{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Lebih 2,000 penduduk terjejas

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanperak@utusan.com.my

SEBAHAGIAN penduduk dan kanak-kanak membuat bantahan aman berikutan bekalan air terputus di pekarangan Rumah Pangsa Sri Bagan, Bagan Dalam, Butterworth, Pulau Pinang, kelmarin.

BUTTERWORTH 28 Jun - Lebih 2,000 penduduk di Rumah Pangsa Sri Bagan, Bagan Dalam di sini mengalami kesulitan kerana kerosakan dua motor yang menggerakkan pam air di rumah pangsa di sini sejak dua minggu lalu.

Ini menyebabkan bekalan air terputus sehingga menyukarkan kehidupan seharian mereka.

Dakwa penduduk, biarpun masalah itu telah dimaklumkan kepada syarikat penyelenggara yang dikawal selia oleh Jawatankuasa Pemandu Sendirian Berhad (JKPSB) beberapa kali sebelum ini, namun masalah itu masih belum diselesaikan.

Tidak tahan dengan sikap JKPSB yang dilihat tidak prihatin dengan masalah mereka, sebanyak 200 penduduk rumah pangsa berkenaan membuat bantahan aman di pekarangan kediaman mereka hari ini.

Bantahan itu bagi meminta pihak pengurusan JKPSB segera membaiki motor yang rosak supaya bekalan air dapat dibekalkan kepada penduduk di situ.

Pengerusi Persatuan Kebajikan Penduduk perumahan berkenaan, Rosli Hassan, 54, berkata, sepatutnya JKPSB memantau syarikat yang dilantik menyelenggara air di perumahan berkenaan termasuk segera menukar pam yang rosak.

"Sebelum ini dua pam digunakan untuk mengepam air ke tangki di tingkat 13 sebelum disalurkan ke 464 buah rumah penduduk yang terdapat di sini.

"Setelah pam itu rosak, kesemua penduduk mengalami masalah bekalan air hingga menjejaskan keperluan seharian mereka," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Ahli Jawatankuasa persatuan itu, Shukur Che Ad, 52, berkata, masalah gangguan air telah lama berlarutan di perumahan ini termasuk dua kali berlaku dalam bulan ini sahaja.

"Penduduk terpaksa mengangkut air dari Masjid Jamek Bagan Dalam yang terletak di blok bawah, selain berebut menadah air dari paip salah sebuah rumah yang tidak berpenghuni di tingkat satu blok A yang masih mempunyai bekalan air untuk kegunaan seharian.

"Kita berharap masalah ini dapat diselesaikan segera bagi mengelak lebih banyak tekanan dialami oleh penduduk terutamanya yang mempunyai anak ramai dan tinggal di tingkat atas flat itu," katanya.

Suri rumah, Bibi Yahaya, 45, berkata, ketiadaan air telah menyebabkan keluarganya mengalami masalah kerana air merupakan keperluan harian.

"Sebagai suri rumah kami terpaksa menggunakan air yang banyak untuk persediaan memasak dan membasuh serta kegunaan lain untuk mandi-manda.

"Jika masalah ini berlarutan tentunya ia amat memenatkan kerana terpaksa mengangkut air dari bawah," katanya yang tinggal di tingkat lapan flat berkenaan.

Penduduk, Rafeah Salim, 53, berkata, sepatutnya pihak penyelenggara yang diberi tanggungjawab menjaga bangunan ini prihatin dengan keadaan penduduk yang telah lama terputus bekalan air.

"Jika tahu motor rosak baiki segera atau tukar yang baharu kerana kami difahamkan peruntukan telah disediakan di bawah Tabung Penyelenggaraan Perumahan 1Malaysia seperti mana yang diumumkan sempena lawatan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop ke sini akhir tahun lalu.

"Jika mereka prihatin sudah tentu perkara ini tidak akan berlarutan dan penduduk tidak mengalami masalah terputus bekalan air seperti mana dialami sejak dua minggu lalu ini," katanya.

YSB mantapkan program tuisyen percuma

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

TUANKU Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah beramah mesra dengan kanak-kanak dan orang ramai yang hadir dalam Karnival Amal Hari Penyanyang 2013 di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, semalam. - UTUSAN/SAFRIZAL AZMI

ALOR SETAR 28 Jun - Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) akan memberi penekanan terhadap usaha memantapkan Projek Titian Bestari (PTB) yang dilaksanakan organisasi amal itu sejak 1999 untuk memartabatkan pendidikan khususnya di luar bandar.

Pengerusi YSB, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata, sebanyak RM1.2 juta diperlukan setiap tahun untuk melaksanakan projek tersebut yang memberi tuisyen dan buku latihan percuma kepada 2,880 murid sekolah rendah kurang berkemampuan di kawasan luar bandar di negeri ini.

Menurutnya, sejak 14 tahun dilaksanakan, yayasan berkenaan telah membelanjakan sebanyak RM8.852 juta bagi membantu murid-murid berkenaan.

"Program PTB ini terbukti memberi impak positif dalam membantu pencapaian akademik mereka. Peluang pendidikan lebih baik ini telah membantu meningkatkan tahap sosioekonomi keluarga mereka," katanya dalam perutusan buku cenderamata Karnival Amal Hari Penyayang 2013.

Karnival selama tiga hari sehingga esok yang berlangsung di pekarangan Stadium Darul Aman itu dirasmikan oleh Tunku Puteri Intan Safinaz hari ini.

Penganjuran karnival tersebut antaranya bertujuan mengumpul dana tabung kewangan YSB selain berperanan sebagai platform untuk mendekatkan rakyat kepada aktiviti sukarela, kemasyarakatan dan hiburan yang sesuai seisi keluarga.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tuanku Haminah Hamidun dijangka berkenan mencemar duli bagi menghadiri karnival itu esok.

Tunku Puteri Intan Safinaz yakin dengan usaha penambahbaikan dan pemantapan projek itu dapat membantu usaha kerajaan bagi membasmi kemiskinan di kawasan luar bandar dalam jangka masa panjang.

Berikutan itu, beliau berharap semua pihak terus memberi sokongan kepada YSB untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan menjadi agen perubahan terhadap kerja-kerja kebajikan di negeri ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Karnival Amal Hari Penyayang 2013, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, bertemakan berhibur sambil menderma, pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang karnival tersebut seperti larian bendang, kayuhan basikal amal dan kempen menderma darah.

Selain itu katanya, diadakan juga bazar makanan, bazar kebajikan, kafe penyayang, pertandingan seni suara burung dan ayam serama, jualan amal ais kepal, pertandingan futsal serta pemeriksaan kesihatan.

"Kira-kira 6,000 peserta dijangka menyertai acara larian bendang esok dan rakyat negeri ini dijemput sama-sama memeriahkannya. Setiap sen yang diterima akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi pelaksanaan program-program berfaedah kepada penduduk yang memerlukan bantuan," katanya.

Raja Muda Perlis lancar perpustakaan desa digital

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail (depan) tertarik dengan peta kedudukan perpustakaan desa digital selepas melancarkan perpustakaan tersebut di Perpustakaan Desa Kampung Bongkok, Padang Lati, Kangar, Perlis, kelmarin.

KANGAR 28 Jun - Perpustakaan desa digital yang menempatkan koleksi bahan bacaan digital yang dibangunkan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) telah dilancarkan dengan Perlis menjadi negeri pertama memilikinya.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melancarkan perpustakaan itu di Perpustakaan Desa Kampung Bongkok, Padang Lati dekat sini.

Ketika melancarkan perpustakaan tersebut, baginda bertitah, kewujudan perpustakaan desa digital menjadi satu nilai tambah kepada perpustakaan konvensional terutama daripada segi kandungan bahan serta teknologi penyampaian.

Pelancaran itu dibuat sempena sambutan ulang tahun ke-70 keputeraan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

"Dengan teknologi yang tersedia ini, diharapkan ia menjadi pemangkin kepada pembelajaran sepanjang hayat.

"Melalui medium baharu seperti bahan digital ini, ia akan memudah serta mempercepatkan proses carian melalui akses tanpa sempadan," titah Raja Muda Perlis itu lagi.

Tuanku Syed Faizuddin turut menasihati rakyat supaya memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan perpustakaan desa digital, tetapi tidak terleka dengan ketaksuban dunia tanpa sempadan.

Sementara itu, Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar berkata, pihaknya sedang menggiatkan usaha pendigitalan dan memperkayakan lagi kandungan digital tempatan.

Antara inisiatif yang dibangunkan ialah Portal Sumber Elektronik yang menyediakan akses kepada pelbagai sumber elektronik dan perkhidmatan pangkalan data seperti Encyclopaedia Brittanica Online, Credo Reference, akses kepada e-majalah Zinio dan perkhidmatan peminjaman e-buku. - BERNAMA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat