{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Admin

Kosmo Online - Hiburan


Cinta kawan atas kawan

Posted:

Cinta kawan atas kawan

Cinta kawan atas kawan

SIAPA cakap cinta jodoh yang diaturkan atau dalam bahasa Inggerisnya, matchmaking tidak kekal lama? Buktinya ada pada perjalanan kisah cinta pelakon terkenal Filipina, Jericho Rosales dan Kim Jones yang selamat menjadi pasangan suami isteri 1 Mei lalu.

Masih dalam buaian musim bulan madu, jelas Jericho atau lebih mesra disapa Echo, selepas termeterai ikatan suami isteri matlamat hidupnya sudah hampir sempurna.

"Bagaikan magis! Ada seseorang yang akan sentiasa bersama berkongsi saat suka dan duka serta menjadikan setiap hari sangat bermakna.

"Hidup selepas berkahwin adalah satu perjuangan baharu. Banyak kisah rumah tangga daripada keluarga dan teman rapat yang dijadikan inspirasi.

"Perkahwinan sejujurnya mendorong saya ke arah perkara yang lebih menarik, menjadikan saya lebih kuat sekali gus melengkapkan saya dalam banyak hal," jelasnya yang ditemui pada majlis pelancaran drama Kusinero Cinta di Hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Berkongsi sasaran asal untuk berumah tangga, kata Echo dia mengimpikan untuk berkahwin pada usia 25 tahun namun tersasar hingga meletakkan matlamat baharu iaitu berkahwin pada umur 29 tahun.

Akhirnya, kedua-dua matlamat itu pudar setelah beberapa siri kisah cintanya tumpas di tengah jalan. Sehinggalah dia bertemu dengan Kim Jones dan mendirikan rumah tangga bersama gadis kelahiran Adelaide, Australia itu awal Mei lalu ketika Echo berusia 34 tahun.

JERICHO ROSALES dan isterinya, Kim Jones kini sedang melalui fasa bahagia sebagai pengantin baharu selepas bernikah pada awal Mei lalu.


Bulan madu

Echo atau nama sebenarnya Jericho Vibar Rosales bagaimanapun menegaskan perkahwinan sama sekali tidak akan menjejaskan reputasi atau popularitinya.

"Status solo atau sudah berkahwin bukan penentu jatuh bangun karier seseorang artis. Saya percaya apabila kita bijak memilih produk, pandai membina hubungan luar dan pastikan sistem sokongan kukuh rasanya itu sudah cukup.

"Mujur saya dipertemukan dengan Kim yang sentiasa menyokong karier saya. Dia saya sifatkan seorang yang kelakar dan berfikiran terbuka," katanya.

Akui pelakon yang popular menerusi drama Pangako Sa Yo itu, selepas berkahwin mereka masih belum mempunyai waktu untuk berbulan madu.

Masing-masing masih memberikan sepenuh tumpuan untuk kerjaya yang masih berbaki namun tetap merancang untuk berbulan madu pada bulan Ogos nanti.

"Kami belum ada bulan madu rasmi lagi selepas berkahwin, mungkin secara berperingkat-peringkat. Tahun ini kami merancang untuk melancong ke negara Eropah menjelang bulan Ogos.

"Begitu juga anak, kami memberikan tempoh dua tahun dahulu untuk bersama dalam ikatan suami isteri kemudiannya baru merancang untuk mempunyai cahaya mata sebab saya tahu ketika ini keadaan belum lagi stabil dan ada banyak urusan yang belum diselesaikan," ujarnya.

Malaysia rumah kedua

Echo dan Kim mula berkenalan sekitar bulan Mac tahun 2011 selepas dipertemukan oleh sahabat mereka, Effie Go yang merupakan jurusolek kedua-dua artis itu.

Sepadan personaliti membenarkan hubungan kimia yang terbentuk antara Echo dan Kim berkembang mekar hingga bercambah menjadi bibit-bibit cinta.

KUSINERO CINTA menggabungkan Aaron Aziz, Tiz Zaqyah dan Jericho dengan harapan mereka mampu menarik perhatian penonton dari luar negara.


Ditanya adakah mungkin Kim bakal terjun ke bidang lakonan pula selepas sukses dalam dunia peragaan dan pengacaraan, jawab Echo isterinya selesa dengan landskap hidupnya sekarang.

"Kadangkala dia temankan saya ke set penggambaran dan mengikuti beberapa bengkel lakonan tapi dia lebih selesa menjadi pengacara," tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Echo berganding bersama Aaron Aziz dan Tiz Zaqyah untuk drama bersiri 60 episod berjudul Kusinero Cinta yang akan mula disiarkan pada 26 Mei ini.

Menerusi drama itu, Echo menjayakan peranan Fredo iaitu seorang jejaka yang tiba di Manila untuk mencapai cita-cita menjadi seorang cef. Satu insiden telah mengeratkan hubungannya dengan seorang gadis dari Malaysia bernama Edrinna.

Selain Kusinero Cinta, Echo terlebih dahulu membintangi filem Bilut yang menjalani penggambaran sekitar tahun 2006.

"Malaysia sekarang ibarat rumah kedua saya dan penerimaan di sini sangat luar biasa. Untuk saya terus berlakon di Malaysia rasanya bukan satu yang mustahil.

"Bagaimanapun hati saya masih di Manila kerana di situ ada keluarga saya," katanya yang berulang-alik lebih enam kali sepanjang terbabit dengan penggambaran drama tersebut.

Izreen tunggu keputusan mahkamah

Posted:

Izreen tunggu keputusan mahkamah

Izreen tunggu keputusan mahkamah

Oleh KHAIRUL AMRI HASSAN

IZREEN enggan komen tentang status terkini dirinya.


MINGGU lalu kecoh tentang pelakon Izreen Azminda, 29, yang didakwa telah diceraikan suaminya, Muhamad Riza Baharuddin, 31, di set penggambaran sebuah drama di Pulau Pinang.

Muhamad Riza dikatakan bertindak melafazkan cerai talak selepas berlaku pertengkaran antaranya dan Izreen, malah pelakon itu juga didakwa telah mengesahkan berita perceraian tersebut.

Muhamad Riza dalam kenyataan balas kepada sebuah portal hiburan bagaimanapun menafikan bahawa dia dan pelakon drama bersiri Juvana itu telah bercerai. Dia sebaliknya menegaskan, tidak berlaku sebarang lafaz talak pada tarikh 16 Mei di lokasi penggambaran tersebut.

Bagaimanapun, Muhamad Riza mengesahkan bahawa dia telah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 14 Mei lalu dan masih menunggu tarikh untuk sebutan kes.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 30 Ogos 2012 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Muhammad Adrian Umar, 10 bulan.

Kosmo! berkesempatan bertemu dengan Izreen ketika acara karpet merah Anugerah Bintang Popular 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini mendapatkan komen lanjut. Ikuti temu bual berikut.

Kosmo!: Izreen terlebih dahulu mengesahkan dakwaan anda diceraikan suami (Muhamad Riza) dalam sebuah akhbar minggu lalu, namun dia menafikannya itu. Apakah komen anda?

IZREEN AZMINDA: Buat masa ini, saya tidak mahu komen lanjut tentang perkara ini, beri kami ruang untuk menyelesaikan perkara ini mengikut undang-undang yang betul dan sampai satu masa saya akan beritahu cerita sebenar.

Apakah status terkini anda?

Saya tidak mahu menjawab lagi mengenai status saya sekarang sebab saya perlu tunggu keputusan mahkamah. Kemudian saya akan beritahu.

Betulkah dakwaan bahawa anda dan suami bergaduh di set penggambaran di Pulau Pinang pada 16 Mei lalu?

Kami ada berbincang pada malam kejadian dan saya tidak mahu komen lebih-lebih sebab nanti akan ada banyak kenyataan negatif diperkatakan dan saya tidak mahu ia berpanjangan.

IZREEN dan Muhammad Riza berkahwin pada30 Ogos 2012.


Adakah benar suami anda melafazkan cerai di lokasi kejadian?

Saya tidak mahu komen.

Sudah berapa lama masalah rumah tangga anda berlaku?

Kami sudah tidak tinggal sebumbung selama sebulan tapi selainnya saya tidak mahu komen lebih.

Ada pihak yang menyebarkan cerita ini terlebih dahulu, adakah anda akan mengambil tindakan kepada pihak terbabit?

Saya perlu selesaikan urusan saya dan barulah saya akan fikirkan hal itu kemudian.

Selepas keluar berita berkenaan, adakah suami anda masih menghubungi anda untuk mendapatkan penjelasan?

Kami tetap akan berhubung sebab anak dan buat sementara waktu saya tidak mahu berbincang apa-apa lagi berkaitan perkara ini. Kami sudah berbincang dan akan memberikan kata putus apabila sudah ada keputusan muktamad.

Anak anda sekarang dijaga siapa?

Saya sendiri.

Bilakah kes mahkamah itu akan dibicarakan?

Saya akan maklumkan kemudian.

Siti bagi tempoh sebulan

Posted:

Siti bagi tempoh sebulan

Siti bagi tempoh sebulan

Oleh IZWAN MOHD. ISA

SITI NURHALIZA


SELEPAS Rozita Che Wan, Datuk Siti Nurhaliza pula menjadi mangsa. Menerusi akaun Instagramnya, penyanyi nombor satu negara itu telah memuat naik sebuah iklan ubat kurus yang menggunakan dua gambarnya sebagai testimoni.

Menerusi gambar yang dimuat naik, Siti menyatakan rasa kurang senang dengan tindakan pihak pengiklan tersebut memanipulasikan gambar-gambarnya semata-mata untuk mengaut keuntungan.

Lebih memburukkan keadaan, gambar tersebut digunakan tanpa kebenaran selain telah disunting untuk menonjolkan keberkesanan produk tersebut. Selain itu, terdapat testimoni palsu yang ditulis bukan berdasarkan pengalaman Siti menggunakan produk tersebut.

Ketika bertemu dengannya selepas mengadakan persembahan pada acara Majlis Makan Malam Amal Kecemerlangan 5A anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Seksyen 13 di Shah Alam, Selangor baru-baru ini, Siti mengakui sedar tentang iklan tersebut ketika melayari akaun Facebooknya minggu lalu.

"Saya sedar tentang kewujudan testimoni palsu pil kurus itu menerusi akaun Facebook saya. Waktu itu, saya agak terkejut kerana saya tidak pernah mengambil produk atau suplemen untuk menurunkan berat bandan.

"Tambahan pula, gambar yang diguna oleh pengiklan itu telah disunting bagi menampakkan tubuh saya supaya kelihatan sedikit berisi. Sekali pandang, kita dapat meneka bahawa gambar tersebut telah disunting," jelasnya.

Menurut Siti, beliau enggan memanjangkan perkara berkenaan. Namun jika pengiklan itu enggan mengeluarkan gambarnya daripada laman sosial, tindakan undang-undang bakal diambil.

"Setelah menyedari testimoni palsu itu, saya telah memberi peringatan kepada pengiklan tersebut menerusi akaun Instagram saya.

"Jika ia tidak diturunkan dalam masa sebulan, saya akan merujuk kepada pihak berkuasa bagi menghentikan pengiklan itu daripada terus menggunakan gambar saya tanpa kebenaran," kata Siti sambil memberitahu, dia lebih gemar melakukan senaman secara kerap berbanding mengambil ubat kurus untuk menurunkan berat badan.

INILAH iklan testimoni yang tersebar di Instagram menyaksikan 'transformasi' berat badan Siti.


Nilai eksklusif

Sementara itu, bercakap tentang objektif penganjuran majlis makan malam amal tersebut, ia bertujuan mengumpul dana bagi menjalankan program pendidikan bagi mencapai matlamat keputusan 100 seratus peratus 5A Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sekolah itu.

Justeru, ketika ditanya mengenai penglibatannya dalam majlis amal ini, Siti memberitahu, beliau tidak kisah jika ada yang mengatakan beliau tidak menjaga nilai eksklusifnya sebagai penyanyi popular.

Tutur Siti, setiap orang mempunyai pandangan masing-masing dan beliau tidak pernah terfikir untuk meletakkan sebarang standard bagi dirinya sebagai penyanyi.

"Sejujurnya, saya tidak pernah meletakkan sebarang batas terhadap kerjaya saya. Jika ada orang mengatakan bahawa saya tidak menjaga nilai eksklusif sebagai penyanyi, itu hak mereka.

"Bagi saya, jika saya mampu untuk menghulurkan bantuan, saya akan membantu seadanya," jelasnya yang menyifatkan majlis amal seperti ini dapat dijadikan platform terbaik untuk mendekatkan diri dengan peminatnya.

Melanjutkan perbualan, Siti menyatakan rasa gembira kerana persembahannya pada malam tersebut mendapat sambutan hangat daripada beberapa syarikat gergasi dan peminat setianya.

"Lagipun, majlis sebegini mampu mendekatkan saya dan peminat menerusi gaya persembahan yang lebih santai," ujarnya mengakhiri bicara.

Pada malam itu, Siti menghiburkan tetamu dengan rangkaian lagu-lagu seperti Jaga Dia Untukku, Cindai, Aku Cinta Padamu dan Lebih Indah.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar