Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Ayam murah di pasar tani
- BSN Pulau Pinang serah sumbangan van jenazah
- Ketengahkan golongan muda di masjid - Ustaz Kazim
Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT Oleh AZELI ALI PERMATANG PAUH 9 Julai - Orang ramai disaran mendapatkan bekalan ayam dan sayur-sayuran untuk Ramadan di pasar tani anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memperoleh harga yang lebih murah. Pengarah FAMA Pulau Pinang, Habibah Sulaiman berkata, melalui Program Jimat Belanja Dapur di empat buah pasar tani mega di negeri itu, orang ramai boleh membeli ayam dengan harga 70 sen lebih murah daripada harga di pasar-pasar awam. Menurutnya, bagi jualan sayur pula harga yang ditawarkan ialah 10 hingga 15 peratus lebih murah daripada harga di pasaran kerana FAMA menggalakkan penanam sayur menjual sendiri hasil keluaran mereka. "Isu harga ayam yang melambung tinggi malah mencecah sehingga RM9.50 sekilogram sedikit sebanyak membebankan pengguna, jadi FAMA tawarkan harga ayam lebih murah di pasar tani di seluruh negara. "Di Pulau Pinang terdapat empat pasar tani yang menyertai program itu iaitu Pasar Tani Balik Pulau, Masjid Bandar Baharu Air Itam, Tasek Gelugor dan Pokok Sena," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini. Menurut Habibah, pengurangan harga itu adalah langkah kerajaan untuk membantu pembeli bagi mengurangkan kos sara hidup yang sekali gus membuktikan kerajaan sentiasa membantu rakyat dalam semua aspek. Selain ayam dan sayur-sayuran, jualan buah-buahan dengan harga yang murah juga diadakan di pasar tani. Dalam pada itu, Habibah memaklumkan sehingga kini terdapat 15 buah pasar tani di seluruh negeri Pulau Pinang dengan penglibatan hampir 500 peserta. Selain itu nilai jualan yang dicatatkan pada Januari tahun ini sahaja mencecah RM684,300 dan pada penghujung tahun lalu, jualannya meningkat sehingga RM19.9 juta di seluruh negeri. |
BSN Pulau Pinang serah sumbangan van jenazah Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT REEZAL Merican Naina Merican (kiri) ditemani Mohd. Khairil Mohd. Noor (dua kanan) dan Razak Awang melihat van jenazah di pekarangan Masjid Jamek Pongsu Seribu, Kepala Batas, Pulau Pinang, malam kelmarin. KEPALA BATAS 9 Julai - Bank Simpanan Nasional (BSN) Pulau Pinang menyerahkan sumbangan zakat berbentuk sebuah van jenazah kepada Masjid Jamek Pongsu Seribu di sini malam semalam, bagi memudahkan urusan pengkebumian penduduk di sekitar kariah berkenaan. Van jenis Toyota Hiace bernilai lebih RM100,000 itu diserahkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Reezal Merican Naina Merican kepada pengerusi masjid tersebut, Razak Awang. Yang hadir sama, Pengurus BSN negeri, Mohd Khairil Mohd. Noor dan jemaah masjid serta ahli kariah berkenaan. Van tersebut diubah suai bagi memudahkan orang ramai menggunakannya dan turut dilengkapi keranda. Menurut Reezal Merican, van tersebut merupakan salah satu tanggungjawab sosial BSN kepada masyarakat yang telah banyak memberi sokongan. "Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada BSN kerana memilih masjid ini yang terletak dalam Parlimen saya untuk menerima sumbangan yang saya rasa cukup berharga kepada penduduk di sini. "Diharap sumbangan ini akan memudahkan lagi pengurusan jenazah dan dapat dimanfaatkan penduduk setempat," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut. Tambah beliau, van tersebut juga boleh digunakan mana-mana pihak di luar kariah yang memerlukan kemudahan itu menerusi kebenaran jawatankuasa masjid. |
Ketengahkan golongan muda di masjid - Ustaz Kazim Posted: 09 Jul 2013 11:30 AM PDT USTAZ KAZIM ALOR SETAR 9 Julai - Penceramah bebas, Muhammad Kazim Elias menyarankan agar pengurusan masjid dan surau mengetengahkan golongan muda dalam aktiviti mengimarahkan institusi itu sepanjang Ramadan. Beliau yang popular dengan panggilan Ustaz Kazim berkata, langkah itu penting sebagai melatih generasi baharu sebagai penggerak utama masjid untuk masa depan selain menarik golongan tersebut ke masjid. "Kalau dapat imam muda lebih bagus atau kita gilirkan hari ini imam muda, esok imam lama sebagai imam berjemaah. "Orang muda yang minat menyanyi lagu rock itu sedap suaranya maka kita ajak dia selawat selepas setiap solat tarawih, kita bimbing dan tarik mereka," katanya ketika menyampaikan ceramah Ihya Ramadan di pekarangan Menara Alor Setar di sini malam tadi. Ceramah dengan penyampaian bersahaja dan menarik oleh Ustaz Kazim itu dihadiri kira-kira 2,000 orang ramai termasuk Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Tenaga Manusia negeri, Mohd. Rawi Abdul Hamid. Ustaz Kazim berkata, terdapat solat tarawih yang diimamkan oleh imam terlalu 'veteran' sehingga bacaan kurang jelas dan mengakibatkan jemaah beralih ke masjid lain. Beliau berkata, umat Islam diseru merebut peluang kedatangan Ramadan dengan memperbanyakkan amal ibadat serta meningkatkan ketakwaan kepada Allah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |