Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Zakat fitrah di Kelantan RM7
- FAMA sasar hasil keluaran ladang kontrak RM4.5j
- Polis tingkat rondaan cegah lumba haram sepanjang bulan Ramadan
Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT Oleh YULPISMAN ASLI KOTA BHARU 2 Julai - Kadar zakat fitrah di Kelantan pada tahun ini kekal sebanyak RM7, manakala kadar nisab mata wang bagi tahun 1434 Hijrah pula ialah sebanyak RM13,900 untuk haul antara Ramadan 1434 hingga 1435 Hijrah. Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Datuk Kamaruddin Mohd. Zin berkata, pihaknya telah melantik seramai 611 orang amil terdiri daripada imam masjid di setiap mukim dan pegawai agama di kem tentera, balai polis serta pusat tahanan untuk memungut zakat fitrah. "Adalah dijangkakan kutipan zakat fitrah bagi tahun ini ialah sebanyak RM8 juta berbanding RM7.9 juta tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak satu peratus," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini. Menurut beliau, pihaknya mengalu-alukan orang ramai untuk membayar zakat di kaunter pejabat Maik di Lundang yang akan beroperasi bermula 10 Julai ini sehingga 7 Ogos depan termasuk hari kelepasan am, mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang. Beliau berkata, orang ramai juga boleh membayar zakat melalui institusi perbankan yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat iaitu Bank Islam, CIMB, RHB, Ambank, Maybank, Bank Rakyat, Affin Islamic dan Standard Chartered Bank. "Pembayaran boleh dilaksanakan dengan menggunakan perkhidmatan kaunter dan perbankan internet. Maik juga telah melaksanakan pembayaran melalui portal e-zakat. "Perluasan kaedah pembayaran zakat itu bertujuan memenuhi keperluan teknologi terkini iaitu menyediakan bayaran secara online yang mampu dilaksanakan secara cepat, mudah dan selamat. Kaedah ini dilaksanakan melalui tiga bahasa iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Arab," katanya. Selain itu, jelas beliau, pembayaran zakat juga boleh dibuat di kaunter-kaunter pungutan zakat di masjid-masjid seluruh negeri, pejabat pos dan kaunter bergerak di pusat beli-belah KB Mall dan Tesco pada 14 Julai hingga 5 Ogos serta Mydin Kubang Kerian pada 14 Julai hingga 1 Ogos depan. Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihaknya menyasarkan kutipan zakat fitrah dan harta pada tahun ini sebanyak RM120 juta dan sehingga 30 Jun lalu, Maik telah mengutip sebanyak RM53.166 juta berbanding RM35.137 juta tempoh sama tahun sebelumnya. Beliau berkata, zakat pendapatan merupakan penyumbang terbesar mewakili kira-kira 60 peratus, diikuti zakat perniagaan daripada badan korporat dan swasta. "Jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM15.187 juta, ia antara lain hasil kesedaran umat Islam di dalam dan luar Kelantan untuk menunaikan kewajipan tersebut, selain kaedah pembayaran zakat yang semakin dipermudahkan," katanya. Kamaruddin turut memberitahu, sehingga 30 Jun lalu, pihaknya telah mengagihkan lebih RM63.10 juta kepada lapan golongan asnaf yang layak menerima zakat di negeri ini. |
FAMA sasar hasil keluaran ladang kontrak RM4.5j Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT Mohd. Ariffin Awang (kanan) bertukar dokumen dengan wakil peserta ladang kontrak pada majlis menandatangani perjanjian jual beli Ladang Kontrak di Tumpat, Kelantan, semalam. TUMPAT 2 Julai - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan menyasarkan sebanyak RM4.5 juta hasil pengeluaran tanaman di bawah program ladang kontrak pada tahun ini. Pengarah FAMA Wilayah Timur 1, Mohd. Ariffin Awang berkata dengan sasaran peningkatan sebanyak RM1 juta berbanding tahun lalu, pihaknya dalam usaha meningkatkan produktiviti peserta ladang agar sasaran hasil pengeluaran ladang ditetapkan dapat dicapai. "Dalam masa lima bulan pertama ini pihak FAMA telah mencapai nilai pengeluaran sebanyak RM2 juta dan kita mesti meningkatkan produk daripada ladang kontrak tersebut untuk memastikan pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran bertambah," katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani perjanjian jual beli Ladang Kontrak (MoA) di pejabat FAMA dekat sini hari ini. Projek yang melibatkan tanah seluas 305 hektar pada tahun ini mampu memberi manfaat kepada kira-kira 197 petani yang mengusahakan tanaman seperti sayur-sayuran dan buah-buahan. "Pada tahun lalu, jumlah keseluruhan petani di bawah program itu seramai 157 orang dan melibatkan kawasan seluas 94 hektar. Jadi, saya berharap petani dapat mengusahakan pertanian secara komersial bagi meningkatkan pendapatan mereka berbanding pada tahun sebelumnya," jelasnya. Beliau berkata, di bawah projek ladang kontrak, FAMA akan membeli sejumlah hasil pertanian secara kontrak dengan peserta mengikut jumlah yang dipersetujui kedua-dua pihak. Katanya, dengan adanya ladang kontrak itu juga para petani tidak perlu risau mengenai masalah pasaran kerana mereka hanya perlu berusaha menghasilkan tanaman berkualiti. "Pasaran akan diuruskan oleh FAMA dan dengan wujudnya Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) memudahkan lagi segala urusan berkaitan pemasaran kerana hasil para petani akan dikumpulkan di pusat itu dan diedarkan ke seluruh negara," katanya. |
Polis tingkat rondaan cegah lumba haram sepanjang bulan Ramadan Posted: 02 Jul 2013 11:13 AM PDT Mohd. Kamal Zainal (tiga dari kiri) menyerahkan cenderamata kepada Sarjan Mejar Mat Hassan Ali (kiri) dan Sarjan Mejar Habidah Mat Saman (kanan) pada majlis persaraan mereka di Balai Polis Cherang Ruku, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. PASIR PUTEH 2 Julai - Polis akan meningkatkan rondaan di kawasan tertentu yang dikenal pasti dijadikan litar lumba haram oleh golongan remaja sepanjang bulan Ramadan ini. Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, langkah berkenaan bertujuan mencegah penglibatan remaja dalam perlumbaan haram sebelum berbuka puasa dan ketika solat sunat tarawih berlangsung. Beliau berkata, berdasarkan pengalaman dan hasil pemantauan polis setiap kali bulan Ramadan, antara punca berlakunya kemalangan maut adalah disebabkan kegiatan merempit. "Antara laluan utama yang diberi tumpuan adalah Lebuh Raya Pantai Pachakan ke Tok Bali, Jalan Kampung Jerat Semata dan beberapa lokasi di Jalan Selising ke Kota Bharu," katanya. Beliau ditemui pemberita selepas majlis persaraan Ketua Balai Polis Cherang Ruku, Sarjan Mejar Mat Hassan Ali dan Ketua Balai Polis Bukit Yong, Sarjan Mejar Habidah Mat Saman di Balai Polis Cherang Ruku hari ini. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman bersama lebih 300 penduduk setempat. Mohd. Kamal berkata, polis turut mengesan ada kumpulan remaja menggunakan jalan kampung terutama yang baru diturap untuk dijadikan litar lumba. Beliau berkata, orang ramai termasuk kontraktor yang membina jalan baharu perlu melaporkan kegiatan tersebut kepada polis untuk tindakan segera. Polis turut menyarankan ibu bapa memantau pergerakan anak mereka yang menjadikan alasan pergi ke pasar Ramadan atau menunaikan solat tarawih tetapi pergi berlumba sesama mereka. Mohd. Kamal berkata, pihaknya akan turut bekerjasama dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Skim Rondaan Sukarelawan (SRS), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat (Rela) bagi membanteras kegiatan jenayah di daerah ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |