Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Peringatan tegas kepada peniaga
- 1,900 terima sumbangan sempena Ramadan
- RM50,000 zakat diagih kepada pelajar miskin
Peringatan tegas kepada peniaga Posted: 27 Jul 2013 10:28 AM PDT Oleh SHOLINA OSMAN Khairul Amin Talib memeriksa tanda harga yang diletakkan peniaga ayam semasa pelancaran Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa sambil diperhatikan Sabry Ahmad (kanan) di Pasar Besar Sena, Kangar, Perlis, kelmarin. KANGAR 27 Julai - Kerajaan negeri mengingatkan peniaga supaya mematuhi arahan mempamerkan tanda harga khas berwarna merah jambu ke atas 20 barangan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan (SKHMP) Hari Raya Puasa jika tidak mahu dikenakan tindakan undang- undang. Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Sabry Ahmad berkata, dengan kesalahan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penetapan Harga Maksimum dan Penandaan Harga Barang-Barang Harga Terkawal) itu peniaga boleh dikompaun sehingga RM5,000 bagi individu dan RM10,000 bagi syarikat. ''Tanda harga khas ini penting supaya pengguna dapat membezakan harga barang kawalan dengan yang lain supaya tidak ditipu peniaga," katanya dalam sidang akhbar selepas menjalankan pemeriksaan gerai di Pasar Besar Sena di sini sempena pelancaran SKHMP Hari Raya Puasa 2013 peringkat negeri di sini, semalam. Yang turut hadir, Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Perlis, Khairul Amin Talib. Menurut Sabry, tempoh masa untuk memantau barang kawalan SKHMP pada tahun ini dilaksanakan lebih awal iaitu mulai semalam. ''Semuanya akan berjalan selama 17 hari di mana skim ini akan tamat pada dua hari selepas raya supaya peniaga tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna di musim perayaan," katanya. Sabry juga memuji peniaga yang sanggup menjual ayam proses dengan harga RM7.50 sekilogram sedangkan harga siling ditetapkan RM7.70. ''Ini menunjukkan peniaga boleh menjual ayam dengan harga lebih rendah jika tidak terlalu mementingkan keuntungan," katanya. |
1,900 terima sumbangan sempena Ramadan Posted: 27 Jul 2013 10:28 AM PDT DARI kiri, Badrul Hisham Hashim, Mahdzir Khalid dan Ghazali Ibrahim menyampaikan sumbangan berupa barangan keperluan harian kepada golongan kurang bermampuan di Padang Terap, Kedah, semalam. PADANG TERAP 27 Julai - Seramai 1,900 orang dari sekitar kawasan Parlimen ini menerima sumbangan keperluan harian yang diusahakan oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Ghazali Ibrahim di sini hari ini. Majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung di pekarangan rumah Ghazali itu merupakan amal jariah dilakukan beliau sempena Ramadan sejak tujuh tahun lalu. Yang turut hadir Ketua UMNO Bahagian Padang Terap merangkap Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrul Hisham Hashim. Penerima terdiri daripada ibu tunggal, golongan miskin, orang kelainan upaya (OKU), veteran UMNO dan anak yatim diberikan sumbangan beras, kain pelekat atau batik dan duit raya. Menurut Ghazali, barangan keperluan harian itu adalah hasil sumbangan beberapa pihak termasuk badan korporat bertujuan meringankan beban mereka pada Ramadan dan menjelang Syawal tidak lama lagi. "Sumbangan ini juga antara lain bertujuan memberi keceriaan kepada penduduk pada bulan mulia ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Terap berkata, menerusi program itu dapat memupuk silaturahim serta perpaduan dalam kalangan penduduk apabila mereka saling beramah mesra dan bertanya khabar. "Perpaduan adalah elemen penting dalam pembangunan khususnya di kawasan ini yang memerlukan lebih banyak kemudahan asas termasuk jalan raya," katanya. |
RM50,000 zakat diagih kepada pelajar miskin Posted: 27 Jul 2013 10:28 AM PDT SUNGAI PETANI 27 Julai - Bank Rakyat Sungai Petani menyerah sumbangan zakat perniagaan berjumlah RM50,000 kepada pelajar miskin di 77 sekolah rendah dan menengah di daerah Kuala Muda dalam majlis berbuka puasa di Hotel Park Avenue Sungai Petani, di sini baru-baru ini. Penyerahan itu dilakukan oleh Ketua Wilayah Utara Bank Rakyat, Ahmad Mazlan A. Manaf kepada Pegawai Pelajaran Kuala Muda, Abdul Razak Mat. Pengurus Cawangan Bank Rakyat Sungai Petani, Othman Shahid berkata, sumbangan zakat itu untuk diagihkan kepada pelajar di 54 sekolah rendah dan 23 sekolah menengah di daerah itu. "Mereka yang menerima wang RM100 seorang itu adalah daripada keluarga susah, kita harap mereka ceria apabila menerimanya di sekolah masing-masing sedikit masa lagi," katanya. Selain itu, kata beliau, pihaknya turut menyerah sumbangan RM2,000 kepada pihak pengurusan sebuah surau di Kampung Bendang Dalam, Jalan Bukit Pendiat, Bedong di sini, untuk membeli sistem audio untuk kegunaan surau itu. Menurut Othman, pemberian zakat dikeluarkan setelah ada pihak mengemukakan permohonan kepada Bank Rakyat sebelum bulan Ramadan. Sementara itu, Ahmad Mazlan berkata, Bank Rakyat di kawasan Utara tidak ketinggalan menjalankan Kempen Promosi Ria Aidilfitri yang berlangsung sejak 10 Julai lalu hingga 20 Ogos ini. "Melalui kempen itu, mereka yang memohon mendapatkan pembiayaan peribadi, kenderaan dan perumahan akan mendapat beberapa hadiah menarik," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |