Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- 40 kedai makan diarah tutup
- Kampung Parit Haji Ali juara Desa Cemerlang
- Bantu kecemerlangan organisasi UTM
Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT Oleh FARIK SALLEH KEADAAN lengang premis makanan yang menjalani pemeriksaan kebersihan di Terminal Bas dan Teksi Tun Sri Lanang, Kota Tinggi, Johor, baru-baru ini. KOTA TINGGI 9 Julai - Sebanyak 40 daripada 674 premis makanan di sekitar bandar ini diarah tutup setelah didapati gagal mematuhi standard kebersihan yang ditetapkan. Pengarah Perubatan Kesihatan Awam Daerah Kota Tinggi, Dr. Nor Hamimah Abdullah berkata, tindakan itu diambil mengikut Akta Makanan 1983 bagi memastikan pelanggan di premis berkenaan tidak terdedah kepada risiko keracunan makanan. "Kesemua 40 gerai dan restoran tersebut diarah menghentikan operasi serta-merta bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan. "Arahan ditutup berkuat kuasa selama 14 hari mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983. Bagaimanapun jika premis-premis ini berjaya melakukan kerja-kerja pembersihan dan mengikut piawaian ditetapkan jabatan, premis itu boleh dibuka lebih awal dari tempoh itu," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyertai operasi bersepadu bersama Majlis Daerah Kota Tinggi (MDKT) di sekitar bandar ini baru-baru ini. Yang turut hadir, Yang Dipertua MDKT, Hasrin Kamal Hashim. Dr. Nor Hamimah berkata, operasi yang dilakukan bertujuan memberi kesedaran kepada pengendali kedai makanan supaya mementingkan aspek kebersihan dalam operasi harian mereka. Menurutnya, hasil pemeriksaan turut mendapati sesetengah pengusaha makanan mengabaikan kebersihan diri selain tidak mendapatkan suntikan typhim. "Beberapa premis juga didapati gagal mematuhi piawaian yang ditetapkan dan terdapat kehadiran tikus serta lipas berkeliaran dan ini amat berbahaya kepada pelanggan," katanya. |
Kampung Parit Haji Ali juara Desa Cemerlang Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT BATU PAHAT 9 Julai - Kampung Parit Haji Ali, Semarang di sini diumumkan sebagai johan Anugerah Desa Cemerlang peringkat negeri apabila menewaskan 11 kampung lain dalam pertandingan itu. Kemenangan itu sekali gus mengekalkan Batu Pahat sebagai daerah yang memiliki kampung tercantik dan cemerlang bagi mewakili negeri ke pertandingan peringkat kebangsaan sejak tiga tahun lalu. Dengan pengumuman itu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Parit Haji Ali layak menerima wang tunai sebanyak RM8,000 berserta sijil. Naib johan iaitu Kampung Parit Mastar, Benut, Pontian memperoleh RM6,000 dan Kampung Sri Gunung Pulai, Kulaijaya mendapat RM4,000 sebagai pemenang tempat ketiga. Pengerusi JKKK Kampung Parit Haji Ali, Jemiran Muharam berkata, kemenangan tersebut merupakan kejayaan bagi setiap penduduk kampung yang sepakat mengindahkan kampung mereka sejak beberapa tahun lalu. Menurutnya, jika tahun lalu kampung tersebut hanya muncul naib johan Anugerah Desa Cemerlang peringkat daerah, namun hasil usaha penduduk yang tidak pernah mengenal penat lelah, mereka berjaya menjulang kejayaan lebih besar kali ini. "Kemenangan ini adalah hasil usaha semua penduduk, bermula dengan mengindahkan kampung sehinggalah kerjasama dalam menjaga fasiliti yang ada. Dengan usaha tanpa henti ini, akhirnya kami mewakili negeri ke peringkat kebangsaan pada tahun ini. "Saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada pihak lain yang menyokong seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Datuk Samsolbari Jamali, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Pegawai Daerah Batu Pahat, Ab. Wahab Ridwan," katanya di sini semalam. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md. Ariff berkata, pertandingan anjuran Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu pada dasarnya ingin memupuk perhubungan dan keakraban dalam kalangan penduduk kampung. |
Bantu kecemerlangan organisasi UTM Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT Oleh HANIZA HASSAN JOHOR BAHRU 9 Julai - Semua warga Universiti Teknologi Malaysia (UTM) diseru melakukan transformasi diri supaya lebih kompeten dan berdaya saing. Pro Canselor UTM, Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Nor berkata, UTM yang sinonim dengan produk inovasi tidak seharusnya terhad kepada saintis, malah boleh diaplikasi dalam setiap diri kakitangan. Beliau berkata, setiap kakitangan perlu memainkan peranan penting bagi membantu kecemerlangan sesebuah organisasi di UTM termasuk ketua jabatan, tukang kebun, pemandu atau kerani. "Apabila kita bercakap tentang inovasi, ia bukanlah sesuatu yang tegas dikenakan kepada ahli-ahli sains tetapi ia juga boleh dilakukan oleh setiap daripada kita untuk memperbaiki diri dalam apa juga yang kita lakukan," katanya dalam Majlis Anugerah UTM, di sini baru-baru ini. Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan anugerah sebagai mengiktiraf pencapaian kakitangan UTM dalam pelbagai kategori termasuk Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Anugerah Ikon Akademik, Inovasi Produk dan Anugerah Pengkomersialan dan Anugerah Khidmat Masyarakat. Antara yang menerima anugerah adalah Akademi Bahasa menerusi pembangunan produk MyLine yang berjaya mengungguli Anugerah Inovasi Naib Canselor. MyLine merupakan sumber pembelajaran dalam bahasa Inggeris secara atas talian yang dibangunkan untuk penuntut di 20 institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di negara ini. Dalam pada itu, Dr. Salleh turut menyeru kakitangan UTM mempelajari bahasa baharu selain Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. "Dalam era globalisasi yang berlaku di sekeliling kita, kita perlu belajar bahasa lain seperti Mandarin dan Tamil. Malah, sebagai rakyat Malaysia, kelebihan menguasai bahasa tersebut akan memudahkan kita memahami budaya dan adat kaum lain," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |