Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Patuhi harga kawalan - Abu Ubaidah
- 30 balu polis, anak istimewa, anak yatim terima sumbangan
- Jangan jual ayam lebihi harga siling
Patuhi harga kawalan - Abu Ubaidah Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN ABU Ubaidah Redza (kanan) memberikan tanda harga barang terkawal kepada salah seorang peniaga di Pasar Awam Bahau, dekat Jempol, semalam. JEMPOL 26 Julai - Peniaga diingatkan supaya mematuhi harga kawalan di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan seperti yang diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Abu Ubaidah Redza berkata, peniaga yang ingkar bakal berhadapan dengan tindakan tegas di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. "Harga ini berkuat kuasa hari ini sehingga 11 Ogos tahun ini iaitu selama 17 hari. Antara barang yang dikawal adalah ayam hidup (RM6.40 satu kilogram), ayam standard (disembelih dan dibersihkan beserta kaki, kepala, hati dan hempedal) RM7.70, ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal) RM8.50. "Bagi daging lembu tempatan pula RM24 sekilogram, daging kerbau import (India) RM15, telur ayam gred A 36 sen, telur ayam gred B 35 sen serta telur ayam gred C 34 sen," katanya. Beliau berkata demikian selepas pengumuman penentuan harga Maksimum Barang Harga Terkawal, Skim Kawalan Harga Musim Perayaan di Pasar Awam Bahau, dekat sini hari ini. Katanya, barang lain yang dikawal adalah kubis bulat import, cili merah, tomato, kelapa, kacang tanah import, bawang merah kecil, bawang besar import, bawang putih China, ubi kentang China serta ikan kembung dan ikan mambung. "Saya mengingatkan peniaga supaya meletakkan tanda harga berwarna merah jambu ke atas barangan harga terkawal bagi membezakan barang tersebut dengan barang yang lain. "Peniaga juga digalakkan untuk menjual barang tersebut dengan harga yang lebih rendah daripada harga maksimum," ujarnya. Katanya, anggota penguat kuasa dan pegawai pemantau harga akan berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah bagi menjalankan pemantauan harga barangan tersebut. |
30 balu polis, anak istimewa, anak yatim terima sumbangan Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT OSMAN Salleh (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan Aidilfitri sempena majlis berbuka puasa di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, kelmarin. KUALA PILAH 26 Julai - Ketibaan 1 Syawal tidak lama lagi pasti bermakna buat 30 orang yang terdiri daripada balu anggota polis, anak istimewa dan anak yatim apabila mereka menerima sumbangan duit raya dan barang keperluan. Sumbangan tersebut diterima dalam majlis berbuka puasa anjuran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Pilah yang disampaikan oleh Ketua Polis negeri, Datuk Osman Salleh di sini semalam. Bagi penerima sumbangan, duit raya dan barangan keperluan harian itu amat dihargai kerana dapat menampung perbelanjaan untuk persiapan menjelang Aidilfitri tidak lama lagi. Salah seorang penerima sumbangan, Rosmaliza Zainal Abidin, 39, berkata, dia bersyukur dengan pemberian duit raya bagi anaknya yang menghidap penyakit tulang rapuh, Nur Syaqira Azhar, 13. "Saya berterima kasih kepada penyumbang yang prihatin terhadap anak saya dan bantuan yang diterima ini akan dimanfaatkan untuk menampung kos rawatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). "Setiap tiga bulan sekali, Nur Syaqira perlu mendapatkan rawatan di pusat perubatan itu," katanya yang tinggal di Taman Desa Melang. Seorang lagi penerima, Kamaruzaman Sharif, 51, berkata, sumbangan yang diterima bagi pihak anaknya, Khairul Anuar, 24, yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) pertuturan dan pendengaran dapat meringankan beban kewangan yang ditanggungnya. "Syukur dapat menerima bantuan ini sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya yang merupakan anggota di Pondok Polis Air Mawang, Johol. Sementara itu, Zainab Omar, 56, berkata, sejak kematian suaminya dia sentiasa mendapat bantuan setiap tahun daripada beberapa pihak yang memberi sumbangan. "Keprihatinan mereka amat saya hargai dan bersyukur walaupun arwah suami sudah tiada mereka tidak melupakan kami sekeluarga," ujarnya. Para penyumbang bantuan terdiri daripada Jabatan Kebajikan Polis Diraja Malaysia Negeri Sembilan, Bahagian Kebajikan IPD Kuala Pilah dan kumpulan anak syarikat kerajaan negeri. |
Jangan jual ayam lebihi harga siling Posted: 26 Jul 2013 12:22 PM PDT LATIFF Thamby Chik (dua dari kiri) dan Muhabir Ibrahim (kiri) memantau harga bawang putih yang ditetapkan di Pasar raya Mydin, Jasin, Melaka, semalam. JASIN 26 Julai - Peniaga ayam di negeri ini diingatkan supaya tidak menjual melebihi harga siling yang ditetapkan oleh kerajaan iaitu RM7.70 sekilogram sepanjang pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa ini. Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Thamby Chik berkata, tindakan tegas akan diambil oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri terhadap mana-mana peniaga yang ingkar menerusi akta yang diperuntukkan. Menurutnya, trend kenaikan harga runcit ayam meningkat dengan agak ketara bermula minggu ketiga Jun lalu apabila mencecah ke paras harga purata RM8.40 sekilogram sekali gus menimbulkan keresahan pengguna. "Bagi mengatasi peningkatan harga barangan keperluan dalam pasaran ini, kementerian telah mengambil beberapa langkah bagi menangani kenaikan harga barangan termasuk harga ayam untuk persediaan menghadapi perayaan Aidilfitri. "Pelaksanaan skim kawalan harga pada kali ini dilancarkan lebih awal bagi menyekat kenaikan harga barangan yang tidak berpatutan iaitu tempoh kuatkuasa adalah selama 17 hari bermula hari ini hingga 11 Ogos berbanding 15 hari sebelum ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pengumuman Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2013 di Pasar raya Mydin, Jasin Bestari, di sini hari ini. Yang hadir sama, Pengarah PPDNKK negeri, Muhabir Ibrahim, Timbalan Pengarah, Jamil Buang dan Pengurus cawangan Mydin Jasin Bestari, Zulkarnain Baharum. Latiff berkata, sebanyak 20 jenis barangan telah ditetapkan harga maksimum sepanjang pelaksanaan skim kawalan harga perayaan Aidilfitri antaranya, ayam hidup RM6.40 sekilogram, ayam standard (RM7.70) dan ayam super (RM8.50). "Selain itu harga bagi daging lembu tempatan (RM24) serta daging kerbau import (India) (RM15) dan harga bagi telur ayam gred A (36 sen sebiji), B (35 sen) dan C (34 sen)," katanya. Harga bagi tomato pula adalah RM4.50 sekilogram, kelapa biji (RM1.50), kelapa parut (RM6), kacang tanah import (RM2.50) bawang merah kecil (India) (RM5), bawang putih (China) (RM5), bawang besar import (RM2.50) dan ubi kentang import (China) RM3 serta ikan kembung termasuk ikan mabung (RM12). Dalam pada itu, Latiff turut mengingatkan pengguna supaya membuat aduan ke PPDNKK sekiranya terdapat peniaga yang mengambil kesempatan dengan menaikkan harga barangan kawalan sesuka hati. Tambahnya, sehingga 24 Julai lalu, sebanyak 2,341 pemeriksaan telah dilakukan di negeri ini. Hasil daripada pemeriksaan itu, sebanyak 42 kes dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Sukat 1972, melibatkan nilai rampasan keseluruhan RM5,850 dan nilai kompaun sebanyak RM7,812. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |