Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Gerakan transformasi Yayasan Felda Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR "Setiap individu boleh berjaya dalam hidup, mereka hanya memerlukan peluang yang betul dan Yayasan Felda berupaya menyediakan peluang tersebut." Itu merupakan petikan wawancara Utusan Malaysia dengan Pengurus Kanan Antarabangsa-Asia Pasifik, City & Guilds (C & G) London, Ralph Adams baru-baru ini yang memberi pujian menggunung terhadap usaha Yayasan Felda membantu masyarakat selama ini. Pujian itu bukan pujian kosong. Ketika badan vokasional yang diperkanun di bawah keluarga Diraja Britain sejak 1878 pada zaman Ratu Victoria itu, C & G setakat ini hanya melantik kira-kira 600 ahli kehormat di seluruh dunia. Di sebalik sikap selektif badan itu, Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Pengarah Urusan Yayasan Felda, Datuk Dr. Emel Faizal Mohd. Mokhtar muncul sebagai rakyat Malaysia serta Melayu yang pertama dan kedua dilantik ke jawatan tersebut. Mereka juga merupakan individu pertama dari rantau Asia Tenggara diberikan penghormatan tersebut dan sebagai ahli, kedua-duanya berhak mengundi dalam pemilihan Lembaga Governor C & G serta menentukan hala tuju badan berkenaan. Selain penghormatan tersebut, Yayasan Felda turut diperakui oleh C & G apabila badan berpusat di United Kingdom (UK) itu membuat keputusan untuk memuatkan logo yayasan pada setiap sijil kemahiran lepasan pelajar yang dikeluarkan oleh C & G di Asia. Ralph menjelaskan, setakat ini, tiada yayasan atau pertubuhan di Asia Tenggara menerima pengiktirafan itu sejak C & G ditubuhkan dan kebanyakan daripada institusi lain yang menerima penghormatan serupa kebanyakannya dari UK. Kejayaan Yayasan Felda itu bertitik-tolak daripada proses menaik taraf kolej di bawahnya apabila Pusat Bahasa Inggeris Yayasan Felda (FELC) di Kelana Jaya menjalin kerjasama strategik dengan institusi antarabangsa, C & G International English Qualifications (IEQs) pada Februari 2012. Dengan memberi peluang kedua kepada anak-anak peneroka Felda yang gagal mendapat keputusan cemerlang selepas tamat persekolahan, Kolej Yayasan Felda yang secara dasarnya hanya menawarkan kursus latihan vokasional memberikan nilai tambah kepada para pelajar untuk mendalami bahasa Inggeris. Selain kursus intensif bahasa Inggeris di Kampus Kelana Jaya, Yayasan Felda menawarkan 13 lagi kursus vokasional lain di Kampus Trolak, Kampus Raja Alias di Jempol dan Kampus Mempaga di Karak. Apabila tamat kursus, lepasan Kolej Yayasan Felda yang terdiri daripada kalangan anak-anak peneroka dilihat tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan pekerjaan berbekal penguasaan bahasa Inggeris yang memadai, jika tidak cemerlang. Anak-anak Felda yang antaranya akan muncul sebagai ahli kesihatan serta spa, juruteknik multimedia, penjahit, juruteknik sistem komputer dan pendandan rambut diharap tidak akan mempunyai sebarang masalah berkomunikasi dengan bos atau pelanggan mereka dalam bahasa Inggeris. Dalam pada itu, Mohd. Isa memberitahu, walau dalam jangka masa singkat, kursus bahasa Inggeris kendalian kolej tersebut berjaya mendapat perakuan C & G dan ini merupakan satu pengiktirafan membanggakan kepada seluruh warga Felda. "Lebih penting adalah penerimaan C & G terhadap logo kita yang akan dimasukkan dalam sijil City & Guilds. Apabila logo Yayasan Felda dimasukkan ke dalam Sijil keluaran C & G, ini bermakna pelajar lepasan kolej mempunyai nilai tambah dalam kelayakan mereka. "City & Guilds beroperasi di lebih 80 negara serta mempunyai 8,000 cawangan pusat latihan di seluruh dunia maka ruang lingkup peluang pekerjaan anak-anak kita menjadi lebih besar," katanya. Menurut Mohd. Isa, pengupayaan terhadap pelajar lepasan Kolej Yayasan Felda itu merupakan bukti golongan generasi peneroka tanah rancangan itu terus mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri selaku Menteri yang bertanggungjawab ke atas hal-ehwal Felda. Kejayaan itu juga membuktikan Felda sebagai organisasi yang menitikberatkan pembangunan masyarakat di luar bandar. Daripada kejayaan mengeluarkan golongan peneroka dari kepompong kemiskinan kepada meletakkan mereka dalam status sosial berpendapatan sederhana, pengiktirafan sebegini pasti mendorong generasi tersebut muncul sebagai golongan berpendapatan tinggi selari dengan visi Kerajaan dan Wawasan 2020. Perkembangan usaha sama dengan C & G itu juga secara langsung memperkenalkan sebuah entiti Malaysia berteras Melayu yang terus berevolusi, sesuai dengan tuntutan pemodenan. Evolusi itu bukan setakat untuk memperbaiki taraf kehidupan generasi peneroka semata-mata, tetapi mereka turut dituntut untuk membantu golongan miskin di luar bandar yang tidak bernaung atau menyertai skim tanah rancangan tersebut. Menurut Emel Faizal pula, kejayaan itu dirintis oleh Perdana Menteri sendiri melalui program transformasi beliau dan Mohd. Isa yang mula menerajui Felda pada penghujung 2011. Dengan merendah diri, individu Melayu kedua penerima anugerah kehormat C & G ini tidak mahu kisah kejayaan Yayasan Felda tersebut ditumpukan kepada beliau. "Ini adalah kejayaan bersama Felda sebagai sebuah pasukan atau organisasi yang menjalankan program selari dengan kemahuan kerajaan demi kepentingan anak bangsa," katanya. Menyingkap resipi kejayaan itu, Emel menjelaskan, pengiktirafan C & G bukan berdasarkan aspek pendidikan semata-mata. Jelasnya, sebagai organisasi tidak berteraskan keuntungan, aspirasi itu turut dikongsi oleh C & G. Selama ini, katanya, Yayasan Felda telah melancarkan pelbagai program membantu masyarakat seperti Program Kasih Felda yang membantu membaiki rumah golongan kurang berkemampuan di luar gugusan tanah rancangan tersebut. Felda memperuntukkan RM5,000 untuk setiap rumah terpilih bagi tujuan itu dan sejak dilancarkan Perdana Menteri Julai Tahun lalu, bilangan rumah terlibat kini hampir mencecah 6,000 unit. Dengan belanja RM30 juta, program itu telah melepasi sasaran 4,000 unit rumah untuk dibaiki. Selain bantuan tersebut, Yayasan Felda turut aktif bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Kanser Nasional (Makna) dalam menarik masyarakat menyertai program kesedaran tentang penyakit tersebut di seluruh negara. "Ini merupakan usaha kami memberi khidmat kepada masyarakat. Hidup ini bukan hanya untuk dihidupkan (dibantu), tetapi kita juga perlu menghidupkan (membantu). |
Penyokong bola sepak yang bertaraf dunia? Posted: 28 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh ABDUL RAZAK IDRIS KEHANGATAN perlawanan Piala FA antara Kelantan FC menentang Johor Darul Takzim FC (JDT) malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, begitu dirasakan oleh penyokong-penyokong kedua-dua pasukan ini. Namun ia bukan disebabkan percaturan strategi mahupun situasi berbalas komen antara jurulatih dan pengurus kedua pasukan. Kehangatan ini boleh disaksikan di tempat penjualan tiket di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu dan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin kelmarin. Penyokong-penyokong bersesak membeli tiket hingga ada yang hampir pengsan dan ada pula yang mengamuk kerana tiket habis dijual tidak sampai sebatang rokok habis dihisap. Soalnya berbaloikah semua ini terjadi disebabkan wujudnya masalah di dalam kelambu yang tidak pernah selesai? Kehangatan isu bola sepak negara bukan sahaja menjurus kepada penjualan tiket malahan isu Artikel 88 yang bukan sahaja menyekat percambahan idea untuk memajukan bola sepak malah menjadikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebagai sebuah badan yang tidak demokratik. Tidakkah kepimpinan FAM tidak mahu mengambil berat insiden penjualan tiket sebagai satu masalah FAM dan sistem mereka sendiri? Kawalan terhadap pembelian pukal perlu diadakan kerana jika ia tidak dikawal maka aktiviti ulat tiket akan menjadikan harga tiket lebih tinggi dan ia sekali gus menjejaskan minat penyokong bola sepak di negara ini. Sekali pandang sikap fanatik penyokong dalam mendapatkan tiket lebih berskil dari pemain-pemain yang bermain di padang itu sendiri. Mereka boleh datang awal ke lokasi penjualan tiket, boleh berdiri hampir tiga hingga empat jam dan berdisiplin semasa menunggu kaunter tiket dibuka. Mereka tidak pula bersikap pura-pura mendapatkan penalti dengan pura-pura rebah, kerana jika mereka rebah alamat tiket langsung tidak berjaya dibeli. Namun jika pihak yang menjual tiket tidak menghargai peminat bola sepak maka punahlah hasrat untuk menjadikan bola sepak sukan yang mampu membawa Malaysia ke persada dunia. Isu tiket perlu ditangani secara profesional agar insiden buruk tidak berlaku. Lupakah kita kepada tragedi Stadium Heysel yang menyebabkan kematian 39 penyokong Juventus 28 tahun lalu yang disebabkan oleh insiden tolak-menolak penyokong Liverpool yang tidak mendapat tiket. Ini menunjukkan pengawalan kepada penjualan tiket amat penting sekali bagi mengelakkan tragedi dari berulang. Namun di negara kita berlaku sebaliknya. Membeli tiket sahaja sudah berlaku adegan asak-mengasak dan cah mengecah penjual tiket. Jika masalah tiket tidak diatasi secara lebih profesional maka kita akan mendidik penonton menjadi hooligan jr. Apabila perlawanan sebenar diadakan, sikap bergasak akan menjadi trend sikap mereka dalam mendepani penyokong lawan. Justeru, pihak kepimpinan FAM perlu merombak sistem pengagihan tiket di kedua-dua negeri yang bertanding agar keadilan dapat ditegakkan. Kita bukan sahaja mahu jadi pasukan negara yang bertaraf dunia. Tanpa penyokong bertaraf dunia maka usahlah bermimpi untuk ke peringkat Asia sekalipun. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |