{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Pemotoran

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Pemotoran


MPV hibrid pertama di Malaysia

Posted:

MPV hibrid pertama di Malaysia

MPV hibrid pertama di Malaysia

EDARAN Tan Chong Motor (ETCM) pada Selasa lalu memperkenalkan Nissan Serena S-Hybrid, sekali gus menjadi model MPV hibrid pertama yang ditawarkan kepada pengguna tempatan.

Sudah membuat debut di pasaran Jepun pada Ogos tahun lalu, MPV hibrid itu tampil dengan pelbagai ciri pintar demi memenuhi ekspektasi pengguna. Jangkaan ETCM bahawa Nissan Serena S-Hybrid bakal mendapat sambutan hangat ternyata tepat. Sehingga kini, lebih 500 unit jentera tersebut telah ditempah.

Selari dengan maklum balas positif tersebut, ETCM meletakkan sasaran untuk menjual 350 unit Nissan Serena S-Hybrid sebulan dan 2,000 unit menjelang akhir tahun ini.

Sebenarnya, pelancaran model itu selari dengan hala tuju kerajaan yang mahu mempromosikan kenderaan cekap bahan api (EEV) di Malaysia. Sebagaimana yang kita ketahui, pengecualian cukai import terhadap model hibrid berkapasiti bawah 2,000cc akan berakhir pada 31 Disember 2013, jadi ETCM mahu mengambil peluang tersebut untuk menawarkan produk yang inovatif kepada rakyat Malaysia.

"Permintaan terhadap MPV dilihat akan terus meningkat. Pengguna bukan sahaja mahukan sebuah MPV yang boleh memuatkan seluruh keluarga dengan selesa, malah MPV berkualiti tinggi bersama ciri premium dan fleksibiliti.

"Jadi, kami percaya bahawa Nissan Serena S-Hybrid dapat memenuhi keperluan ini. Apatah lagi dengan ruangnya yang luas, kapasiti lapan tempat duduk dan rangkaian kuasa hibrid termaju," kata Pengarah Pemasaran dan Perancangan

Produk ETCM, Tan Keng Meng.


KEDUDUKAN tempat duduk ini boleh diubah sehingga 14 konfigurasi.


Dengan kehadiran Nissan Serena S-Hybrid, ETCM kini menawarkan rangkaian luas model MPV kepada pasaran. Bermula dengan MPV mampu milik Grand Livina, MPV hibrid dan MPV mewahnya iaitu Nissan Elgrand.

Energy control motor

Diimport sepenuhnya dari Jepun, Nissan Serena S-Hybrid ditawarkan pada harga cukup menarik iaitu RM149,500 seunit (di atas jalan termasuk insurans).

Nissan Serena S-Hybrid dipacu oleh rangkaian kuasa yang terdiri daripada satu sistem hibrid kompak meliputi enjin petrol MR20DD empat silinder DOHC dengan pancitan terus Twin CVTC (Continuously Variable Valve Timing). Enjin itu dipadankan dengan kotak gear XTRONIC CVT generasi terkini bersama ciri Adaptive Shift Control (ASC).

Motor elektrik yang dikenali sebagai Energy Control Motor (ECO) menawarkan sumber kuasa yang cukup untuk membantu enjin dan proses janaan semula tenaga. Sistem hibrid ini memiliki satu bateri tambahan untuk meningkatkan kapasiti penyimpanan bagi menguasakan ECO Motor.

Sistem S-Hybrid turut menampilkan sistem Idling Stop yang mematikan enjin secara automatik apabila kenderaan berhenti dalam kesesakan trafik. Ciri ini membantu Nissan Serena S-Hybrid mencapai penjimatan bahan api yang mengagumkan ketika memandu di bandar.

Enjin akan dihidupkan semula dalam tempoh 0.3 saat apabila pedal brek dilepaskan. Enjin MR20DD mampu menghasilkan kuasa sehingga 147PS @ 5,600rpm dan tork 210Nm @ 4,400rpm. Berdasarkan kepada kitaran ujian JC08 Jepun, MPV hybrid itu berupaya mencapai jarak 15.2 kilometer bagi setiap liter petrol, terbaik dalam kelasnya.


ETCM yakin Serena S-Hybrid mampu mencatat jualan memberangsangkan.


Tempat duduk fleksibel

Sebagai sebuah MPV keluarga, aspek praktikaliti dan fleksibiliti memang menjadi perhatian utama. Selain ruang dalaman yang luas, anda pasti berpuas hati dengan kapasiti lapan tempat duduk yang menawarkan sehingga 14 konfigurasi berbeza.

Versatiliti kabin ini ditingkatkan menerusi tempat duduk pintar (Smart Multi Centre Seat) yang boleh ditolak di sepanjang laluan tengah kenderaan. Ia boleh berfungsi sebagai ruang storan tambahan pada baris pertama, tempat duduk ekstra di baris kedua atau berperanan sebagai meja untuk dikongsi oleh penumpang di tempat duduk baris ketiga.

Tidak seperti MPV konvensional, tempat duduk ketiga MPV itu boleh diakses melalui arah berbeza. Sama ada melalui bahagian tengah atau sebelah kiri, ini boleh dilakukan dengan melipat atau menolak kerusi kapten barisan kedua (sebelah kiri) ke arah tempat duduk sebelah kanan.

Tempat duduk baris ketiga juga direka supaya mudah dilipat ke atas dan disimpan, sekali gus memberikan ruang kargo yang luas. Ini adalah tambahan kepada ruang storan yang terletak di bawah tray bagasi yang boleh menempatkan kereta tolak bayi atau sebuah beg golf tanpa sebarang masalah.

Pendek kata, anda boleh mengubah suai kedudukan tempat duduk berdasarkan keperluan semasa, tanpa perlu mengorbankan keselesaan dan tiada barang atau kargo perlu ditinggalkan.

Di ruang kabin, pemandu dialu-alukan oleh reka bentuk papan pemuka yang futuristik dan kemas.

Hanya satu sentuhan butang pada hendal pintu diperlukan untuk mengoperasikan pintu gelongsor yang menawarkan bukaan terbesar dalam kelasnya (selebar 802mm dan tinggi 1,308mm).


PAPAN pemuka MPV ini menampilkan Eco Driver Navigator yang memberi panduan kepada pemandu untuk memaksimumkan kecekapan penggunaan bahan api.


Pintu itu juga boleh dibuka dengan menekan butang pada kunci i-Key atau butang-butang yang diletakkan pada papan pemuka di bahagian pemandu.

Menilai dari segi penampilan pula, Nissan Serena S-Hybrid sememangnya memiliki rekaan luaran yang kemas dan tersendiri.

Memandangkan Nissan Serena S-Hybrid didatangkan dalam satu gred premium Highway Star sahaja, maka ia menggunakan suspensi sports yang dipadankan bersama rim aloi 16 inci, selain kemasan dalam berwarna gelap.

Pilihan warna pula terdiri daripada ungu gelap, hitam, putih dan perak. Ia juga hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

Untuk satu tempoh terhad, para pelanggan yang membeli Nissan Serena S-Hybrid akan menerima sistem Multimedia Navigator bersaiz 6.5 inci secara percuma dengan kamera pandang belakang, pemain DVD, ketersambungan iPod, USB & Bluetooth bernilai RM3,300 (sah sehingga stok masih ada).

Jika tidak cukup, anda boleh membeli aksesori tambahan seperti panel LCD bersaiz 10.1 inci yang dipasang pada bumbung, visor pintu, kombinasi kemasan dalaman kulit dan tinted cermin tingkap.

Pencabar segmen C dunia!

Posted:

Pencabar segmen C dunia!

Pencabar segmen C dunia!

Oleh MUHAMMAD MD TAJUDIN


MAZDA3 pasti dapat menggugat dominasi Honda dan Toyota dalam segmen C.


DALAM kalangan penggemar kereta, jenama Mazda cukup kuat dengan model sport seperti Miata, RX7 dan RX8. Tetapi bagaimana dengan model massa seperti kereta sedan, kereta bandar atau SUV?

Sejak kebelakangan ini, senario itu semakin berubah dengan kebanjiran produk-produk baharu Mazda. Mazda6 menjadi pembuka jalan kepada populariti kenderaan Mazda. Reka bentuk cantik dan pakej yang lain daripada lain telah berjaya membuka banyak mata terhadap jenama Mazda.

Begitu juga dengan Mazda3 yang memberi alternatif kepada mereka yang bosan dengan jenama Jepun lain. Produk lain seperti Mazda2 yang memenangi Anugerah Kereta Dunia pada tahun 2008 juga tidak kurang hebatnya.

Cuma yang menjadi masalah dengan Mazda adalah penjenamaan tempatan yang tidak berapa kuat sedangkan ia sangat berpotensi untuk bersaing dengan produk Jepun, Korea Selatan, Eropah atau Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, senario itu sudah mula berubah dengan pengenalan model boleh jual seperti SUV CX5. Pada awal pengenalannya, CX5 menerima sambutan hangat dengan tempoh menunggu berbulan-bulan lamanya.

Bagi menjadikannya lebih kompetitif, pengedar kenderaan Mazda di Malaysia, Bermaz Motor Sdn. Bhd. telah memasangnya dalam negara dan mula menganggu kedudukan Honda CR-V yang tidak terusik sejak sekian lama.

Momentum tersebut diteruskan pula dengan pengenalan Mazda6 baharu dengan nilai spesifikasi yang tinggi pada harga berpatutan untuk sebuah kereta yang diimport sepenuhnya dari Jepun. Walaupun harganya lebih tinggi berbanding pesaing lain, namun tinggi bukan sebarang tinggi. Lihat pada spesifikasi yang ditawarkan dan saya yakin ia berpatutan.

Berita baik untuk mereka yang mahukan kelainan dan tidak mahu tergolong dengan memandu kereta sejuta umat, Mazda Motor Corporation pada penghujung Jun lepas telah memperkenalkan model baharu Mazda3 hatchback. Model tersebut merupakan produk ketiga yang menggunakan tema reka bentuk KODO - Soul of Motion dan teknologi SKYACTIV.

Mazda3 hatchback kemudian akan disusuli oleh model sedan dan bakal dipasarkan di serata dunia bermula lewat tahun ini. Model itu masih baharu. Mazda juga dilihat agak 'kedekut' dalam memberi maklumat lanjut. Mungkin kerana ia belum dilancarkan sepenuhnya. Mungkin juga kerana ingin menambah sedikit keseronokan sementara dipasarkan.


MAZDA3 jarang mengecewakan dari segi aksesori dalaman yang ditawarkannya.


Sejak model pertama dilancarkan pada tahun 2003, lebih 3.5 juta unit Mazda3 telah terjual di seluruh dunia. Angka tersebut membuktikan sambutan hangat terhadap Mazda3 walaupun falsafah rekaannya lebih menjurus ke arah sporty.

Satu lagi fakta ialah Mazda3 merupakan model cari makan atau produk terlaris Mazda apabila mencatatkan satu pertiga daripada jualan global Mazda.

Mazda3 digemari kerana reka bentuknya yang beremosi, pemanduan menyeronokkan, ciri-ciri keselamatan, mesra alam dan berkualiti tinggi. Rekod Mazda3 lebih cemerlang dengan 136 anugerah yang dimenanginya di seluruh dunia.

Rekaan Mazda3 baharu memang emosional, terima kasih kepada tema gayaan KODO. Sekali imbas nampak seperti kereta yang seronok untuk dipandu. Ditambah pula dengan teknologi SKYACTIV yang memberi pengalaman "jinba-ittai" iaitu penyatuan di antara kereta dan pemandu yang semakin jauh dipandu semakin mendalam perasaannya.

Selain itu, ciri yang buat pertama kalinya diperkenalkan ialah Human Machine Interface (HMI). HMI direka dengan penekanan yang tinggi terhadap aspek keselamatan.

Sistem keselamatan dipakejkan sekali ke dalam teknologi i-ACTIVESENSE yang dapat membantu pemandu untuk mengesan dan mengelak bahaya. Mazda dengan falsafah zoom-zoom sentiasa konsisten untuk memberi keseronokan pemanduan dan semestinya tidak terkecuali melalui Mazda3 baharu.

Pada bahagian janaan kuasa pula, untuk pasaran global Mazda bakal memperkenalkan enjin SKYACTIV-G 1.5 liter petrol baharu, selain daripada enjin 2.0 liter, 2.5 liter serta 2.2 liter diesel. Barisan enjin tersebut akan ditentukan untuk setiap pasaran dengan pelbagai keperluan di serata dunia.

Menariknya, model Mazda3 sedan akan menggunakan enjin hybrid elektrik tetapi yang tidak berapa menarik ialah model itu akan dipasarkan di Jepun dan masih tiada berita untuk pasaran global.

Apa pun, untuk pasaran tempatan lazimnya kita akan menerima produk di antara enam bulan sehingga setahun selepas pelancaran untuk pasaran global. Jika dicongak ringkas, boleh jadi Mazda3 baharu bakal dibawa masuk tahun depan.

Persaingan biasanya memberi kebaikan kepada pengguna dan tidak sabar rasanya untuk menunggu reaksi pasaran. Nampaknya segmen C bukan lagi pasaran yang selamat untuk dua jenama lagi dari Jepun.

Promosi Hari Raya Mitsubishi

Posted:

Promosi Hari Raya Mitsubishi

Promosi Hari Raya Mitsubishi


MODEL ASX juga tersenarai bagi kempen kali ini.


SEMPENA Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, Mitsubishi Motors Malaysia Sdn. Bhd. (MMM) mengadakan satu lagi kempen jualan kenderaan.

Kempen yang diberi nama Balik Kampung itu menawarkan beberapa nilai tambah kepada pelanggan. Ia berlangsung sehingga 31 Ogos depan dan melibatkan model keluaran tahun 2012.

Pembeli model Mirage CVT GL akan menerima program penyelenggaran percuma selama satu tahun, pakej aksesori bernilai RM2,887 dan rebat wang tunai (RM1,500).

Bagi model-model terpilih, pelanggan diberikan program penyelenggaran percuma selama dua tahun, rebat wang tunai sehingga RM10,000 dan aksesori tulen secara percuma, bergantung kepada stok sedia ada.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat