Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Berbuahnya politik benci-membenci Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT Mohd. Shauki Abd. Majid Sebahagian orang ramai yang hadir pada Perhimpunan Blackout 505 di Padang Majlis Daerah Ketereh, Kelantan pada 12 Jun lalu. - utusan/Irwan Majid PERMUSUHAN selalunya dimulai dengan keinginan manusia atau sekumpulan manusia untuk memenuhi tuntutan nafsu. Dalam kes ini, jika ada halangan untuk memuaskan tuntutan nafsu, sesetengah manusia mengambil jalan mudah dan mengetepikan sifat kemanusiaannya. Golongan ini sebenar telah dirasuk syaitan dan Allah SWT telah berfirman tentang syaitan maksudnya: "Syaitan itu memberikan janji-janji kepada mereka dan membangkitkan angan-angan kosong pada mereka, pada hal syaitan itu tidak menjanji kepada mereka selain tipuan belaka." (Surah an-Nisa ayat 120) Bermula dengan sikap benci, berkembang menjadi perseteruan sementara dan seterusnya tanpa kawalan diri akan memuncak menjadi lebih buruk, termasuk melibatkan pembunuhan dan pelbagai kezaliman. Rasa benci yang mula berakar menyebabkan manusia sanggup memutuskan perhubungan sebagai rakan atau saudara. Memutuskan ikatan persaudaraan seagama menjadi petanda berlakunya kekeruhan iman. Perasaan memusuhi apa sahaja yang datangnya daripada pihak lawan meskipun perkara itu perkara baik semakin merebak dalam kalangan masyarakat kita. Orang tidak lagi dapat berfikir dengan jernih dan boleh membezakan mana yang baik dan benar, kerana perasaan terlampau benci mengalahkan segalanya. Inilah sifat tamak manusia dan Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan adalah manusia itu bersifat tergesa-gesa." (Al-Isra ayat 11). Begitu juga apa yang berlaku dalam konteks apa yang dilakukan kerajaan hari ini. Pihak yang membenci akan sentiasa menyalahkan dan menganggap tidak betul meskipun kerajaan sudah sedaya upaya melakukan proses transformasi menyeluruh bagi membaiki keadaan. Perasaan dendam dan benci yang membuak-buak menjadikan seseorang itu buta mata dan buta hati mengakui kebaikan yang dilakukan orang lain. Perhimpunan Blackout 505 yang kononnya dikatakan berjuang menentang penipuan pilihan raya antara contoh konkrit bagaimana sebahagian masyarakat kita terperangkap dengan politik benci-membenci. Tiada lagi perasaan bertolak ansur dan kasih sayang tersemai pada peserta perhimpunan itu sebagaimana yang menjadi ciri-ciri dan amalan masyarakat kita semenjak zaman dahulu hingga kini. Tiada lagi perasaan menerima atau bersikap qanaah terhadap takdir yang sudah ditentukan Tuhan. Tidak ada lagi keharmonian dan perpaduan yang terpancar dalam perhimpunan itu bagi memupuk dan mencipta kejayaan yang lebih cemerlang lagi bagi memastikan agenda negara maju yang diimpi-impikan rakyat dapat direalisasikan menjelang 2020 nanti. Walhal, hakikatnya perhimpunan itu lebih menonjolkan kepentingan dan perjuangan individu berbanding memperjuangkan perubahan sistem politik yang lebih baik. Perkara ini nampak ketara dengan menonjolnya seorang pemimpin sahaja berbanding penonjolan kepimpinan secara kolektif. Malah, berlaku perpecahan di antara golongan ini dalam merespons pendekatan yang sebegini. Majoritinya juga tidak menyedari bahawa pengorbanan mereka akan sia-sia belaka kerana mereka hanya dimanfaatkan golongan elit mereka sendiri. Adakah ada jaminan sekiranya perjuangan mereka mencapai matlamatnya mereka akan diberi pampasan baik secara moral mahupun material? Adakah juga pihak pimpinan mereka akan bertanggungjawab sekiranya perjuangan mereka gagal, lantas mereka mendapat ganti rugi sewajarnya sepanjang mereka berjuang? Adakah golongan elit mereka memikirkan keperluan perut para penyokongnya meskipun ada antara mereka sanggup dibuang kerja dan terbengkalai kerja-kerja harian mereka, demi memenuhi kehendak pimpinan sedangkan para pemimpin itu berada dalam zon selesa? Pada masa sama, para peserta dan kalangan masyarakat yang mengikuti perkembangan perhimpunan itu disogok dengan pemikiran-pemikiran yang melampau dan di luar batas-batas akhlak Islam. Lihatlah apa yang terjadi dalam media sosial. Tiada lagi kaedah berselindung dan sembunyi-sembunyi bagi meluahkan kebencian mereka. Secara terang-terangan mereka menghina semua institusi negara, institusi raja bahkan menghina Islam. Ini semua adalah buah dari ketaksuban dan kefanatikan terhadap pimpinan mereka sehingga etika dan prinsip-prinsip asas dilanggar sendiri. Lebih mendukacitakan, ramai dalam kalangan Melayu yang berbuat sedemikian dan mengikut rentak golongan bukan Islam. Kita jangan jadi seperti golongan Khawarij yang sangat patuh menjalankan ibadah ritual tetapi sangat kaku dalam hubungan sosial, terutama sesama kaum Muslim. Sejarah Islam mengajar kita bahawa dalam kalangan mereka ada yang sanggup membunuh saudara seIslam kerana berbeza pendapat dalam masalah agama. Terutama ketika masalah kepimpinan Ali bin Abi Talib. Malah lebih malang lagi apabila mereka lebih menghormati Nasrani (kerana kaum dzimmi menurut al-Quran harus dilindungi) daripada orang Islam sendiri. Mereka menghukum kafir terhadap sesiapa sahaja yang memutuskan perkara tidak berdasarkan al-Quran. Mereka membunuh Abdullah bin Habab dan isterinya kerana memuji Ali selepas peristiwa Tahkim. Golongan Khawarij dikatakan sangat taat mengerjakan sembahyang dan tidak menyentuh makanan haram, ternyata sanggup membunuh saudara sesama Islam hanya kerana perbezaan pendapat. Adakah di antara kita begitu kaku berpegang kepada al-Quran dan hadis hanya dalam kerangka pemikiran kelompok kita dan tidak menghormati pemahaman kelompok yang lain? Apakah kita lebih menghargai umat lain daripada sesama Islam? Atau kita halalkan segala perkara seperti fitnah, penyalahgunaan kuasa untuk menjatuhkan orang yang tidak sehaluan dengan kita? Khawarij masih berada di sekitar kita. Mereka menjual dan menjaja kewarakan diri demi kepentingan politik. Kuasa apabila jatuh ke tangan golongan seperti ini akan menghancurkan masyarakat seluruhnya. Mengabaikan masalah-masalah hukum dan hubungan kemasyarakatan bukan sahaja menimbulkan kerosakan dalam masyarakat itu sendiri, malah akan mengakibatkan tergugatnya sebuah kehidupan yang damai. Islam yang ditegakkan melalui hubungan damai dan mementingkan perdamaian akan terjejas dengan sendirinya oleh sikap lemah dan jahil penganutnya yang sanggup mengetepikan rasa cinta sesama manusia dan membiarkan tuntutan nafsu menggantikan keimanan. Perselisihan seperti ini harus diatasi dengan dakwah dan amar makruf nahi mungkar. Dalam hal ini nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Allah tidaklah mengutusku sebagai seorang pemberi beban dan juga seorang yang keras. Sesungguhnya aku ini diutus hanyalah sebagai seorang pengajar dan seorang yang memberikan kemudahan" Apabila berlakunya sesuatu perselisihan, orang Islam diwajibkan untuk melupakan perbezaan dan kembali kepada dasar keimanan dengan jelas. Sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan secara berhemah dan beretika. Sehubungan ini Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat mengenai sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama dan lebih baik akibatnya. (Surah An-Nisa ayat 59). Perpecahan sesama umat Islam berlaku di mana-mana sahaja sehingga mereka sanggup berbunuhan sesama sendiri hanya kerana perbezaan pendapat atau aliran. Kononnya perpecahan tidak dapat dielakkan kerana sepanjang sejarah kita selalu berpecah. Di samping menggunakan hujah dan menunjukkan dalil-dalil al-Quran dan hadis untuk mempertahankan perpecahan yang terjadi, apakah boleh kita katakan bahawa perpecahan yang berlaku sesama umat Islam itu sebagai satu takdir? Perpecahan bukan harus diterima begitu sahaja tetapi harus diselesaikan dengan melakukan muhasabah perilaku kita sendiri. Ketika Nabi menyebut bahawa di antara umatnya ada yang taat dan ada yang melakukan maksiat. Ini bererti Nabi sedang menunjukkan masih ada jalan penyelesaian terbaik bagi dua kumpulan yang bersengketa. Terpulanglah kepada sikap kita sendiri sama ada ingin meneruskan sengketa ataupun mencari jalan damai. Jika jalan damai yang kita pilih, hubungan persaudaraan akan bertaut kembali dengan lebih kukuh. Pilihan itu selalu ada dan kita selalu diberikan peluang untuk membuat pilihan. Mungkin kita boleh mengambil sikap membetulkan kesilapan yang pernah kita lakukan. PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). |
Mana lebih utama SIAP atau IPCMC? Posted: 13 Jun 2013 11:16 AM PDT Oleh ZULKIFLI JALIL Anggota polis dan Rela ketika menghadiri Majlis Hari United Against Crime yang diadakan di Esplanade @ KLCC, pada 8 Jun lalu. - utusan/Aizzul A. Majid KEMATIAN tiga tahanan dalam penjara baru-baru ini menjadi titik gendang penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dipalu semula. Perbahasan untuk penubuhan IPCMC sudah bermula beberapa tahun lalu sejak era Tun Abdullah Ahmad Badawi menyandang jawatan Perdana Menteri lagi. Penubuhan itu disaran dalam 125 Syor oleh Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM pada 2004. Namun, IPCMC tidak terlaksana sebaliknya Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) ditubuhkan pada 2009 seiring dengan lulusnya rang undang-undang Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700] selepas dibahaskan di Parlimen. Kini, sekali lagi penubuhan IPCMC ditekan oleh beberapa pihak. Antaranya SUARAM, Majlis Peguam dan pakatan pembangkang. Menarik perhatian isu ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Masterplan Consulting Sdn. Bhd., Datuk Ahmad Faris Abdul Halim berkata, pertamanya, perlu disedari bahawa kewujudan SIAP sepatutnya lebih diutamakan daripada penubuhan IPCMC. Hal ini kerana autoriti SIAP meliputi semua agensi penguatkuasaan kecuali Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang tertakluk kepada Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694]. Kedua, sekiranya IPCMC ditubuhkan, suruhanjaya ini sekadar terhad kepada penyiasatan ke atas pasukan polis sedangkan kuasa SIAP merangkumi agensi-agensi penguatkuasaan yang lain. Sebab IPCMC mahu ditubuhkan atas dasar sebagai sebuah badan bebas untuk memastikan integriti pasukan polis. Perlu diingatkan, SIAP juga sebuah badan penguat kuasa yang bebas sama seperti IPCMC. Bukan PDRM sahaja agensi penguat kuasa yang menghadapi tanggapan umum yang buruk. Kastam Diraja Malaysia juga berkongsi nasib yang sama," kata beliau kepada Utusan Malaysia kelmarin. Ahmad Faris yang mengetuai Masterplan Consulting - firma pembekal peralatan pertahanan, sekuriti dan komunikasi - memberitahu, SIAP digambarkan mempunyai bidang kuasa yang terhad iaitu sekadar berfungsi sebagai badan penyiasatan dan laporan penyiasatan kemudiannya dihantar kepada bahagian tatatertib agensi berkenaan. Ini antara hujah yang digunakan oleh pihak yang menekankan penubuhan IPCMC terhadap bidang kuasa SIAP. Sekiranya dirujuk kepada Seksyen 29 dan Seksyen 30 Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009, jelas SIAP mempunyai kuasa yang lebih besar daripada yang dicanang oleh pihak tertentu. Merujuk kepada Seksyen 29, kuasa SIAP melangkaui kuasa Pihak Berkuasa Tatatertib di mana sekiranya terdapat isu salah laku dalam sebuah agensi penguatkuasaan, Pihak Berkuasa Tatatertib perlu memberhentikan siasatan mereka dan menyerahkan urusan penyiasatan kepada SIAP, sekiranya dimaklumkan oleh SIAP. Kuasa SIAP diperkukuhkan lagi dalam seksyen seterusnya, Seksyen 30 dalam Akta yang sama," katanya. Ahmad Faris berkata, terdapat tiga kemungkinan ke mana laporan penyiasatan akan diserahkan. Pertama, penyiasatan ke atas aduan salah laku tidak dapat disahkan, makanya laporan akan diberikan kepada si pengadu. Kedua, salah laku tersebut tergolong di dalam kesalahan tata tertib. Oleh hal yang demikian, laporan akan diserahkan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib agensi yang berkenaan. Terakhir, andai salah laku tersebut dikira sebagai kesalahan jenayah, laporan penyiasatan akan dirujuk kepada Pendakwa Raya. Ini membuktikan bahawa bukan semua laporan siasatan SIAP akan diuruskan oleh pihak dalaman pihak agensi penguat kuasa. Kes jenayah akan diheret terus ke muka pengadilan dan didakwa atas kesalahan jenayah yang dilakukan. Benar, salah laku bukan jenayah akan diuruskan secara dalaman oleh agensi penguat kuasa berkenaan. Tetapi tidak semudah itu. SIAP akan menghantar laporan serta mengesyorkan tindakan yang boleh diambil ke atas kesalahan tatatertib tersebut. Berdasarkan Seksyen 30 perenggan (2), Pihak Berkuasa Tatatertib perlu melaporkan semula kepada SIAP tindakan yang dilaksanakan dalam masa 14 hari dari tarikh penerimaan laporan. Begitu juga halnya kepada Pendakwa Raya dengan tempoh masa yang sama iaitu 14 hari. Laporan yang diberikan kepada SIAP oleh Pihak Berkuasa Tatatertib tidak berhenti di situ sahaja. Segala tindakan yang dilaksanakan akan diberitakan kepada umum," katanya. Menyentuh perihal Pihak Berkuasa Tatatertib, bertentangan dengan tanggapan sesetengah pihak bahawa tiada tindakan yang dikenakan kepada anggota polis yang melakukan salah laku, kata beliau, sebenarnya ada tindakan-tindakan serius yang dikenakan kepada anggota polis yang bersalah oleh Unit Urus Setia KPN (Tatatertib). Mengikut Laporan Tahunan PDRM, pada 2009 sahaja, sebanyak 1,077 kes telah dikenakan hukuman. Ini termasuklah ke atas Pegawai Kanan Polis. Ini membuktikan Unit Tatatertib menjalankan tugas mereka. Namun begitu, menyentuh isu yang hangat diperkatakan sekarang iaitu kes kematian dalam tahanan, ini dikira sebagai kes jenayah. Melalui pemerkasaan SIAP, siasatan oleh SIAP mampu membawa kes ini terus kepada Pendakwa Raya tanpa perlu melalui Pihak Berkuasa Tatatertib dalam PDRM. SIAP sudah pun diberi kuasa ini, namun malangnya kuasa ini gagal terlaksana seperti yang sepatutnya. Berhubung isu kematian tiga tahanan baru-baru ini, SIAP sudahpun memaklumkan bahawa suruhanjaya tersebut akan menjalankan siasatan terhadap kes tersebut. Seperti yang disebut tadi, kematian dalam tahanan dikira sebagai kes jenayah. Oleh hal yang demikian, SIAP boleh membawa terus kes ini kepada Pendakwa Raya dan bukan untuk siasatan dalaman PDRM," katanya. Persoalan mengapa SIAP tidak efektif seperti mana yang diilhamkan pada permulaan rang undang-undang Akta SIAP boleh dijawab melalui kenyataan rasmi Ketua Pegawai Eksekutif SIAP, Nur Hafizah Hanum Mokhtar yang menyatakan masalah kekurangan tenaga kerja untuk menjalankan penyiasatan. Oleh itu, sekiranya benar SIAP mahu diperkasakan, kerajaan seharusnya serius dalam menangani masalah ini. SIAP perlu dibekalkan dengan jumlah penyiasat yang cukup kerana suruhanjaya ini bertanggungjawab untuk menyelia 21 agensi penguatkuasaan. Masalahnya bukan pada penubuhan SIAP, tetapi masalahnya pada pelaksanaannya. Ini yang seharusnya diperjuang oleh pihak yang benar-benar jujur mahu memperbaiki agensi-agensi penguatkuasaan di negara ini. Selain penambahan anggota penyiasatan, orang awam perlu diberi penerangan dan kesedaran tentang keberadaan SIAP. Kemudahan-kemudahan untuk orang ramai menyalurkan maklumat salah laku anggota penguatkuasa perlu disediakan dan disebar luas," katanya. Seiring dengan syor di atas, Ahmad Faris mahu SIAP bersikap proaktif dalam menjalankan penyiasatan. Ini kerana SIAP mempunyai kuasa untuk menyiasat sesuatu kes salah laku walaupun tidak menerima sebarang aduan. Ini termaktub di dalam Akta SIAP. Menurut beliau, selepas hampir empat tahun penubuhan SIAP, suruhanjaya itu seolah-olah terlepas pandang oleh semua. Sedangkan inilah bentuk IPCMC yang diminta-minta, malah lebih besar lagi kuasa yang ada. Sekiranya SIAP gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan efektif selama ini, apa yang membuatkan kita fikir IPCMC mampu memberikan keputusan yang berbeza? Janganlah meminta penubuhan sebuah suruhanjaya semata-mata untuk mengadakan suruhanjaya. Kita sudah ada SIAP dan sekarang tugas kita untuk membantu usaha murni SIAP menggeledah penyelewengan yang dilakukan oleh anggota penguatkuasaan yang tidak bertanggungjawab. Anggota-anggota ini, bukan sahaja menyusahkan kehidupan orang awam, malah memberi imej buruk kepada Agensi Penguatkuasaan di negara ini," kata Ahmad Faris. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |