Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Susah senang hidup di rumah rakit
- Nelayan bot kecil bimbang ke laut
- Ceroboh: Maritim tahan tiga bot asing bernilai RM6j
Susah senang hidup di rumah rakit Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT Oleh ROSMIZAN RESDI dan WAN Yam Wan Ali di rumah rakitnya di pesisir sungai Kelantan di Kota Bharu, baru-baru ini. Kewujudannya pasti dapat menarik tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa yang ingin merasai sendiri keistimewaan rumah yang didirikan di atas air yang boleh menenangkan fikiran daripada kesibukan tugasan harian. Namun tanggapan tersebut ternyata berbeza dengan keadaan sebenar yang berlaku kepada beberapa buah rumah rakit yang dibina di Sungai Kelantan ketika menyusuri Jambatan Sultan Yahya Petra dekat sini. Tinjauan Utusan Malaysia mendapati kehidupan penghuni rumah rakit di situ ternyata menyedihkan apabila melihat sendiri kedaifan kehidupan rumah tersebut yang boleh diibaratkan 'indah khabar dari rupa.' Rumah kecil yang didiami oleh tiga buah keluarga itu mempunyai dua buah bilik dan memaksa mereka berkongsi bilik yang sempit sehingga ada terpaksa tidur di ruang tamu. Keadaan ini lebih memeritkan apabila kehidupan mereka tidak seperti insan lain yang hidup selesa, sebaliknya mereka terpaksa tinggal di rumah yang dalam keadaan tidak terurus serta berisiko tinggi. Namun, mereka memilih untuk membina rumah rakit yang tapaknya tidak perlu dibeli memandangkan itu sahaja pilihan bagi mereka yang tidak berkemampuan untuk tinggal berdekatan dengan punca rezeki. Siti Eaisah Yusoff, 55, yang sudah menetap di rumah tersebut hampir 20 tahun mengakui kepayahan hidup masa lalu mendorongnya membina rumah rakit bagi menyenangkannya menjalankan pelbagai pekerjaan di bandar. Siti Eaisah yang juga ibu tunggal meluahkan rasa sedih dengan kehidupannya kerana tidak mampu untuk menyewa di tempat lain berikutan sewa rumah yang dikenakan agak tinggi. Pada masa sama, kos menyelenggara rumah rakit yang semakin meningkat turut menjadi beban kepada keluarga wanita berkenaan apabila terpaksa memperuntukan sebanyak RM200 untuk menukar tong dram rumah rakitnya. "Pendapatan saya sebagai seorang tukang jahit hanya RM800 sebulan dan ini tidak mencukupi untuk saya menampung keperluan harian yang semakin meningkat selain perlu membeli tong dram untuk membaiki rumah rakit. "Harga bagi sebiji tong dram adalah lebih kurang RM50 dan kami terpaksa menukarnya sebanyak empat atau lima kali dalam masa setahun," katanya dalam satu pertemuan dengan Utusan Malaysia baru-baru ini. Menurutnya, tong dram sangat penting untuk rumah rakit kerana sekiranya tong dram bocor, ia perlu diganti dengan kadar segera agar rumah tidak senget. "Keadaan ini ada ketikanya memaksa kami sekeluarga menahan lapar bagi menjamin keselamatan keluarga dan tempat tinggal kerana ini sahajalah harta kami," jelasnya yang tidak pernah menerima apa-apa bantuan daripada kerajaan negeri. Kata Siti Eaisah lagi, untuk membina rumah rakit, dia memerlukan lebih kurang 50 tong dram dan menggunakan 700 batang buluh, yang perlu diganti setiap empat tahun sekali kerana buluh itu akan mula mereput akibat terkena air. Menurut anak saudaranya, Wan Yam Wan Ali, 39, rumah yang mereka diami ini sesekali akan bergoyang apabila bot-bot besar melalui belakang rumah mereka. "Setiap kali banjir besar dan air mengalir begitu deras, kami merasa amat bimbang kerana ia boleh menyebabkan rumah dihanyutkan ke muara dan penghuni hilang tempat tinggal," katanya. Selain itu, apabila hujan turun dengan lebat, rumah mereka dapat sampai rapat ke tebing kerana ia boleh bergerak mengikut paras air sungai. Menurut Wan Yam, mereka perlu mengikat tali antara rumah dengan pokok di atas darat untuk mengelak rumah menghentam tebing atau terdampar di tebing sungai apabila air surut. "Ketika itu mudah bagi kami untuk ke bandar kerana rumah kami rapat ke tebing dan kami tidak perlu menaiki tangga yang sedia ada. Namun, selepas banjir kami terpaksa mengupah orang untuk menarik kembali rumah agar berada di tempat yang sepatutnya. "Apabila air surut, tali perlu dikendurkan supaya tidak terdampar dalam keadaan senget di tebing. "Memang payah untuk menolaknya kembali ke sungai dan keadaan ini telah dialami oleh jiran kami ketika musim banjir lepas dan rumah perlu dibaiki malah ada yang terus mengambil keputusan untuk tinggal di darat," jelasnya. Sepanjang tinggal di rumah rakit itu, mereka sekeluarga tidak pernah berpindah walaupun banjir besar kerana sudah biasa dengan keadaannya. Katanya, para penghuni rumah rakit lain adalah jiran-jiran mereka yang terdekat dan hubungan agak akrab kerana latar kehidupan agak sama. Wan Yam berkata, rumah rakit mereka juga sering dikunjungi rakan-rakan yang tinggal di darat dan kebanyakannya tidak melepaskan peluang untuk memancing ikan dan udang di pelantar. Tambah beliau rumah rakit yang didiami mereka agak berisiko dan tidak selamat berikutan terdapat binatang seperti ular dan biawak yang sering masuk ke dalam rumah mereka. "Selain itu pelbagai jenis penyakit juga mudah merebak akibat keadaan persekitaran yang agak kotor dan tidak terurus. "Kadang-kadang ketika kami menjamu selera, binatang seperti biawak besar sering memasuki dapur kerana keadaan dapur yang terdedah serta tidak tertutup dan ini akan menakutkan terutama kanak-kanak. Sudahnya kami terpaksa membawa makanan dan menjamu selera di dalam rumah. "Keadaan ini agak menganggu kami tapi apakan daya, kami tidak mampu untuk membaiki rumah agar lebih selesa berikutan pendapatan yang sedikit," katanya. Wan Yam berharap pihak bertanggungjawab membantu kehidupan mereka dengan memberi sebuah rumah ataupun bantuan membaiki rumah agar dapat menjalani kehidupan lebih selesa dan sempurna pada masa hadapan terutamanya untuk generasi seterusnya. "Saya sebenarnya tidak mahu anak-anak hidup susah seperti saya kerana keadaan rumah rakit ini sudah uzur dan tidak selamat untuk didiami," ujarnya. |
Nelayan bot kecil bimbang ke laut Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT Oleh Radhuan hussain PEMANDANGAN Jambatan Sultan Mahmud yang diselubungi jerebu ketika dirakamkan pada pukul 12.30 tengah hari dari Taman Panorama Kuala Terengganu, semalam. Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sehingga pagi ini di daerah itu berada pada tahap sangat tidak sihat iaitu 249 diikuti Paka pada tahap tidak sihat (159) dan Kuala Terengganu tahap sederhana (95). Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said petang semalam berkata, kerajaan negeri akan mengikuti pemantauan dan tindakan di peringkat Pusat dalam menangani masalah berkenaan jika keadaan semakin buruk. ''Apa juga arahan dari pihak kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri berkaitan masalah ini akan kita patuhi dan laksanakan, sama ada membabitkan penutupan premis dan apa jua pengisytiharan berkaitan," ujarnya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafie berkata, walaupun keadaan jerebu di negeri ini belum seburuk negeri lain, langkah berwaspada akan dilakukan demi keselamatan pelancong terutama yang menggunakan pengangkutan ke pulau-pulau. ''Setakat ini, semua pusat pelancongan di negeri ini dilaporkan tidak terjejas akibat jerebu namun pada masa sama, pihaknya telah mengingatkan semua pengusaha sentiasa mengikuti perkembangan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku. "Memang keadaan jerebu di Terengganu setakat ini tidak seteruk tempat atau negeri lain, tapi kita akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keadaan itu tidak memberi kesan buruk kepada penduduk dan pelancong," ujarnya di sini hari ini. Namun pemandangan di kawasan laut paling terjejas dan hanya sebilangan kecil nelayan terutama di Kemaman dan Dungun keluar menangkap ikan untuk mengelak kejadian yang tidak diingini. Pengerusi Persatuan Nelayan Daerah Kemaman, Aziz A. Razak berkata, kawasan perairan di daerah itu yang merupakan antara laluan kapal-kapal industri dibimbangi membahayakan keselamatan nelayan terutamanya nelayan bot kecil ekoran penglihatan yang terhad. Katanya, biarpun mereka telah dilengkapi dengan aspek keselamatan antaranya jaket keselamatan, sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) dan lampu amaran namun keadaan jerebu yang teruk menyukarkan pergerakan serta mengehadkan penglihatan pengguna jalan laut. "Pada kebiasaannya, jarak tiga batu nautika, nelayan masih lagi nampak daratan namun ketika ini, jarak 100 meter sudah sukar untuk mereka melihat bot rakan-rakan mereka. "Justeru itu, saya minta nelayan tidak keluar atau pun mengehadkan aktiviti ke laut sehingga keadaan udara kembali pulih kerana kita bimbang tentang keselamatan mereka," katanya ketika dihubungi. |
Ceroboh: Maritim tahan tiga bot asing bernilai RM6j Posted: 24 Jun 2013 11:43 AM PDT SALAH sebuah daripada tiga bot yang ditahan menceroboh perairan negara di Pangkalan Operasi Maritim Malaysia di Tok Bali, Pasir Puteh, semalam. PASIR PUTEH 24 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan 44 awak-awak dan tiga tekong nelayan asing serta tiga buah bot laut dalam bernilai lebih RM6 juta kerana menceroboh perairan negara tengah malam kelmarin. Ketua Penguat Kuasa Maritim Kelantan, Kapten Maritim Wan Burhanuddin Jusoh berkata, bot terbabit ditahan kira-kira pukul 12.30 tengah malam melalui Ops Perkasa Timur Siri Ke-72 diketuai Leftenan Komander Norhafizi Mohd. Rafiq bersama 16 anggota pada kedudukan 102 kilometer di Timur Laut Tok Bali. Menurutnya, nelayan asing yang dipercayai dari Vietnam itu tidak memiliki sebarang pengenalan diri dan bot yang digunakan tiada permit menangkap ikan yang sah. "Kehadiran Kapal Maritim Jujur tidak disedari ketiga-tiga bot terbabit yang menangkap ikan di sekitar Pelantar Minyak Perawit disebabkan keadaan berjerebu dan kabus tebal ketika itu. "Semua bot terbabit disyaki menyamar dengan menggunakan nombor pendaftaran bot nelayan tempatan iaitu KNF7807, KNF7832 dan KNF7826 bagi mengaburi pihak berkuasa termasuk mengibarkan Jalur Gemilang. "Bagaimanapun, anggota maritim yang sudah lali dengan taktik sedemikian berjaya mencekup mereka bersama hasil tangkapan dan dibawa ke Pusat Tahanan Vesel Maritim di Tok Bali petang semalam," katanya ketika ditemui di Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali hari ini. Wan Burhanuddin berkata, nelayan yang berusia antara 20 hingga 52 tahun itu ditahan reman mulai semalam untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952. "Hasil siasatan terperinci Maritim Malaysia mendapati bot bernombor pendaftaran KNF 7832 menggunakan nombor pendaftaran yang sama dengan salah sebuah bot yang ditahan pada bulan April lepas dan masih disita di Pusat Penahanan Vesel. "Ia sekali gus membuktikan taktik samaran bot sentiasa dilakukan nelayan asing untuk menceroboh di perairan negara ini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |