{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Pahang

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Pahang


Semua lokap IPD dilengkapi CCTV

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

KUANTAN 28 Jun - Semua lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di seluruh negeri ini telah dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) bagi tujuan pemantauan dan membantu siasatan sesuatu kes termasuk insiden tahanan meninggal dunia.

Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani (gambar) berkata, pihaknya turut mengarahkan supaya pegawai dan anggota polis yang bertugas memeriksa keadaan tahanan di dalam lokap sekurang-kurangnya dua kali setiap hari.

"Kita juga akan pastikan setiap tahanan akan dibawa berjumpa pegawai perubatan terlebih dahulu untuk pengesahan kesihatan," katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 22 pegawai dan anggota polis menerima kenaikan pangkat, manakala 11 yang lain yang bertugas di Lahad Datu diberikan surat penghargaan dan tiga orang awam menerima surat penghargaan Ketua Polis Pahang.

Sharifuddin berkata, beliau berharap semua ketua jabatan, ketua polis daerah, dan ketua polis balai dapat mengambil iktibar akan kejadian kematian tahanan ini.

"Saya harapkan semua pihak yang terlibat memastikan pegawai dan anggota terutamanya detektif peka serta patuh kepada undang-undang pasukan dalam menangani situasi ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu semua pegawai dan anggota polis perlu menjadi contoh kepada masyarakat serta perlu bersedia menerima kritikan daripada orang ramai.

"Kita kena akur dengan fenomena semasa, iaitu kita diperhatikan bukan saja oleh kerajaan, tetapi juga oleh pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan.

"Jika kita bekerja dengan jujur, tanpa memikirkan faedah segera yang mementingkan diri sendiri, sudah pasti kita akan dihormati," katanya.

Dua ditahan belasah pemandu lori hingga mati

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

KUANTAN 28 Jun - Polis menahan dua lelaki kerana dipercayai memukul seorang pemandu lori sehingga mati dekat kawasan lapang tapak perumahan baharu Jalan Kuantan-Pintasan Pelabuhan, dekat Chendering di sini semalam.

Kedua-dua suspek berumur 29 dan 33 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.30 petang di sekitar Jaya Gading di sini selepas polis mendapat maklumat daripada saksi kejadian.

Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani berkata, dalam kejadian pukul 12.20 tengah hari semalam, mangsa, Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof, 32, ditemui oleh beberapa orang awam yang kebetulan melalui kawasan berkenaan.

"Hasil siasatan mendapati motif kejadian adalah akibat perselisihan faham antara suspek dengan mangsa yang juga merupakan rakan mereka.

"Ini menyebabkan berlakunya pergaduhan sehingga salah seorang suspek mencapai sebatang besi dan memukul kepala mangsa sehingga menyebabkan kematian," katanya dalam sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Menurut beliau, saksi yang melihat kejadian telah menghubungi pihak polis dan pihaknya berjaya menahan suspek tidak jauh dari kawasan tersebut.

"Kes ini dianggap selesai selepas penahanan kedua-dua suspek dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Wanita perlu bersama terlibat aktiviti sukarela cegah jenayah

Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT

SHAHANIZA Shamsuddin (tiga dari kanan) bergambar bersama sebahagian peserta seminar Wanita Anti Jenayah di UiTM Cawangan Pahang di Kuala Krau, semalam.

KUALA KRAU 28 Jun - Golongan wanita perlu komited menyokong usaha kerajaan untuk mengurangkan indeks jenayah sekali gus dapat mempertingkatkan keselamatan masyarakat awam di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata, menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kerajaan telah merangka pelbagai program bagi memenuhi sasaran tersebut.

Sehubungan itu tegasnya, penglibatan masyarakat awam termasuk wanita dalam aktiviti sukarela bagi mencegah jenayah adalah penting sekali gus dapat memperbetulkan persepsi mengenai perkara itu.

''Dengan menangani jenayah secara menyeluruh, ia secara langsung akan dapat memberi impak positif iaitu peningkatan rasa selamat dalam kalangan rakyat.

''Selain itu, usaha ini membolehkan Malaysia berada di kalangan negara-negara yang selamat untuk dilawati sekali gus menarik minat pelabur bagi memakmurkan negara ini," katanya.

Shahaniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentol berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Seminar Wanita Anti Jenayah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Jengka dekat sini hari ini.

Beliau berkata, kejadian jenayah seharusnya memberi kesedaran kepada anggota masyarakat supaya tidak mengabaikan keselamatan mereka.

''Ini termasuk peranan ibu bapa dalam mendidik dan memberi kasih sayang yang merupakan kunci utama bagi membentuk masyarakat sejahtera sekali gus bebas jenayah.

''Setiap rakyat juga wajib berganding bahu dengan agensi yang terlibat dalam membanteras jenayah di setiap peringkat supaya kita semua dapat hidup dalam negara yang aman dan selamat.

''Mengurangkan jenayah merupakan sebahagian penting daripada rancangan Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju pada 2020,'' katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat