Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Dunia baharu IzreenPERUTNYA sudah memboyot ke depan, hanya menghitung hari untuk menyambut kelahiran anak sulung. Namun, pelakon Izreen Azminda masih ceria dan kekal aktif seperti selalu. Dia tidak kelihatan lelah seperti ibu hamil yang lain. Walaupun perutnya sudah besar, Izreen hadir ke sesi fotografi dengan memandu kereta sendirian. Malah, pada saat pertemuan kami berlangsung, kandungan pelakon itu telah mencecah usia sembilan bulan. Pendek bicara, dia kini menghitung hari untuk bersalin. "Alhamdulilah, sepanjang hamil saya tidak mempunyai sebarang alahan dan tidak pula mengidam makanan yang pelik-pelik. Saya masih bekerja seperti biasa kerana sudah tandatangani kontrak dan hanya berehat daripada lakonan apabila kandungan sudah mencecah empat bulan," ujarnya. Berehat di rumah dalam jangka waktu yang lama memberi peluang kepadanya untuk memantapkan lagi ilmu masakan. Jelasnya, sebelum ini, dia hanya tahu memasak makanan yang ringkas sahaja. "Bila duduk di rumah, saya jadi bosan jadi banyaklah masa untuk membelek resipi baru. Seronok juga sebab saya dapat luangkan lebih banyak masa bersama suami dan mencuba masakan yang langsung tidak pernah saya masak sebelum ini. "Mungkin ada yang ketawakan saya jika saya mendedahkan bahawa sebelum ini saya langsung tidak pandai masak pajeri nanas, tetapi sekarang bolehlah masak jika dipinta suami. Kira ini waktu cuti panjang saya sebelum siapkan diri untuk kembali aktif selepas bersalin kelak," balasnya. Selain daripada berehat, Izreen juga banyak diperturunkan petua daripada ibunya dan saudara-maranya yang lain sepanjang kehamilan. Bagaimanapun sebagai wanita moden, Izreen hanya mengikut sesetangah daripada petua yang diberi. "Sejak hamil, macam-macam petua yang saya tidak pernah dengar diberi oleh keluarga saya. Misalnya, kalau mengidam mesti dipenuhi, nanti air liur anak meleleh, tidak boleh koyakkan plastik makanan, sebaliknya kena pakai gunting nanti takut anak sumbing. "Jujurnya, saya sangat terkejut dengan segala petua itu, tetapi saya tidak ikut semua. Saya hanya ikut mana yang saya rasa logik sahaja sebab kalau nak ikut semua, saya yang penat," katanya dalam tawa. Rahsiakan jantina bayi Mungkin sudah minat dalam bidang lakonan, meskipun dalam tempoh istirehat, Izreen tetap menerima tawaran lakonan ketika kandungannya enam bulan. Katanya, dia menerima tawaran dalam telefilem Barakah yang akan ditayangkan pada hari raya kedua di RTM itu kerana wataknya sebagai ibu hamil. "Saya curi-curi bekerja. Tambahan pula, wataknya sangat sesuai iaitu sebagai ibu hamil. Saya tidak perlu bergerak banyak dan penggambaran hanya mengambil masa lebih kurang seminggu sahaja. Jadi, apa salahnya asalkan saya utamakan kesihatan saya dan bayi dalam kandungan," balasnya. Disoal tentang jantina bayi yang bakal dilahirkan, Izreen hanya tersenyum dan memberitahu dia enggan mendedahkan jantina bayi yang bakal lahir. "Rahsialah, tunggu sampai saya lepas bersalin nanti (ketawa). Saya dan suami memang sudah tahu, tetapi kami ingin menjadikan saat kelahiran itu istimewa buat kami berdua. Jadi lebih baik rahsia dahulu daripada orang lain. "Saya percaya petua orang dahulu kata, jangan terlampau teruja dan seronok menyambut kelahiran anak pertama. Jadi, biarlah saya simpan semuanya sehingga saat akhir, nanti lambat laun orang akan tahu juga," tuturnya. Berbicara tentang perubahan berat badannya, Izreen memberitahu berat badannya kini mencecah 75 kilogram daripada berat asal iaitu 53 kilogram.
Dia bagaimanapun tidak bimbang dengan berat badan naik mendadak kerana menurutnya kenaikan berat badan adalah sesuatu yang normal. Selagi tidak menganggu kesihatannya, dia bebas makan apa sahaja. "Saya jenis yang makan apa sahaja yang ada depan mata. Tidak pernah mengidam, tetapi kalau sudah nampak memang saya akan makan banyak. Orang kata waktu hamil saya boleh makan sepuasnya, sebab semasa berpantang, saya akan berusaha untuk mendapatkan berat badan asal semula," katanya. Akui Izreen yang berdebar menanti kelahiran anaknya, dia merancang untuk melahirkan anak di Hospital Ampang Puteri, Selangor dan berpantang di Kuala Lumpur sahaja. "Memang mulanya saya merancang ingin berpantang di kampung halaman di Perlis, tetapi jauh sangat perjalanannya selepas bersalin. Suami pula kerjanya sebagai jurukamera tidak tentu masa dan lokasi, jadi lebih baik saya berpantang di Kuala Lumpur, mudah untuk suami melihat saya dan anak. "Saya tetap minta ibu saya datang ke Kuala Lumpur untuk menjaga saya ketika berpantang kerana ibu lebih memahami saya daripada orang lain," ujarnya yang akan kembali bekerja selepas hari raya Aidilfitri. Disoal apakah persiapan yang telah dilakukan untuk menyambut kelahiran anaknya, Izreen menjelaskan segalanya telah disiapkan memandangkan tempoh waktu untuknya bersalin cukup dekat. "Semua sudah siap, baju, kelengkapan bayi dan keperluan saya sendiri sebagai bakal ibu. Bila lihat barang-barang bayi, saya rasa tidak sabar untuk pegang anak sendiri, tetapi dalam masa yang sama bila dengar cerita rakan-rakan kesakitan waktu bersalin, saya jadi takut pula," katanya yang dijangka bersalin secara normal. Sama seperti ibu bapa yang lain, pastinya Izreen dan suami ingin yang terbaik untuk anak mereka. Namun, sebolehnya, Izreen enggan anaknya mengikut jejak langkahnya terlibat dalam bidang seni kerana tahu kesukaran sebagai penggiat seni. "Kalau boleh saya mahu dia berjaya dalam bidang akademik dan memilih kerjaya yang menjamin masa depan seperti peguam atau doktor. Jika, dia mahu terlibat juga dalam bidang seni, dia harus berjaya mendapat segulung ijazah terlebih dahulu," ceritanya tentang perancangan masa hadapannya. | |
Susan Manen aktif selepas anak membesar Posted: Susan Manen aktif selepas anak membesarOleh RONI HIDAYAT RIDWAN
NAMA pelakon cantik Susan Manen mungkin agak asing buat generasi baharu, tetapi dia pernah bergiat aktif dalam bidang lakonan sekitar pertengahan tahun 90-an. Setelah muncul juara pertandingan Ratu Cantik Malaysia 1993, dia kemudiannya telah dilamar untuk membintangi filem berjudul Penyu arahan Z. Lokman dua tahun kemudian sehingga mula melonjakkan namanya sebagai seorang pelakon. Bagaimanapun, pelakon yang kini berusia 39 tahun itu seperti tenggelam dalam dunia lakonan apabila dia mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dengan pelakon Mustapha Kamal dan bergelar mualaf pada tahun 1998. Berpeluang menemuinya semasa penggambaran telemovie Abang Long vs Kak Yong di Damansara, Petaling Jaya, Selangor minggu lalu, ibu kepada empat orang anak itu menyatakan dia tidak pernah meninggalkan bidang lakonan. Kosmo!: Sudah agak lama Susan tidak muncul di kaca televisyen atau layar perak. Adakah sekarang ini anda sudah melupakan dunia lakonan? Susan: Semenjak berlakunya krisis ekonomi pada tahun 1998, saya sudah jarang mendapat tawaran berlakon dan seolah-olah peluang dalam dunia lakonan sudah tertutup rapat. Pada masa yang sama perkahwinan juga antara punca yang membuatkan saya mengurangkan aktiviti lakonan, tetapi saya tidak pernah melupakan bidang ini kerana ia merupakan suatu kerjaya yang menyeronokkan. Sepanjang tidak bergerak aktif sebagai pelakon, apakah aktiviti yang anda lakukan? Pada mulanya saya memberikan sepenuh tumpuan kepada rumah tangga kerana semasa berkahwin dengan Abang Mus (Mustapha Kamal) dahulu, saya perlu membesarkan enam orang anak tiri saya. Kemudian sepanjang perkahwinan dengan Abang Mus, kami telah dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Sabella Qawiema, 14, Aulia Qayyiem, 12, Salsabil Qurani, 10 dan Naqli Qaddiem, 7. Biarpun sudah mendirikan rumah tangga dan membesarkan anak-anak, saya tidaklah meninggalkan bidang seni sepenuhnya memandangkan saya selalu mendapat tawaran berlakon iklan. Adakah anda tidak mendapat sebarang tawaran berlakon dalam drama atau filem? Tawaran itu memang ada dan saya pernah muncul sebagai pelakon undangan dalam beberapa buah drama dan filem, tetapi ada juga tawaran yang terpaksa saya tolak. Sebenarnya saya ini bukanlah terlalu jenis yang memilih watak dan tidak kisah sekiranya diberikan peranan cameo. Cuma, kebanyakan tawaran yang diterima itu bayarannya langsung tidak berpatutan kerana terlalu rendah. Apakah yang membuatkan anda ingin kembali aktif berlakon sekarang? Memandangkan kesemua anak-anak saya sudah semakin membesar, sudah tiba masanya untuk saya aktif semula. Sebelum ini agak sukar untuk selalu berlakon kerana perlu menjaga anak-anak memandangkan kami tidak menggunakan khidmat pembantu rumah. Adakah suami tidak menghalang keputusan yang dibuat ini? Sudah tentu suami menyokong keinginan saya yang ingin aktif berlakon kerana dia juga merupakan seorang pelakon, asalkan saya perlu menjaga batas-batas sebagai seorang isteri dan ibu. Kini, kami hanya perlu mengaturkan jadual supaya tumpuan terhadap anak-anak tidak terabai. Misalnya, kami akan pastikan jadual lakonan tidak bertembung sesama sendiri supaya ada yang menjaga rumah dan anak-anak sekiranya salah seorang daripada kami menjalani penggambaran. | |
Posted: Syura mahu tunaikan nazar ibuOleh KHAIRUL AMRI HASSAN JUARA Masterchef Selebriti Malaysia 2, Syura mahu menghantar ibunya menunaikan umrah menerusi duit kemenangannya. BAGAI mengiakan spekulasi yang tercetus seminggu sebelum episod akhir MasterChef Selebriti Malaysia 2, penyanyi Syura akhirnya ditabalkan sebagai juara rancangan realiti masakan itu. Syura mengalahkan Celina Khor dalam final MasterChef Selebriti Malaysia 2 menerusi cabaran mencipta menu bertemakan Sajian Sehangat Bintang untuk sembilan orang penumpang kelas pertama dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS). Menerusi cabaran itu, masing-masing dikehendaki menyediakan hidangan pembuka selera, sajian utama dan pencuci mulut. Syura yang popular dengan lagu Nazam Berkasih telah menyediakan hidangan Avocado Ketam Berkasih, Sesuci Cinta Syura dan Salju Hati Merindu yang telah menambat hati juri utama pertandingan itu iaitu Chef Jo, Chef Zubir dan Chef Adu Amran. Bocor Memberikan reaksi terhadap keputusan akhir yang didakwa telah bocor terlebih awal daripada episod akhir yang disiarkan pada malam Selasa lalu, Syura mengaku sedikit terkilan. "Hidangan saya bukanlah teruk sampai hangit hinggakan ada segelintir pihak yang mengeluarkan komen negatif dan menyifatkan saya tidak layak untuk bergelar juara. "Ya, saya akui ada terbaca komen-komen peminat di laman sosial Facebook MasterChef Selebriti Malaysia 2, tapi saya menganggap itu sebagai pencetus semangat untuk terus berjaya. "Melalui program masakan ini saya sebenarnya mencabar diri dan kemampuan saya di dapur. Rancangan ini telah banyak mengubah landskap hidup saya, kalau dulu saya jarang ke dapur tapi sekarang pelbagai juadah dapat saya hasilkan hari demi hari," katanya yang ditemui selepas majlis tayangan episod akhir MasterChef Selebriti Malaysia 2 di Restoran Delicious Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 29, mengakui rancangan itu merupakan batu loncatan untuk kembali bergiat aktif dalam dunia seni suara. "Saya masih sayang bidang nyanyian dan untuk menjadi seorang chef tidak mudah kerana gelaran itu bukan sembarangan diberikan kepada seseorang. BARISAN peserta Masterchef Selebriti Malaysia 2 meraikan kemenangan Syura. "Insya-Allah saya akan kembali merakamkan single bersama sebuah syarikat rakaman tidak lama lagi," tambahnya yang merancang untuk membuka restoran sebagai hadiah kepada peminat merasai air tangannya. Selaku pemenang, Syura sekali gus menyumbangkan RM60,500 kepada badan kebajikan yang diwakilinya iaitu Breast Cancer Welfare Association of Federal Territory, manakala Celina menyumbangkan RM10,000 kepada Furry Friends Farm. Drama Syura dalam pada itu menjelaskan dia tidak menyembunyikan sifat sebenarnya di dapur MasterChef Selebriti dan menegaskan kata-kata serta perbuatannya adalah dirinya sebenar. "Saya menjadi diri saya sendiri, kalau saya tidak berpuas hati saya akan cakap. Apa yang penonton nampak di kaca televisyen adalah saya. "Kadang-kadang saya rasa diri saya terlalu jujur dan orang selalu nampak saya gelisah tapi itulah warna sebenar Syura," katanya yang mendapat tawaran menyertai rancangan itu selepas berpindah dari Johor Bahru, ke Kuala Lumpur bersama keluarga hujung tahun lalu. Syura turut menerima hadiah dua tiket penerbangan kelas perniagaan pergi dan balik ke Paris, Perancis menaiki pesawat Airbus A380 MAS dan lebih manis apabila sajian Syura akan dihidangkan di kelas pertama pesawat berkenaan. Penyanyi itu turut meluahkan isi hati untuk menghantar ibunya, Samsiah Mohammad, 62, mengerjakan umrah terlebih dahulu sebelum dia dan suaminya terbang ke Perancis. "Saya mahu lunaskan nazar terhadap ibu saya terlebih dahulu sebelum pergi bercuti. Ini impian saya apabila menyertai rancangan ini dah syukur Alhamdulillah hajat saya dimakbulkan," ujarnya. MasterChef Selebriti Malaysia 2 disertai oleh 19 selebriti antaranya Rozita Che Wan, Enot, Kenchana Devi, Norish Karman, Syanie, Lydiawati, Datuk Aznil Nawawi dan Zain Saidin. Sementara itu, ulas Pengurus Saluran Astro Ria, Raqim Ahmad Ramli berkenaan spekulasi kemenangan Syura yang telah bocor terlebih awal, pihaknya akan memastikan rahsia rancangan MasterChef selepas ini diperketatkan. "Sebenarnya spekulasi itu timbul kerana rancangan ini telah dirakamkan terlebih awal, namun tidak dinafikan sehingga malam episod akhir masih ada sokongan terhadap Celina. "Spekulasi sukar dikawal dan orang akan tetap memperkatakan tapi kebenarannya muncul pada malam episod akhir," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |