya ada peluang tetapi ketika perlumbaan berbaki 200 meter (m), saya tersepit di sebelah kiri. "Keadaan saya terlalu hampir dengan dinding laluan. Saya terpaksa memperlahankan kayuhan bagi mengelak daripada terjatuh. Situasi itu memberi ruang kepada Giacoppo untuk menjadi pemenang,"" kata Harrif. Harrif berkata, dia perlu merangka strategi ampuh terutamanya bagi menghadapi zon pendakian terakhir di Bukit Mantin dalam misi untuk mempertahankan Jersi Hijau itu. Sekiranya Harrif menyarung Jersi Hijau dan Zamri memakai Jersi Merah, Loh Sea Keong dari OCBC Singapore Continental Cycling Team tampil lebih cemerlang apabila menguasai tiga jersi sekali gus. Pelumba kelahiran Kelantan itu masih mempertahankan Jersi Kuning (Pendahulu Keseluruhan Individu), Jersi Biru (Pelumba Terbaik Asia) dan Jersi Putih (Pelumba Terbaik Malaysia) buat hari ketiga berturut-turut. Ketika ini, Sea Keong menumpul masa keseluruhan 11.07:01s untuk mengekalkan statusnya selaku pendahulu keseluruhan individu iaitu 14s di depan Sergey Kuzmin dari Polygon Sweet Nice Team (11.07:15s), manakala pelumba Synergy Baku Cycling Project, Kiril Pozdnyakov di tempat ketiga (11.07:42s). "Esok (hari ini) adalah misi hidup mati saya. Saya perlu 'melepasi jambatan terakhir' untuk mempertahankan jersi milik saya ini. Segala-galanya akan diketahui esok (hari ini), kata Sea Keong. Para pelumba akan memulakan cabaran pada peringkat kelima dan terakhir J1M 2013 hari ini dari Bukit Katil, Melaka ke Putrajaya sejauh 169.8km yang meliputi tiga zon pecut di Lereh (14.7km), Seremban (109.9km) dan Nilai (138.2km), manakala satu zon pendakian di Bukit Mantin (119.7km). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |