Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Hanya 35,973 wanita periksa payu dara
- KDN, UNHCR perkenal kad pelarian teknologi RFID
- Harga ayam segar naik mendadak di Kelantan
Hanya 35,973 wanita periksa payu dara Posted: 11 Jul 2013 02:15 AM PDT Oleh ALI MAHMOOD JERANTUT 11 Julai - Hanya 35,973 pekerja wanita berusia 40 tahun ke atas yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah menjalani pemeriksaan payu dara secara percuma sehingga 30 Jun lepas. Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pekerja wanita berkenaan terdiri daripada 143,704 pekerja yang sudah mendapat baucar bagi menjalani pemeriksaan kesihatan percuma tersebut. "Bagi yang belum menerima baucar, boleh menghubungi atau datang ke pejabat Perkeso berhampiran kawasan masing-masing bagi mendapatkannya," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan program Advokasi Peringkat Daerah Temerloh di Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak (PPPTR) di sini semalam. Yang turut hadir, Pengarah Perkeso Pahang, Mohd. Shahar Ismail; Pengurus Besar merangkap Ketua Pusat PPPTR Jerantut, Abd. Aziz Mat Pilus dan Pengurus Perkeso Temerloh, Mohd. Haron Othman. - UTUSAN ONLINE |
KDN, UNHCR perkenal kad pelarian teknologi RFID Posted: 11 Jul 2013 02:14 AM PDT Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED DR. AHMAD ZAHID Hamidi memeriksa kad pengenalan salah seorang pekerja asing ketika membuat lawatan ke Pasar Borong Kuala Lumpur hari ini. - BERNAMA KUALA LUMPUR 11 Julai - Kementerian Dalam Negeri akan bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) untuk memperkenalkan kad berteknologi tinggi dalam mengesan pergerakan pelarian yang berdaftar di bawah badan dunia itu di negara ini. Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kad dengan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) itu juga bertujuan membanteras gejala pemalsuan kad UNHCR yang dilihat semakin berleluasa. "Dalam kad itu, kita akan letakkan beberapa ciri keselamatan lain termasuk RFID supaya kita boleh mengesan di mana mereka (pelarian) berada melalui sistem satelit. "Kita telah berbincang dengan UNHCR, bila mereka setuju dengan ciri-ciri baharu kad tersebut, ia akan dilaksanakan," katanya dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pasar Borong Kuala Lumpur, Selayang, dekat sini hari ini. Lawatan itu susulan pendedahan sebuah stesen televisyen tempatan mengenai warga asing yang juga pelarian Myanmar berniaga secara haram di pasar borong berkenaan. Yang turut hadir pemangku Wakil UNHCR di Malaysia, Michele Manca Ddi Nissa. Baru-baru ini, Ahmad Zahid mengumumkan kerjasama dengan UNHCR untuk mengesan pemilik kad UNHCR palsu dan pihaknya memandang serius perkara tersebut memandangkan kemudahan yang diberikan kerajaan dieksploitasikan. - UTUSAN ONLINE |
Harga ayam segar naik mendadak di Kelantan Posted: 11 Jul 2013 02:11 AM PDT Oleh YATIMIN ABDULLAH KOTA BHARU 11 Julai - Kenaikan harga ayam segar di negeri ini bukan sahaja dirasai oleh para pengguna, malahan golongan peniaga turut terkena tempiasnya. Kenaikan tersebut bagaimanapun mencetuskan kebimbangan para peniaga yang rata-rata khuatir perniagaan mereka mungkin terjejas disebabkan permintaan berkurangan. Tinjauan Utusan Online di beberapa pasar di daerah ini dan Melor mendapati, ayam segar dijual antara RM7.50 hingga RM8 sekilogram sejak seminggu lalu berbanding sekitar RM6.50 sekilogram sebelum ini. Seorang peniaga di Pasar Wakaf Che Yeh dekat sini, Che Esah Yunus, 46, berkata, kenaikan tersebut menyebabkan jualan ayam segar di gerainya mengalami sedikit penurunan berbanding sebelum ini. Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pemborong, kenaikan harga ayam di pasaran disebabkan bekalan makanan dan anak ayam yang berkurangan di pasaran. "Difahamkan keadaan tersebut menyebabkan harga ayam naik secara mendadak di pasaran. Selaku peniaga, kami tidak dapat mengelak situasi tersebut kerana harga yang diperoleh daripada pemborong agak tinggi berbanding sebelum ini. "Saya akui, jualan ayam di pasar ini agak lembab sedikit berbanding sebelumnya. Saya harap harga ayam akan kembali stabil selepas ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Tambah Che Esah, harga bagi ayam bersih tanpa kepala dan perut yang dijual di pasar berkenaan ialah RM7.80 sekilogram manakala ayam biasa RM7.50 sekilogram. Bagi Fadli Shah Islami, 38, peniaga ayam di Pasar Melor pula memberitahu, kenaikan harga tersebut menyebabkan jualan ayam di gerainya mengalami penurunan. Katanya, kenaikan tersebut merupakan antara yang tertinggi pernah dicatatkan dalam tempoh tujuh bulan tahun ini. "Saya jangka kenaikan ini akan berterusan sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti," katanya yang berniaga di pasar berkenaan sejak 18 tahun lalu. - UTUSAN ONLINE |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |