Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Pelan atasi masalah bekalan air
- Umat Islam digesa dalami maksud Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah
- Ops Harga: Barangan bernilai RM5,000 dirampas
Pelan atasi masalah bekalan air Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST Oleh AINOL AMRIZ ISMAIL MOHAMAD Hasan mendengar taklimat yang disampaikan oleh Zulkifli Ibrahim (dua dari kiri) ketika melawat Empangan Kelinchi, Kuala Pilah, semalam. - UTUSAN/ABD. RAZAK AID Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, walaupun tidak sampai peringkat mencatu bekalan air, langkah penjimatan adalah digalakkan pada waktu ini sehingga paras kembali meningkat. "Paras air di semua empangan dalam negeri ini telah turun dengan mendadak disebabkan cuaca panas dan tidak hujan, tetapi bukan semua kritikal. "Tetapi kalau keadaan begini terus berlaku, kerajaan tidak punya pilihan selain melakukan catuan mengikut tempoh tertentu. Buat masa ini, perkara itu tidak dilaksanakan lagi," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di Empangan Kelinchi dan Talang, dekat sini hari ini. Yang turut hadir, Pengurus Besar Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains), Zulkifli Ibrahim. Jelas Mohamad, hasil lawatan di empangan berkenaan, jelas menampakkan paras air di Empangan Kelinchi telah turun sebanyak 16 meter kepada 199 meter, di mana ia satu penurunan yang amat banyak berbanding paras penuhnya sebanyak 215 meter. "Paras Empangan Kelinchi dikategorikan dalam kategori kritikal apabila ia menunjukkan angka 198 meter," kata beliau sambil menjelaskan akan mengadakan perbincangan segera dengan Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) serta jabatan berkaitan untuk mengatasinya segera. Mohamad menegaskan, berkemungkinan salah satu cara pantas menyelesaikan ialah dengan melakukan pembenihan awam di kawasan empangan. Selain itu kata beliau, kerajaan juga memikirkan untuk mengepam air dari Muka Sauk dan Stesen Pam Air Mentah Petaseh untuk dibekalkan ke Empangan Sungai Terip sebelum dirawat di Logi Rawatan Sugai Terip dan Loji Rawatan Air Baharu Ngoi-Ngoi bagi memenuhi keperluan penduduk di negeri ini. Air yang diterima masuk ke stesen pam air mentah di Petaseh akan disalurkan ke paip air sepanjang 24.3 kilometer melalui terowong sejauh 11.3 kilometer, di mana sebahagian boleh beroperasi dalam tempoh sebulan ini untuk disalurkan ke Loji Rawatan Air Baharu Ngoi-Ngoi dibawah Skim Bekalan Air Triang itu. "Pada masa yang sama juga kerajaan negeri akan mengaktifkan paip lama terutamanya di kawasan Rasah, di mana boleh menerima bekalan air daripada empangan atau Loji Rawatan Air Sungai Linggi untuk memastikan keperluan asas ini dipenuhi," katanya. Dalam sidang akhbar itu juga, Mohamad berkata, Negeri Sembilan memiliki sembilan empangan, di mana enam empangan besar, selebih berskala kecil dan diharap dapat menambah takungan air dalam waktu terdekat. |
Umat Islam digesa dalami maksud Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST SALBIAH Tengku Nujumuddin (kiri) menyampaikan cenderamata kepada penceramah yang hadir memberi ceramah sempena majlis Maulidur Rasul di bangunan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) Negeri Sembilan, Seremban, baru-baru ini. SEREMBAN 11 Feb. - Sempena menyambut Maulidur Rasul, umat Islam di negara ini wajar memperluas dan mendalami maksud 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah'. Yang Dipertua Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat Negeri Sembilan (Pekerti), Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin berkata, tanpa disedari 1,435 tahun sudah berlalu sejak peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari tanah suci Mekah ke Madinah. "Kita perlu bersyukur kerana umat Islam menjadi kesayangan Rasulullah SAW walaupun kita semakin alpa dan leka dengan kehidupan duniawi sehingga tidak mengingati baginda. "Maka, di bulan baik ini, kita diberi peluang untuk mengikuti ceramah agar menjadi umat Islam yg lebih baik daripada hari semalam. Insya-Allah," katanya dalam majlis Maulidur Rasul di bangunan Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) Negeri Sembilan, di sini baru-baru ini. Majlis itu dianjurkan oleh Persatuan Wanita Prihatin Negeri Sembilan (Perwatin) bersama Biro Kebajikan Sosial NCWO Negeri Sembilan. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Norhayati Omar. Dalam pada itu, Raja Salbiah berkata, majlis Maulidur Rasul perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan merebut peluang meningkatkan amal ibadat dalam diri umat Islam. Beliau juga mengingatkan agar umat Islam memperkukuhkan hubungan ukhwah sesama manusia dan menjadikan perpaduan asas dalam memperkukuhkan negara. "Ini merupakan suatu rezeki dan hidayah daripada Allah SWT untuk berhimpun agar kita sama-sama menerima ilmu agama dan menjadikan silaturahim antara kita semakin erat," ujarnya. |
Ops Harga: Barangan bernilai RM5,000 dirampas Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST SEORANG anggota penguat kuasa PPDNKK negeri memeriksa alat penimbang milik seorang peniaga ikan di Pasar Besar Port Dickson, Telok Kemang, semalam. TELOK KEMANG 11 Feb. - Sejumlah pakaian, permainan dan cenderahati yang dianggarkan bernilai RM5,000 dirampas dalam Ops Harga yang dilaksanakan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) di sekitar Port Dickson, dekat sini hari ini. Seramai lapan peniaga dikenakan tindakan manakala 103 premis telah diperiksa dalam operasi yang melibatkan seramai 60 anggota dari semua daerah, bermula pukul 9 pagi sehingga 1.30 tengah hari. Ketua Pegawai Penguat Kuasa PPDNKK negeri, Saifulbahri Abdul Kadir berkata, operasi itu menumpukan lokasi tapak ekspo, premis peniagaan, restoran dan Pasar Besar Port Dickson, dekat sini. "Daripada pemeriksaan, kita dapati peniaga di tapak ekspo dan premis peniagaan telah melakukan kesalahan dengan tidak meletakkan tanda harga. "Justeru itu, kami telah merampas barangan terbabit antaranya pakaian, permainan dan cenderahati yang mana nilai keseluruhannya dianggarkan berjumlah RM5,000," katanya kepada para pemberita selepas operasi tersebut. Menurutnya, ada juga peniaga yang bersikap agresif terhadap anggota penguat kuasa tetapi selepas penerangan diberikan, mereka akhirnya akur dengan kesalahan yang dilakukan. Katanya, alasan yang sering diberikan oleh mereka ialah barangan berkenaan baru dipamerkan, tidak mengetahui bahawa tidak meletakkan tanda harga adalah satu kesalahan dan tanda harga telah tertanggal. "Bagaimanapun, pihak kami tidak dapat menerima alasan itu disebabkan peraturan meletakkan tanda harga adalah perkara asas dalam perniagaan dan ia adalah salah satu taktik mereka untuk menaik atau menurunkan harga bagi menipu pengguna. "Oleh itu, pihak kami merampas barangan yang dipamerkan kecuali barangan yang berada di dalam stok simpanan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |