Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Mahkamah berkuasa kena hukuman Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT Oleh NORLIZAH ABAS PUTRAJAYA 23 Julai - Peguam Datuk Seri Dr. Muhammad Shafee Abdullah mengingatkan masyarakat termasuk pengamal media dan penulis blog agar berhati-hati dengan kenyataan atau tulisan mereka di dada-dada akhbar dan laman blog bagi mengelak daripada berdepan tindakan saman malu kerana memfitnah individu tertentu. Beliau berkata, dunia siber bukan suatu lapangan untuk membuat kenyataan atau siaran sesuka hati kerana saman malu boleh dikenakan yang membawa implikasi serius termasuk dihukum kerana tindakan menghina. Menurutnya, mahkamah mempunyai kuasa untuk mengenakan hukuman ke atas mereka yang melakukan perbuatan menghina seperti yang termaktub di bawah Perkara 126 Perlembagaan Persekutuan. ''Kuasa menjatuhkan hukuman itu merupakan amaran kepada wartawan, penulis blog dan orang awam agar berhati-hati terhadap implikasi yang boleh dikenakan jika mereka tidak mengawasi kenyataan yang disiarkan,'' katanya. Muhammad Shafee menyatakan demikian dalam satu kenyataan ketika mengulas keputusan Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan penulis blog, Amizudin Ahmad, 43, terhadap hukuman penjara tiga bulan kerana menghina mahkamah. Beliau menambah, keputusan hari ini boleh dijadikan panduan dan piawaian terhadap dunia penulisan blog yang mana tiada siapa pun boleh menyiarkan berita palsu yang boleh menghancurkan imej individu lain. Amizudin dikenakan tindakan menghina mahkamah oleh Mahkamah Tinggi kerana terus menyiarkan dalam laman blognya artikel yang memalukan bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim. Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Zaharah Ibrahim mengekalkan keputusan Mahkamah Tingggi pada 10 Ogos tahun lalu yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM300,000 manakala kos RM100,000 dikurangkan kepada RM50,000. |
Bunuh ibu saudara: Zulfahmi dijel 15 tahun Posted: 23 Jul 2013 11:50 AM PDT KOTA BHARU 23 Julai - Tindakan tidak berhati perut seorang bekas kelindan lori memukul kepala ibu saudaranya menggunakan senduk pengacau gulai kawah sehingga mati selepas menyamun mangsa, menerima padah hari ini apabila dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini. Raja Mohd. Zulfahmi Raja Zainal Abedin, 27, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah menyebabkan kematian Wan Kelthum Wan Hussain, 68, tahun lalu. Hakim Mohd. Yusuff Yunos memerintahkan tertuduh menjalani hukuman tersebut bermula tarikh tangkap pada 5 September 2012 iaitu sehari selepas kejadian. Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Wan Kelthum dengan niat hendak menyebabkan kematiannya di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Jebak Puyuh, Pasir Puteh antara pukul 11 pagi dan 1 petang, 4 September 2012. Dakwaan terhadapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Mohd. Yusuff turut memerintahkan tertuduh yang diwakili peguam, Karma Zubi Shaari, membayar denda RM1,000 atau penjara enam bulan. Utusan Malaysia pada 5 September tahun lalu melaporkan mengenai seorang guru mengajar al-Quran yang ditemui maut sehari sebelum itu dipercayai dipukul dengan objek keras di kepala sebelum disamun di rumahnya. Sebelum kejadian, mangsa dikatakan pergi ke rumah anaknya, Raja Zailah Raja Husin, 40, untuk membuat persiapan Rumah Terbuka Aidilfitri sebelum pulang semula ke rumahnya kira-kira 10 pagi untuk mengambil sudip dan senduk. Menurut fakta kes, ketika kejadian tertuduh telah memasuki rumah mangsa melalui tingkap rumah itu yang terbuka dan mengambil sebuah beg milik mangsa yang diletakkan dalam lipatan kain sembahyang di dalam sebuah bilik. Tertuduh kemudiannya mengambil sejumlah wang di dalam beg itu sebelum meletakkannya semula ke tempat asal namun ketika itu tertuduh melihat mangsa telah berada di dalam rumah itu sambil memegang senduk tersebut. Mangsa yang menyedari ada seseorang berada di dalam bilik itu segera melakukan pemeriksaan dan ternampak Raja Mohd. Zulfahmi namun tertuduh kemudiannya bertindak agresif merampas senduk yang berada di tangan mangsa untuk memukulnya. Tidak cukup dengan itu, tertuduh kemudiannya merentap rantai dan kesemua barang kemas di badan mangsa sebelum menghilangkan diri namun berjaya ditahan polis keesokannya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |