{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Perjuangan murni Shariffa Sabrina

Posted:

Perjuangan murni Shariffa Sabrina

Perjuangan murni Shariffa Sabrina

GENANGAN air mata jelas kelihatan. Perasaannya bercampur-baur, sedih, geram, kecewa dan tertekan saat diajukan soalan mengenai keadaan hutan di Malaysia. Jelas figura pencinta alam itu, kerakusan manusia memusnahkan hutan amat mengecewakannya.

Meletakkan pemuliharaan hutan dan alam semula jadi sebagai perjuangan hidupnya, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil menyifatkan hutan amanah daripada Allah untuk dijaga.

"Dalam syurga, Allah cerita ada apa? Dalam syurga ada tumbuhan, bunga-bungaan yang wangi dan sungai yang mengalir. Kita ada semua ini di dunia, kenapa tidak mahu dijaga?

"Ini adalah syurga dunia untuk kita, amanah Tuhan buat hamba-Nya," jelas wanita ini saat berbicara mengenai alam semula jadi.

Pada usia 52 tahun, Shariffa Sabrina kelihatan jauh lebih muda berbanding umurnya. Sikapnya yang ramah dan murah dengan senyuman membuatkan dirinya mudah didekati. Namun, di sebalik kelembutan persis wanita timur itu, ketegasannya jelas terserlah saat berkongsi buah fikiran mengenai pemuliharaan alam sekitar.

Peminat aktiviti lasak itu, aktif dalam melibatkan diri dengan aktiviti pemanduan pacuan empat roda dan river trekking. Bagaimanapun pada tahun 2005, hatinya terdetik untuk menyelamatkan hutan selepas menyaksikan sendiri keadaan hutan musnah sama ada pembalakan secara haram atau pertanian.

Pada ketika itu, beliau bersama ahli Yayasan Sukan dan Kecergasan Wanita (WSFFM) aktif menganjurkan aktiviti perkhemahan dalam hutan bertujuan membawa manusia dekat dengan alam semula jadi.

Menyuntik kesedaran

Shariffa Sabrina menyifatkan yayasan itu sebagai wadah tidak rasmi dalam usaha menyuntik kesedaran mengenai keindahan hutan sebelum penubuhan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) pada tahun 2010.

PEMULIHARAAN hidupan laut antara agenda penubuhan Peka.


"Saya sangat sukakan alam semula jadi. Saat berada di tengah-tengah belantara, ada satu ketenangan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

"Namun, hati saya terkilan apabila di hadapan mata, hutan rakus ditebang. Apabila hutan ditebang, sungai turut tercemar.

"Mereka tanam semula pokok kelapa sawit dan terdapat kes pembalakan yang dibuat tanpa kawalan yang sepatutnya," katanya yang kini menjawat jawatan sebagai Presiden WSFFM dan Peka.

Anak jati Pulau Pinang yang menerima pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) St. George di Georgetown itu berkata, Peka memainkan peranan yang lebih khusus dalam melindungi warisan, sumber dan alam sekitar di negara ini.

Bukan hanya program-program kesedaran umum, Peka juga aktif dalam mempertahankan 'kesucian' hutan melalui rundingan, pembentangan kertas kerja dan penghantaran memorandum kepada syarikat-syarikat dan jabatan kerajaan yang berkaitan.

"Kita sering mendengar insiden haiwan liar mengganggu kehidupan manusia. Namun, tidakkah kita terfikir mengapa perkara itu terjadi?

"Hutan merupakan satu-satunya habitat haiwan ini, tetapi manusia sibuk menebangnya untuk kepentingan diri. Apabila hutan tiada, ekosistem akan terganggu sekali gus menyebabkan haiwan-haiwan ini kehilangan tempat tinggal dan sumber makanan.

"Manusia yang sepatutnya dipersalahkan dan bukannya haiwan-haiwan tersebut," katanya

Program penanaman semula hutan adalah antara aktiviti utama Peka yang turut dijalankan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Perhutanan, syarikat swasta dan individu.

"Salah satu program penanaman semula yang dianjurkan pada September tahun lalu ialah di Hutan Simpan Bukit Tinggi di Bentong, Pahang yang mendapat sokongan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan menarik penyertaan hampir 200 peserta daripada pelbagai peringat umur, termasuk pelajar.


SHARIFFA SABRINA (dua dari kanan) bersama keluarga tercinta.


"Ketika sedang sibuk menanam pokok, saya didatangi seorang peserta program pertukaran pelajar di Universiti Sunway, Petaling Jaya yang berkata: "Malaysia mempunyai kekayaan hutan dan tumbuhan hijau yang mempesonakan, tetapi mengapa rakyat tempatan sendiri tidak menghiraukannya?.'" soalnya.

Persoalan itu ternyata membuatkan beliau tersentak, sebelum menerangkan kepada pelajar terbabit bahawa Malaysia mempunyai NGO yang bersedia mempertahankan hutan.

Membeli hutan

Menyedari keadaan hutan yang 'parah', wanita yang mencintai keindahan alam semula jadi sentiasa mencari kaedah bagi memberi ruang kepada masyarakat umum dan pelancong asing merasai sendiri keunikan hutan hujan khatulistiwa dalam negara.

Antara langkah yang diambil ialah membeli sebahagian kawasan hutan untuk dibangunkan sebagai sektor pelancongan. Bagaimanapun, ia melibatkan pembangunan yang amat minimum.

Melibatkan pelaburan kira-kira RM5 juta, Resort Tanah Aina Farrah Soraya dengan keluasan 60 hektar di Raub, Pahang merupakan lokasi percutian dalam hutan yang menjadi tumpuan pelancong tempatan dan asing terutamanya dari Perancis, Australia dan United Kingdom.

"Hutan-hutan di Malaysia berusia lebih 130 juta tahun, berkemampuan menjadi salah satu tarikan utama sektor pelancongan sekali gus mewujudkan ekonomi yang mapan.

"Saya percaya kita mampu memasarkan Malaysia sebagai lokasi percutian dalam hutan yang terunggul di dunia," katanya yang melihat potensi besar ekopelancongan di Malaysia, khususnya dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Sempat berseloroh, Shariffa Sabrina turut menyatakan impiannya untuk memiliki hutan-hutan di Malaysia supaya dapat memuliharanya.

"Dahulu kita dapat melihat keluasan hutan tidak terusik. Keadaan ternyata berbeza pada hari ini, malah jika anda lihat di Resort Tanah Aina Farrah Soraya, hanya sungai di sini yang masih bersih. Selainnya sudah tercemar.

"Sebab itu saya pernah berangan, kalau saya mampu, mahu sahaja saya beli semua hutan yang ada untuk dijaga," tuturnya sambil tergelak manja.

Selain Resort Tanah Aina Farrah Soraya yang dibuka pada tahun 2011, Pengarah Urusan Tanah Aina Sdn. Bhd. itu turut memiliki empat lagi resort yang berkonsepkan ekopelancongan. Tiga daripada resort terletak di Pahang iaitu Tanah Aina Farouq yang berkeluasan 19 hektar di Mukim Tras, Raub; Tanah Aina Fareena (tiga hektar) di Lentang, Bentong dan Tanah Aina Fahad (dua hektar) di Ulu Dong, Raub.


RESORT Tanah Aina Farrah Soraya di Raub, Pahang ini menjadi medan Shariffa Sabrina berkongsi keindahan alam bersama pelancong.


Menghargai

Selain itu, beliau juga mempunyai sebuah resort berkonsepkan percutian di tepi pantai iaitu Tanah Aina Farhana (20 hektar) di Desaru, Johor dan sebuah restoran iaitu Restoran Tanah Aina Azareena di Bentong, Pahang dengan keluasan empat hektar.

Shariffa Sabrina menjelaskan, hanya 10 peratus daripada keseluruhan kawasan pusat peranginan terlibat dibangunkan, sementara selebihnya dikekal sebagai hutan.

"Saya mahu orang kembali menghargai alam semula jadi. Jika anda melihat sendiri Tanah Aina Farrah Soraya, hanya tapak struktur menggunakan bahan simen, selebihnya dibina menggunakan kayu-kayan.

"Kami juga mempunyai ruangan kebun sendiri seperti dusun durian, sayur-sayuran tempatan serta ulam-ulaman yang dibiarkan tumbuh secara organik tanpa penggunaan sebarang racun. Selain itu, bahan pencuci seperti syampu dan cecair pencuci badan dihasilkan dengan bahan semula jadi. Kesemua langkah ini diambil demi menjaga alam di sini," jelasnya.

Sebelum mengakhiri bicara, beliau sempat berkongsi pendapatnya mengenai kesedaran orang awam terhadap kepentingan hutan.

"Kita semua tahu tumbuh-tumbuhan memainkan peranan penting dalam kehidupan termasuk menghasilkan oksigen. Namun, manusia masih tidak mengambil endah terhadap kepupusan khazanah ini.," katanya.

Sky City bakal bangunan tertinggi di dunia

Posted:

Sky City bakal bangunan tertinggi di dunia

Sky City bakal bangunan tertinggi di dunia


PIRAMID Mesir dengan ketinggian 39.6 meter hasil usaha Zhang terletak di Changsha, wilayah Hunan.


SEORANG jutawan China yang membina piramid Mesir dan replika Versailles berikrar untuk membina bangunan tertinggi di dunia dalam tempoh hanya enam bulan, walaupun ditentang pihak berkuasa di China atas faktor keselamatan.

Zhang Yue mempunyai kekayaan bernilai kira-kira 1.1 bilion yuan (RM600 juta) bercita-cita besar untuk membina sebuah menara pada ketinggian 838 meter menjelang akhir tahun ini di Changsa, China yang digelar 'Sky City'.

Ia 10 meter lebih tinggi berbanding bangunan tertinggi semasa, Burj Khalifa di Dubai yang mengambil masa lima tahun untuk disiapkan. Bagaimanapun, beliau mengakui projek itu menghadapi tentangan sengit.

"Tidak ramai orang yang menyokong kami. Terdapat terlalu ramai orang yang dengki," kata Zhang kepada AFP.

Zhang, 53, mencipta kekayaan menerusi perniagaan pendingin hawa dan merupakan usahawan pertama China yang memiliki helikopter peribadi.

Ketika ini, beliau sedang berusaha untuk meletakkan dirinya sebagai pejuang alam sekitar.

Oleh itu, beliau melihat penghijrahan beratus juta penduduk desa China ke bandar sejak beberapa dekad lalu bukan sahaja membantu meledakkan ekonomi tetapi turut mempunyai kesan negatif terutamanya berkaitan alam sekitar.

"Kita perlu mengatasi segera masalah urbanisasi yang tidak sihat ini," katanya sambil menyifatkan Sky City yang menggunakan bahan-bahan penjimatan tenaga dan penggunaan tanah minimal sebagai salah satu cara mengatasi masalah tersebut.

Syarikat Zhang, Broad Sustainable Building berjaya membina sebuah hotel 30 tingkat dalam tempoh hanya 15 hari di tengah bandar Changsha di China.

Sebuah video tentang proses pembinaan hotel itu telah ditonton lebih lima juta kali di Youtube. Ia menunjukkan konkrit dan logam diatur seakan-akan seperti set Lego raksasa.

"Matlamat kami bukan untuk membuat duit. Apabila anda mula sedar tentang alam sekitar, wang tidak lagi bermakna," katanya yang berkaki ayam ketika ditemui di tingkat atas hotelnya.

Penganalisis Laporan Hurun (senarai orang kaya China), Rupert Hoogewerf menyatakan, Zhang menolak penggunaan helikopter kerana bimbang ia membawa impak kepada perubahan iklim sekali gus menyifatkan Zhang sebagai aktivis alam sekitar.


REPLIKA Istana Versailles Perancis yang direka isteri Zhang yang dicadangkan untuk menjadi akademi filosofi alam sekitar kini berfungsi sebagai ruang pameran lukisan dari Korea Utara.


Yakin

Berdekatan pejabat Zhang, para pekerja sedang sibuk mengumpil dan memasang bahagian-bahagian pasang siap bangunan. Zhang yakin kaedah yang digunakan itu tidak akan membawa sebarang masalah terhadap pembinaan Sky City.

"Kami akan menyudahkannya pada Disember ini. Saya juga boleh membuat bangunan yang lebih tinggi," katanya.

Pembinaan dilancarkan secara rasmi pada tahun lepas, tetapi pembinaannya digantung serta-merta. Media negeri itu melaporkan, pihak berkuasa Changsha mengarahkan pembinaan dihentikan kerana ia tidak mempunyai permit yang sah.

Seorang pakar kejuruteraan bebas memberitahu, konsep Sky City mempunyai pelbagai masalah antaranya, reka bentuk lif, pintu kecemasan kebakaran dan kemampatan fizikal disebabkan oleh berat monumental bangunan yang siap dibina.

Para peserta 'ketawa' apabila pertama kali mendengar pembentangan rancangan Zhang pada mesyuarat badan yang berpengkalan di Amerika Syarikat, Majlis Bangunan Tinggi dan Habitat Urban (CTBUH), kata pengarah struktur di firma kejuruteraan Laing O'Rourke, David Scott.

"Sekarang mereka sedar ia satu tawaran yang serius. Saya tidak kata, ia tidak boleh dilaksanakan tetapi jika dirancangkan dengan betul, ia akan berfungsi." kata Scott.

Ukuran kalis gempa bumi di China untuk bangunan pencakar langit adalah antara syarat yang paling ketat di dunia antara dugaan yang perlu dihadapi Zhang.

Pencemaran

Di hotel, Zhang yang pernah belajar dalam bidang seni dan bekerja sebagai pereka hias dalaman pada awalnya menayangkan telefon pintar syarikatnya yang berbentuk seperti telur. Alat itu boleh mengukur tahap pencemaran udara kecil dikenali sebagai PM2.5.

Ia merupakan salah satu usahanya untuk menunjukkan kualiti udara sempurna di dalam bangunan miliknya, walaupun demonstrasi itu disukarkan oleh asap rokok yang baru dihisapnya.

Pencemaran merupakan isu panas di China, tetapi Zhang merasakan dirinya menjadi mangsa dan salah faham orang ramai.

"Dalam masyarakat ini, jika anda cuba untuk melakukan sesuatu yang baik, tiada sesiapa akan percaya. Masyarakat tidak mempunyai kepercayaan asas, dan melihat segala-gala perkara yang baik sebagai buruk," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat