Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Saksi mengaku ikat kaki bapa Zara Eleena Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST EMPAT tertuduh dari kiri, Azizi Aizat Ibrahim, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, Mohamad Sharafe Matt Noh dan Muhamad Safwan Muhamad dibawa ke Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam. SHAH ALAM 10 Feb. - Seorang saksi dalam kes bunuh pensyarah Bahasa Inggeris Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernatics (KTAC), Zara Eleena Omar Peter dan bapanya dua tahun lalu, mengaku mengikat kaki Omar Peter Abdullah sebelum hidung dan mulut lelaki itu ditekup oleh salah seorang tertuduh kes itu. Fadhil Rushdan Rahman, 20, yang masih belajar di KTAC mendakwa, keadaan Omar Peter ketika itu meronta-ronta sehingga nafasnya terhenti dan kemudian badan mangsa menjadi sejuk. Menurutnya, Mohamad Sharafe Matt Noh yang digelar Mat Rof iaitu tertuduh kedua dalam kes itu menekup hidung dan mulut Omar Peter menggunakan kemeja-T yang berada di dalam salah satu bilik di rumah tersebut. Saksi pendakwaan pertama itu memberitahu demikian semasa memberi keterangan dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin pada hari pertama perbicaraan kes bunuh dua beranak itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini. Dalam kes itu, seramai empat bekas pelajar KTAC iaitu Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, atau nama samaran Shah; Mohamad Sharafe, 21, Azizi Aizat Ibrahim, 22, atau Boy; dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, atau Chap didakwa membunuh dua beranak itu. Mereka didakwa membunuh Zara Eleena yang merupakan orang kurang upaya (OKU) di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, antara pukul 1.30 pagi dan pukul 2.30 pagi, 9 Mac 2012. Mereka juga menghadapi tuduhan kedua iaitu membunuh Omar Peter, 56, di tempat sama antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan pukul 1.30 pagi keesokannya. Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Menceritakan kejadian awal, saksi itu berkata, pada malam 8 Mac, Zara Eleena membawa dia, Mat Rof, Boy dan Shah ke rumah wanita itu untuk tujuan berubat kerana ada ustaz akan datang mengubati Zara Eleena. Kemudian, menurutnya, Zara Eleena keluar semula bersama Shah untuk menjemput Chap dan seorang ustaz dan ketika itu berlaku kejadian menekup mulut dan hidung Omar Peter sehingga lelaki itu tidak bernafas. Menurut saksi itu, selepas 30 minit, Zara Eleena kembali bersama Shah dan Chap dan ketika Zara Eleena bertanyakan tentang bapanya yang tidak kelihatan di ruang tamu, Shah menghalang pensyarah itu daripada berjumpa bapanya dan menyuruh wanita itu masuk ke biliknya. Ketika ditanya apa berlaku selepas itu, saksi mendakwa, dia yang berada di ruang tamu bersama Mat Rof, Boy dan Chap mendengar bunyi tulang patah dari bilik Zara Eleena. Kemudian menurutnya, Shah meminta bantuan Boy untuk menekup muka Zara Eleena yang terbaring di atas lantai dengan bantal sebelum wanita itu meronta-ronta dan tidak bergerak. Ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Afifuddin Ahmad Hafifi yang mewakili Shah, Fadhil Rushdan menyatakan, dia mengenali Zara Eleena selama sebulan iaitu ketika dia baru menuntut di kolej tersebut. Mengenai hubungannya dengan kesemua tertuduh, dia mendakwa, Mat Rof merupakan rakan serumahnya dan tiga yang lain hanya kawan sekolej. Ketika disoal mengenai kematian Omar Peter, saksi itu berkata, dia tidak membantu mangsa lelaki itu melepaskan diri, tidak menghalang Boy menekup mangsa dan hanya mengikut Boy dan Mat Rof dari belakang sahaja. Dia juga mengaku mengikat kaki Omar Peter dengan tali selepas diarahkan oleh Mat Rof dan terpaksa mengikut arahan itu kerana ketakutan. Hakim Datuk Abdul Halim Aman yang mendengar kes itu turut bertanyakan soalan mengenai apa yang ditakuti oleh saksi itu namun Fadhil Rushdan hanya mendiamkan diri. Saksi juga mendakwa dia tidak tahu mengenai kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang milik Zara Eleena yang pernah dicuri dan menafikan terlibat melakukan perbuatan itu. Perbicaraan bersambung esok. |
Teresa dakwa 2 artikel Utusan penyebab ditahan ISA Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST KUALA LUMPUR 10 Feb. - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim mendakwa, beliau telah ditangkap dan ditahan secara salah oleh pihak polis mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 pada hujung tahun 2008 berdasarkan dua artikel yang disiarkan oleh akhbar Utusan Malaysia. Teresa berkata, disebabkan dua artikel iaitu Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya dan Ada Usaha Larang Azan di masjid-masjid Selangor yang ditulis oleh kolumnis akhbar tersebut, Datuk Zaini Hassan, reputasi beliau telah tercemar. Bagi Teresa, 49, polis sepatutnya siasat terlebih dahulu dan bukannya menahan dan menangkapnya tanpa alasan munasabah. Ahli politik DAP itu yang disoal dalam pemeriksaan utama oleh peguam Sankara Nair menyifatkan tangkapan yang dilakukan terhadapnya umpama adegan penculikan yang selalu digambarkan dalam filem. Beliau memberitahu demikian ketika memberi keterangan dalam perbicaraan kes samannya terhadap bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar dan tiga yang lain atas dakwaan menangkap dan menahannya secara salah di bawah ISA, di Mahkamah Tinggi di sini. Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara itu turut menamakan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; pegawai di Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Supritendan (DSP) E Kim Tien dan kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua hingga keempat. Teresa yang memberikan keterangan di hadapan Hakim Datuk Su Geok Yiam mendakwa, penangkapan dan penahanannya itu disebabkan oleh kecuaian pihak polis. Ekoran menjalani tempoh penahanan itu, dakwa Teresa, mentalnya terganggu, terpaksa menanggung malu selain mengalami keracunan makanan. Dalam pemeriksaan balas pula, Teresa tidak bersetuju dengan soalan diajukan oleh Peguam Kanan Persekutuan, Lailawati Ali yang mewakili pihak defendan, apabila mengatakan pihak polis tidak pernah menggunakan kekerasan dan tidak pernah mengacukan senjata untuk mengugutnya. Teresa selain itu tidak bersetuju apabila Lailawati menyifatkan jawapan beliau hanya bersifat spekulasi kerana menganggap pihak polis kononnya tidak menjalankan siasatan terhadapnya. Menjawab soalan mengenai tindakannya yang tidak memaklumkan kepada seorang doktor yang membuat pemeriksaan kesihatan semasa dalam tahanan, berhubung dakwaan mengalami keracunan makanan, Teresa mendakwa, ketika pemeriksaan, beliau belum terkena penyakit tersebut. Teresa dalam pernyataan tuntutan, mendakwa, pihak defendan atau ejennya telah secara paksa dan berbahaya menangkapnya di pintu masuk kediamannya di Pearl Tower OG Heights, Jalan Awan Cina, di sini kira-kira pukul 11.15 malam, 12 September 2008. Dakwanya, kira-kira pukul 2 pagi, keesokan harinya ketika di Balai Polis Wangsa Maju, beliau telah secara rasmi dimaklumkan oleh Kim Tien bahawa beliau telah ditangkap dan ditahan di bawah Seksyen 73(1) ISA 1960. Antara lain alasan penangkapan yang diberikan ialah beliau dipercayai telah bertindak mengikut cara yang memudaratkan keselamatan negara dan melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan antara kaum dan agama. Dakwanya, beliau kemudian telah ditahan di tahanan persendirian di satu tempat rahsia, ditempatkan dalam keadaan yang tidak sesuai untuk manusia dan dinafikan hak perlembagaannya. Ketika ditahan, beliau mendakwa, hanya sekali temu duga singkat telah dibuat oleh pegawai penyiasat iaitu melibatkan isu-isu dalam artikel terbitan Utusan Malaysia pada 10 September 2008 bertajuk 'Azan, Jawi, JAIS, UiTM dan ba-alif-ba-ya' yang ditulis oleh Zaini. Perbicaraan bersambung pada 12, 14 dan 15 Mei ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |