Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
- Harga ayam naik mendadak
- Pengusaha bas Ipoh diminta pindah ke Meru Raya
- Jenayah gangsterisme pelajar di Pulau Pinang menurun
Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH Yusuff Ismail (kiri) melihat harga ayam yang ditimbang oleh peniaga Mohd. Amir Aziz ketika memantau harga barangan yang dijual di Pasar Besar Alor Setar, Kedah, semalam. -utusan/ Kamal Basir ALOR SETAR 5 Julai - Kerajaan dicadang menetapkan harga siling bagi daging ayam di peringkat ladang atau pembekal untuk menjamin kestabilan harga bahan makanan itu di pasaran runcit, khususnya menjelang Ramadan atau musim perayaan. Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusuff Ismail berkata, langkah berkenaan dapat membantu menyelaraskan harga ayam, sekali gus mengatasi masalah kenaikan harga bahan makanan tersebut yang tidak pernah reda. Katanya, pemantauan persatuan itu mendapati kenaikan harga ayam berpunca daripada pembekal dan mereka tiada pilihan dan terpaksa menjual mengikut harga pasaran walaupun mahal. "Harga pasaran ayam bermula daripada pengedaran ayam di peringkat penternak. Jika di peringkat ini harga bahan makanan itu dinaikkan sesuka hati, maka harga pasaran runcit juga pasti meningkat. "Sebab itu, kami mencadangkan supaya mewujudkan harga siling yang ditetapkan di ladang. Kalau tidak, isu ini tidak akan selesai," katanya kepada pemberita selepas meninjau harga ayam di Pasar Besar Alor Setar, di sini hari ini. Yusuff berkata, penternak seringkali memberikan pelbagai alasan seperti peningkatan kos operasi bahan mentah ternakan termasuk anak ayam dan bahan makanan yang mahal, menyebabkan punca ketidakstabilan harga. Katanya, persatuan itu turut dimaklumkan bahawa pembekal di Johor, Melaka dan Negeri Sembilan mengambil bekalan ayam dari utara Semenanjung, ekoran situasi jerebu teruk baru-baru ini yang menjejaskan pengeluaran bahan makanan itu. Menurut beliau, jika harga siling ayam hendak ditetapkan di peringkat ladang, mesti mengambil kira kepentingan penternak, pemborong dan peruncit agar kesemua penggiat dalam rantaian tersebut mendapat untung, di samping perkara paling utama iaitu berupaya menjaga kepentingan pengguna. "Dalam hal ini, kerajaan perlu berbincang dengan persatuan penternak tentang kos operasi menternak serta pengeluaran ayam tempatan sebelum menentukan harga siling yang hendak ditetapkan," katanya. Sementara itu, Yusuff berkata, pemantauan persatuan terhadap harga ayam di beberapa pasar basah di negeri ini hari ini mendapati berlaku kenaikan mendadak sehingga di sesetengah kawasan mencecah RM9 sekilogram berbanding sekitar RM6.50 sebelum ini. Beliau memberikan, contoh harga ayam di pasar Kuala Muda ialah RM9 sekilogram, pasar Jalan Tun Razak (RM8.50 sekilogram) dan Pasar Besar Alor Setar (RM7.80 sekilogram). "Kenaikan mendadak harga ayam akan membebankan pengguna terutama yang mempunyai pendapatan sederhana. Kerajaan perlu mengambil perhatian serius tentang keadaan ini dengan melakukan pemantauan dan mencari satu mekanisme supaya harga bahan makanan itu dapat diselaraskan," ujar beliau. Dalam pada itu, seorang peniaga ayam, Wan Ahmad Fauzi Wan Zainal berkata, dia terpaksa menaikkan harga kerana kos operasi yang tinggi, namun akan memberikan penjelasan kepada pelanggan kerana rata-rata pelanggan mengeluh dengan kenaikan berkenaan. "Peniaga tiada pilihan dan kenaikan tidak boleh dielakkan. Kami memperoleh untung kecil, selain perlu menampung beberapa kos operasi," katanya. Seorang pengguna, Aniza Mohd. Zaib, 27, berkata, kenaikan itu tidak wajar kerana membebankan isi rumah berpendapatan sederhana seperti keluarganya yang terpaksa berbelanja lebih untuk mendapatkan bahan makanan berkenaan. |
Pengusaha bas Ipoh diminta pindah ke Meru Raya Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT IPOH 5 Julai - Semua pengusaha bas ekspres di sekitar bandar raya ini digesa bekerjasama berpindah ke Terminal Amanjaya di Meru Raya bagi memastikan tiada sebarang pihak berdepan masalah kekurangan pengguna. Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan memandang serius masalah yang disuarakan sebahagian pengusaha bas yang telah beroperasi di terminal berkenaan apatah lagi kawasan tersebut telah dinaik taraf menjadi pusat pengangkutan yang lebih kondusif dan selesa. "Kita berharap pengurusan terminal dapat segera mengadakan perbincangan dengan syarikat yang masih belum berpindah. "Adalah tidak adil jika masih ada yang belum berpindah ke sana. Kita akan minta pegawai untuk menjalankan siasatan lanjut mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita di sini semalam. Beliau mengulas desakan pengusaha di Terminal Amanjaya yang mahu syarikat ekspres yang masih beroperasi di Jalan Bendahara, Medan Kidd serta Jalan Dr. Nazrin Shah termasuk di Chemor; berpindah ke terminal berkenaan dengan segera bagi mengelak daripada terus menanggung kerugian. Isu pemindahan operasi bas ekspres ke Terminal Aman Jaya dari Medan Gopeng yang berlarutan sejak April 2011, pada awalnya, selesai apabila semua pengusaha bersetuju berpindah ke terminal itu pada Mac lalu melalui perjanjian yang dimeterai bersama di hadapan Zambry. Pengusaha bas, Faizal Mustafa berkata, tindakan pengusaha bas ekspres yang masih beroperasi di kawasan terbabit nyata bersikap pentingkan diri selain tidak menyahut saranan kerajaan negeri. Sehubungan itu, katanya, beliau mahu kerajaan negeri campur tangan dalam menangani hal tersebut bagi mengelak sebarang kes 'pilih bulu'. "Ramai peniaga di Terminal Aman Jaya gulung tikar akibat kekurangan pengunjung dan jualan tiket turut mengalami penurunan kerana orang ramai memilih untuk tidak membeli tiket di situ (kerana terletak di luar pusat bandar). "Jika perkara ini tidak diselesaikan segera, perkara ini akan memberi kesan negatif kepada pengusaha kaunter yang juga merupakan usahawan Melayu," katanya. |
Jenayah gangsterisme pelajar di Pulau Pinang menurun Posted: 05 Jul 2013 11:04 AM PDT Abdul Rahim Hanafi (tengah) beramah mesra dengan para pelajar ketika program Komuniti Kepolisan di SMK Bandar Baru Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kelmarin. BUKIT MERTAJAM 5 Julai - Indeks jenayah gangsterisme dalam kalangan pelajar sekolah negeri ini sepanjang lima bulan pertama tahun ini mencatatkan penurunan satu peratus berbanding lima peratus bagi tempoh yang sama tahun lalu. Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, penurunan itu adalah sesuatu yang positif hasil kerjasama daripada pihak sekolah, guru, ibu bapa dengan pihak polis. "Walaupun indeks berkenaan menurun tetapi polis akan sentiasa memantau perkembangan jenayah lain terutamanya yang melibatkan pelajar sekolah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program komuniti kepolisan di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Perda, di sini semalam. Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Azman Ab. Lah. Abdul Rahim berkata, polis turut mengambil beberapa inisiatif bagi memerangi jenayah menerusi penglibatan aktif dalam beberapa siri program bersama masyarakat setempat untuk meningkatkan kesedaran awam. Tambahnya, pihaknya percaya program seperti ini dapat membentuk identiti masyarakat supaya lebih berdisiplin dan menjauhkan diri daripada terlibat secara langsung dalam jenayah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |