Berita Harian: Mutakhir
Posted by Tanpa Nama
Berita Harian: Mutakhir |
Malaysia harap konflik di Mesir selesai cara damai Posted: 28 Jul 2013 12:59 AM PDT KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia berharap konflik di Mesir dapat diselesaikan secara damai dan menggesa semua pihak agar tidak memilih jalan keganasan. Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini, Malaysia turut melahirkan kebimbangan yang mendalam terhadap situasi semasa di Mesir yang telah mengorbankan banyak nyawa serta mencederakan ribuan yang lain.
Situasi politik di Mesir tegang ekoran penggulingan Presiden Mohammed Morsi pada 3 Julai lalu oleh pihak tentera negara itu. Demonstrasi yang berlarutan oleh penyokong dan penentang Morsi sejak tarikh itu mencapai kemuncaknya semalam apabila kira-kira 120 penyokong Morsi terkorban dan lebih 4,500 yang lain cedera dalam kejadian tembakan terhadap penunjuk perasaan pro-Morsi, menurut laporan media antarabangsa. Sementara itu, Kementerian Luar mengesahkan sehingga kini semua rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan yang baik dan selamat. Bagaimanapun, mereka diminta untuk terus mematuhi garis panduan keselamatan yang telah dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan pihak berkuasa tempatan.
"Wisma Putra akan terus memantau situasi di Mesir secara dekat bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana terus terjamin," kata kenyataan itu. - BERNAMA
|
Kerajaan boleh bertindak jika ada bukti: Jamil Khir Posted: 28 Jul 2013 12:41 AM PDT YAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan boleh mengambil tindakan jika ada bukti empat institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Lembah Klang menjadi pusat penyebaran fahaman Syiah di kalangan pelajar negara ini. Sambil mendesak pihak yang membuat dakwaan itu mendedahkan IPTA terbabit, beliau berkata: "Soal nak tuduh mesti ada bukti. Sebab itu laporan oleh beberapa akhbar tempatan hari ini mengenai perkara itu tidak mendedahkan nama keempat-empat IPTA berkenaan," katanya ketika diminta mengulas isu itu.
Jamil Khir yang juga ahli Parlimen Jerai berkata, walaupun tiada bukti dalam banyak kes pihak berkuasa masih perlu menyiasat laporan perkara-perkara yang didedahkan. "Kita tahu ada pelajar asing dari Iran dan Iraq yang menganut fahaman Syiah mengamalkan ajaran Syiah tetapi mereka sama sekali tidak dibenarkan menyebarkan ajaran itu di kalangan pelajar tempatan. "Mereka yang melanggarnya sama ada didokong oleh Iran atau Iraq pasti diambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang untuk didakwa di Mahkamah Syariah atau Sivil. Kita telahpun melakukannya sebelum ini," kata Jamil Khir. Katanya kerajaan berterusan menguatkuasakan undang-undang dan tidak bertolak ansur terhadap pengembang fahaman Syiah kepada umat Islam di negara ini berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Menjawab soalan wartawan, beliau berkata kerajaan tidak boleh menyekat amalan pelajar asing yang berfahaman Syiah kerana ia menyentuh soal kebebasan pendidikan cuma mereka tidak boleh menyebarkannya. Mengulas sumbangan itu, Jamil Khir berharap ia dapat meringankan sedikit bebanan golongan kurang bernasib baik dan berkemampuan membuat persediaan menyambut Aidilfitri. - BERNAMA
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |