{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rekreasi

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rekreasi


Menjejaki 'mutiara' taman negara

Posted: 29 Jun 2013 02:00 AM PDT

BERGAMBAR di Kem Gedong dalam laluan menuju ke puncak Gunung Tahan.

AMAN Negara Gunung Tahan memiliki dua destinasi yang menjadi tumpuan pendaki iaitu Air Terjun Empat Tingkat (ATET) dan Gunung Tahan.

Dua lokasi itu baru-baru ini berjaya dijejaki 11 pendaki. Ekspedisi itu diketuai penulis, Khairul Nizam Mohd Aris serta penunjuk arah, Azri Abdul Azam dan Baihaqi Ahmad.

Kami masuk melalui Kuala Tahan, Pahang bagi memulakan pendakian dari 27 April hingga 4 Mei 2013 lalu.

Destinasi pertama adalah Kem Melantai sejauh 12 kilometer (km) yang memakan masa empat jam pendakian, manakala pada hari kedua, kami menuju ke Kem Puteh.

Jika hari pertama, laluan banyak yang mendatar, hari kedua memerlukan kami menempuh laluan mencabar sejauh 13 km. Ini kerana kami perlu mendaki sebanyak 25 bukit termasuk Gunung Rajah (576 meter). Kami mengambil masa tujuh hingga lapan jam untuk sampai ke Kem Puteh.

Keesokan paginya, kami bersiap untuk ke Kem Teku pula. Walaupun terletak hanya tujuh km dari Kem Puteh, kami mengambil masa tujuh jam untuk sampai ke sana kerana kami perlu menyeberang Sungai Tahan sebanyak tujuh kali.

Kami tiba di Kem Teku pada pukul 5 petang dan pada malamnya, taklimat tentang perjalanan ke ATET diadakan.

Seawal pukul 6 pagi keesokan harinya, kami menyiapkan sarapan dan makan tengah hari yang dibungkus. Tepat pukul 7.30 pagi, kami mula menempuh laluan lembah dan menyusuri sungai.

Paras sungai agak dalam dan deras. Sesekali kami memasuki laluan yang hanya berpandukan tanda kepingan zink warna kuning sebagai penunjuk arah ke ATET.

Ada ketikanya, laluan agak mengelirukan apabila tanda zink tadi tidak kelihatan kerana ditutupi rimbunan pokok. Pengalaman penunjuk arah bagi mencari laluan yang betul membantu kami mengesan laluan asal.

Sepanjang perjalanan itu, kami 'dihidangkan' dengan kesan tapak kaki gajah yang masih baru, selain tapak kaki harimau sebesar tapak tangan orang dewasa di kawasan berpasir di tebing sungai.

Setelah makan tengah hari dan berehat selama satu jam di tebing sungai, kami meneruskan perjalanan menuju ke hulu sungai. Perjalanan hampir tiga jam menyusuri sungai dan sesekali memasuki laluan hutan berakhir di kawasan yang dikenali Pasir Panjang. Kami tiba di situ pada pukul 6 petang.

Basah sepanjang malam

MEMANDANGKAN hari sudah petang dan perjalanan untuk sampai ke ATET pula masih jauh, akhirnya kami mengambil keputusan untuk bermalam di Pasir Panjang. Hanya berbekalkan makanan yang terhad, kami membahagikan kepada dua bahagian iaitu untuk makan malam dan sarapan keesokannya.

Selain itu, oleh kerana kami tidak membawa pakaian, maka pakaian mendaki yang telah basah dipakai untuk tidur. Sepanjang malam, kami kerap terjaga kerana kesejukan dan keesokannya sekitar pukul 7 pagi, kami bergerak ke ATET.

Setelah dua jam berjalan, kami menemui sungai yang sumber airnya dipercayai daripada ATET. Di sesetengah bahagian, kami perlu memanjat batu besar yang licin dan kekurangan tempat untuk berpaut menjadikannya agak bahaya. Namun, pertolongan daripada rakan-rakan untuk menarik rakan lain naik ke atas batu amat membantu.

Kami juga mendaki laluan tegak hampir 90 darjah. Tali disediakan di kawasan yang agak sukar. Hampir tiga jam melayan bukit, akhirnya bunyi jatuhan air mula kedengaran.

Kedudukan ATET di ketinggian 983 meter dari paras laut dan keindahannya sukar digambarkan dengan kata-kata. Di hadapannya adalah panorama Banjaran Tahan. Air terjun empat tingkat jatuh ke dalam sebuah kolam dan terus mengalir mengikut alur sungai membuatkan ATET amat unik.

Perjalanan pulang lebih panjang yang mana kami mengambil masa 15 jam untuk sampai di Kem Teku. Peserta terakhir tiba pada pukul 5 pagi, keesokan harinya.

Menuju puncak Gunung Tahan

PERJALANAN bermula pada pukul 2 petang. Destinasi yang dituju adalah Kem Gedong sejauh 14 km. Perjalanan ini menempuh Gunung Pankin, Gunung Tangga Lima Belas dan Gunung Reskit.

Laluan mendaki agak mencabar dan memerlukan kekuatan mental serta fizikal dalam mengharungi struktur muka bumi yang berbukit.

Pada pukul 8 malam, kami berhenti di Kem Pankin untuk makan malam sebelum menempuh laluan Gunung Tangga Lima Belas. Kami tiba di Kem Gedong pada pukul 4 pagi.

Setelah berehat seketika, kami meneruskan perjalanan ke puncak Tahan. Panorama gunung-ganang di sekitar membuatkan hati kami merasa puas walaupun terpaksa bersusah payah untuk sampai ke situ.

Kami tiba di puncak Gunung Tahan pada pukul 6 petang dalam kedinginan yang mencecah 10 darjah celcius. Hujan lebat membuatkan kami kelam kabut mencari tempat berteduh.

Setelah sejam berlalu dan tiada tanda-tanda hujan akan berhenti, akhirnya kami mengambil keputusan untuk turun ke Kem Botak.

Kem Botak menjadi lokasi terakhir kami untuk bermalam kerana esok adalah hari terakhir program kami.

Pada hari terakhir, kami berjalan dari Kem Botak ke Kuala Juram sejauh 29.5 km. Setelah berjalan selama 12 jam dengan menempuh Kem Bonsai, Kem Belumut, Kem Kubang dan Kem Kor, kami tiba di Kuala Juram pada pukul 8 malam. Dari situ, kami menaiki pacuan empat roda menuju ke Pejabat Perhilitan Sungai Relau, sebelum ke stesen keretapi Merapoh untuk pulang ke Kuala Lumpur. - KHAIRUL NIZAM

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat