Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Surat pengikat kasih Naim, Rafeah Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh AMRAN MULUP NAIM Abu Bakar bercuti bersama keluarga di Kundasang, Sabah, baru-baru ini. KALAU sudah jodoh tak ke mana. Biarpun hanya surat menjadi penghubung selama lebih tujuh tahun, namun akhirnya ia berakhir ke jenjang pelamin. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Naim Abu Bakar, 55, memberitahu perkenalan dengan isterinya, Datin Rafeah Hanim Johari, 55, yang membuahkan detik-detik percintaan tidak seperti pasangan remaja yang lain. Mereka tidak pernah berjumpa, sebaliknya hanya surat menjadi penghubung sewaktu berada di tingkatan empat persekolahan. Ketika itu, Naim yang merupakan anak sulung daripada lima beradik belajar di Sekolah Menengah Sains Pahang dan Rafeah pula di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dr. Burhanuddin, Taiping, Perak. Perkenalan kedua-duanya adalah melalui seorang rakan lantas menjadi akrab melalui berpucuk-pucuk surat yang dihantar setiap minggu selama hampir tujuh tahun. Saban minggu surat yang dihantar bukan meluahkan rasa hati, sebaliknya berkisar mengenai soal pelajaran dan peperiksaan yang akan mereka hadapi. Hari demi hari berlalu, hanya surat menjadi penghubung menjadikan Naim dan Rafeah semakin rapat serta intim. Hanya foto wajah masing-masing yang dikirim sebagai pengganti diri menjadi pengubat rindu ketika peluang untuk berjumpa bertentang mata tidak dapat ditunaikan. Hubungan melalui surat berterusan walaupun Naim berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) mengikuti program pengajian ijazah dalam bidang Geografi pada 1978, manakala Rafeah Hanim pula ke Maktab Perguruan Mohd. Khalid di Johor Bahru. Bagaimanapun, sewaktu Naim berada di tahun ketiga, hajat kedua-duanya untuk berjumpa buat pertama kali akhirnya menjadi kenyataan. Pustaka Antara di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur menjadi saksi apabila mereka bertemu buat pertama kali selepas berhubung melalui surat hampir lebih tujuh tahun lamanya. ''Inilah kali pertama saya melihat wajah sebenar isteri saya. Lebih tujuh tahun kami berhubung melalui surat dan bila berjumpa, saya sendiri tak tahu nak cakap apa," kata Naim mengimbas kembali kisah silamnya. Pertemuan itu katanya, dipenuhi dengan perbualan mengenai soal pelajaran masing khususnya persediaan menghadapi peperiksaan. Bagaimanapun, pertemuan itu membawa erti paling bermakna apabila masing-masing mula memendam rasa sayang. Jika sebelum ini, surat-surat yang dihantar berkisar mengenai soal pelajaran tetapi kali ini lebih kepada curahan hati. ''Sejak surat pertama kami mula berkenalan hinggalah saat kami bertunang, saya masih simpan surat tersebut di dalam sebuah fail," kata Rafeah, anak bongsu daripada empat beradik dari Taiping, Perak. Selepas Naim menamatkan pengajian di UM pada 1981, beliau menjalani latihan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) dan Rafeah pula menamatkan pengajian program ijazah pendidikan di Universiti Pertanian Malaysia (sekarang Universiti Putra Malaysia). Ketika itu, hati Naim tidak lagi dapat menafikan rasa sayang dan cinta terhadap Rafeah dan akhirnya mereka mengikat tali pertunangan. Uniknya, rombongan meminang mewakili Naim terdiri daripada rakan-rakan kadet yang mengikuti kursus di INTAN termasuk ibu bapanya. Selepas bertugas sebagai Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Kementerian Tanah dan Pembangunan Wilayah, akhirnya mereka menamatkan zaman bujang dan melangsungkan perkahwinan pada 17 April 1983. Hasil perkongsian hidup selama lebih 30 tahun, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Hazwani Hanim, 29, Khairul Azwan, 28, Khairul Hakimi, 25, dan Hakimah Hanim, 20. Mereka turut dikurniakan tiga cucu iaitu Syed Aaron, 3, dan Siti Dalili, 2, hasil perkahwinan anak sulungnya serta seorang lagi, cucu Shafian Naim, 2, hasil perkahwinan anak keduanya. Sepanjang perjalanan kerjayanya, Rafeah pernah bertugas sebagai guru di sembilan buah sekolah dan SMK Infant Jesus Convent adalah sekolah terakhir beliau menamatkan tugas sebagai pendidik. Naim yang sebelum ini bertugas sebagai Pegawai Kewangan Negeri pada 2008 dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka yang baharu pada 1 Jun lalu. Beliau menggantikan Datuk Omar Kaseh yang dilantik sebagai Ketua Pengarah, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Jabatan Perdana Menteri. Naim juga pernah bertugas di beberapa jabatan kerajaan antaranya Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian, Urusetia Sukan Komanwel 1998, Kementerian Kewangan, Kementerian Kesihatan dan Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Kuala Lumpur (HKL). |
Nasi lemak kukus menambat selera Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh MAZNAH MOHD. ARSAD SAID Mohamad menunjukkan set nasi lemak dengan pilihan lauk ayam goreng atau ikan goreng sambal. GERAI Nasi Lemak Kukus yang terletak di pinggir bandar raya Johor Bahru iaitu sekitar 15 kilometer dari Tanjung Puteri bukan sahaja menjadi tumpuan penduduk setempat, malah turut dikunjungi masyarakat sekitar bandar raya itu. Walaupun lokasinya agak terceruk iaitu di Jalan Arong off Jalan Bukit Kempas, namun kewujudan sebuah gerai yang menjual nasi lemak kukus itu masih mampu menarik kedatangan pelanggan yang ramai. Selain tarikan utama nasi lemak kukus, menu lain yang tidak kurang hebatnya adalah nasi berlauk dengan menawarkan 15 jenis lauk dan sayur. Pengusaha gerai tersebut, Said Mohamad, 49, memberitahu, antara menu wajib, yang mendapat sambutan adalah pelbagai jenis sambal antaranya sambal udang, sambal sotong, sambal telur puyuh, sambal kerang, sambal kupang, selain ayam masak merah, rendang ayam dan daging, ayam goreng berempah serta sayur goreng kobis, kacang panjang dan peria. Said yang mengusahakan gerai tersebut sejak empat tahun lalu berkata, antara menu yang menjadi kemestian pelanggan ketika menjamu selera di gerainya adalah ayam goreng berempah. Disebabkan permintaan yang tinggi, setiap hari saya menyediakan 30 ekor ayam untuk menu tersebut," katanya kepada S2. Selain ayam goreng berempah, lazimnya pelanggan tidak melepaskan peluang untuk menikmati sambal kosong yang dikatakan istimewa kerana rasanya berbeza daripada apa yang sering dinikmati. Mengenai sambal, saya memang mempunyai cara tersendiri untuk menyediakannya iaitu selepas cili kering dibuang bijinya, cili tersebut akan dicuci dan dibilas berkali-kali sehingga airnya basuhannya jernih. Selepas itu, saya akan masak sambal tersebut selama 12 jam yang mana kaedah ini menyebabkan ibu sambal tidak mudah basi dan boleh diletakkan pada suhu biasa sehingga lima hari. Maknanya ibu sambal tersebut tidak perlu dimasukkan ke dalam peti sejuk," katanya. Bapa kepada sembilan anak ini berkata, ibu sambal tersebut lazimnya dibuat seminggu sekali iaitu bagi memenuhi keperluan untuk seminggu berniaga. Tambah Said, selain mementingkan kaedah memproses cili seperti itu, dia juga menggunakan minyak jagung untuk menumis sambal dan lauk-pauk yang lain. Selain lauk-pauk, kata Said, dia turut memberikan keutamaan dari segi pemilihan beras dengan menggunakan beras wangi iaitu sebanyak 20 kilogram (kg) untuk nasi lemak dan 10 kg untuk nasi putih setiap hari. Kalau fikir nak untung lebih, saya boleh guna beras super, tetapi saya mahu pelanggan berpuas hati dan berbaloi dengan apa yang dinikmati, sebab itu saya pilih beras wangi untuk nasi lemak mahupun nasi putih. Begitu juga dengan pemilihan santan yang mana saya tempah khas daripada pembekal santan yang telah dikenal pasti. Bagi saya, santan merupakan elemen penting untuk menentukan nasi lemak itu enak atau tidak," katanya. Mengenai harga makanan yang dijual, Said memberitahu, ia bermula serendah RM6 hingga RM10, bergantung jenis lauk yang dipilih. Bagi mengendalikan gerai yang dibuka mulai pukul 5 petang hingga 10 malam pada hari Isnin hingga Jumaat itu, dia dibantu oleh isterinya, Noraini Lam Abdullah, 47, anaknya Nor Atikah, 18, dan dua pembantu lain bagi kerja-kerja persiapan memasak serta membancuh minuman. Menurutnya, berikutan sambutan yang amat menggalakkan, beliau berhasrat untuk membuka satu lagi cawangan. Katanya, cawangan tersebut telah dikenal pasti iaitu satu lokasi di kawasan Taman Sentosa. Apabila cawangan itu dibuka kelak, ia akan memenuhi keperluan masyarakat dari sekitar Taman Pelangi, Taman Sri Tebrau, Taman Century dan kawasan berhampiran," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |