Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Pertahankan kawasan Ramsar
- Peniaga bazar Ramadan perlu jaga kebersihan, elak keracunan
- JPJ tidak keluarkan kelulusan cermin gelap - Mohd. Johari
Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA KUANTAN 23 Julai - Kerajaan negeri akan mempertahan kawasan Ramsar atau Tanah Lembap yang terdapat di sekeliling Tasik Bera, dekat sini bagi memastikan kawasan yang diisytiharkan di peringkat antarabangsa sebagai kawasan Tanah Lembap pada 1994 itu dikekalkan dan terus terpelihara. Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail berkata, ekoran pencerobohan ke atas tanah seluas hampir 400 hektar itu, penguatkuasaan akan dilakukan selepas Hari Raya Aidilfitri ini dengan memusnahkan kesemua tanaman yang diusahakan di atas tanah berkenaan. "Ada di tempat-tempat lain yang berlaku pencerobohan dicadangkan tanah-tanah itu diberikan kepada pihak seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Pahang (LKPP) dan sebagainya, tetapi untuk Ramsar ini kita tidak akan buat begitu. "Maknanya, kita perlu mengekalkan Ramsar ini, kita perlu mempertahankannya kerana kawasan ini adalah istimewa dan tidak banyak terdapat di dunia ini dan kita menghargai pengiktirafan yang telah diberikan kepada Bera untuk dijadikan kawasan Ramsar ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Seminar Pusat Data - Kepentingan Pengurusan dan Keselamatan Untuk Sektor Awam di Hotel Zenith, di sini hari ini. Baru-baru ini, Utusan Malaysia melaporkan kawasan Tanah Lembap yang terdapat di sekeliling Tasik Bera diancam kepupusan selepas diceroboh secara sewenang-wenangnya untuk menjalankan aktiviti pertanian seperti ladang kelapa sawit tanpa sebarang kawalan dan penguatkuasaan. Kawasan tersebut dibersihkan dan digantikan dengan tanaman pokok kelapa sawit yang dipercayai telah ditebang dengan memusnahkan pelbagai jenis pokok-pokok kayu yang sangat bernilai hampir dua tahun yang lalu. Muhammad Safian berkata, terdapat kira-kira 4,856 hektar terdiri daripada tanah kerajaan dan hutan simpan telah diceroboh di seluruh negeri ini. "Perkara ini (pencerobohan) kita telah mengenal pasti bukan saja di Bera, malah di seluruh negeri dan yang paling kritikal sekarang adalah di Raub, Jerantut, Cameron Highlands dan Maran," katanya. Beliau berkata, bagi membanteras aktiviti pencerobohan haram berkenaan operasi yang lebih bersepadu dilakukan antaranya melibatkan pihak seperti Jabatan Imigresen dan pejabat tanah. "Sebagai contoh, di Raub kita sudah mengambil tindakan dan kita mendapat sokongan penduduk tempatan di situ. Maknanya orang yang menceroboh ini adalah orang luar begitu juga di Cameron Highlands, ada orang luar yang mengambil kesempatan," katanya. Ditanya mengenai kerugian ekoran aktiviti pencerobohan haram itu, beliau berkata, kerajaan negeri menanggung kerugian daripada hasil balak dan tanah. "Purata kerugian yang dialami daripada hasil balak adalah sekitar RM6,000 ke RM7,000 perekar (0.4 hektar) dan untuk hasil tanah, premium tanah adalah RM600 seekar untuk pertanian dan hasil tanah RM12 seekar setahun," katanya. |
Peniaga bazar Ramadan perlu jaga kebersihan, elak keracunan Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT JERANTUT 23 Julai - Para peniaga bazar Ramadan di seluruh negeri diingatkan agar terus mengekalkan tahap kebersihan di gerai mereka bagi mengelak berlakunya keracunan makanan. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Norol Azali Sulaiman berkata, sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan keracunan makanan di bazar Ramadan. "Sikap peniaga di semua Bazar Ramadan seluruh negeri dipuji kerana mereka amat mengambil berat soal kebersihan makanan dan diri masing-masing. "Namun kita amat mengalu-alukan laporan mengenai peniaga yang gagal menjaga kebersihan di premis mereka bagi mengelak berlakunya keracunan makanan pada bulan Ramadan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan program Ziarah Kasih bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Cawangan Jerantut di Hospital Jerantut, di sini semalam. Yang turut hadir, Pengerusi Perkim Jerantut, Datuk Rahimah Mohd. Kawi dan Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Jerantut, Wan Shamsuri Wan Abdul Jalil. Menurutnya, walaupun tahap kebersihan di bazar Ramadan dan peniaga memuaskan, Jabatan Kesihatan negeri sentiasa turun padang bagi memastikan tiada kes keracunan makanan dilaporkan. "Para peniaga dinasihatkan supaya jangan menjual makanan yang tidak habis pada hari sebelumnya kepada orang ramai kerana bimbang akan memberi kesan kesihatan terhadap pengguna," ujarnya. Norol Azali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Guai berkata, peniaga terbabit jangan memikirkan keuntungan semata-mata sebaliknya mengambil berat tentang kualiti makanan yang dijual. Beliau memberitahu, semua pengusaha makanan yang ingin mengambil pekerja baharu harus memastikan mereka mendapat suntikan dan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu. "Ramai yang mengambil ringan perkara ini terutama bagi pengusaha yang mengambil pekerja sementara," jelasnya. |
JPJ tidak keluarkan kelulusan cermin gelap - Mohd. Johari Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT JABATAN Pengangkutan Jalan menahan beberapa kenderaan dalam operasi 'Ops Motosikal' di Plaza Tol Bentong, malam semalam. BENTONG 23 Julai - Pemilik kenderaan di negeri ini dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan promosi pemasangan filem penapis cahaya yang melebihi 50 peratus ketelusan cahaya kononnya telah diluluskan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ negeri, Mohd. Johari Mat Nor berkata, agensi penguatkuasaan itu tidak pernah mengeluarkan sebarang surat kelulusan penggunaannya kepada mana-mana kedai aksesori kenderaan. Menurutnya, pemasangan filem berkenaan sebenarnya mengundang bahaya semasa memandu waktu malam atau ketika hujan. "Saya berharap semua pemilik kenderaan tidak terpengaruh dengan promosi pemasangan filem penapis cahaya sama ada melebihi 50 peratus ketelusan cahaya atau kurang kerana ini membahayakan pemandu. "Pemasangan filem berkenaan boleh mengganggu penglihatan pemandu dan risiko berlaku kemalangan," katanya kepada pemberita selepas mengetuai 'Ops Motosikal' di Plaza Tol Bentong, di sini Sabtu lalu. Menurutnya, selain cermin gelap, kesalahan yang sering dilakukan oleh pemilik kenderaan adalah menggunakan nombor pendaftaran tidak mengikut ukuran dan spesifikasi yang ditetapkan. Sehubungan itu, beliau meminta kedai aksesori kereta menasihatkan pemilik kenderaan supaya membuat nombor pendaftaran mengikut spesifikasi dibenarkan JPJ menerusi pekeliling panduan yang diedarkan di semua kedai aksesori kenderaan. Dalam 'Ops Motosikal' itu, beliau memberitahu, seramai 35 pegawai dan anggota JPJ dari Bentong dan Raub terlibat dalam operasi itu yang diadakan selama dua jam bermula pukul 10 malam dengan melibatkan 339 kenderaan diperiksa. "Dalam pemeriksaan tersebut, sebanyak 56 saman dikeluarkan kerana melanggar peraturan antaranya tiada lesen memandu atau lesen tamat tempoh, cukai jalan tamat tempoh, tidak mempamerkan pelekat L, memasang lampu LID dan melanggar notis larangan penggunaan," katanya. Kata beliau, JPJ turut menahan seorang lelaki yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan memandu sebuah lori kecil yang dilaporkan hilang di Kajang, Selangor sebelum ini. "Lelaki terbabit diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut dan lori berkenaan disita," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |