{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Kini kurang garang

Posted:

Kini kurang garang

Kini kurang garang

HAMPIR tiga bulan bergelar seorang ibu, pelakon dan pengacara Yasmin Hani Richardson kelihatan cukup riang dan gembira ketika tampil bersama anak sulungnya, Noah Ismail Wong sewaktu majlis pelancaran rancangan Selebriti Materniti di TGV One Utama, Petaling Jaya, Selangor pada minggu lalu.

Dengan imej baharu berambut pendek ternyata menyerlahkan lagi penampilannya sekarang. Malah, dia turut ditemani oleh suami tercinta, Sha'arin Mohammed Razali ke majlis tersebut.

Menceritakan pengalamannya kali pertama bergelar ibu, Yasmin, 34, berkata, pada mulanya dia mengakui agak kelam-kabut dan terpaksa membiasakan diri dalam menguruskan anak kesayangannya itu.

"Saya tidak menggunakan khidmat pembantu rumah dan bergilir-gilir bersama suami menjaga Noah. Kalau diikutkan memang tidak cukup tidur tetapi rasa seronok melihat perkembangan anak yang semakin membesar.

"Lagipun suami sangat banyak membantu menguruskan rumah tangga apabila saya sibuk menjaga anak kami. Menariknya, kalau ada masa terluang suami akan memasak di dapur," ujarnya dengan penuh ceria.

Apabila ditanya tentang perubahan yang berlaku terhadap dirinya sebelum dan selepas mempunyai anak, Yasmin lantas tertawa dan mendedahkan, salah satunya ialah dia dapat mengubah sikap garang yang dimilikinya.

Jelasnya, sebelum mempunyai anak dia memang seorang yang cukup garang, apatah lagi ketika sedang hamil. Bagaimanapun, sikap sedemikian semakin berkurangan setelah melahirkan Noah.

"Kalau dahulu saya seorang yang garang, kini saya berubah menjadi seorang yang mudah tersentuh pula, terutamanya apabila melihat anak di depan mata, saya berasa cukup tenang dan bahagia.


KEHADIRAN Noah Ismail Wong banyak merubah sikap Yasmin dan suaminya, Sha'arin juga seorang yang ringan tulang membantu menguruskan rumah tangga mereka.


"Namun begitu, tidak bermakna saya sudah tidak garang lagi sekarang ini, cuma sikap sedemikian dapat dikurangkan. Ternyata ada hikmah juga apabila saya melahirkan anak sulung ini," ujarnya.

Memandangkan dia dan suami sama-sama berkecimpung dalam lapangan arena seni, Yasmin turut ditanya sama ada dia tidak kisah kalau anak sulungnya itu akan mengikut jejak langkah mereka berdua.

Menurutnya, sebagai seorang ibu dia sesekali tidak akan mengongkong minat anaknya, termasuk sekiranya dia menunjukkan minat dan kecenderungan terhadap bidang seni.

"Sudah tentu saya tidak akan mengongkong apa sahaja yang disukai oleh Noah apabila dia sudah besar nanti. Asalkan dia gembira dengan apa yang dilakukan, saya akan memberikan sepenuh sokongan kepadanya.

"Lagipun ada antara ahli keluarga kami yang sudah didedahkan dengan dunia seni sejak kecil, misalnya berlakon dalam iklan komersial. Jadi, ia merupakan satu perkara yang normal sekiranya Noah menunjukkan minat yang sama," jelasnya.

Terus berlakon

Bercerita lebih lanjut tentang perkembangan kerjaya seninya pula, Yasmin menyatakan, pada peringkat awal dia mahu memberikan sepenuh tumpuan untuk menjaga anaknya itu.

Bagaimanapun, kini dia bersedia untuk menerima sebarang tawaran sama ada berlakon atau mengacara. Malah, baru-baru ini dia sudah kembali mengacara beberapa majlis.

"Saya sengaja mengambil tawaran yang tidak memerlukan komitmen panjang kerana ingin merasai sendiri situasi apabila meninggalkan Noah di rumah kerana perlu membiasakan diri.

"Biasanya kalau saya sedang bekerja, setiap setengah jam suami akan menghantar gambar Noah menerusi khidmat pesanan multimedia (MMS) dan dengan cara sebegitu saya dapat fokus terhadap pekerjaan yang dilakukan," jelasnya yang terbabit sebagai pengacara Konsert Destini pada Disember tahun lalu.

Dikenali ramai ketika berlakon dalam filem Cicak Man pada tahun 2006, Yasmin menyatakan bahawa dia juga sudah bersedia kembali dalam dunia lakonan, cuma masih ada pihak yang beranggapan dia belum lagi bersedia memandangkan baru sahaja melahirkan anak.

PASANGAN ini tidak menghalang sekiranya Noah terdedah dengan dunia seni.


Tidak rancang

Berkenaan dengan rancangan Selebriti Materniti, isteri kepada Sha'arin itu mendedahkan bahawa dia dan suami langsung tidak merancang untuk menghasilkan sebuah rancangan yang menceritakan pengalamannya sepanjang hamil sehingga melahirkan anak.

Jelasnya, idea untuk menerbitkan rancangan tersebut oleh syarikat milik suaminya iaitu Blublack Productions timbul kerana kegemarannya mengambil pelbagai gambar dan video.

"Tidak pernah terdetik di hati kami menghasilkan rancangan ini kerana pada asalnya gambar dan video yang diambil semasa hamil dulu sekadar untuk simpanan peribadi yang akan ditunjukkan kepada anak kami apabila dia besar nanti.

"Apabila rakaman yang diambil terlalu banyak dan sangat menarik, akhirnya kami mengambil keputusan untuk berkongsi detik-detik indah kami ini buat tatapan orang ramai," ujarnya.

Antara yang dipaparkan dalam rancangan tersebut seperti kisah mengenai dirinya sepanjang hamil, detik ketika berada di bilik bersalin dan majlis aqiqah serta diselitkan dengan paparan informasi yang berguna kepada penonton tentang wanita hamil.

Kecewa dengan kritikan, Nabil berhenti sertai MLM

Posted:

Kecewa dengan kritikan, Nabil berhenti sertai MLM

Kecewa dengan kritikan, Nabil berhenti sertai MLM

Oleh IZWAN MOHD. ISA

MASIH menyayangi dunia lawak, Nabil sedia mempertimbangkan sesuatu tawaran pertandingan yang membabitkan hanya peserta solo.


KEHEBATAN yang ditampilkan Ahmad Nabil Ahmad, 31, atau lebih mesra disapa Nabil sewaktu menyertai pertandingan Raja Lawak musim kedua enam tahun lalu begitu mendapat perhatian ramai.

Saban minggu, lawak yang dipersembahkan oleh anak kelahiran Negeri Sembilan ini tidak pernah gagal menggeletek hati peminat yang menonton.

Selepas berjaya merangkul gelaran juara melalui rancangan tersebut, Nabil kemudiannya muncul menerusi dua lagi pertandingan berbentuk serupa iaitu Maharaja Lawak Mega musim kedua pada tahun 2012 dan ketiga (2013).

Malangnya, kualiti persembahan yang diketengahkan oleh Nabil dikata- kan semakin menurun dan peminat sudah mulai bosan dengan lawak yang cuba disampaikannya.

Kecewa dengan cemuhan dan kritikan yang diterima, ayah kepada Naira Mikayla itu memutuskan untuk tidak menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) jika rancangan tersebut diperbaharui untuk musim baharu kelak.

Ikuti temu bual selanjutnya yang dijalankan sewaktu berpeluang bertemu dengannya pada majlis pelancaran Royal Slim Lishuo Magic yang berlangsung di N'dah Catering, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kosmo!: Apakah yang menyebabkan anda mengambil keputusan untuk tidak mahu menyertai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) pada masa akan datang?

NABIL: Saya berasa sedikit terkilan apabila sering mendapat kritikan dan cemuhan daripada penonton. Lebih-lebih lagi kritikan itu datangnya daripada peminat-peminat peserta MLM lain yang tidak putus-putus mengeluarkan kata-kata negatif.

Paling teruk apabila saya di'boo' ketika mengadakan persembahan pada minggu ke-10 di Johor tempoh hari. Nampak sangat kehadiran saya tidak disenangi oleh peminat di sana.

Ada yang mengatakan anda sudah tidak menampilkan lawak yang berkualiti berbanding peserta lain. Adakah kenyataan itu benar?

Jika lawak yang saya tampilkan tidak berkualiti, mengapa saya layak sehingga ke minggu final? Saya penat apabila kerap kali dibandingkan dengan peserta lain.

Mana tidaknya, mereka bertanding sebagai peserta berkumpulan, sedangkan saya hanyalah peserta solo. Jika khalayak perlu faham idea seorang berbanding tiga atau dua orang peserta, gaya penyampaian tentunya berbeza.

NABIL meluahkan kekecewaannya apabila sering dibandingkan dengan peserta lain yang bertanding dalam MLM 2013.


Jadi, anda nekad untuk tidak mahu melawak lagi?

Sejujurnya saya sangat sayangkan dunia lawak kerana saya lahir daripada pertandingan Raja Lawak. Jika pihak Astro mengadakan pertandingan yang disertai oleh pelawak solo sahaja, mungkin saya akan pertimbangkan untuk turut bertanding.

Ada juga yang mengatakan anda tidak sensitif kerana menjadikan juri MLM 2013 iaitu Luna Maya sebagai subjek lawak anda minggu lalu. Apa komen anda?

Saya sangat kecewa apabila komen-komen negatif itu datangnya daripada rakyat Malaysia sendiri. Saya tidak mengaibkan sesiapa dan apa yang disampaikan itu merupakan perkara yang benar. Saya faham mengenai isu sensitif yang cuba disampaikan oleh peminat kerana saya pernah dikecam akibat melakukan perkara yang hampir sama dahulu.

Jadi apa tindakan anda seterusnya?

Saya enggan mengambil tahu tentang kritikan yang ditujukan kepada saya. Biarlah apa orang mahu kata. Apa yang penting adalah persembahan yang bakal saya berikan pada persembahan akhir MLM 2013 pada Jumaat ini.

Sejak kebelakangan ini, anda dilihat lebih selesa untuk menggalas tanggungjawab sebagai pengacara. Ada berniat untuk beralih bidang?

Bagi saya, tidak salah untuk menumpukan perhatian pada bidang pengacaraan kerana ia merupakan salah satu daripada cabang seni yang saya minati. Sewaktu diberi peluang untuk berkongsi pentas bersama Datuk Aznil Nawawi bagi mengendalikan Anugerah Industri Muzik ke-20 beberapa bulan lalu, saya berasa sungguh gembira.

Ia merupakan suatu pencapaian terbaik bagi saya. Untuk beralih arah sepenuhnya, mungkin tidak. Sebab itu saya masih menerima tawaran menyertai rancangan Lawak Ke Derr dan Super Spontan.

Apa perkembangan terbaharu anda?

Sabtu ini saya akan bergandingan bersama Datuk AC Mizal dan Neelofa untuk mengacarakan Anugerah Meletop Era. Selepas itu, saya bakal terbang ke Paris, Perancis bagi menjalankan penggambaran drama Strawberi Karipap.

Kemudian, saya akan bercuti bersama peminat kelab bola sepak Manchester United di London, England. Dalam pada itu, cawangan terbaharu gimnasium saya, Rai Fitness akan dibuka di Seksyen 13, Taman Tun Dr. Ismail pada bulan Jun ini.

Broadway ala P. Ramlee

Posted:

Broadway ala P. Ramlee

Broadway ala P. Ramlee


PEMENTASAN Projek My P. Ramlee: Tanya Sama Hati turut diiringi tarian barisan generasi muda berbilang bangsa.


KARYA-KARYA seniman agung Tan Sri P. Ramlee yang bersifat malar segar bukan sahaja menjadi kegilaan ramai, malah, filem serta lagu-lagu garapannya sering menjadi bahan rujukan pengkarya seni masa kini bagi menghasilkan pelbagai bahan baharu buat tatapan generasi muda tempatan.

Disuntik dengan elemen-elemen segar, Triple Eight Production bersama-sama Fusion Bangsa Play dan Persatuan Alumni Aswara membawakan sebuah pementasan yang berjudul Projek My P. Ramlee: Tanya Sama Hati.

Pementasan yang diilhamkan daripada filem dan lagu-lagu P. Ramlee ini boleh dikatakan unik kerana terdapat unsur-unsur broadway diketengahkan sepanjang pementasan itu berlangsung kelak.

Pengarahnya, Manja Liza Abd. Rahman berkata, dia mahukan sesuatu yang berlainan diterapkan dalam sebuah pementasan berbahasa Melayu agar persembahan tersebut mampu berdiri dalam kelasnya yang tersendiri.

Elemen broadway

"Saya begitu meminati filem-filem arahan P. Ramlee sejak daripada kecil lagi. Sewaktu berjinak-jinak dengan pementasan broadway di luar negara, saya pernah terfikir kenapa elemen tersebut tidak ada pada pementasan muzikal berbahasa Melayu.

"Justeru, dengan menceduk beberapa babak dan lagu-lagu daripada filem-filem arahan P. Ramlee, saya yakin ia mampu untuk menarik perhatian penonton, terutamanya golongan kanak-kanak," ujarnya ketika ditemui pada sidang akhbar pengumuman pementasan teater berkenaan yang berlangsung di Kompleks Filem Negara FINAS, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Manja Liza menambah, hasil daripada kutipan tiket bagi pementasan itu bakal disalurkan sepenuhnya kepada Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia.

"Projek My P. Ramlee: Tanya Sama Hati dianjurkan bagi membantu kanak-kanak yang memerlukan. Hasil kutipan tiket akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung persatuan berkenaan.

"Tambahan pula, pementasan ini merupakan antara projek sulung daripada enam lagi pementasan yang telah dirancang bagi dijayakan setiap tahun. Ia bakal dijadikan acara tahunan yang bakal memberikan bantuan kepada badan-badan yang memerlukan," katanya lagi.

Platform pembelajaran

Sementara itu, menurut koreografer bagi pementasan tersebut, Farah Sulaiman, projek ini bukan sahaja dianjurkan bagi tujuan amal, malah ia turut bertindak sebagai platform pembelajaran bagi kanak-kanak yang ingin mengenali karya-karya daripada P. Ramlee dengan lebih dekat lagi.

"Penari-penari yang mengiringi persembahan ini terdiri daripada kanak-kanak yang berbilang bangsa. Walaupun mereka bukan berbangsa Melayu, mereka begitu teruja dan tekun ketika cuba menghafal lirik-lirik lagu hasil nukilan P. Ramlee.

"Bagi saya, pementasan ini dapat dijadikan platform bagi mereka untuk mempelajari sesuatu yang baharu, mungkin tidak dapat dipelajari di tempat lain," ujarnya.

Ketika ditanya mengenai kelainan yang bakal dipersembahkan kepada penonton, Farah berkata, terdapat banyak elemen baharu yang akan diketengahkan dalam penyampaian lagu-lagu menerusi pementasan ini.

"Elemen-elemen broadway yang disuntik termasuklah irama jazz moden yang mengiringi persembahan lagu Aci-Aci Bukak Pintu serta muzik Latin yang diadun dalam lagu Manusia.

"Walaupun elemen-elemen segar dimasukkan ke dalam lagu-lagu P. Ramlee, irama asal serta melodinya tidak akan berubah," katanya lagi.

Pementasan ini mengisahkan tentang pasangan adik-beradik lakonan Danish Zakhwan dan Nur Shahira Amira yang pulang ke kampung datuk dan nenek mereka lakonan Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan Sheila Mambo sempena musim cuti sekolah.

Kisah bermula apabila datuk dan nenek bercerita mengenai kisah-kisah P. Ramlee kepada mereka yang langsung tidak mengenali siapakah seniman agung itu. Turut sama menyumbangkan suara, penyanyi Isma Ismail.

Teater Projek My P. Ramlee: Tanya Sama Hati bakal dipentaskan di Auditorium DBKL Kuala Lumpur pada pukul 8.30 malam bermula 21 hingga 23 Februari ini.

Tiket-tiket berharga RM35, RM55 dan RM75 boleh didapati dengan menghubungi 013-298 5584 atau 016-384 1815.- IZWAN MOHD. ISA

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat