Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh ISWAN SHAFIQ MAT ISA KUALA TERENGGANU 5 Jun - Orang ramai yang berminat untuk berniaga di tapak Bazar Ramadan di sekitar kawasan bandar raya ini boleh mendapatkan borang permohonan petak jualan sebelum 20 Jun ini. Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Ghani Idris berkata, sejumlah 20 tempat perniagaan dalam kawasan MBKT dikenal pasti bagi tujuan itu. "Kita kenal pasti tempat perniagaan beserta tempat jualan borang, pengurusan dan kanopi untuk memudahkan peniaga membuat urusan berkaitan," katanya. Menurutnya, ini termasuklah sekitar pasar Cabang Tiga, Manir, Bukit Besar, Pasar Kedai Payang, Teluk Ketapang, Kedai Buluh, Batu Enam, tapak pasar malam Wakaf Tengah, pasar malam Gong Badak, Batu Buruk, Taman Shahbandar 1 dan 2 serta Taman Permint Jaya. "Juga di pasar Pengadang Baru di samping tapak pasar malam di Jalan Budiman, Dataran Taman Purnama, Kampung Baru Seberang Takir, tapak letak kereta MBKT Jalan Batas Baru, tempat letak kereta Masjid Tengku Tengah Zaharah Kuala Ibai dan KP Uptown (Shahbandar)," ujarnya di sini kelmarin. Katanya, pemohon boleh hadir sendiri ke Pejabat Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil atau Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan berkenaan dengan membawa bersama kad pengenalan asal. "Bayaran permit antara RM70 hingga RM140 bergantung pada kawasan yang dimohon manakala bagi peniaga air tebu, air kelapa, ayam bakar/pusing dan ikan bakar akan dikenakan bayaran tambahan RM30," ujarnya. Selain itu katanya, MBKT dengan kerjasama Jabatan Kesihatan akan menyediakan khidmat suntikan Pelalian Typhin VI bagi memudahkan peniaga Bazar Ramadan membuat kad akuan kesihatan. "Para peniaga bolehlah datang ke Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu pada 17 dan 18 Jun mulai pukul 9 pagi hingga 4 petang dan Pejabat MBKT Cawangan Terengganu Utara mulai jam 9 pagi hingga 4 petang untuk membuat suntikan," katanya. |
Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT Oleh ASMA HANIM MAHMOOD SEBAHAGIAN pengunjung melihat Zainab Hussin membuat periuk daripada tanah liat sempena promosi kraf tangan di Kompleks Beli Belah KB Mall, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - UTUSAN/ASMA HANIM MAHMOOD KOTA BHARU 5 Jun - Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Kelantan menganjurkan program Promosi Kraf Malaysia di Kompleks Beli Belah KB Mall dari pukul 10 pagi hingga 10 malam setiap hari yang telah bermula pada 3 Jun lalu sehingga 12 Jun ini. Pengarahnya, Mohd. Razis Md. Said berkata, program yang merupakan sebahagian daripada aktiviti mengisi takwim tahunan agensi itu adalah untuk mempromosi produk keluaran 24 usahawan kraftangan tempatan dan luar. Menurutnya, pengunjung berpeluang melihat garapan terbaharu pengusaha kraf tempatan seperti industri batik, seramik dan perak yang mempamerkan reka bentuk terkini tanpa meminggirkan unsur-unsur tradisional. Beliau berkata, pihaknya menyasarkan hasil jualan sehingga RM200,000 sepanjang sembilan hari program berlangsung. Tambah Mohd. Razis, acara tidak hanya berkisar kepada pameran dan jualan tetapi turut melibatkan demonstrasi penghasilan produk kraf tangan seperti belanga dari tanah liat serta proses anyaman tikar mengkuang oleh pengusaha. "Kami mahu menjadikan promosi kraf ini bukan sekadar program beli-belah semata-mata bahkan sebagai usaha pendidikan untuk masyarakat mengenali lebih dekat hasil kerja tangan. "Terdapat juga aktiviti 'interaktif kraf' di mana golongan muda terutama kanak-kanak boleh mencuba menghias dan mewarnakan produk seramik dengan bimbingan para petugas kami," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Jelasnya, selain aktiviti promosi dalam negeri, pihaknya juga giat membawa para pengusaha memperkenalkan produk mereka ke negeri-negeri lain seperti Pulau Pinang, Selangor, Sabah dan Sarawak di samping menggalakkan mereka membina jaringan hubungan perniagaan. Mengenai perkembangan industri kraf tangan Kelantan, Mohd. Razis memberitahu, sehingga kini terdapat 692 usahawan pelbagai bidang yang berdaftar dengan pihak perbadanan dan majoritinya adalah pengusaha batik. Batik katanya, adalah bidang keberhasilan utama bagi industri kraf negeri ini. Dalam hubungan ini jelas beliau, pihaknya gembira kerana pengusaha batik tempatan bukan sahaja berupaya menghasilkan produk bermutu untuk dijual di pasaran Kelantan, malah menjadi pembekal kepada usahawan batik di Terengganu. Katanya, agenda utama pihak perbadanan selain membantu kegiatan promosi dan pemasaran adalah untuk meningkatkan kepakaran teknikal serta pengeluaran pengusaha kraf selain memperkenalkan kepada mereka rekaan produk baharu yang sesuai dengan trend semasa. "Tahun ini cubism dipilih sebagai tema produk kraf tangan di peringkat kebangsaan di mana rekaan bentuk kiub disaran menjadi asas reka cipta setiap produk sama ada cantingan batik, pertukangan perak dan sebagainya," kata beliau. Jelas Mohd. Razis, penglibatan menggalakkan golongan muda dalam industri kraf tangan antara sebab bidang itu tidak ketandusan pelapis untuk terus memartabatkan kesenian warisan bangsa. Pada tahun lalu ujar beliau, pihaknya merekodkan hasil jualan kraf tangan bernilai lebih RM30 juta membabitkan 347 pengusaha yang dipantau secara langsung di bawah beberapa program antaranya satu daerah satu industri (SDSI), kraf warisan, inkubator kraf serta program mikro kecil dan sederhana (MKS) di seluruh negeri ini. Beliau berkata, pihak perbadanan sentiasa mengalu-alukan usahawan kraf untuk mendapatkan bimbingan dan khidmat nasihat mereka malah menyediakan kursus latihan jangka pendek (LJP) secara percuma dalam pelbagai bidang untuk tempoh tiga hingga enam bulan di Pusat Inovasi Kraf di Jalan Kuala Krai di sini. "Kami sentiasa membuka pintu kepada para usahawan mendapatkan khidmat nasihat terutama golongan muda yang merupakan pewaris kepada kelangsungan industri kraf negara," katanya. Sementara itu, salah seorang pengusaha, Zainab Hussin, 65, masih aktif membuat belanga dari tanah liat sejak berusia 15 tahun setelah berpindah ke Kuala Krai dari kampung asalnya di Kedai Buloh, Kota Bharu kira-kira 50 tahun lalu. Menurutnya, beliau mula belajar cara membuat belanga daripada ibu mentuanya. "Seingat saya, kebanyakan golongan wanita Kampung Mambung ketika itu pandai membuat periuk belanga, masakan dalam periuk tanah liat adalah lebih sedap daripada periuk biasa. "Sebab itu sejak dahulu lagi orang dari Kota Bharu pun suka membeli periuk dari kampung ini. Pada masa itu periuk yang siap akan dihantar ke utara negeri melalui jalan sungai," katanya. Zainab memberitahu, menerusi usahanya menghasilkan periuk belanga, dia mampu mendapat pulangan sehingga RM800 sebulan. "Saya hanya menggunakan tanah liat dari Kampung Seri Tanjung dan Kampung Bahagia kerana dikatakan tanah liat di situ adalah yang terbaik. Setiap periuk perlu dibakar selama lima jam dalam dapur sebelum siap. "Sebenarnya ada banyak permintaan untuk belanga dan juga periuk kukusan daripada tanah liat tetapi saya tidak boleh terima banyak tempahan," katanya yang gembira melihat keterujaan pengunjung menyaksikan aksinya menguli tanah liat. Pengunjung yang tertarik dan berminat, boleh mendapatkan periuk tanah liat tersebut dengan harga antara RM10 dan RM25 setiap satu. Tidak ketinggalan mengambil bahagian pada program itu ialah seorang pengusaha seramik, Ahmad Cukri, 42, dari Kuala Kangsar, Perak. Ahmad berkata, dia membawa hampir 5,000 produk seramik pelbagai jenis dan saiz yang dihasilkan sendiri ke pameran itu termasuk labu sayung. "Saya membawa pasu, bekas lampu, labu sayung dan juga bekas cenderahati perkahwinan yang dijual pada harga bermula RM1 sehingga RM70 sahaja khusus untuk pameran ini," katanya. |
Posted: 05 Jun 2013 11:45 AM PDT KOTA BHARU 5 Jun - Semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan-badan profesional dan sektor swasta diminta bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan dalam memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin membimbangkan di negara ini. Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Lokman Sulaiman berkata, usaha bagi mencegah NCD bukan hanya tugas Jabatan Kesihatan tetapi menuntut penglibatan aktif semua pihak. Dr. Lokman berkata, dengan penglibatan secara bersungguh-sungguh semua pihak khususnya NGO dan badan profesional, usaha itu sedikit sebanyak akan dapat membantu mencegah peningkatan bilangan pesakit NCD di negara ini. "Alhamdulillah setakat ini kita banyak bekerjasama dengan NGO-NGO dan mereka juga telah memberikan kerjasama yang baik dengan kita khususnya apabila mengadakan kempen dan program kesedaran bersama masyarakat dalam mencegah wabak NCD ini. "Peranan NGO ini sangat penting, bila bercakap soal NGO ini ia bukan hanya sebuah badan berdaftar, malah Jawatan Kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) juga kita anggap sebagai NGO dalam membantu kita memerangi wabak ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kesihatan Kelantan Ke-38 di sebuah hotel di sini hari ini. Yang turut hadir, Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir; Timbalannya, Dr. Wan Mansor Hamzah dan Pengerusi Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Profesor Madya Dr. Mohamed Rusli Abdullah. Persidangan selama dua hari itu membabitkan lebih 500 orang perwakilan dari seluruh negara dan wilayah Narathiwat, Thailand. Sementara itu, Dr. Lokman berkata, amalan gaya hidup tidak sihat seperti pemakanan, tidak aktif, menghisap rokok dan tekanan perasaan memainkan peranan utama menyaksikan peningkatan NCD dalam kalangan masyarakat. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |