{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


DAP ‘cerdik’, Pas, PKR...

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh ZULKIFLI JALIL
dan ABDUL RAZAK IDRIS
pengarang@utusan.com.my

SEKALI air bah sekali pantai berubah. Kedudukan wakil-wakil dalam Dewan Rakyat turut berubah. Ada kalangan Ahli Parlimen yang sebelum ini menteri kabinet kembali ke zon penyokong kerajaan (backbencher).

Ibarat melepas geram yang disimpan di dada bertahun-tahun, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar turut menunjukkan taringnya. Dan setidak-tidaknya memperlihatkan kepada 89 ahli parlimen pembangkang bahawa bukan mereka sahaja yang petah berkata-kata menuduh Kerajaan Barisan Nasional (BN) itu dan ini.

Malahan bekas peguam tersebut, sebenarnya ingin membuktikan kepada rakyat Malaysia - bahawa pembangkang hanya pandai menimbulkan persepsi songsang di mata rakyat negara ini, bukanlah lebih popular dan layak mentadbir negara berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Jika mereka mengguna pakai undi popular sebagai petunjuk untuk menubuhkan kerajaan, mengapa ketua pembangkang, mereka (kepimpinan pembangkang) lantik pemimpin dari PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berdasarkan bilangan kerusi yang dimenangi pembangkang, Pas mendapat 21 kerusi, PKR 30 kerusi dan DAP mendapat kerusi terbanyak iaitu 38 kerusi, bukankah itu menunjukkan DAP lebih popular dalam kalangan kepimpinan pembangkang. Mengapa tidak mahu jadi ketua (pembangkang)," katanya ketika ditemui kami di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut Noh, dalam soal ini yang kelirukan rakyat bukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Sebaliknya pembangkang yang memperdaya rakyat dengan istilah undi popular hingga menarik mereka untuk membuat pelbagai program termasuk (perhimpunan) Blackout 505 untuk menipu rakyat.

Mengambil contoh cadangan Timbalan Presiden PKR dari Gombak, Azmin Ali semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat supaya Malaysia mencontohi Britain dalam pelaksanaan pilihan raya, beliau menegaskan: Negara ini tidak perlu mengikut amalan negara lain kerana mempunyai undang-undang berdasarkan acuan kita sendiri."

Bagi Noh, kalau pemimpin pembangkang mengakui (sistem) di Britain itu betul, kenapa tidak mencontohi mereka. Yakni, terima dan patuh keputusan pilihan raya yang mengikut sistem elektoral, bukannya sistem undi popular.

Dalam pilihan raya Britain 2010, Parti Konservatif tidak dapat membentuk kerajaan setelah hanya memperoleh 305 atau 47 peratus daripada 650 kerusi di Parlimen, berbanding 326 kerusi yang diperlukan untuk membentuk kerajaan berdasarkan majoriti mudah. Walaupun memperoleh 36 peratus undi popular, parti itu terpaksa bergabung dengan Parti Liberal Demokrat untuk membolehkan kerajaan campuran dibentuk.

Kalau berdasarkan undi popular, tak perlulah Parti Konservatif itu membentuk pakatan dengan Liberal, tetapi sebab dia patuh dengan undang-undang negara itu, maka dibentuk kerajaan yang bukan berdasar kepada undi popular, tetapi berdasarkan kepada bilangan kerusi," katanya.

Beliau turut merujuk isu undi popular dengan keputusan PRU-13 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, yang mana walaupun BN memperoleh 39 peratus undi popular, ia sepatutnya mewakili 20 wakil rakyat daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. Namun BN hanya mendapat 12 kerusi berdasarkan sistem elektoral yang diamalkan. BN akur dan menerima keputusan pilihan raya itu.

Noh turut memberi contoh sistem kehakiman negara dan kes liwat yang membabitkan Anwar sebagai analogi untuk menjelaskan mengenai kebiasaan amalan undang-undang di negara ini.

Dalam kes itu, dari tujuh hakim yang mendengar kes, lima kata Anwar bersalah, dua kata tak salah. Tetapi kerana amalan sistem undang-undang kita Anwar didapati tidak bersalahtetapi kalau kita guna sistem majoriti hakim, tentu dia tak akan lepas daripada penjara.

Berbanding negara luar yang menggunakan sistem majoriti hakim, Malaysia mengamalkan sistem di mana mahkamah lebih tinggi boleh mengetepikan keputusan mahkamah yang lebih rendah," katanya.

Katanya, kedudukan ketua pembangkang dan susunan pemimpin pembangkang yang lain di dalam Dewan Rakyat, mencambahkan persepsi masyarakat di negara ini, bahawa orang Melayu yang lebih dominan dalam parti pembangkang. Sedangkan kenyataan yang sebenar adalah sebaliknya. Jika ditelusuri sejarah politik negara ini, sepatutnya jawatan ketua pembangkang dipegang oleh Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, yang berpindah jauh dari kawasan asalnya di Ipoh Timur.

Kit Siang bukannya nama baru dalam dunia politik yang boleh diketepikan begitu sahaja sebagai ketua pembangkang. Beliau pernah menjawat jawatan tersebut beberapa kali dari tahun 1970-an hingga 2008. Bukankah dengan memberi jawatan tersebut kepada Anwar tanpa banyak soal, menunjukkan seperti ada udang di sebalik batu?

Sebagai ketua pembangkang, Kit Siang boleh memainkan peranan yang besar bagi memperjuangkan nasib pengundi-pengundi beliau. Namun dia seakan merelakan jawatan tersebut terus disandang pemimpin PKR - yang dimomokkan berjuang untuk semua bangsa di negara ini.

Saya berpandangan DAP yang paling cerdik dalam kalangan parti pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat ini. Apabila pemimpin mereka sebulat suara bersetuju memilih Anwar sebagai ketua pembangkang maka rakyat akan melihat DAP tidak mempunyai pengaruh dalam pembangkang. Sedangkan sudah jelas siapa yang mempunyai pengaruh yang sebenar di belakang ketua pembangkang.

Terus-terang saya katakan dalam konteks ini, Parti PKR dan Pas menumpang tui DAP yang menang banyak kerusi. Jika kita teliti sebenarnya DAP yang popular dan patut berada di kedudukan nombor satu di blok pembangkang," katanya.

Mengulas mengenai kedudukan pemimpin pembangkang mengikut jawatan di Dewan Parlimen, beliau berasa hairan mengapa Kit Siang berada di kedudukan ketiga selepas Anwar dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Apakah seolah-olah ingin menunjukkan kepada masyarakat bahawa DAP tidak mempunyai kuasa penentu dalam pakatan pembangkang?

Lebih menimbulkan persoalan, mengapa susunan kepimpinan pembangkang di dalam dewan dibuat tanpa mengira hierarki mereka di dalam parti - yang seolah-olah ada tangan tertentu yang mencatur kedudukan tersebut. Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan Naib Presiden Pas berada di kedudukan kerusi yang lebih baik dari Azmin sedangkan dia Timbalan Presiden PKR.

Perkara tersebut menurut Noh, walaupun nampak remeh namun menunjukkan di dalam barisan kepimpinan pembangkang wujud ketidaktentuan. Ini barangkali akibat ada tangan-tangan yang memainkan peranan membuat sesuatu keputusan.

Namun katanya lagi, bagaimana hebat sekalipun percaturan politik pembangkang, semua maklum siapa yang mendapat keuntungan dalam percaturan tersebut.

PKR sebagai parti yang dianggotai semua kaum yang memenangi 30 kerusi Parlimen dilihat seakan berkuasa secara total, dan Pas dengan 21 kerusi sudah pasti kurang berpengaruh dan ditolak orang Melayu yang lebih menggemari UMNO yang menang 88 kerusi.

Kita tahu siapa yang lebih berkuasa membuat dan mempengaruhi keputusan di dalam kepimpinan pembangkang di sebalik jawatan ketua pembangkang yang dipangku pemimpin PKR. Masyarakat perlu menilai dengan bijaksana kedudukan ini.

Apa guna ada jawatan tetapi tidak berlandaskan majoriti kerusi yang dimenangi semasa PRU-13. Dan sesungguhnya percaturan dalam kepimpinan pembangkang, rupa-rupanya DAP yang dilihat lebih cerdik," simpul Noh penuh makna.

Jangan sekat minat jadi guru

Posted: 12 Jul 2013 12:04 PM PDT

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

SEORANG yang bergelar guru, kesabaran akan sentiasa teruji apabila berhadapan dengan murid, ibu bapa dan rakan sekerja yang pelbagai perangai. Sebab itu, minat untuk menjadi seorang guru itu amat diperlukan dalam bidang kerjaya ini.

Dalam masa sama, seorang guru juga mesti mempunyai perasaan kasih sayang kepada murid dan perlu jatuh cinta dengan pekerjaan guru itu sendiri.

Itulah jawapan yang keluar daripada mulut seorang guru di sebuah sekolah menengah apabila ditanya pengumuman Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa syarat untuk memohon pengajian dalam jurusan perguruan telah diperketatkan.

Berkuat kuasa tahun ini, hanya pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 7A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dibenarkan memohon pengajian dalam jurusan itu.

Langkah berkenaan dibuat sejajar dengan hasrat kementerian yang mahukan 30 peratus lulusan SPM terbaik menyertai kerjaya itu.

Namun kelonggaran diberikan kepada pelajar Sabah dan Sarawak yang hanya disyaratkan memperoleh sekurang-kurangnya 5A dalam SPM memandangkan terdapat jurang pencapaian akademik antara negeri itu dengan negeri-negeri di Semenanjung.

Isu mengenai pentingnya minat untuk menjadi seorang guru yang terbaik juga pernah menjadi tema filem Hollywood bertajuk The School of Rock pada 2003.

Dalam filem itu, anggota kumpulan rock, Dewey Finn (yang dibintangi pelawak Jack Black) telah menyamar sebagai guru gantian di sebuah sekolah menengah atas.

Walaupun tidak mempunyai kelayakan akademik untuk mengajar, dia akhirnya telah berjaya mengubah pelajar-pelajarnya menjadi penyanyi dan pemuzik yang berjaya.

Soal pentingnya minat juga turut disentuh beberapa kesatuan guru yang telah menyatakan bantahan sebaik saya syarat baharu itu diumumkan.

Ini termasuk Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) yang menyifatkan syarat tersebut sebagai tidak realistik.

Bagi Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd. Arsad, pelajar yang cemerlang di dalam bidang akademik bukan satu jaminan untuk melahirkan guru terbaik.

Apa yang lebih penting mereka hendaklah mempunyai minat, kemahuan, aktif serta sifat kasih sayang yang begitu tebal terhadap anak-anak murid.

Saya percaya pelajar-pelajar yang memperoleh 5A atau 6A dalam SPM juga mampu menjadi seorang guru yang baik lebih-lebih lagi sekiranya mereka benar-benar berminat untuk menjadi seorang guru," ujarnya.

Menurut beliau, selain kelayakan akademik, penglibatan dalam aktiviti kokurikulum perlu diberi penekanan kepada mereka yang ingin menceburi profesion perguruan bagi meningkatkan taraf profesion itu yang semakin mencabar.

Dalam pada itu, beliau melahirkan kebimbangan usaha untuk menarik lebih ramai pelajar yang memperoleh 7A dalam SPM untuk menceburi bidang perguruan tidak berjaya kerana pelajar terbabit mempunyai peluang untuk memilih jurusan lain yang menawarkan gaji lebih lumayan.

Kebiasaannya mereka akan memilih bidang-bidang lebih profesional seperti doktor atau jurutera apabila melanjutkan pelajaran ke institut pengajian tinggi.

Ini realiti yang berlaku. Hakikatnya, profesion perguruan tidak dapat menjanjikan pulangan lumayan kepada mereka berbanding bidang-bidang profesional yang lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kementerian menawarkan gaji yang lebih tinggi dan kemudahan lain seperti perumahan kepada guru yang berkelulusan cemerlang.

Kalau nak ambil guru yang berkelulusan baik, kebajikan mereka juga perlu dijaga, sekolah ini sampai kawasan pedalaman pun ada. Mungkin elaun tambahan yang lain perlu diadakan," katanya.

Bersetuju dengan pendapat itu ialah Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Ezaruddin Abdul Rahman yang menegaskan pihaknya menentang keras langkah terbaharu kementerian itu.

Beliau berkata, kelulusan akademik bukanlah kriteria utama yang melayakkan seseorang itu menjadi guru yang berdedikasi.

Sebagai bekas pelajar kita tahu bahawa guru yang terbaik bukan sahaja cemerlang dari segi kelulusan akademiknya sebaliknya ia juga melibatkan soal minat, dedikasi untuk mengajar dan perasaan sayang yang ditunjukkan kepada anak didiknya," ujar beliau.

Bagi mengelak mereka yang berminat untuk menjadi guru tersekat kerana syarat yang terlalu ketat dikenakan, beliau meminta syarat minimum itu dibatalkan dan digantikan dengan kelayakan akademik yang munasabah.

Kita mengakui kelayakan akademik juga penting tetapi ia tidak boleh lebih penting daripada kelayakan lain yang boleh menjadi seseorang itu diiktiraf sebagai guru berkualiti," katanya.

Tambah beliau, satu kaedah yang boleh dilakukan kementerian adalah mengadakan sesi temu duga sebelum pelajar diterima mengikuti pengajian dalam bidang perguruan.

Sesi temu duga ini akan membolehkan kita mengetahui adakah mereka benar-benar berminat untuk menjadi seorang guru atau kerana ia pilihan akhir setelah tidak berjaya mengikuti pengajian dalam bidang lain," katanya.

Menurut Ezaruddin, beliau akan mendapatkan persetujuan daripada lain-lain Exco GPMS untuk menghantar satu bantahan rasmi kepada Kementerian Pendidikan berhubung syarat baharu itu.

Kepada pihak kementerian, dengarlah secara serius pandangan badan-badan yang mewakili guru dan pelajar terbabit.

Ini bagi memastikan pelajar yang mempunyai minat dan dalam masa sama memperoleh keputusan yang munasabah dalam SPM dapat meneruskan hasrat mereka untuk menjadi seorang pendidik.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat