{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Pupuk keluarga bersolat tarawih

Posted:

Pupuk keluarga bersolat tarawih

Pupuk keluarga bersolat tarawih

SEJAK sedekad lalu, Ridzuan Yang, 55, mendidik ahli keluarganya menunaikan solat sunat tarawih sepanjang bulan Ramadan. Paling mengagumkan, Ridzuan bersama isteri dan tiga anaknya tidak pernah gagal bertarawih di masjid yang berbeza di sekitar Lembah Klang.

Menetap di Ampang, Selangor, giliran masjid dimulakan di kawasan berhampiran rumahnya. Masjid di Kampung Melayu Ampang menjadi persinggahan pertama keluarga tersebut sebelum tradisi tarawih bertukar masjid diteruskan ke rumah Allah yang lain.

"Saya tidak mempunyai giliran tetap. Mana yang saya rasa praktikal untuk pergi, saya dahulukan dan pada penghujung Ramadan, saya sekeluarga pergi ke masjid yang jauh," ujar Ridzuan ketika ditemui Kosmo! di Masjid Asy-Syakirin, KLCC baru-baru ini.

Masjid kegemaran

Setakat ini, hampir semua masjid utama di Kuala Lumpur menjadi persinggahan keluarga Ridzuan seperti Masjid Negara, Masjid Jamek Kampung Baru dan Masjid Jamek. Masjid paling jauh yang pernah mereka kunjungi ialah Masjid Putra di Putrajaya.

Apabila bertukar-tukar masjid, sudah tentu ada sebuah masjid yang menjadi kegemaran keluarga Ridzuan. Katanya: "Masjid Darul Ehsan di Taman TAR, Ampang merupakan masjid kegemaran kami sekeluarga. Setiap tahun kami pasti bertarawih di situ. Kelunakan suara imam di masjid itu menambat hati kami. Tambahan, imamnya masih muda dan merupakan lulusan tahfiz dari Mekah."

Ziarah masjid yang dilakukan keluarga Ridzuan banyak manfaatnya. Bukan sahaja perbezaan suasana dan jemaah pelbagai latar belakang yang ditemui bahkan budaya sesebuah masjid itu dapat dipelajari Ridzuan sekeluarga.

Ketika inilah, Ridzuan menilai keberkesanan tugas-tugas ahli jawatankuasa masjid di sesuatu tempat. Penyediaan infrastruktur, kebersihan dan keselesaan yang disediakan dapat diperhatikan secara terperinci.

"Saya pernah berkunjung ke masjid yang masih menggunakan kipas. Kalau jemaah tidak ramai dan ruangnya besar tidak mengapa, tetapi jika pada masa itu masjid padat, ia boleh mengganggu jemaah ketika beribadat," kata ahli perniagaan tersebut.

Beliau juga menyarankan supaya pihak masjid menyediakan rak kasut sebagai kemudahan kepada para jemaah.

Selain kepuasan mempelajari budaya sesebuah masjid, tarawih di tempat yang berbeza memberi peluang kepada Ridzuan mengenal pasti bacaan pilihan imam di masjid-masjid yang dikunjungi.


TADARUS al-Quran beramai-ramai juga menjadi ibadah sampingan yang mulia selepas tarawih.


Kelunakan suara mengalunkan kalimah-kalimah Allah dalam bersolat menyentuh hati jemaah. Apatah lagi, apabila bacaan dilantunkan dengan jelas dan teratur.

"Sekarang saya boleh tahu bentuk bacaan di masjid-masjid yang saya kunjungi. Ada sesetengah masjid menggunakan surah panjang dan ada yang pendek. Selalunya kalau tarawih lapan rakaat, penggunaan surah itu sedikit panjang sebab jangka masa tarawih itu boleh dilanjutkan.

"Namun bagi saya kepantasan bacaan itu perlu diberi perhatian. Kadang-kadang ada imam di beberapa buah masjid baca terlalu pantas sehingga jemaah ketinggalan," ujarnya.

Bercakap tentang keistimewaan sesebuah masjid, Ridzuan menjelaskan ada yang menganjurkan sesi tazkirah selepas selesai empat rakaat tarawih.

"Sebagai orang luar yang datang ke masjid di mukim berlainan, saya rasa perkara seperti ini satu kelebihan yang sukar ditemui di tempat lain.

"Ia menunjukkan betapa ibadat tarawih itu tidak terikat pada solat sahaja malah boleh diselitkan dengan aktiviti keagamaan lain seperti tazkirah dan tadarus. Menerusi tazkirah ini, jemaah dapat berehat seketika sebelum sambung bersolat," jelasan Ridzuan.

Buka puasa

Menurut Ridzuan, proses pemilihan masjid kebiasaannya dilakukan sehari sebelum masjid dikunjungi. Sekiranya masjid yang hendak dituju terletak jauh dari rumah, Ridzuan sekeluarga bertolak lebih awal dan berbuka puasa di masjid.

Sekiranya orang lain sibuk mencari juadah berbuka puasa di bazar-bazar Ramadan, Ridzuan sekeluarga tidak ralat menjamah kurma dan air kosong sebelum memulakan tarawih.

Isteri Ridzuan, Zubidah Omar, 53, pula tidak berdepan masalah menyediakan hidangan berbuka sepanjang bulan Ramadan. Suami dan ketiga-tiga anaknya tidak cerewet soal pemakanan malah tiada paksaan baginya untuk memasak.

"Jarang saya masak untuk berbuka puasa. Selalunya saya beli dan tinggalkan di rumah. Selepas pulang menunaikan solat tarawih barulah kami menikmati hidangan tersebut.

"Kalau pergi ke masjid yang jauh, selalunya saya bawa telekung siap-siap dan terus makan di luar selepas solat," cerita Zubidah yang menambah sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri, keluarganya pulang ke kampung di Kampung Permatang Pasir, Banting, Selangor.


MASJID-MASJID di sekitar bandar raya Kuala Lumpur menjadi destinasi Ridzuan sekeluarga setiap kali menjelang bulan Ramadan.


Didik anak

Dalam tempoh lebih 10 tahun amalan bergilir masjid itu dilaksanakan, Ridzuan bersyukur kerana kesemua anaknya menunjukkan semangat tinggi untuk bertarawih. Mungkin agak skeptikal untuk melabelkan anak-anak muda sebagai golongan paling liat berjemaah di masjid terutamanya ketika bulan Ramadan.

Bagaimanapun, pendedahan awal yang dilakukan Ridzuan membuatkan anak-anaknya mudah menerima amalan itu. Baginya, mendidik anak kecil lebih mudah berbanding yang telah dewasa.

"Kalau dahulu, dua anak perempuan saya boleh dikecualikan ketika mereka haid. Namun anak bongsu lelaki saya memang wajib ikut. Dia pula tidak berasa terpaksa sebab rakan-rakan sebayanya pun ramai bertarawih.

"Cuma sekarang mereka sudah dewasa. Anak sulung saya sudah berkahwin, yang kedua pula telah bekerja dan anak bongsu pula menyambung pelajaran di universiti. Sukar untuk mengumpulkan mereka seperti dahulu tetapi apabila ada kesempatan, kami teruskan amalan bertarawih itu," ujar Ridzuan.

Sementara itu, anak kedua Ridzuan, Narita Ridzuan, 26, melihat tradisi bergilir masjid itu sebagai satu kepuasan yang hanya boleh diperoleh pada bulan Ramadan. Pada awalnya, dia mengakui terbit rasa malas dan bosan kerana terpaksa mengikut ibu bapa bertarawih setiap malam di masjid yang berlainan.

"Lama-lama saya rasa seronok. Selalu kalau hari biasa kami buat tarawih lapan rakaat namun bila hujung minggu, ayah galakkan kami bersolat penuh 20 rakaat termasuk tiga rakaat solat sunat witir," cerita Narita.

Isu jumlah rakaat tarawih

Posted:

Isu jumlah rakaat tarawih

Isu jumlah rakaat tarawih


SOLAT tarawih mula dilakukan secara berjemaah pada zaman Saidina Umar al-Khattab. - Gambar hiasan


SEPERTI yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku pasti akan melihat perselisihan yang banyak. Maka berpeganglah kamu kepada sunah aku dan sunah Khulafa ar-Rasyidin yang diberi petunjuk selepas aku. Peganglah ia (sunah) sesungguh-sungguhnya sehingga kalau pun kamu terpaksa menggigitnya dengan gigi geraham kamu."

Berdasarkan sabda yang dipetik daripada hadis sahih di atas, jelaslah bahawa Nabi Muhammad SAW pernah berpesan kepada umatnya agar mengikuti sunah baginda dan sahabat-sahabatnya.

Persoalan sunah tersebut turut merangkumi amalan solat sunat tarawih yang kini dilaksanakan umat Islam di seluruh dunia pada bulan Ramadan. Rasulullah sendiri mengerjakan solat tarawih ketika hidupnya.

Hukum tarawih

"Bagaimanapun pada zaman Rasulullah, ia tidak disebut tarawih. Ketika itu, dalam bulan Ramadan, Rasulullah dilihat bersolat pada waktu malam di masjid dan para sahabat yang berada di situ sepakat untuk bersembahyang bersama baginda.

"Pada malam kedua, jemaah baginda kian ramai membuatkan mereka berniat untuk meneruskan pada malam keesokannya. Namun pada malam ketiga atau keempat itu, baginda tidak hadir ke masjid dan solat tersebut diteruskan tanpa Rasulullah.

"Keesokan harinya, Rasulullah bertemu para sahabat dan memberitahu bahawa baginda tahu apa yang dikerjakan mereka pada malam sebelumnya. Baginda mengatakan bahawa tiada yang menghalangnya untuk keluar dari rumah melainkan kebimbangan solat itu bertukar menjadi kewajipan," jelas Ketua Penerangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Minda Pondok, Harun Yahya, 51.

Kesannya, hukum solat tarawih pada hari ini adalah sunat muakkad iaitu sunat yang sangat dituntut dalam Islam.

Mengimbau pelaksanaan tarawih, ujar Harun, solat sunat tersebut sering dihubungkan kepada seorang khalifah iaitu Saidina Umar al-Khattab. Seperti yang diriwayatkan seorang sahabat Umar, Abdul Rahman Abdul Qari yang bermaksud: "Aku keluar bersama Umar pada suatu malam pada bulan Ramadan ke masjid.

"Ternyata jemaah masjid bersolat secara berasingan. Ada yang solat bersendirian dan ada yang bersolat dalam jemaah yang kecil. Kata Umar, "Demi Allah, aku melihat kalau mereka dikumpulkan di belakang seorang imam itu lebih baik."


HARUN menerangkan bahawa keempat-empat mazhab dalam Islam mempersetujui bahawa solat sunat tarawih perlu dikerjakan sebanyak 20 rakaat.


Akhirnya, pada keesokan harinya semua jemaah bersolat tarawih mengikut seorang imam yang ketika itu dipimpin oleh Ubai bin Kaab.

Menyentuh isu bilangan rakaat tarawih, Harun berkata, berpandukan empat mazhab dalam Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali, semua- nya sepakat mempersetujui tarawih perlu dilaksanakan sebanyak 20 rakaat.

"Cuma mazhab Maliki yang tampil dengan dua pendapat iaitu 20 dan 36 rakaat. Ia timbul atas alasan perbezaan ahli Mekah dan ahli Madinah. Di Mekah, selepas empat rakaat tarawih, jemaah melakukan tawaf, jadi solat itu ditetapkan pada 20 rakaat.

"Jemaah Madinah pula tidak bertawaf dan ibadah tersebut digantikan dengan penambahan rakaat kepada 36. Bagaimanapun, ia bukanlah pendapat muktamad dan ia masih diberatkan kepada 20 rakaat," tambah Harun.

Ketetapan ulama

Ibadah tarawih yang dikerjakan sebanyak lapan rakaat pula dikatakan terbentuk berdasarkan hadis Aisyah menerusi riwayat Bukhari dan Muslim yang bermaksud: "Rasulullah sama ada pada bulan Ramadan atau di luar bulan Ramadan tidak pernah solat melebihi 11 rakaat."

Begitupun menurut Harun, hadis Aisyah adalah berdasarkan apa yang disaksikan sendiri Saidatina Aisyah dan tidak semestinya diaanggap sebagai hukum.

"Tidak ada satu pun hadis dalam empat mazhab pegangan umat Islam mengatakan bahawa tarawih perlu dilaksanakan sebanyak lapan rakaat bahkan semuanya menyatakan 20 rakaat.

"Sejak dulu, para ulamak telah menetapkan hal ini dan ia tidak sewajarnya menjadi pertikaian berpanjangan.

"Jika kita mempertikaikannya, ia ibarat mempersoalkan pesanan Rasulullah yang meminta umatnya mengikuti sunahnya dan para khalifah.

"Dalam konteks tarawih, kita perlu bersandarkan amalan yang digariskan Saidina Umar. Beliau sendiri diberi gelaran al-Faruq oleh baginda yang bermaksud orang yang dapat membezakan antara yang haq dan batil.

"Apa yang dilakukan Umar dijadikan dalil dan di dalam fiqah, sunah-sunah yang dilaksanakan para sahabat nabi dijadikan hukum. Rasulullah juga pernah bersabda bahawa barang siapa yang mengikut sunah para sahabat, nescaya mereka akan mendapat petunjuk," ulas Harun. - ALIF ABU BAKAR

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat