{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Jatuh, bangun merintis karier

Posted:

Jatuh, bangun merintis karier

Jatuh, bangun merintis karier

INDAH, Shah dan Asmidar bersyukur kerana masih diberi peluang untuk menonjolkan bakat dalam bidang masing-masing.


BERBAKAT, namun populariti lirih untuk mencapai ke puncak. Itu gambaran buat tiga figura iaitu Shah Iskandar, Asmidar dan juga Indah.

Puluhan drama sudah dilakonkan, namun nama pelakon berasal dari Singapura, Shah Iskandar masih belum kuat dalam industri lakonan. Berbeza dengan pelakon senegaranya iaitu Aaron Aziz dan juga Adi Putra.

Perlahan tapi pasti, dengan susah payah membina nama juara program realiti Vokal Bukan Sekadar Rupa musim pertama, Asmidar pula tetap terus bangkit demi mencuba nasib dalam bidang nyanyian.

Begitu juga dengan Indah. Biar bergelar pemain di lantai seni sama, ironinya Indah atau nama sebenarnya, Siti Ruhailah Hussin belum berpeluang membina nama biarpun vokalnya paling mengalir hebat dalam kesemua peserta program Akademi Fantasia 2013 (AF2013).

Asmidar perlu tuah

Sedar namanya tidak segah lagu-lagu nyanyiannya seperti Biar Sampai Ke Bintang dan Kali Pertama, penyanyi Asmidar optimis untuk terus mengeluarkan single baharu bagi membina namanya dalam industri nyanyian.

Bakal keluar dengan single ketiga berjudul Bila Cinta Ada, penyanyi berusia 28 tahun itu berharap agar single baharunya nanti berjaya mencuri perhatian pendengar dan mampu melonjakkan namanya di persada seni.

"Saya harap single ketiga ini lebih baik sambutannya daripada Biar Sampai Ke Bintang," ungkapnya yang berharap lagu terbaharunya itu memiliki 'tuah' supaya namanya lebih dikenali ramai.


HARAP TUAH... Indah (kiri), Asmidar dan Shah Iskandar mempunyai strategi sendiri dalam usaha memantapkan karier seni mereka.


Sudah melakukan transformasi diri dengan penampilan yang lebih menyerlah, namun entah di mana silapnya Asmidar tidak memiliki tuah.

Lagu-lagu nyanyiannya seperti Biar Sampai Ke Bintang, Kali Pertama, Mohon (lagu runut bunyi filem Penanggal) dan juga Sembunyi Rahsia (lagu runut bunyi filem Laga) mendapat tempat di hati peminat. Namun, nama Asmidar tidak seiring mendapat tempat di hati peminat seperti lagu-lagu nyanyiannya.

"Saya tidak tahu kenapa nama saya tidak berdiri sama kuat dengan lagu-lagu nyanyian saya. Saya fikir mungkin disebabkan strategi yang saya lakukan salah. Selepas single pertama, saya ambil masa setahun untuk keluarkan single kedua. Sepatutnya saya keluarkan cepat single demi single agar peminat sedar kehadiran saya," jelasnya yang akan bangkit merebut apa jua peluang yang hadir di depannya selepas ini.

Biarpun nyanyian merupakan minatnya, namun akui Asmidar, dia perlu mencuba bidang lain seperti lakonan mahupun pengacaraan. Mungkin tuah menyebelahinya pada masa akan datang.

"Kalau boleh tahun ini juga saya ingin cuba bidang lain. Masa saya tidak panjang seperti artis lain. Artis lain membina nama pada usia yang muda. Saya pula baru hendak membina nama pada usia 28 tahun. Insya-Allah kalau ada tawaran bidang lakonan dan pengacaraan saya akan cuba," luahnya yang sudah menerima tawaran berlakon sebelum ini, namun tidak dapat menerimanya kerana sibuk dengan jadual nyanyian.

INDAH menafikan sudah putus tunang seperti yang didakwa sebelum ini.


Shah Iskandar risau

Walaupun populariti Shah Iskandar tidak hebat seperti Aaron Aziz mahupun Adi Putra, namun tawaran lakonan tidak putus-putus diterima jejaka bernama penuh Shah Iskandar Mahfuz, 32.

Ketika ditemui pada majlis pengumuman tarikh Anugerah Bintang Popular di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, Shah mengakui baru selesai menjalani penggambaran telefilem RTM berjudul Rezeki di samping pelakon Faezah Elai dan Afiq Muiz.

"Alhamdulillah, sehingga kini tawaran berlakon tidak pernah putus. Drama lakonan saya bersama Hanez Suraya juga bakal ditayangkan tidak lama lagi di RTM. Saya juga bakal menjalani penggambaran drama 20 episod di TV3 bersama Tiz Zaqyah.

"Malah, saya turut terlibat dalam teater Projek Kahwin bersama Hanez, Izzue Islam dan Kilafairy yang akan dipentaskan bermula 6 hingga 14 Jun depan," ceritanya mesra.

Sebelum ini ada khabar angin mengatakan Shah takut untuk berlakon di samping Hanez kerana kontroversi bercinta dengan suami orang yang melanda pelakon cantik itu.

WALAUPUN namanya tidak terlalu gah seperti rakan dari negaranya, Singapura iaitu Aaron Aziz dan Adi Putra, namun Shah Iskandar tidak pernah putus tawaran berlakon.


Diajukan pertanyaan itu kepada Shah, pelakon drama Teduhan Kasih itu menepis dakwaan tersebut. Sebaliknya, Shah mendedahkan, risau akan keselamatan Hanez di atas pentas selepas mengetahui pelakon Love You Mr. Arrogant itu menerima pelbagai ugutan.

"Saya cuma risau dengan ugutan yang dia dapat. Malah, saya turut akui risau pelakon lain turut terkena tempias andai ugutan itu terjadi. Sebagai rakan artis saya nasihatkan dia agar tidak memikirkan sangat mengenai ugutan tersebut dan hanya fokus pada pementasan Projek Kahwin," luahnya.

Indah belum putus tunang

Sekitar tahun 2008, Indah AF2013 pernah mengeluarkan album solo. Namun begitu, album tersebut gagal menaikkan nama Indah dalam industri muzik tempatan.

Menganggap bukan rezekinya, Indah kemudiannya mencuba nasib dalam program realiti Akademi Fantasia 2013. Pun begitu, dia gagal meraih perhatian peminat dan hanya berjaya menduduki tangga keempat dalam pertandingan itu.

Vokal yang mengalir hebat dalam single terbaharunya selepas keluar daripada AF2013, berjudul Percayalah bagaimanapun sedikit demi sedikit mencuri perhatian pendengar.

"Ketika itu (album solo keluar) peminat lebih menyukai artis yang lahir daripada program realiti.

"Sejak itu, saya terfikir untuk menyertai AF2013. Pada masa yang sama, ibu juga cakap sampai bila saya ingin menyanyi di hotel. Saya juga meminta pandangan daripada tunang terlebih dahulu.

"Masa mula-mula keluar AF2013, saya akui nama masih kurang dikenali tetapi setelah tiga bulan, saya rasai sedikit demi sedikit peningkatan saya dalam industri muzik tempatan," ujarnya yang telah mengikat tali pertunangan dengan pemuda berusia 31 tahun.

Baru ingin membina nama, terbaharu Indah terpalit dengan kontroversi apabila dikatakan sudah putus tunang disebabkan kehadiran orang ketiga iaitu pelakon dan penyanyi Arja Lee.

Ditebak soalan itu kepadanya, Indah nyata terkejut.

"Saya tidak pernah berahsia mengenai pertunangan saya sejak menyertai AF2013. Jadi, saya terkejut apabila gosip mengatakan saya putus tunang timbul, sedangkan hubungan kami baik-baik sahaja.

"Hubungan saya dengan Arja tidak lebih daripada seorang kawan. Saya banyak bertanya padanya sebab dia lebih lama dalam industri berbanding saya," luahnya kecewa dengan gosip tersebut.

Tidak tahu dari mana timbul gosip tersebut, Indah mengakui bimbang gosip itu akan melukakan perasaan tunang dan keluarga tunangnya. Namun, begitu, dia lega kerana tunangnya cukup memahami dan percaya kepadanya.

Biarpun bercinta jarak jauh, dia di Kuala Lumpur manakala tunangnya berada di Johor Bahru, namun Indah percaya dirinya dan tunang kuat mengharungi cabaran yang hadir.

Oh My English! musim ketiga lebih segar

Posted:

Oh My English! musim ketiga lebih segar

Oh My English! musim ketiga lebih segar


OH MY ENGLISH! musim ketiga telah memulakan siarannya sejak 18 Mei lalu dengan jalan cerita yang lebih mantap dan segar.


PROGRAM pendidikan popular Oh My English! musim ketiga kembali bersiaran sejak 18 Mei lalu, setiap hari Ahad pukul 9 malam di Astro TVIQ.

Menariknya, Oh My English! kali ini dibarisi oleh pelakon-pelakon baharu yang terdiri daripada Nadiya Nisaa, Fauziah Ahmad Daud, Rahim R2, Amyra Rosli, Syafiq Kyle dan Sherry Alhadad.

Malah, pengisian Oh My English! musim ketiga juga lebih istimewa apabila ia bakal terisi dengan topik-topik semasa seperti laman sosial, Piala Dunia dan juga Hari Kemerdekaan Malaysia selain kandungan bahasa Inggeris yang lebih mantap.

Menurut Naib Presiden Perniagaan Astro, Putri Yasmin Megat Zaharuddin, Oh My English! masih mengekalkan pelakon sedia ada seperti Mr. Henry Middleton (Zain Saidin), Cikgu Ayu (Tiz Zaqyah), Jibam (Akhmal Nazri), See Yew Soon (Roax Tan), Mazlee (Zhafir Muzani) dan Anusha (Kaameshaa).

"Selain daripada barisan pelakon utama yang sedia ada, terdapat ramai selebriti popular tanah air akan turut membuat penampilan khas sepanjang musim baharu ini antaranya Faizal Hussein, Hans Isaac, Rashidi Ishak, Waris dan Bront Palarae.

"Kombinasi watak baharu dan kandungan pembelajaran yang ditambah baik menjanjikan pengalaman tontonan yang unik dan lebih segar," ungkapnya ketika ditemui pada majlis pelancaran program tersebut baru-baru ini.

NADIYA NISAA merupakan anggota baharu Oh My English!. Dia membawa watak pelajar tingkatan empat.


Oh My English! mencatat sejarah apabila ditonton oleh 3.6 juta orang pada musim pertama manakala 5.2 juta penonton pada musim keduanya.

Untuk telefilem istimewa Oh My Ganu, ia mencatat lebih 2.7 juta tontonan manakala Hello America pula lebih 2.5 juta.

Atas dasar itu, jelas Putri, pihaknya teruja untuk menghasilkan program tersebut buat musim ketiga kerana sambutan luar biasa daripada penonton.

"Alhamdulillah, kejayaan drama ini sangat di luar jangkaan dan program ini juga mampu menjadi alat bantuan pembelajaran bahasa Inggeris di luar bilik darjah dengan berkesan," ujarnya.

Sementara itu, pelakon Nadiya Nisaa pada mulanya menyangka dia bakal membawa watak cikgu dalam Oh My English! musim ketiga.

Ternyata tafsiran pelakon berusia 29 tahun itu meleset sama sekali apabila dia ditawarkan membawa watak budak sekolah tingkatan empat.

"Sewaktu ditawarkan berlakon dalam drama ini, sebenarnya saya terkejut kerana mereka memberi saya amanah untuk membawa watak seorang pelajar sekolah.

"Ini kerana, dengan usia dan status saya, saya ingatkan kena bawa watak cikgu. Alhamdulillah, ia memberi suatu pengalaman berbeza kepada saya," ulasnya yang mendedikasikan wataknya kepada adiknya, Aida Amirah, 16, yang suka menonton program pendidikan itu.

Malah menurut Nadiya, dia juga mencabar diri apabila menyanyi dalam salah satu episod Oh My English!.

Sementara itu, seperti dua musim sebelum ini, peminat Oh My English! juga boleh mendapatkan kandungan pengajian bahasa yang lebih mendalam meliputi pengajian kosa kata, tatabahasa, sebutan dan peribahasa serta banyak lagi melalui variasi permainan dan aktiviti dengan melayari www.ohmyenglish.com.my - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA

Kahwin, Kim-Kanye untung RM68 juta

Posted:

Kahwin, Kim-Kanye untung RM68 juta

Kahwin, Kim-Kanye untung RM68 juta


MAJLIS perkahwinan Kim Kardashian dan Kanye West menjadi 'lubuk' buat penganjur untuk memberi tajaan dan mendapat pulangan yang besar.


BELUM berkahwin, namun sudah mengaut untung sehingga AS21 juta (RM68 juta). Itulah situasi yang dilalui oleh pasangan popular Hollywood, Kim Kardashian dan Kanye West.

Menurut laporan daripada Showbizspy, pasangan itu telah bersetuju untuk menerima beberapa tajaan dengan nilai yang cukup besar.

Malah, Kim dan Kanye dikatakan telah menandatangani kontrak bersama E! News yang akan membuat liputan rasmi pada majlis bersejarah itu.

"Syaratnya, E! News perlu membayar sebanyak AS15 juta (RM48 juta) untuk mendapatkan hak eksklusif bagi menyiarkan majlis perkahwinan itu.

"Kemudian, untuk beberapa tajaan besar yang lain, pasangan itu juga telah meletakkan harga yang cukup tinggi, sesuai dengan pulangan yang mereka akan peroleh selepas itu," ujar sumber tersebut.

Ternyata, duit barangkali mampu mengubah pendirian Kim. Ini kerana, sebelum ini selebriti itu ada menyatakan bahawa dia mahu majlis perkahwinannya berlangsung dalam acara yang cukup eksklusif dan tidak difilemkan.

Kim dan Kanye akan berkahwin pada 24 Mei ini.

Sebelum ini, Perancis dikatakan akan menjadi lokasi perkahwinan mereka, namun kini beredar berita yang mengatakan pasangan itu akan berkahwin di Itali pula.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat