Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Bekalan cukup, harga terkawal
- Mayat berulat, reput ditemui dalam bilik
- Anggota JPAM bantu polis jayakan Ops Bantu VII
Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT Oleh NURUL HUDA HASSAN TEE Siew Kiong (dua dari kiri) menyerahkan tanda harga ayam kepada peniaga, Abdullah Ideris (kiri) sambil diperhatikan Ayub Abd. Rahman (tiga dari kanan) semasa membuat operasi kawalan harga barang di Pasar Awam Lakin, Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM JOHOR BAHRU 26 Julai - Orang ramai dinasihatkan tidak bimbang kerana bekalan barangan keperluan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri mencukupi dan dijual pada harga ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong turut memberi jaminan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan Johor akan membuat pemeriksaan sepanjang penguatkuasaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan dikuatkuasakan. Menurutnya, pemeriksaan secara menyeluruh akan dilakukan di pasar, pasar raya besar serta kedai runcit di seluruh negeri. "Seramai 150 anggota penguat kuasa dan 102 pegawai pemantau harga akan memulakan pemeriksaan terhadap 20 jenis barangan kawalan ditetapkan mulai hari ini hingga 11 Ogos. "Kita sentiasa mengambil pelbagai langkah sepanjang musim perayaan ini bagi menjamin bekalan yang mencukupi dan terkawal," katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Pasar Awam Larkin, di sini hari ini. Yang turut hadir Pengarah PPDNKK negeri, Ayub Abd. Rahman. Mengenai tinjauan hari ini, Siew Kiong berkata, para peniaga dilihat mematuhi peraturan ditetapkan dengan mempamerkan tanda harga bewarna merah jambu, malah ada yang menjual barangan kawalan lebih rendah berbanding harga ditetapkan. "Di pasar ini, terdapat peniaga yang menjual cili merah pada harga RM13 sekilogram berbanding harga yang ditetapkan RM14 sekilogram. Ini salah satu langkah yang amat baik dan patut dicontohi peniaga lain demi kepentingan pengguna," katanya. Pada masa sama, beliau memberitahu, rata-rata peniaga juga memberikan maklum balas positif terhadap harga ditetapkan kerajaan dan menyifatkan penetapan harga siling mampu menyekat pembekal daripada mengambil kesempatan menaikkan harga. Sehubungan itu, Siew Kiong mengingatkan semua pihak terlibat supaya mematuhi peraturan jika tidak mahu dikenakan tindakan. "Bagi pengguna yang tidak berpuas hati atau mempunyai sebarang aduan boleh menyalurkan maklumat ke talian bebas tol 1-800-886-800 atau menghantar e-mel kepada e-aduan@kpdnkk.gov.my atau membuat laporan di PPDNKK yang berhampiran. |
Mayat berulat, reput ditemui dalam bilik Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT MUAR 26 Julai - Misteri bau busuk yang menghantui penduduk di Kampung Baru, Lenga dekat sini sejak beberapa hari lalu terungkai selepas penemuan mayat seorang lelaki dalam keadaan berulat dan hampir reput malam semalam. Mayat Gan Hock Ang, 34, ditemui terbaring dan lengkap berpakaian serta berselimut di atas katil di salah sebuah bilik di rumahnya kira-kira pukul 9 malam. Abang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Gan, 40-an, berkata, adiknya tinggal bersendirian di rumah tersebut setelah berpindah dari Kuala Lumpur selepas sambutan Tahun Baru Cina lalu. Menurutnya, Hock Ang yang belum berkahwin menghidap penyakit kencing manis sejak beberapa tahun lalu. "Disebabkan penyakit itu, adik pernah pengsan sehingga terpaksa dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur selama enam bulan. "Saya hantar adik pulang ke kampung kerana dia beria-ia mahu tinggal di sini dan tidak sangka dia meninggal dunia ketika bersendirian di rumah," katanya sambil memberitahu kali terakhir menghubungi adiknya itu kira-kira dua minggu lalu dan kedengaran nada suaranya ceria seperti biasa. Katanya, jiran memberitahu tidak melihat kelibat adiknya sejak beberapa hari lalu dan mereka menyangkakan Hock Ang berada di Kuala Lumpur. Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai mati sejak beberapa hari lalu berdasarkan keadaan mayatnya yang sudah berbau dan mereput. "Setakat ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan tiada unsur jenayah disyaki. Mayat Hock Ang dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah untuk bedah siasat," katanya. |
Anggota JPAM bantu polis jayakan Ops Bantu VII Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT GHAZALI Abdul Rahman (duduk depan, tiga dari kiri) bersama anggota JPAM dan ahli Sispa UiTM Segamat semasa program 'Sehari Bersama Pengarah JPAM' di UiTM Segamat, semalam. SEGAMAT 26 Julai - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Johor akan menggerakkan anggota secukupnya bagi membantu pihak polis menjayakan Ops Bantu VII dan Ops Selamat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelang tidak lama lagi. Pengarahnya, Kolonel (Pertahanan Awam) Ghazali Abdul Rahman berkata, dalam Ops Bantu VII, anggota JPAM tersebut ditugaskan di beberapa jalan Persekutuan dan negeri bagi membantu pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan atau mengalami kesulitan sepanjang perayaan Aidilfitri nanti. "Bantuan termasuklah membantu kenderaan yang mengalami kerosakan kecil, kehabisan bahan api, memberi rawatan awal, membantu menukar tayar bagi kenderaan ringan serta membantu dalam beberapa masalah lain," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam. Ghazali ditemui dalam program 'Sehari Bersama Pengarah JPAM' anjuran Siswa-siswi Pertahanan Awam (Sispa) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat. Bagi Ops Selamat pula, katanya, JPAM akan membantu pihak polis dengan menyediakan perkhidmatan ambulans di perhentian rehat dan rawat Sedenak dan Yong Peng seperti ditetapkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM). Terdahulu dalam ucapannya, beliau menggalakkan penuntut UiTM Segamat melibatkan diri dalam program JPAM. "Ini dapat mendedahkan penuntut dengan ilmu pertahanan awam seperti menyelamat, bantuan kecemasan, ilmu menghadapi bencana dan sebagainya. "Ini juga secara tidak langsung dapat menjadikan penuntut supaya lebih praktikal dalam kehidupan seharian dan seterusnya boleh membantu pihak lain," katanya. Beliau turut berharap masyarakat menyokong usaha JPAM melantik ramai sukarelawan memandangkan kejadian bencana atau kemalangan tidak boleh diduga dan dengan sedikit ilmu bersama pengalaman, situasi tersebut dapat ditangani dengan lebih efektif dan berkesan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |