Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Felixia dan ajaibnya sehelai hijab Posted: Felixia dan ajaibnya sehelai hijabMENGATUR temu janji seminggu sebelum pertemuan, wanita ini menaip perkataan Alhamdulillah pada khidmat pesanan ringkas (SMS) sebaik kami bersetuju tentang tarikh yang sesuai untuk bertemu. Jujur, saya sedikit kaget mahu membalas semula tulisan tersebut. Seperti kata empunya diri, Felixia Yeap: "Sebab orang pun tak pasti sama ada boleh menggunakan saya lebih daripada sepatutnya. Sebab saya belum memeluk Islam." Pernyataan itu merujuk juga kepada perkembangan kariernya dalam dunia lakonan. Selepas pertama kali muncul dalam drama rantaian Nikah Kita Bercinta bersama Azlee Khairi awal tahun ini, Felixia memanjangkan langkahnya sebagai pelakon. Kali ini dia terbabit dengan drama rantaian Sarafina. Membawa watak Bella, rakan baik kepada pelakon utamanya, Sari Yanti, kata Felixia, dia menerima tawaran mengikut kesesuaian imejnya pada masa kini. Sementelah, dia sendiri sedar diri dan faham, kekangan yang barangkali dilalui oleh pihak penerbit untuk menggunakan khidmatnya sebagai seorang pelakon adalah bersangkut dengan pegangan hidupnya. "Macam saya cakap tadi, walaupun saya menutup aurat, saya belum memeluk Islam. Justeru, ia barangkali menjadi kekangan untuk mereka memberi watak yang bersesuaian dan tidak melanggar sensitiviti banyak pihak apabila mengambil saya berlakon, dan saya faham mengenai dilema itu," ujarnya rasional. Dia kemudian menambah sambil ketawa: "Masalah saya satu lagi ialah saya pelat berbahasa Melayu. Jadi mungkin sukar ada watak untuk wanita pelat jika kalau bukan ia misalnya tentang seseorang yang mahu berhijrah agama." Malah, sebagai pendatang baharu yang tidak punya asas lakonan langsung, dia mengaku perlu bertatih untuk menjadi seorang pelakon yang tidak banyak menyusahkan produksi. Jelasnya, peluang perdana yang terbuka untuknya dalam Nikah Kita Bercinta digunakan sebaik mungkin. Bakat diasah dengan banyak memerhati dan bertanya daripada orang berpengalaman, selebihnya, dia berusaha untuk memberi yang terbaik berbekal pengalaman sebagai seorang model. "Saya kira, hal yang sukar untuk berlakon ialah menghafal skrip dan memberi ekspresi spontan. Saya amat berterima kasih kepada seluruh produksi yang cukup sabar dan boleh menerima kekurangan saya sepanjang berlakon," katanya merendah diri.
Tiada agama Ironi, bercakap tentang wanita berusia 27 tahun ini, namanya meledak bagai terkena jerangkap samar selepas dia memilih untuk berhijab. Ya, seorang wanita Cina yang tidak mempunyai agama memakai hijab. Boleh dikatakan, sepanjang 10 tahun menjadi model, dua tahun kebelakangan ini, nama Felixia menjadi sebutan kerana satu keputusan yang paling penting dalam hidupnya. Keputusan seorang model yang sebelum ini dilihat begitu berani dengan beberapa ekspresi ghairah termasuk untuk majalah khas lelaki, Playboy, berhijab dan mahu memeluk Islam membikin banyak penasaran. "Secara peribadi, untuk diri saya, saya melihat mengapa saya boleh mendedahkan tubuh, berbikini dan buka sana sini tetapi tidak untuk tutup-tutup dan berhijab? "Saya kira ia soal kebebasan kita sebagai seorang individu untuk memilih jalan hidup kita, dan saya pilih jalan hidup seperti ini sekarang. Saya pilih berhijab dan mahu bulat hati memeluk Islam," katanya tegas. Wanita yang lahir di Kuala Lumpur, namun menghabiskan masa remajanya dengan bersekolah di Ipoh, Perak ini kemudian melanjutkan cerita. Tanpa berahsia, dia memberitahu sejak kecil tidak pernah mempunyai pegangan agama. Dia tidak percaya Tuhan dan tidak tahu di mana Tuhan atau agama yang layak dijadikan pegangan hidup. Sehingga tahun lalu, pada saat pertama kali dia menggayakan hijab untuk sebuah iklan komersial, ada satu rasa yang ajaib duduk di dalam hatinya. "Saya seorang Cina tapi saya free thinker yang tak punya pegangan agama sejak kecil," katanya tanpa selindung. Felixia lantas memanjangkan bicara: "Kemudian, saya hadir untuk satu uji bakat iklan komersial Celcom. Saya gagal untuk mendapatkan peluang itu. "Namun, kerana iklan tersebutlah ia telah merubah hidup saya. Pada iklan itu, saya harus berhijab dan saya fikir mengapa perlu saya tolak? "Sebaik menyarung hijab, hati saya tiba-tiba terusik. Satu perasaan yang sukar saya ungkap menyelinap dalam hati. Betapa besarnya kuasa sehelai kain nipis yang menutup kepala saya mampu merubah kehidupan saya kini. Sungguh luar biasa." Sejak pertama kali menggayakan tudung tersebut, dia mabuk kepayang untuk berhijab, sekali gus menutup aurat. Perlahan-lahan dia keluar rumah memakai hijab dan mula memahami konsep bahawa hijab bukan satu bebanan untuk seorang wanita Islam, sebaliknya ia adalah satu suruhan yang memberi seribu satu manfaat kepada yang menurut perintahNya. FELIXIA sudah memiliki nama Islam yang cukup indah. Dia memperoleh nama tersebut melalui mimpi. Kini, selepas lima bulan memakai hijab, Felixia langsung tidak kekok dengan imej 'tertutupnya'. "Saya merasakan suatu ketenangan yang luar biasa. Ia melengkapkan pencarian saya terhadap satu kepercayaan iaitu mencari agama yang memberi ketenangan jiwa dan saya perolehnya dengan hanya sehelai kain nipis yang menutup kepala!" ujarnya penuh takjub. Islam Sedar timbul banyak pertikaian tentang pendiriannya memakai hijab, Felixia mengatakan, dia tidak perlu mati dengan kecaman orang. Sebagai seorang individu yang telah melalui banyak jalur hidup yang tidak sedikit sukarnya, Felixia tahu keperluan yang paling baik di dalam hidupnya. Ditanya selepas berhijab, apa yang disusun mahu mindanya, pantas dia memberitahu mahu punya pegangan agama dan tentulah ia agama Islam. Agama paling mulia di dunia. "Selepas memakai hijab, saya belajar serba sedikit tentang Islam dan saya mula jatuh hati dengan kesederhanaan agama yang memberi ketenangan kepada saya kini. "Sejujurnya, saya tidak pernah terfikir untuk mempunyai agama, apa lagi Islam. Sebab itu, saya mahu segera memeluk Islam. Sengaja saya pilih bulan Ramadan yang jatuh pada Julai ini sebagai bulan untuk saya mengucap dua kalimah syahadah. "Pertama, selain mahu mengambil keberkatan bulan mulia ini, Julai ini juga merupakan bulan kelahiran saya. Justeru, saya melihat ia sebagai fasa hidup yang lengkap untuk saya 'lahir semula' dalam kehidupan baharu," katanya penuh bahagia. Namun, cerita mahu memeluk Islam tidak terjadi begitu sahaja. Ternyata ada cerita di sebalik terpanggilnya Felixia untuk menjadi seorang Mukmin. "Suatu malam, selepas beberapa bulan memakai hijab saya bermimpi. Dalam mimpi itu, saya melihat sepotong nama daripada cahaya yang cukup bersinar-sinar. "Peliknya, sebagai seorang yang jarang mengingati mimpi, saya bangun tidur dan boleh merakam semula momen mimpi saya. "Paling ketara ialah tentang nama yang tertulis di dada langit dengan cahaya bersinar-sinar itu buat saya. Apabila saya mencari maksudnya, ia cukup indah," ceritanya bersungguh-sungguh. Ditebak adakah itu nama yang bakal digunakan sebaik dia memeluk Islam, pantas dalam senyum yang begitu manis Felixia mengangguk. "Ya, itulah nama Islam saya sebaik saya mengucap dua kalimah syahadah pada Julai ini. Saya percaya semua ini aturan olehNya yang terbaik buat saya. Saya amat bersyukur," ujarnya. MEMPUNYAI banyak pakaian seksi, Felixia bagaimanapun tidak memberikannya kepada sesiapa kerana tidak mahu menggalakkan wanita mendedahkan aurat. Ustaz Perubahan imejnya sekali gus membuat semua hal yang berada di sekelilingnya berubah. Kerjayanya sebagai model memperlihatkan dirinya lebih banyak memperaga busana Muslimah, berbanding memperaga tubuh seperti dahulu. Pada masa yang sama, rezekinya dalam bidang seni bercambah apabila dilamar menjadi pelakon. Paling ketara, akuinya, banyak lelaki yang mendekat terdiri daripada lelaki Melayu yang tertarik dengannya termasuk dalam kalangan ustaz. Katanya panjang lebar: "Berbanding dahulu, lelaki yang mendekati saya pada kali ini mengajak saya berkahwin, bukan sekadar mahu memuaskan nafsu. "Ada juga ustaz yang berminat terhadap saya. "Prinsip saya mudah. Seperti mana saya memakai hijab bukan kerana seorang lelaki, saya juga tidak mahu memeluk Islam kerana mahu dinikahi seorang lelaki Islam. Sebaliknya, saya lakukan semua perkara atas kerelaan sendiri. "Jika tiba waktu saya berkahwin kelak, saya berdoa agar iman suami saya lebih tebal daripada saya untuk membimbing saya sebagai seorang isteri dan Muslimah yang baik. "Saya tidak mahu Allah membalikkan hati saya semula dengan tidak mempunyai kepercayaan terhadap agama. Justeru, saya memerlukan seorang lelaki yang benar-benar beriman kerana Allah SWT." | |
Posted: Kau pergi jua, Adam AhmadOleh IZWAN MOHD. ISA
NAMANYA mekar sebagai komposer lagu sekitar tahun 1990-an. Kebanyakan lagu-lagu ciptaannya pula pernah mendapat sambutan hangat oleh pendengar pada waktu itu. Ada antara karyanya turut diangkat sebagai lagu terbaik menerusi pertandingan Anugerah Juara Lagu ke-8. Individu tersebut ialah Adam Ahmad, seorang penyanyi dan penggubah lagu yang bertanggungjawab mencipta lagu Teratai Layu Di Tasik Madu dendangan penyanyi Fauziah Latiff. Mungkin selepas ini hanya karyanya sahaja yang tinggal sebagai kenangan apabila Adam pergi menyahut panggilan Ilahi pada pukul 12.15 tengah malam semalam pada usia 49 tahun. Tanggal 1 Mei lalu, arwah telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Ampang, Selangor kerana mengalami masalah jangkitan pada paru-paru. Selepas lapan hari mendapatkan rawatan rapi, arwah dipindahkan ke wad biasa sebelum pengsan dan pergi buat selama-lamanya. Menurut isterinya, Norliza Ayat, 46, pemergian arwah sedikit mengejutkan kerana sebelum ini dia tidak pernah mengalami sebarang masalah kesihatan yang serius. "Sejak mendirikan rumah tangga empat tahun lalu, saya dan arwah menetap di Georgetown, Pulau Pinang. Setiap bulan, dia akan berulang-alik ke Kuala Lumpur bagi mendapatkan rawatan bulanan di hospital yang sama. "Apabila dia pergi mendapatkan rawatan seperti biasa pada 1 Mei lalu, doktor mengesan terdapat jangkitan pada bahagian paru-paru dan terus memasukkannya ke dalam ICU selama lapan hari," ujar Norliza ketika ditemui usai majlis pengebumian arwah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Pusara Permai, Ampang, Selangor semalam. Lagu untuk isteri Norliza menambah, dia sedikit terkilan kerana tidak dapat berada di sisi arwah saat Adam menghembuskan nafas yang terakhir. "Malam semalam (Rabu), saya pulang ke rumah kerana bekalan milo dan roti di hospital habis. Sebaik sahaja saya hendak keluar rumah, pihak hospital menghubungi saya mengatakan arwah pengsan secara tiba-tiba dan jantungnya terus tidak berfungsi. Namun, saya tetap reda dengan pemergiannya," ujarnya lagi. Melanjutkan perbualan, Norliza memberitahu, ketika hayatnya, arwah merupakan seorang suami yang baik serta penyayang. Adam juga ada mencipta sebuah lagu yang dinyanyikan oleh penyanyi baharu, Haikal Othman. "Arwah mencipta lagu Permaisuriku, Ratu Hatiku ketika saya sedang tidur. Lagu tersebut dihadiahkan khas untuk saya tetapi saya tidak sangka lagu itu menjadi lagu terakhir ciptaannya," ujar Norliza yang berasa sungguh terkesan dengan penghasilan lagu tersebut. Di samping menggubah lagu, Adam yang mendirikan rumah tangga bersama Norliza pada 19 Disember 2010 turut mengusahakan sebuah kafe di Pulau Pinang. Walaupun telah mendirikan rumah tangga selama empat tahun, pasangan tersebut tidak dikurniakan cahaya mata. Sebaliknya, Norliza mempunyai dua orang anak hasil perkahwinan sebelumnya iaitu Mohd. Radhi, 29, dan Mohd. Taqbir, 21. Selain mencipta lagu untuk penyanyi lain, Adam juga terkenal dengan lagu nyanyiannya sendiri iaitu Bersamamu dan Kau Pergi Jua. | |
Sambutan Hari Ibu IKIM fm sarat ilmu Posted: Sambutan Hari Ibu IKIM fm sarat ilmuOleh MOHD. IZUAN ROSELI PENYANYI yang berasal dari England, Saif Adam menghiburkan tetamu dengan alunan vokalnya yang enak. KESAYUAN wajah ibu-ibu yang hadir pada majlis makan malam amal bersama stesen radio Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM fm) bersempena Hari Ibu di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini mampu menenangkan setiap jiwa yang bergelodak. Majlis yang masuk tahun ketiga penganjurannya itu merupakan majlis makan malam amal untuk meraikan seramai 100 ibu yang selama ini membanting tulang membesarkan anak-anak mereka. Majlis yang menyaksikan persembahan gabungan hebat tiga ikon Islamik Malaysia dan antarabangsa itu memeriahkan lagi suasana pada malam tersebut. Antara artis dan selebriti yang hadir pada malam yang penuh bermakna itu ialah Hafiz Hamidun, Saif Adam dan Pencetus Ummah (PU) Rahmat. Sepanjang tiga jam majlis tersebut berlangsung, pelbagai pengisian ilmiah diselitkan bagi memberi ilmu tambahan kepada khalayak yang hadir. Sebagai pembuka tirai, PU Rahmat tampil ke pentas untuk menghurai pengertian hari ibu daripada pandangan Islam. Majlis diteruskan lagi dengan persembahan penyanyi nasyid yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air, Hafiz Hamidun yang membuai penonton dengan alunan zikir Astagfirullah. Kemunculan artis antarabangsa, Saif Adam tidak menghampakan penonton apabila menyampaikan lagu hitnya yang kini menduduki carta teratas IKIM fm, iaitu Trust In Allah sangat menyentuh setiap jiwa-jiwa yang mendengarnya. Kelunakan suara penyanyi yang berasal dari England itu sangat menyentuh kalbu. Bakat yang dianugerahkan kepada Saif mampu membawanya ke suatu tahap yang lebih tinggi dalam industri muzik antarabangsa. "Ia bukan sekadar majlis sambutan Hari Ibu yang penuh dengan hiburan sahaja, sebaliknya kita ingin menyelitkan unsur-unsur ilmu dan kesedaran bahawa betapa pentingnya seorang ibu kepada kita. "Alhamdulillah sambutan daripada orang ramai pada kali ini sangat memberangsangkan dan pada masa akan datang, kami bercadang untuk melakukan majlis yang lebih berskala besar," ujar Ketua Pengarah IKIM, Datuk Nik Mustapha Nik Hassan usai majlis tersebut berlangsung. Nik Mustapha menambah, majlis itu bukan sahaja bertujuan untuk menyambut Hari Ibu sahaja, malah ia juga berperanan untuk mempromosikan IKIM kepada masyarakat. "IKIM bukan sahaja berpaksikan kepada radio sahaja, ia merupakan pusat penyelidikan mengenai kefahaman Islam dan memberi ilmu tambahan kepada masyarakat. Media radio hanya digunakan sebagai penyampai informasi sahaja," luahnya. Dalam pada itu, Hafiz Hamidun berkata, program sebegini perlu diperbanyakkan lagi dalam memberi input-input Islamik yang baik kepada masyarakat, sekali gus melahirkan generasi Islam intelektual. "Konsep sebegini bagus untuk diteruskan pada masa akan datang. Ini kerana ia bukan sahaja memberi hiburan semata-mata, malah ia menyelitkan unsur keilmuan dan pengetahuan kepada seluruh penonton yang hadir," katanya yang berharap majlis yang sama akan dapat diteruskan pada masa akan datang. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |