Kosmo Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pemotoran |
Perkukuh jenama Lexus di Malaysia Posted: Perkukuh jenama Lexus di MalaysiaOleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN LEXUS Malaysia dilihat terus mengukuhkan kedudukannya sebagai jenama kenderaan premium Jepun di Malaysia menerusi pelancaran model Lexus IS serba baharu pada malam Rabu lalu. Dipertontonkan kepada tetamu jemputan dan rakan media di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Lexus IS itu bakal meneruskan kejayaan model generasi kedua yang mula diperkenalkan ke pasaran tempatan pada 2007. Model baharu generasi ketiga itu memberi fokus kepada aspek prestasi, reka bentuk dan keselamatan. "Ketika model IS terdahulu diakui sebagai cetusan sebenar perwatakan reka bentuk sport dalam kelasnya, IS baharu melangkah lebih jauh dengan memberi fokus kepada pengalaman pemanduan yang menyeronokkan. "Semua aspek dalam IS baharu telah dijurutera semula. Fokusnya adalah untuk menambah baik aspek prestasi sport, pengendalian responsif, tindak balas tepat terhadap input pemandu dan maklum balas komunikasi yang terbaik," kata Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ismet Suki. Tidak dapat dinafikan bahawa Lexus telah mengotakan janjinya untuk mencapai satu lagi kecemerlangan menerusi Lexus IS baharu. Harus tahu bahawa jentera itu menampilkan lebih daripada 12 ciri baharu dan inovasi teknikal. Tidak ketinggalan, IS baharu juga mempamerkan ruang dalaman serba baharu yang kemas. Di samping menggabungkan ciri keselesaan dan kualiti yang tidak akan menghampakan pemiliknya. Pendek kata, IS baharu ialah sebuah kereta yang menawan dari luar dan dalamannya. Ia berpaksikan kepada falsafah rekaan L-finesse yang juga menjadi inspirasi ke atas setiap model baharu Lexus hari ini. ISMET (kiri) dan Paul Caroll ketika melancarkan Lexus IS baharu di bilik pameran Lexus di Mutiara Damansara, Petaling Jaya pada malam Rabu lalu. IS menyerlahkan ciri-ciri unggul sebuah Lexus. Ini termasuklah lampu dan gril radiator yang sofistikated. Wajah IS nyata begitu agresif, selari dengan identiti jenama Lexus yang kukuh. "Saya bangga untuk menyatakan bahawa IS ini bukan sahaja sebuah kereta yang kelihatan sangat bagus dari segi reka bentuknya. Malah keselesaan dan kemewahan juga menerajui kelasnya. "Ia sebuah kereta yang mampu memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan dengan pengendalian hebat, tahap keselamatan terbaik dan penjimatan bahan api optimum," tambah Ismet. Empat Varian Lexus Malaysia menawarkan IS melalui empat varian iaitu IS 250, IS 250 Luxury, IS 250 F Sport dan IS 300h yang merupakan model hibrid. Tiga model dengan sistem pacuan roda belakang itu menggunakan khidmat enjin bersesaran 2.6 liter V6. Menurut Ismet, setiap varian tersebut memiliki keterampilan tersendiri. Sementara varian hibrid pula menawarkan keseimbangan di antara prestasi tiada tandingan dan pada masa yang sama mesra alam sekitar. Enjin 2.6 liter V6 itu berupaya menghasilkan kuasa maksimum 205hp @ 6,400rpm dan tork mencecah 252Nm @ 4,800rpm. Enjin itu kemudian dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan automatik yang dikawal secara elektronik (Super ECT) bersama mode Sport. Lexus IS 300h pula merupakan sebuah jentera hibrid sepenuhnya yang juga menggunakan sistem pemanduan roda belakang. Rangkaian kuasanya terdiri daripada gabungan motor elektrik berkuasa dan enjin bersesaran 2.5 liter yang baru dibangunkan. Enjin petrol empat silinder dengan sistem kitaran Atkinson tersebut mengetengahkan sistem suntikan bahan api D-4S baharu, Dual VVT-i dan sistem Exhaust Gas Recirculation (EGR) berkecekapan tinggi. Sistem itu menyasarkan pengeluaran emisi CO2 bawah 100 g/km. Selain purata penggunaan bahan api 20.4km/liter yang menerajui segmennya. Harga? Lexus IS boleh anda miliki pada harga bermula RM269,900 hingga RM333,000 (F-SPORT) dan RM383,000 untuk varian IS 300h. RUANG kabin Lexus IS yang mewah, selesa dan sporty. Demi meningkatkan keupayaan dan penerimaan produknya, Lexus Malaysia akan terus menawarkan harga yang terbaik. Dengan pelbagai ciri-ciri reka bentuk dan teknologi maju, syarikat itu percaya bahawa terdapat Lexus untuk setiap pelanggan. Sebenarnya tempahan bagi Lexus IS baharu sudah pun bermula pada 19 Jun lalu. Lexus Malaysia mengunjurkan untuk menjual lebih daripada 60 unit Lexus IS baharu menjelang akhir tahun ini. Majlis pelancaran Lexus IS diakhiri dengan pengumuman pembukaan tiga lagi pusat Lexus di Ipoh, Kuching, dan Melaka pada suku keempat tahun ini. Pembukaan tersebut menjadikan jumlah pusat Lexus di seluruh negara kepada lapan buah. Ia diyakini dapat memenuhi permintaan yang kian meningkat. Selain menyediakan lebih banyak kemudahan kepada pelanggan Lexus dan memberikan hospitaliti terbaik Lexus. Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Pengerusi UMW Toyota Motor, Tan Sri Asmat Kamaludin; Timbalan Pengerusi, UMW Toyota Motor, Datuk Takashi Hibi; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings, Datuk Syed Hisham Syed Wazir serta Naib Presiden Divisyen Asia Pasifik Lexus, Toyota Motor Asia Pasifik, Paul Carroll. |
Posted: Audi R8 enjin V10AUDI R8 merupakan antara bintang utama dalam filem adiwira Iron Man. JENTERA Audi R8 tahun 2013 kini semakin agresif. Jentera itu sudah melepasi fasa transformasi yang melibatkan aspek rangkaian kuasa dan reka bentuk. Pengimport rasmi kenderaan Audi di Malaysia ialah Euromobil Sdn. Bhd. (Euromobil). Pembaharuan bahagian rangkaian kuasa melibatkan penukaran sistem transmisi Audi R8 kepada sport S tronic tujuh kelajuan klac berkembar. Model sebelumnya menggunakan kotak gear jenis R tronic automatik manual. Sistem transmisi baharu itu tidak menjejaskan kuasa tarikan jentera. Malah membolehkan penukaran gear dibuat dengan lebih pantas. Dengan adanya mode pemanduan sport, ia membantu menyelaras corak penukaran gear dan mengekstrak kuasa terbaik daripada enjin V10 tersebut. Dengan adanya fungsi kawalan pelancaran, ia membantu mengawal kelajuan enjin dan membenarkan kadar gelinciran roda yang bersesuaian sewaktu jentera dipecut. Transmisi itu dipadankan dengan enjin 5.2 liter V10 FSI dan berupaya menjana kuasa maksimum sehingga 525hp pada 8,000rpm. Tork pula setinggi 530Nm @ 6,500rpm. Jentera itu berupaya memecut dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 3.6 saat. Kelajuan maksimum boleh dicapai ialah 314km/j. Kadar penggunaan bahan api ialah 13.1 liter bagi setiap 100km. Casis kereta berprestasi tinggi itu dihasil menerusi teknologi daripada bidang sukan bermotor. Sistem suspensi (double wishbone) jentera diperbuat daripada tempaan aluminium. Sistem suspensi itu dilengkapi rendaman magnetik untuk mode pemanduan biasa dan sport. Stereng kuasa R8 pula menyampaikan maklum balas yang dikategorikan sebagai amat sensitif. Wajah hadapan R8 diberi gril rekaan baharu. Corong kemasukan udara pada bampar hadapan kini disalut kemasan krom. Diod pemancar cahaya (LED) digunakan pada set lampu utama bahagian hadapan dan belakang. Ia merupakan ciri standard Audi R8. Lampu hadapan juga didatangkan bersama DRL LED. Lampu isyarat membelok telah diadun bersama set lampu utama. Enjin jentera boleh kelihatan menerusi cermin belakang. Pengguna memiliki opysen untuk menggunakan kemasan karbon dan pencahayaan LED pada penutup ruang enjin. Ruang kabin memaparkan lencana R8 pada beberapa bahagian. Antaranya, tombol gear, sil pintu dan skrin monitor meter. Rekaan semula bahagian dalaman membabitkan gugusan meter dan paddle shifter. Konsol tengah, brek tangan dan sistem audio kini dibalut material kulit. Tempoh jaminan diberikan adalah empat tahun atau jarak perbatuan 120,000km (mana-mana tiba dahulu). |
Posted: Komitmen Honda Racing TeamOleh AHMAD SYUKRAN ZAINUDDIN PASUKAN Honda Racing Team sibuk membuat persediaan terakhir sebelum memulakan perlumbaan. PERLUMBAAN AUTOBACS SUPER GT Series 2013 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) telah pun berakhir. Menjadi satu-satunya acara Super GT yang diadakan di luar Jepun, perlumbaan tersebut sememangnya mendapat perhatian daripada peminat sama ada dari dalam mahu pun luar negara. Sehari sebelum perlumbaan bermula, Kosmo! diberi peluang untuk menemuramah pasukan Honda yang terlibat dalam perlumbaan itu. Bagi kategori GT300, ia melibatkan pasukan Team Mugen dan Autobacs Racing Team Aguri yang menggunakan jentera hibrid Honda CR-Z. Sementara kategori GT500 pula terdiri daripada pasukan Weider Modulo Dome Racing, Keihin Real Racing, Autobacs Racing Team Aguri dan Team Kunimitsu yang menggunakan jentera Honda RSV. Berikut adalah antara intipati temubual tersebut: Kategori GT300 Soalan (S): Kenapa Honda memilih untuk berlumba dengan CR-Z? JAWAPAN (J): Kami kini ingin fokus kepada jentera yang mesra alam dan cekap. Jadi, penggunaan CR-Z adalah untuk meningkatkan aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D) produk hibrid kami. Dari segi pelumbaan, apakah perbezaan CR-Z jika dibandingkan dengan Toyota Prius? CR-Z menggunakan enjin V6 produksi massa yang ditala untuk perlumbaan. Sementara Prius pula menggunakan enjin GT500 V8 yang bukannya diproduksi untuk kegunaan ramai. PELUMBA Team ARTA bergambar dengan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Yoichiro Ueno (dua dari kiri) serta Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Roslan Abdullah (baju hitam). Selain itu, motor hibrid yang kami masukkan ke dalam CR-Z adalah motor kuasa IMA yang sama seperti model hibrid biasa, sedangkan Prius menggunakan khidmat motor berkuasa 60kW. Bagaimanapun untuk motor tersebut, kami telah bekerjasama dengan pihak Zytek dan ditala bagi tujuan perlumbaan. Pendek kata, mekanisma motor tidak sama seperti kenderaan di atas jalan raya biasa. Sebaliknya ia dipasang di sebelah kotak gear untuk proses penghantaran kuasa. Ouput maksimum motor itu cuma 50kW. Antara masalah yang dihadapi ketika berlumba di SIC adalah cuaca yang panas. Jadi apakah persiapan yang telah anda lakukan? Memang bateri boleh menjadi panas jika digunakan secara berlebihan. Justeru, kami cuba mengekalkan suhunya dengan menggunakan radiator dengan sistem penyejukan cecair. Sebagai persediaan, kami menyediakan dua unit bateri untuk setiap dua buah jentera. Jadi, empat buah bateri kesemuanya. Apakah strategi anda untuk berlumba dengan jentera hibrid? Adakah anda mendapat kelebihan ketika memotong atau memecut di laluan lurus? Secara asasnya ia bergantung kepada para pemandu. Apa yang pasti, jika pendikit ditekan sepanjang masa ia akan menyebabkan bateri cepat panas. Maka, keseimbangan di antara menekan pendikit dan masa amat penting. Kategori GT500 Honda akan tiba dengan model NSX baharu pada penghujung tahun ini, adakah ia akan menggantikan jentera HSV-010 GT? Ya. Malah kami akan mula menggunakan NSX pada Ogos depan untuk shake down. Perlumbaan penuh menggunakan NSX hanya akan bermula pada tahun depan. Soalan untuk Team Mugen. Ini merupakan kali pertama anda berlumba di SIC. Apakah perasaan anda? Memang ini kali pertama kami mengetengahkan CR-Z di SIC. Tetapi bagi pemandu, ini bukan kali pertama mereka berlumba di SIC, jadi kami tidak bimbang. KETUA Projek Honda GT, Masahiko Matsumoto menjawab soalan mengenai strategi pasukannya. Apakah perbezaan paling besar di antara berlumba dalam kategori GT300 dan GT500? Perbezaan paling ketara adalah kelajuan ketika mengambil selekoh dan memecut. Dari segi pemanduan pula, CR-Z sebuah kereta yang mudah untuk dikendalikan. Apa pun, kami teruja untuk memulakan perlumbaan. Soalan untuk Aguri Suzuki. Anda mengetuai pasukan untuk kategori GT300 dan GT500, adakah terdapat perubahan strategi yang akan digunakan di antara kedua-dua kategori ini? Tidak banyak yang berubah dari segi strategi berbanding perlumbaan sebelum ini. Kami cuma lebih lebih bersedia dari segi pemandu dan mekanik. Soalan untuk Takashi, tahun lalu anda berlumba untuk pasukan Weider Racing GT500. Apa perasaan apabila menyertai pasukan Kunimitsu sekarang? Saya teruja dan rasa bertuah kerana dapat menyertai pasukan ini. Saya juga sudah tidak sabar untuk berlumba. Tahun lalu, jentera telah diringankan berikutan penggunaan sut yang menyejukkan oleh pemandu. Adakah jentera lebih ringan pada tahun ini? Layout enjin kereta dan posisi ekzos telah diubah. Perubahan ini membolehkan kereta 20 kilogram lebih ringan berbanding tahun lalu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |