Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- 50,000 naskah al-Quran diserah kepada Palestin
- Pemandu desak perubahan radikal perangi rasuah
- 5,337 calon terpilih pelajar baharu USM
50,000 naskah al-Quran diserah kepada Palestin Posted: 10 Jul 2013 02:38 AM PDT PUTRAJAYA 10 Julai - Sebanyak 50,000 naskah Al-Quran akan diserahkan ke institusi pendidikan dan masjid-masjid di dua daerah di Palestin iaitu Baitulmaqdis dan Gaza untuk kegunaan penduduk di sana. Sumbangan oleh Wakaf Al-Qur'an, Yayasan Restu akan diserahkan kepada kedua-dua daerah itu selepas hari raya Aidilfitri, kata Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa. Katanya, Al-Quran tersebut kini dalam proses percetakan dan dijangka akan siap dalam bulan Ramadan ini di mana 5,000 telah siap dicetak. "Sekurang-kurangnya RM4 juta diperlukan untuk menyiapkan 50,000 naskah Al-Quran... dan sehingga kini kita telah mendapat RM250,000 sumbangan dari orang ramai," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Wakaf Al-Quran sempena Ramadan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini. Program Wakaf Al-Quran adalah usaha mentafsir al-Quran dalam bahasa tempatan negara asing yang dilakukan secara bersama Kementerian Dalam Negeri; Angkatan Tentera Malaysia, Bahagian Agama dan Kaunseling; Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia serta Yayasan Restu. Katanya, selain sumbangan Al-Quran, yayasan juga akan mengutip dana bagi tujuan pembangunan institusi pendidikan di dua buah daerah tersebut dengan harapan anak muda di situ tidak akan meninggalkan kampung halaman untuk melanjutkan pelajaran. Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya berharap program tersebut akan sentiasa diteruskan. "Orang ramai digalakkan menderma walaupun RM1, kita patut membantu mereka kerana di sana kekurangan kitab suci tersebut berbanding negara kita," katanya. Orang ramai yang ingin menyalurkan dana boleh berbuat demikian melalui SMS dengan menaip jumlah sumbangan dan hantar ke 32728, atau sumbangan secara tunai di Kompleks Taman Seni Islam Selangor, Shah Alam; Restu Gallery, PWTC; serta Nasyrul Quran @Masjid At-Taqwa, Pulau Pinang. Sumbangan juga boleh dilakukan secara online di laman web www.mushrafpalestin.com atau secara deposit terus ke akaun Bank Islam (M) Sdn Bhd atas nama Yayasan Restu Wakaf di nombor akaun 140320100-21452. - BERNAMA |
Pemandu desak perubahan radikal perangi rasuah Posted: 10 Jul 2013 02:02 AM PDT PUTRAJAYA 10 Julai - Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri akan mendesak ke arah perubahan lebih radikal dalam usaha memerangi rasuah di Malaysia di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Membanteras Rasuah. Pengarah NKRA Anti Rasuah Pemandu, Ravindran Devagunam berkata, Pemandu mengakui keputusan 2013 Global Corruption Barometer (GCB) yang dikeluarkan oleh Transparency International dan menjadikannya sebagai dorongan untuk terus mendesak ke arah lebih banyak pembaharuan. "Tinjauan umum itu jelas menunjukkan masih banyak yang kita perlu lakukan. Kita perlu menggandakan usaha dan terus mendesak ke arah penambahbaikan merangkumi bidang sosial, politik dan perniagaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Tinjauan umum GCB yang dijalankan di lebih 100 negara mendapati lebih separuh penduduk yang ditinjau di seluruh dunia percaya kegiatan rasuah semakin buruk sejak dua tahun lepas. Sampel kaji selidik di setiap negara melibatkan kira-kira 1,000 penduduk dan menyimpulkan pengagregatan data dengan gender, pendapatan, kumpulan umur, penduduk bandar atau luar bandar. - BERNAMA |
5,337 calon terpilih pelajar baharu USM Posted: 10 Jul 2013 01:47 AM PDT GEORGE TOWN 10 Julai - Sebanyak 5,337 pelajar terpilih akan mendaftar sebagai pelajar baharu Universiti Sains Malaysia (USM) pada 1 September ini bagi mengikuti kursus ijazah sarjana muda. Naib Canselor USM, Prof. Datuk Omar Osman berkata, daripada jumlah pelajar itu, sebanyak 3,790 pelajar akan mendaftar di kampus induk Pulau Pinang, kampus kejuruteraan Nibong Tebal (988) dan selebihnya di kampus kesihatan Kubang Kerian, Kelantan. Beliau berkata, pelajar boleh menyemak status permohonan mereka mulai 12 tengah hari esok dan mereka yang berjaya diminta membuat pengesahan penerimaan tawaran sebelum 21 Julai. "Kegagalan membuat pengesahan penerimaan tawaran akan menyebabkan tawaran kepada mereka terbatal secara automatik," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Omar berkata, bagi pelajar yang gagal mendapat tawaran, mereka boleh membuat rayuan menerusi http://pohon.usm.my pada 21 Julai dan keputusan rayuan akan dimumumkan pada 5 Ogos. Katanya, bagi sidang akademik 2013 ini, USM menerima 20,320 permohonan daripada lepasan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, Matrikulasi, Diploma, A-level berbanding 14,222 permohonan bagi sidang akademik tahun lepas. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |