Kosmo Online - Pesona
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pesona |
- Pecah dominasi pemandu bas lelaki
- IKIM berkampung di Masjid Usamah bin Zaid
- Hanya Allah yang disembah
Pecah dominasi pemandu bas lelaki Posted: Pecah dominasi pemandu bas lelakiOleh MOHD. TURMADZI MADUN KAPTEN bas RapidKL yang berpangkalan di depoh Sentul, Norsiah Salim memandu bas sejak lebih dua dekad lalu. STATUS ibu tunggal merupakan satu cabaran yang bukan calang-calang orang boleh memikulnya. Apatah lagi, jika si ibu mempunyai ramai anak, maka pastilah dia terpaksa membanting tulang demi membesarkan mereka. Bagi golongan tersebut, hidup perlu diteruskan walaupun kehilangan atau berpisah dengan orang yang satu ketika dahulu pernah menjadi pemimpin keluarga. Demi kelangsungan hidup, golongan ini perlu memikirkan jalan terbaik untuk mendapatkan wang. Atas tanggungjawab itu, mereka sanggup melakukan pelbagai pekerjaan asalkan sumbernya halal. Bagi Juhana Md. Jaafar, 44, status ibu tunggal yang dipegangnya sejak tiga tahun lalu langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus membesarkan lima anak berusia 16 hingga 23 tahun. Malah, kerjaya yang dipilih sebagai pemandu atau kapten bas RapidKL sejak enam tahun lalu benar-benar mengubah landskap kehidupan keluarganya. "Saya memandu bas bagi laluan Titiwangsa ke Menara Berkembar Petronas setiap hari bermula pukul 5 pagi hingga 2.30 petang. Jika dikehendaki bekerja syif, saya akan mula memandu dari pukul 5.30 pagi hingga 8 malam. "Dengan pendapatan sekitar RM2,500 sebulan, ia cukup buat kami sekeluarga tanpa perlu menagih ihsan orang," luahnya ketika ditemui Kosmo! di Putrajaya baru-baru ini. Pengalaman Menurut Juhana, dia masih ingat pengalaman hari pertama bekerja sebagai pemandu bas pada tahun 2008. Ketika itu, bas yang dipandunya tiba-tiba rosak di tengah jalan hingga terpaksa ditunda. "Lucunya, pada hari tersebut, saya tidak jadi bertugas dan hanya duduk di depoh. Keesokan harinya barulah saya berjaya melaksanakan pemanduan hingga habis tempoh bekerja," ujar Juhana yang mengakui seronok apabila dapat berkenalan bersama para penumpang. Hakikatnya, pekerjaan sebagai pemandu bas begitu sinonim dengan lelaki. Namun, pada zaman serba moden ini, kaum Hawa telah berjaya membuktikan bahawa mereka juga boleh melakukan tugas yang didominasi kaum lelaki itu. Perkara tersebut disokong oleh Bahiyah Abdullah, 48, yang bergelar ibu tunggal sejak dua dekad lalu. Keperitan hidup yang dilalui membuatkan dia nekad membesarkan anaknya yang kini berusia 20 tahun. SEBELUM memulakan tugas, setiap pemandu perlu mengisi minyak bas di depoh masing-masing. Teruja Bahiyah yang menyertai keluarga RapidKL sejak lima tahun lalu teruja apabila berpeluang melakukan pekerjaan tersebut. "Sebelum ini, saya bekerja sebagai pemandu bas sekolah dengan pendapatan sederhana. Kemudian, apabila berpeluang menjadi kapten bas RapidKL, banyak faedah yang diperoleh. "Saya gembira kerana kerja ini tidak seteruk mana dan wanita juga boleh melakukannya," tutur Bahiyah yang masih belum terfikir untuk berkahwin kerana mengutamakan masa depan anaknya. Dalam pada itu, selain ibu tunggal, kerjaya kapten bas tersebut turut menarik minat wanita muda seperti Nora Zura Jamaludin dan Noor Sufiana Mustafa Maarof. Masing-masing berusia 24 tahun. "Abang paling kuat membantah apabila saya menyatakan hasrat untuk menjadi kapten bas setahun lalu kerana dia mengatakan ia kerja orang lelaki. "Namun, selepas melihat saya mampu melakukannya dalam tempoh sebulan, dia akhirnya akur dengan keputusan saya," cerita Nora Zura yang memiliki kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia. Tidak malu Tambah Nora Zura, dia memandu bas RapidKL bagi laluan Pandan Indah, Ampang ke Bukit Bintang, Kuala Lumpur selama enam hari seminggu bermula dari pukul 5.30 pagi hingga 1 petang dan akan berlanjutan sehingga 8 malam jika bekerja syif. Bagi Noor Sufiana pula, dia tidak malu mempunyai kerjaya sebagai kapten bas walaupun memiliki Sijil Kemahiran Bakeri dari Kolej Komuniti Selayang. Berbekalkan kata-kata semangat, jika lelaki boleh buat, perempuan pun boleh buat, gadis tersebut membulatkan hasrat menjadi kapten bas kerana gemar mencuba sesuatu yang baharu untuk mencari kelainan dalam diari hidupnya. "Jika tidak memandu bas atau bercuti, saya akan membuat biskut atau kek yang dipelajari di kolej. Ia boleh menjadi pendapatan sampingan saya," katanya yang memandu bas bagi laluan Bangsar ke Pasar Seni. Ditanya mengenai cabaran yang dihadapi sebagai pemandu bas, Noor Sufiana menjelaskan kesesakan lalu-lintas merupakan perkara yang agak menguji kesabaran terutama sewaktu tempoh awal mula bekerja. "Tetapi, lama-kelamaan perkara itu sudah menjadi satu kebiasaan buat kami semua. Bak kata pepatah, alah bisa tegal biasa," ungkapnya sambil tersenyum. | |
IKIM berkampung di Masjid Usamah bin Zaid Posted: IKIM berkampung di Masjid Usamah bin ZaidOleh KHADIJAH MOHAMAD NOR PROGRAM dari konti ke pentas membawakan pendakwah terkenal, Habib Ali Zainal Abidin yang ke udara dalam rancangan Fiqhus Sirah di IKIMfm. LIMPAHAN kenderaan memenuhi kawasan sekitar Masjid Usamah bin Zaid yang terletak di Seksyen 2, Wangsa Maju, Kuala Lumpur baru-baru ini. Ia berikutan kehadiran anggota masyarakat untuk sama-sama memeriahkan program Karnival Mahabbah IKIMfm yang menutup kalendar aktiviti 2013 stesen radio berkonsepkan Islamik tersebut. Rata-rata pengunjung yang hadir mengakui, banyak manfaat yang diperoleh sepanjang dua hari karnival itu berlangsung melalui pelbagai aktiviti yang diadakan pihak penganjur. Antaranya ialah senaman tai chi Islamik, pertandingan mewarna kanak-kanak, sesi menghias kek cawan, pertandingan memasak, futsal persahabatan dan segmen dari konti ke pentas yang menampilkan beberapa figura dalam bidang dakwah di Malaysia seperti Ustaz Pahrol Muhamad Juoi, Ustazah Norhafizah Musa dan Ustaz Zulramli Mohamed Razali. Tidak ketinggalan, turut diadakan program Qiyamullail dan Maulid@IKIMfm yang biasanya ke udara pada setiap hari Jumaat pada pukul 9 malam. Bagi Masitah Ismail, 35, penyertaannya dalam karnival tersebut adalah sebagai peniaga yang menawarkan koleksi jubah kanak-kanak menerusi jenama Nurhaya Global. Namun, selain menumpukan pada soal jualan, ibu kepada lima cahaya mata ini turut berpeluang melibatkan diri melalui aktiviti yang dianjurkan. "Alhamdulillah, selain menjadikan karnival ini sebagai platform memperkenalkan jenama Nurhaya Global, saya juga gembira kerana dapat mengutip mutiara-mutiara ilmu daripada para penceramah yang diundang. "Malah, anak-anak saya tidak ketinggalan menyertai pertandingan mewarna dan menghias kek cawan bersama para pengunjung cilik yang lain," ujar Masitah yang mula melibatkan diri dalam dunia perniagaan pada Mac 2013. Sambutan Dalam pada itu, pelajar Diploma Pengurusan dan Pentadbiran Islam, Nur Hasyimah Che Ariffin, 20, berkata, sambutan yang diterima terhadap jualan tudungnya sangat memberangsangkan. "Ini penyertaan pertama saya dalam program karnival anjuran IKIMfm ini. Banyak pengalaman yang diperoleh apabila dapat bersua muka dengan pengunjung yang hadir. "Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur di atas inisiatif mengadakan program yang penuh bermanfaat ini," kata Nur Hasyimah. Karnival Mahabbah IKIMfm ini dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Galeri Ilmu Sdn. Bhd. dan Rabbani Production selaku pengurus acara. Penyelaras acara karnival tersebut, Fairuz Noordin, 38, memberitahu, program berkenaan merupakan salah satu promosi turun padang IKIMfm untuk bertemu masyarakat. Selain itu, ia juga program alternatif bagi pengisian anak muda di Kuala Lumpur meraikan sambutan malam tahun baru. "Seperti tahun-tahun sebelum ini, IKIMfm pernah menganjurkan program di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta dan Masjid As-Syakirin KLCC. "Justeru, bagi menarik golongan muda untuk mengisi malam tahun baharu Masihi dengan pengisian yang mengikut syariat agama, IKIMfm dan rakan kerjasama menawarkan program ini sebagai satu usaha dakwah kepada masyarakat setempat," kata Fairuz yang merupakan juruhebah merangkap penerbit segmen Nukilan di IKIMfm. Sepanjang tahun 2013, sebanyak 13 program Karnival Mahabbah IKIMfm telah dilaksanakan dan Fairuz mengatakan bahawa ia akan diteruskan dalam kalendar aktiviti 2014. Sementara itu, wakil Rabbani Production, Mohd. Asri Ubaidallah, 42, berkata, sambutan yang diterima daripada pengunjung sangat menggalakkan. Lancar Sepanjang dua hari program ini berlangsung, pekarangan Masjid Usamah bin Zaid sentiasa dipenuhi pengunjung yang datang bersama keluarga masing-masing. "Alhamdulillah, selaku pengurus acara, kami bersyukur kerana program dapat berjalan lancar dengan izin-Nya. Malah, terdapat lebih 60 peniaga yang membuka gerai jualan sempena karnival ini. "Antaranya gerai jualan makanan dan minuman, aktiviti memanah, jualan pakaian Muslimah dan produk makanan sunah," tutur Mohd. Asri. Karnival Mahabbah IKIMfm di Masjid Usamah bin Zaid dirasmikan oleh Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan. | |
Posted: Hanya Allah yang disembahSEGELINTIR orang tidak menyedari ketika beribadat telah melakukan perbuatan syirik seperti menulis nama di Jabal Rahmah dengan kepercayaan dapat bertemu jodoh. - Gambar hiasan KEHIDUPAN ini sungguh luar biasa. Terdapat kisah yang telah dilalui menyimpang daripada logik akal. Jika ia tidak ditekuni dengan cermat boleh memberi kesan besar kepada kehidupan seterusnya. Misalnya, saya pernah didatangi oleh seseorang yang berkata: "Prof, simpan batu ini dan kalau boleh letakkan di pejabat. Biasa, bila kita berpangkat, berjawatan dan berkedudukan sudah tentu ada yang cemburu dan iri hati. Ini mungkin membantu." Diam. Saya letakkannya di atas meja dan mencampakkannya ke dalam tong sampah sejurus dia pergi. Saya menghormati keyakinan dan keprihatinan dia tetapi tidak dapat menerima logik meletakkan batu tidak bernyawa sebagai pelindung kepada kehidupan harian. Malah, batu yang dibaca dengan ayat-ayat suci al-Quran atau jampi serapah kemudian dinobat sebagai tangkal ajaib menjadikan manusia tidak senonoh di mata mereka yang mahu berfikir. Tentu sekali kisah Nabi Ibrahim yang telah memecahkan batu berhala kaumnya boleh dirujuk. Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 66 dan 67 yang bermaksud: "Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain daripada Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudarat kepada kamu? Jijik perasaanku terhadap kamu dan apa yang kamu sembah selain Allah! Maka mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran kamu?" Tidak boleh dipercayai Kami merasakan tidak memerlukan batu ajaib atau sebarang tangkal. Jika ada ujian kehidupan sekalipun, kesemuanya dikembalikan kepada Pencipta yang sentiasa Berkuasa membantu hamba-Nya. Entah ke mana batu tersebut menghilang hanya Dia yang Maha Mengetahui. Saya fikir kata-kata Umar bin al-Khattab apabila mencium Hajarul Aswad boleh dipertimbangkan: "Sesungguhnya aku mengetahui engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu." Malah saya pernah diberi kunci berbalut benang kuning ketika mahu melanjutkan pelajaran ke Scotland, United Kingdom dengan iringan kata-kata: "Letak ia di atas pintu utama. Tiada mereka yang berniat jahat akan memasuki rumah."
Ia kisah lebih kurang 22 tahun lalu. Pada tahun 1992 iaitu ketika usia tidak kisah dan tidak peduli. Kunci berkuasa ajaib ini terbang sejauh 10,622 kilometer. Jika tuan punya kunci ini memerintah jin untuk menjaga kunci ini bersekali pintu rumah saya di No. 5, Roseangle, Perth Road maka saya selalu terfikir...apakah jin ini dibawa dari Malaysia dan mengikut kami sekeluarga atau hanya menggunakan skim pinjaman jin penduduk tempatan. Sebagaimana batu-batu berhala yang tidak berkuasa, maka kunci yang dijadikan simbol penjagaan rumah ini juga tidak sepatutnya boleh dipercayai. Memadailah Allah yang membantu dan memberi pertolongan. Dialah satu-satunya yang kita sembah dan memohon perlindungan keselamatan ataupun sebarang hajat. Sifat keberhalaan iaitu menduakan Allah ini boleh berlaku tanpa disedari terutamanya ketika mencari kebaikan di dalam melakukan amal ibadat. Bayangkanlah begitu ramai yang mempercayai Raudah dan Jabal Rahmah mampu memakbulkan doa mereka melangkaui kekuasaan Allah. Malah, menulis nama di Kaabah dengan kepercayaan ia boleh memanggil mereka kembali ke Tanah Suci masih dilakukan oleh segelintir jemaah. Allah ya Allah...ia diperkuat lagi dengan lafaz kata-kata mengajak atau menyuruh mereka yang lain melakukan perkara yang sama. Kami jadi terkeliru melihat begitu banyak surat permintaan yang dicampakkan ke dalam makam Imam Syafie ketika melawat Mesir beberapa tahun yang lepas. Selain itu, diceritakan orang ada yang mencadangkan supaya tidur di makam beliau bagi memudahkan pengajian di sana. Sama ada ia satu jenaka atau tidak, jelas gambaran pemikiran yang melanda sebahagian umat Islam. Usaha bersungguh-sungguh Manusia rasional sentiasa berharap memasuki syurga Firdaus tanpa dihisab. Ia perlu dijelaskan dengan hati dan perasaan. Maka, ia perlu disertai dengan usaha yang bersungguh-sungguh mengikut garis panduan yang telah dinyatakan oleh Allah. Hakikatnya, mereka yang mahu begitu merupakan golongan istimewa yang sedikit pun tidak akan menduakan Allah di hati. Allah mennyatakan melalui surah An-Nisaa, ayat 48 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan Dia mengampuni segala dosa yang selain daripada (syirik) itu, bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan Allah, maka sungguh ia telah berbuat dosa yang besar." Ingatlah bahawa Allah telah mengharamkan syurga kepada mereka yang menduakan Allah. Jika syurga diharamkan, maka pastinya nerakalah tempat diam mereka. Jika ia dosa yang tidak boleh diampunkan maka kekallah manusia di dalam neraka buat selama-lamanya. Allah menyatakan dengan jelas hal ini melalui surah Al-Maidah, ayat 72 yang bermaksud: "Sesungguhnya orang yang mempersekutukan (sesuatu dengan) Allah, maka pasti Allah mengharamkan syurga kepadanya, dan tempatnya ialah neraka, tidaklah ada bagi orang-orang zalim itu seorang penolong pun." Kami mohon keampunan-Mu ya Allah. Jumpa lagi minggu hadapan. Moga damai di hati. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pesona To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |