Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Mapen rancang dua projek mega
- Pendidik digesa gilap kecemerlangan
- Speaker DUN Melaka kekal terajui Penama
Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA Mohd. Ali Rustam MELAKA 10 Julai - Majlis Perundingan Ekonomi Negeri (Mapen) sedang dalam proses melaksana dua projek, The Melaka Gateway dan Dinasours Park, Underwater World yang dijangka menarik lebih tiga juta pelancong setahun ke negeri ini. Pengerusi Mapen, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, kedua-dua projek itu dijangka membuka sebanyak 16,000 ruang pekerjaan serta menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan negeri sehingga lebih RM6 bilion. Menurutnya, The Melaka Gateway yang akan dibina di atas tapak seluas 209.62 hektar dengan kos RM30 bilion itu melibatkan pembinaan tiga buah pulau buatan berhampiran Pulau Melaka. "Projek itu meliputi Cruise Jetty, pusat beli-belah, hotel, kondominium, pangsapuri lima bintang, kompleks pertunjukan budaya (Melaka Impression) dan taman perumahan berkonsep. "Bagi projek Dinasours Park dan Underwater World pula dibina di atas tapak seluas 14.16 hektar dengan kos RM240 juta meliputi Taman Tema Dinasours Park, Underwater World, kedai beli-belah, kedai jualan cenderamata dan kemudahan awam," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Mohd. Ali berkata, dalam mesyuarat pertama Mapen baru-baru ini, beberapa perkara turut dicadangkan kepada kerajaan negeri antaranya memperkukuh syarikat teras bumiputera Melaka, peningkatan infrastruktur utama-Projek Jalan Pantai Selat Melaka. Turut dicadangkan, katanya, kajian bagi mewujudkan Museum Tour yang berfungsi seperti Melaka River Cruise. "Museum Tour ini akan melibatkan pakej yang mana para pelancong akan dibawa melawat muzium-muzium di negeri ini menaiki bas secara sistematik dan teratur beserta pemandu pelancong," katanya. |
Pendidik digesa gilap kecemerlangan Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT Mohamad Hasan bersama sebahagian pelajar selepas majlis Anugerah Akademik Terbilang 2013 di Seremban, Negeri Sembilan, semalam. SEREMBAN 10 Julai - Warga pendidik diingat tidak hanya duduk diam dan berada dalam keadaan selesa dengan prestasi yang cemerlang kerana kelekaan itu akan membawa kehancuran. Perkara itu dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang mahu warga pendidik terus menggilap kejayaan cemerlang. "Kita sepatutnya sentiasa berada dalam keadaan siap sedia apatah lagi persekitaran yang dihadapi ini tidak selalu statik dan sering berubah. "Matlamat kita bukan hanya mengekalkan prestasi cemerlang atau mempertahankannya, sebaliknya terus meningkat dari semasa ke semasa, selaras dengan menjadikan negeri ini lubuk cendekiawan, ilmuwan dan pemikir seperti mana lahirnya Pendeta Za'ba suatu ketika dahulu," katanya dalam majlis Anugerah Akademik Terbilang 2013 di Hotel Royale Bintang, di sini hari ini. Menurut Mohamad, kedudukan terbaik negeri ini dalam sektor pendidikan untuk beberapa tempoh khususnya dalam peperiksaan peringkat kebangsaan tidak sepatutnya membuatkan warga pendidik muda berasa puas hati. "Saya sentiasa memberikan fokus kepada ilmu ini. Kita mahu melihat lebih banyak kejayaan dan sebab itulah kerajaan negeri tidak pernah mengabaikan apa jua usaha meningkatkan ilmu dan pendidikan," katanya. Dalam masa sama, Mohamad menjelaskan, kecemerlangan pendidikan di sesebuah negeri itu mampu membawa impak kepada ekonomi negara. "Jika dalam negeri ini ramai cerdik pandai, tentulah pelabur minat untuk datang ke sini. Ini juga akan membawa limpahan keuntungan kepada negara," katanya. |
Speaker DUN Melaka kekal terajui Penama Posted: 10 Jul 2013 11:30 AM PDT MELAKA 10 Julai - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Othman Mohamad dipilih semula menerajui Persatuan Penulis Melaka (Penama) buat penggal keempat selepas menang tanpa bertanding jawatan Ketua 1 Penama dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) kali ke-28 baru-baru ini. Turut mengekalkan jawatan penggal lalu ialah Mohd. Raus Md. Sam bagi Ketua 2 dan Ahmad Zuawi Che Cob sebagai Setiausaha 1 , Sahban Semail (Bendahari) dan dua pemeriksa kira-kira Salleh Ahmnad serta Safian Mohd. Shah. Wartawan akhbar Melaka Hari Ini (MHI), Aflieza Arshad adalah muka baharu dipilih bagi jawatan Penolong Setiausaha 2 bagi memantapkan perjalanan Penama. Bagi pemilihan ahli jawatankuasa pula sebanyak empat muka lama kekal bagi sesi 2013/2015 diketuai isteri Othman, Datin Halimah Baba, Hassan Mohd. Nor, Rosmiayati Shaari dan Ahmad Jawahir Tugiman. Lima muka baharu yang dipilih untuk jawatankuasa sesi ini ialah Masdura Selamat, Mohd. Noor Zam, Ab. Rahim Ab. Rauf, Isa Maarof dan Fairuzan Abdul Majid. Sementara itu Othman berkata, barisan jawatankuasa baharu ini dilihat sebagai satu pasukan mantap yang boleh bekerjasama bagi memastikan persatuan penulis di negeri ini dapat memanfaatkan pengisian dan matlamat berpersatuan. Menurutnya, beliau memuji ahli kerana memilih barisan kepimpinan baharu yang berwibawa untuk membolehkan Penama melaksanakan lebih banyak aktiviti. "Penama memerlukan golongan aktif, berdedikasi dan tahu membawa aspirasi persatuan kerana banyak acara akan dijalankan sepanjang tahun ini dan tahun hadapan, " katanya. Menurut Othman lagi, pihaknya akan menerbitkan antologi puisi dan cerpen hasil karya ahli persatuan itu selepas sambutan Aidilftiri nanti. Katanya, beberapa aktiviti lain yang akan dianjurkan Penama seperti penulisan berita dan rencana, penulisan skrip drama radio, penulisan skrip bangsawan dan bengkel deklamasi puisi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |