Kosmo Online - Dunia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Dunia |
- 75 maut gempa bumi kuat di China
- Skylon terbang 4 jam ke mana-mana destinasi di dunia
- Isteri William dijangka bersalin bila-bila masa
75 maut gempa bumi kuat di China Posted: 75 maut gempa bumi kuat di China
BEIDAO - Lebih 75 orang terbunuh apabila dua gempa bumi cetek menggegarkan barat laut China semalam, kata seorang pegawai tempatan kepada agensi berita AFP ketika pasukan penyelamat bergegas untuk mencari mangsa. Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat menyatakan, gempa kuat berukuran 6.6 pada skala Richter itu melanda pada pukul 7.45 pagi (waktu tempatan) dan berpusat 151 kilometer ke barat bandar ini, dalam wilayah Gansu. Gempa bumi itu berlaku pada kedalaman hanya 9.8 kilometer dari permukaan Bumi. Gegaran kedua bermagnitud 5.6 melanda kawasan sama pada pukul 9.12 pagi pada kedalaman 10.1 kilometer. Pegawai berkenaan berkata, sebanyak 75 orang setakat ini disahkan terbunuh dengan lebih 600 lagi mengalami kecederaan serius. "Lebih 21,000 bangunan di beberapa buah bandar rosak teruk dan lebih 1,200 lagi runtuh," katanya. Dalam perkembangan berkaitan, portal berita internet 163.com melaporkan, sebanyak 500 anggota tentera termasuk 120 petugas khas penyelamat telah dikerah ke tempat kejadian. Stesen-stesen televisyen tempatan menyiarkan rakaman menunjukkan beberapa buah kampung dan jalan raya yang runtuh akibat gempa bumi itu. Sebahagian besar barat laut China terdedah kepada gempa bumi. Beberapa penduduk di daerah Minxian dilapor sebagai berkata, mereka melihat banyak pokok dan rumah bergegar. Menurut mereka, gempa itu berlaku sekitar satu minit. Gegaran turut dirasakan di ibu negeri wilayah Gansu, Lanzhou dan hingga ke bandar Xian. Xian merupakan ibu negeri wilayah Shaanxi yang berjiran dengan Gansu. Sebanyak 200 orang terbunuh apabila gempa bumi berukuran 6.6 pada skala Richter melanda wilayah Sichuan awal tahun ini selepas hampir 90,000 orang maut dalam satu gempa bumi dahsyat di wilayah sama. - Agensi | |
Skylon terbang 4 jam ke mana-mana destinasi di dunia Posted: Skylon terbang 4 jam ke mana-mana destinasi di duniaDua jurutera Reaction Engines giat bekerja untuk membangunkan teknologi sistem enjin pra-pendingin. LONDON - Sebuah syarikat aeroangkasa di Britain sedang membangunkan pesawat baharu yang mampu sampai ke mana-mana destinasi di dunia dalam masa singkat. Selain itu, pesawat berteknologi tinggi itu juga boleh terbang ke angkasa lepas. Firma aeroangkasa Britain, Reaction Engines dikatakan sedang membangunkan sebuah pesawat yang dipercayai mampu membawa para penumpang ke mana-mana sahaja di dunia dalam masa empat jam. Pihak Reaction Engines berkata, perkara itu mampu dilakukan melalui teknologi sistem pra-pendingin. Dalam satu rakaman video, Ketua Kejuruteraan Reaction Engines, Alan Bond berkata, udara sejuk itu membolehkan enjin jet mengeluarkan kuasa yang jauh lebih tinggi berbanding sekarang. "Teknologi ini membolehkan pesawat mencapai lima kali ganda kelajuan bunyi dengan mudah," kata Bond. Syarikat itu berharap dapat menggunakan teknologi tersebut untuk membina sebuah pesawat yang mampu memuatkan 300 penumpang. Ia yang dinamakan Skylon, sepanjang 84 meter dan dan dianggar berharga AS$1.1 bilion (RM3.49 bilion). Pesawat tersebut dijangka melakukan penerbangan pandu uji pada 2019. - Agensi | |
Isteri William dijangka bersalin bila-bila masa Posted: Isteri William dijangka bersalin bila-bila masaPUTERA William dan Isterinya, Kate Middleton tiba di gereja Westminster Abbey di London sempena ulang tahun ke-60 pertabalan Ratu Elizabeth II.- agensi LONDON - Isteri Putera William, Kate Middleton dimasukkan ke hospital semalam dan dijangka melahirkan anak sulung pasangan diraja Britain itu pada bila-bila masa sahaja. Kate disahkan hamil pada Disember tahun lalu dengan jantina bayi tersebut tidak didedahkan. Dalam pada itu, tradisi diraja Britain menyatakan, pengumuman kelahiran bayi itu akan dibuat melalui catatan pada papan buletin kecil di hadapan Istana Buckingham di sini. Cara sama digunakan untuk mengumumkan kelahiran Putera Charles pada tahun 1948 dan Putera William pada 1982. Menurut pegawai istana, sebaik sahaja bayi Kate dilahirkan, doktor akan menandatangani dokumen istana dengan mencatatkan jantina dan masa kelahiran bayi. Antara laporan yang terkandung dalam dokumen itu termasuk keadaan kesihatan dan berat bayi. Seorang pembantu diraja akan memberikan buletin ini kepada pegawai yang ditugaskan untuk membawanya dari hospital ke istana. Penghantaran buletin itu akan disiarkan secara langsung di kaca televisyen dan disaksikan oleh berjuta-juta penonton. Pada masa yang sama, berita itu turut diumumkan dalam talian melalui akaun rasmi Twitter dan Facebook monarki Britain. - AP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |