Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 13 Feb 2014 11:05 PM PST Oleh MERAN ABU BAKAR TUDUNG awning ditambah dengan selendang panjang nampak eksklusif. SEPERTI pakaian, fesyen tudung juga turut mengalami perubahan. Perubahan ini pula berlaku begitu pantas sehingga dalam tempoh dua minggu sudah ada fesyen terbaharu. Ini adakalanya menimbulkan masalah kepada peniaga kerana mereka harus peka dengan perubahan fesyen semasa dan tidak mengeluarkan sesuatu rekaan itu dalam jumlah yang banyak. Pun begitu, masih terdapat rekaan yang tetap digemari dan selesa dipakai seperti tudung awning atau tudung pasang siap yang walaupun telah lama berada di pasaran namun masih dijual sehingga hari ini. Bagaimanapun, bagi peniaga tudung sendiri mereka harus sentiasa kreatif menghasilkan rekaan-rekaan terbaharu bagi bersaing dengan peniaga tudung yang terlalu ramai pada masa sekarang. Bukan setakat peniaga tempatan malah ditambah dengan peniaga tudung daripada negara jiran juga peniaga Pakistan. Jasni N Rozi atau JNR Collection yang telah lima tahun menghasilkan pelbagai rekaan tudung kini turut menyemarakkan dunia fesyen tudung dengan menghasilkan rekaan-rekaan terbaharu yang menjadi pilihan ramai. Selain tudung pasang siap atau tudung berawning yang masih menjadi pilihan ramai kini, JNR juga menghasilkan pelbagai rekaan selendang daripada syifon dan kapas lycra. Di antara rekaan tudungnya ialah tudung half moon, kupu-kupu, hoody paras sederhana dan hoody labuh menutupi dada. Bagi memberikan kelainan, Jasni Termizi Abdullah selaku pereka, berani mencuba rekaan yang pada mulanya nampak kurang sesuai namun tidak lama selepas itu, tudung rekaan beliau mudah menarik perhatian pelanggan. Mempunyai pelanggan tetap yang mahukan tudung eksklusif baik bagi pelanggan yang mahukan tudung labuh atau tudung saiz biasa, beliau akan mencari fabrik-fabrik terbaharu dengan corak terkini bagi menghasilkan permintaan pelanggan. Selain mempunyai pelanggan yang membeli tudung untuk pemakaian harian, Jasni turut mempunyai pelanggan yang menempah tudung atau pakaian pengantin. Tudung pengantin yang ditempah adalah lebih eksklusif kerana dihiasi dengan perincian seperti renda dan manik mengikut warna tema bakal pengantin. Beliau turut membuat selendang kelingkan yang rumit cara pembuatannya kerana terdapat pengantin yang mahu memakai selendang tersebut yang diketahui amat istimewa, berciri tradisional dan mahal harganya hingga mencecah ribuan ringgit. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |