Utusan Online - Agrobiz
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Agrobiz |
Posted: 15 Jul 2013 12:21 AM PDT Oleh LAUPA JUNUS Konsep penapis menggunakan karbon teraktif. APAKAH yang kita faham tentang kepentingan tulang ikan? Bagi kita tulang ikan ialah bahan buangan sisa makanan atau domestik dan dicampakkan begitu sahaja kerana tidak ada gunanya. Berbeza dengan sekumpulan penyelidik dari Pusat Pembangunan Sosioekonomi (CSD) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), yang melihat sisa buangan makanan itu ada potensi bagi dijadikan bahan asas penyelidikan mereka. CSD ditubuhkan sejak 5 Julai 2010 dengan tujuan menghimpun pensyarah dan penyelidik yang mempunyai kepakaran dalam bidang-bidang berkaitan pembangunan kemasyarakatan dan ekonomi. CSD juga diharapkan dapat memainkan peranan sebagai penjana dan pengembangan pengetahuan mengenai masyarakat dan persekitaran. Sebab itu di CSD tulang ikan lebih daripada sekadar sisa buangan. Daripada sudut sains, bahan tersebut merupakan sisa organik atau biomas yang kebiasaannya dijadikan bahan mentah untuk diproses oleh industri, dijadikan bahan bernilai dan dikomersialkan. Malah ketika ini, sudah menjadi trend sisa buangan diproses dan penerokaan baru terus dijalankan bagi mencari sumber-sumber baharu yang berpotensi untuk diberi nilai tambah. Dengan trend tersebut, kumpulan penyelidik UMT melalui penyelidikan mereka telah menemui potensi sisa tulang ikan sebagai pengganti hidroksiapatit (HA) yang diimport untuk pelbagai kegunaan prosesan. Menariknya, tulang ikan berkenaan diperoleh daripada pengusaha industri keropok tempatan. Sekali gus, bahan yang selama ini dibuang begitu sahaja dapat dimanfaatkan. Kumpulan penyelidikan terbabit membahagikan beberapa skop kajian berdasarkan kepada fungsi dan kegunaan HA yang diperoleh daripada tulang ikan berkenaan. Menurut ketua kumpulan tersebut, Dr. Dara Aisyah H.M Ali Puteh, terdapat sekurang-kurangnya tujuh tan tulang ikan yang boleh digunakan untuk menghasilkan HA semula jadi daripada tiga pengusaha filet iaitu masing-masing di Chendering, Manir dan Merang dalam tempoh seminggu. ''Dengan itu, kita mampu memperoleh 21 tan tulang ikan seminggu yang boleh digunakan untuk menghasilkan HA organik dan halal," ujarnya ketika ditemui di Kuala Terengganu baru-baru ini. Kajian-kajian berkenaan melibatkan beliau bersama Ibrahim Mamat dan Muhammad Sontang dari pusat yang sama. Beliau berkata, satu daripada produk yang berjaya dihasilkan ialah pemprosesan sisa tulang ikan daripada pengusaha filet untuk pembuatan coklat HA. Menurut Dr. Dara Aisyah, penggunaan tulang ikan sangat sesuai kerana mengandungi kalsium yang banyak dan diperlukan oleh badan. Bahan tersebut merupakan unsur utama tulang ikan selain fosfor dan karbonat. Dengan adanya penyelidikan tersebut , isteri nelayan di pesisir pantai Kuala Terengganu mendapat manfaat memandangkan 80 peratus daripada mereka tidak mempunyai pekerjaan. Pemprosesan sisa tulang ikan menjadi HA juga akan menjadikan persekitaran komuniti lebih bersih. Pemprosesan sisa tulang ikan kepada HA akan membuka ruang pekerjaan baharu kepada komuniti melalui upahan menghasilkan tepung tulang ikan. Satu daripada projek yang dihasilkan ialah coklat HA. Pembuatan dan penjualan coklat HA di Terengganu merupakan satu-satunya produk yang mampu bersaing di pasaran dan mampu menambah pendapatan komuniti pesisir pantai. Penyelidikan berkenaan menurut Dr. Dara Asiyah dimulakan sejak 2011 dan siap tahun lalu. Produk berkenaan dihasilkan dengan mencampurkan coklat dengan HA yang bersumber daripada tulang ikan. Harganya lebih tinggi berbanding coklat biasa, kerana kandungan yang dimiliki lebih sihat dan memiliki jangka hayat lebih panjang. "Coklat HA ketika ini telah dipromosikan di sekolah-sekolah dan rakan terdekat," ujarnya. Pengurusan sisa tulang ikan menjadi HA akan menjadikan persekitaran komuniti lebih bersih, membuka ruang pekerjaan baharu kepada komuniti serta menambah pendapatan. Satu lagi projek penyelidikan yang melibatkan tulang ikan ialah menghasilkan sistem rawatan air minuman komuniti pesisir di Kuala Terengganu. Kajian sebelum ini mendapati berlaku peningkatan perbelanjaan pembelian air bersih setiap bulan iaitu RM50 bagi komuniti pesisir di Kuala Terengganu . Kajian juga mendapati antara tujuh dan 10 tan tulang ikan dihasilkan di kawasan Merang dan Kuala Terengganu dengan harga pembelian tulang antara lima puluh sen dan lapan puluh sen sekilogram. Menurut beliau, penggunaan tulang ikan sebagai alat penapis dapat menghindari daripada menggunakan bahan yang meragukan. Meskipun baru bermula, penyelidikan yang dijalankan dianggap penting bagi memberi alternatif kepada penggunaan bahan kimia. Penghasilan air minum berkalsium hidroksiapatit tulang ikan adalah rawatan air minum dengan menggunakan kartij daripada HA dan karbon teraktif daripada sumber bahan tulang ikan. Kalsium HA tulang ikan berfungsi sebagai bahan yang boleh membuang logam berat. Sedangkan karbon teraktif berfungsi membuang bau busuk yang terdapat dalam air tersebut. Manfaat sistem rawatan air ini juga menjadikannya bahan air minum yang halal sebab bersumberkan daripada bahan yang halal dan juga diproses mengikut syariat Islam. ''Inovasi ini sangat berpotensi dikomersialkan sebab bahan kartrij sistem rawatan air minum yang ada selama ini di pasaran tidak diketahui sumber kehalalannya sebab diimport. "Tambahan pula, memanfaatkan bahan sisa buangan kilang pemproses keropok lekor dan keping yang ada di Kuala Terengganu sekali gus dapat menjana pendapatan masyarakat pesisir Pantai Timur,'' ujarnya. Usaha tersebut boleh mengurangkan masalah kemiskinan bila produksi HA tulang ikan itu dibuat dalam skala besar dengan mendirikan kilang pembuat HA tulang ikan Kajian seterusnya yang memanfaatkan tulang ikan ialah penghasilan prototaip karbon biopolar daripada sisa tulang ikan yang berpotensi sebagai sel enjin bahan api kapal nelayan pesisir . Penggunaan tulang ikan untuk pembuatan produk karbon sebagai plat sel bahan api itu untuk kegunaan atas bot nelayan dalam menghadapi industri perikanan masa depan yang mesra alam. Ini kerana, menurut satu kajian, karbon hitam ialah padatan karbon amorf yang dihasilkan secara termal atau decomposition oxidatif hidrokarbon. Karbon adalah pengalir elektrik yang baik berdasarkan kebersihan permukaan, kehalusan dan struktur karbonnya. Berdasarkan satu kajian lain, sel bahan api adalah sebuah device electro chemistry yang mengubah tenaga kimia kepada elektrik secara berterusan yang mana kajian berkenaan mendapat kerjasama Institut Sel Fuel Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Kajian tersebut yang juga bermula tahun ini melibatkan sumber karbon diambil daripada bahan baku tulang ikan yang memiliki tingkat pengaliran arus elektrik yang sangat tinggi sehingga mencapai tahap melebihi 100 /sm. Bagi memperoleh nilai tersebut, diharapkan karbon tulang ikan boleh dikompositkan dengan sumber bahan logam lain seperti tembaga, aluminium, titanium dan keluli tahan karat yang boleh meningkatkan nilainya. Menurut Dr. Dara Aisyah, produk berkenaan berpotensi untuk dikomersialkan disebabkan plat bipolar bahan api daripada sumber karbon tulang ikan adalah satu-satunya bahan baru yang dapat digunakan sebagai bahan api masa hadapan. |
Posted: 15 Jul 2013 12:21 AM PDT Mesin untuk menghasilkan kiub ais yang telah siap di bengkel ZDA, Rawang. MASYARAKAT Malaysia pada masa kini, amat menggemari minuman ais. Setiap kali mereka keluar bersama-sama keluarga, rakan-rakan mahupun sesiapa sahaja, pasti mereka meminta pesanan minuman berais, seperti milo ais, teh 'O' ais, nescafe ais dan sebagainya. Ruangan inovasi kali ini, menampilkan mesin membuat ais kiub. Mesin ini dapat memudahkan dan menjimatkan masa pengguna terutamanya dari kalangan peniaga yang memerlukan ais dalam kuantiti yang banyak dan masa yang pantas. Mesin membuat ais kiub atau disebut juga ice maker adalah mesin membuat ais batu secara automatik. Mesin ini sangat sesuai digunakan untuk restoran, kafeteria, rumah dan sebagainya. Ini kerana ais batu yang dihasilkan berbentuk seperti kotak-kotak kecil. Pengguna hanya perlu memasukkan sahaja ais ke dalam gelas tanpa bersusah payah lagi memecahkan blok ais dan sebagainya. Mesin membuat ais kiub ini sangat membantu para peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) untuk mempercepatkan proses ais kiub dalam waktu yang singkat dengan kuantiti yang banyak. Dengan kawalan secara automatik dan kuasa 230V / 50Hz , mesin ini mampu menampung 20kg ais kiub dalam sesuatu masa. Penghasilan mesin ini adalah atas permintaan pelanggan yang meminta kami membuat satu mesin khas untuk memudahkan mereka dalam proses pengeluaran ais kiub. Mesin yang dihasilkan adalah mengikut spesifikasi pelanggan. Oleh itu, pelanggan boleh mereka bentuk mesin tersebut dan Zull Design Autotronic (ZDA) akan cuba menepati kehendak mereka. Bagi menghasilkan mesin yang memenuhi spesifikasi pelanggan perbincangan antara dua pihak amat penting dan dapat membantu. Dengan itu mesin yang mereka tempah memenuhi keperluan dan kos berpatutan. Tanpa perbincangan, dikhuatiri mesin yang dihasilkan tidak berfungsi dan bermasalah. Di samping itu, perbincangan juga bertujuan untuk membincangkan reka bentuk mesin yang diinginkan mengikut kesesuaian tempat mereka. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |