Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Medan pertempuran vokal Idola Kecil Posted: Medan pertempuran vokal Idola KecilTATKALA menghampiri pintu masuk Studio Utusan di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur baru-baru ini, cuping telinga menangkap kemas riuh-rendah serta derai tawa anak remaja yang berusia belasan tahun bercanda sesama sendiri. Gurauan Afiq, Haris, Balqis, Daniel, Azam, Puteri, Sasha dan Darling yang membelah kesunyian pada petang itu seperti menjadi peneman setia buat mereka saat menunggu giliran untuk diwawancara. "Sudah hampir enam tahun saya bergelar sebagai anak seni. Sepanjang tempoh itu, banyak perkara yang telah saya lalui dan pelajari," tutur bekas peserta Idola Kecil musim pertama, Muhammad Shafieq Shazwan Zamros, 17, seraya memperkenalkan diri. Pertemuan dengan juara-juara dan bekas peserta rancangan Idola Kecil itu diaturkan bersempena dengan penglibatan mereka di dalam musim baharu program tersebut. Membawa nama Idola Kecil Ultra, program yang telah memasuki musim ketujuh penerbitannya ini memberi peluang kepada juara-juara dan beberapa peserta Idola Kecil bertanding semula dan merebut gelaran juara antara yang terbaik. Afiq, Harris lebar sayap "Memang saya mahu menang," ujar Shafieq atau lebih popular dengan panggilan Afiq ketika diajukan soalan mengenai persiapannya untuk bertanding sekali lagi dalam Idola Kecil Ultra. "Namun, saya harus berusaha dengan lebih gigih kerana para peserta yang mengambil bahagian pada kali ini adalah antara yang terbaik pernah menyertai Idola Kecil. "Walaupun persaingan nampak agak sengit, namun saya akan menggunakan pengalaman sedia ada untuk memberikan persembahan yang terbaik setiap minggu," ujar Afiq yang mula dikenali menerusi drama komedi Elly & Epit. Ujar Afiq, walaupun sibuk menyanyi dan berlakon, dia masih menyimpan hasrat untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan elektrik selepas tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Bagi juara Idola Kecil musim ketiga, Harris, 15, pula, penglibatannya dalam bidang muzik bukan setakat ingin dikenali sebagai penghibur sahaja. Malah, anak kelahiran Pulau Pinang ini bercita-cita tinggi mahu bergelar pensyarah muzik suatu hari nanti. "Saya tidak tahu nasib saya sebagai penyanyi pada hari yang mendatang. Justeru, jika tidak mempunyai rezeki dalam bidang nyanyian, saya lebih selesa untuk bergelar pensyarah," ujar Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Morshidi. Dalam perkembangan terbaharu, Harris yang kini bernaung di bawah syarikat rakaman Universal Music Malaysia bakal muncul dengan single berjudul Akulah Pelangimu. Peluang Balqis, Daniel Penyandang tempat ketiga Idola Kecil musim ketiga, Nor Balqis Ahmad Tajudin, 15, mungkin tidak bernasib baik dalam merebut gelaran juara ketika menyertai program tersebut. Namun siapa sangka, selepas empat tahun bergerak secara sendiri, anak kelahiran Terengganu ini akhirnya dilamar untuk bernaung di bawah syarikat rakaman gergasi KRU Studios. "Segalanya bermula ketika saya diberitahu tentang sesi uji bakat yang dijalankan oleh KRU Studios pada awal tahun ini. "Pada waktu itu, saya tidak meletakkan sebarang harapan terhadap sesi uji bakat tersebut. Apabila mendapat panggilan telefon mengenai penawaran kontrak, saya berasa begitu gembira," ujarnya yang ternyata bersedia dari segi fizikal dan mental bagi Idola Kecil Ultra. Peserta Idola Kecil musim keenam, Ammierul Daneal Eddy Noor, 13, pula menerima tawaran untuk melanjutkan pelajarannya di Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur sejak bulan Januari lalu. "Saya cukup berbangga dengan pencapaian saya kerana tidak ramai yang berpeluang untuk bergelar pelajar di sekolah seperti ini," ujar Daneal atau lebih senang dikenali sebagai Dani. Rebut juara Sejak diterbitkan, program pencarian bakat kanak-kanak, Idola Kecil tidak pernah putus melahirkan muka-muka baharu bagi mewarnai industri hiburan tanah air. Baik untuk bidang nyanyian, lakonan mahupun pengacaraan, program yang mula ditayangkan di TV9 pada tahun 2008 ini terus dijadikan sebagai platform bagi para pesertanya melebarkan sayap sebagai anak seni. Namun, akui Muhammad Azzamuddin Hisham, 17, walaupun telah tersedia dikenali menerusi Idola Kecil, saingan yang sengit merupakan faktor utama mengapa usahanya untuk bergelar juara pada kali ini harus ditingkatkan. "Saingan yang diberikan oleh rakan-rakan sungguh sengit. Justeru, jika saya tidak dipilih untuk menjuarai Idola Kecil Ultra, pengalaman ini sudah memadai untuk saya meneruskan perjuangan sebagai seorang anak seni," ujarnya. Dalam pada itu, menurut Puteri Aszfaryna Khareeza Aris, 16, dan Sarah Elyssa Khairul Fahmy, 14, dorongan yang diberikan oleh keluarga menjadi kunci utama untuk mereka meneruskan perjuangan dalam pertandingan tersebut. "Apa yang penting adalah sokongan daripada keluarga serta kepercayaan yang diberikan oleh mereka. Selebihnya, terserah pada keupayaan dan usaha diri sendiri," ujar mereka. Menurut gadis genit dari Kedah, Darling, 14, dia bertekad untuk menjuarai Idola Kecil Ultra setelah kecundang di tangga kedua pada penganjuran musim kelima rancangan itu. "Tidak dinafikan, para peserta yang dipanggil semula begitu berbakat. Tambahan pula, ada antara mereka yang mula bergelar penyanyi sejak tahun 2008 lagi. "Jadi, apa yang penting adalah latihan yang mencukupi serta usaha yang berterusan," ujarnya. | |
Adam Corrie minta tunjuk bukti Posted: Adam Corrie minta tunjuk bukti
AKIBAT disalah anggap sebagai ahli parti Pas, pelakon dan bekas pereka tari, Adam Corrie, 45, mendakwa dirinya digam dari- pada membuat penampilan oleh stesen televisyen gergasi TV3. Ketika ditemui baru-baru ini, Adam yang pernah mencipta nama sebagai guru tari bagi program realiti TV, Akademi Fantasia berkata, dia menyedari tentang perkara tersebut sejak tahun lepas apabila drama lakonannya, Zikir Tanpa Bibir ditolak mentah-mentah untuk disiarkan oleh stesen TV tersebut. Selain itu, dua episod daripada sebuah program keagamaan yang bakal disiarkan tidak lama lagi turut disunting dan dirakamkan semula atas sebab yang sama. Adam yang memeluk Islam pada 13 Julai 2007 melahirkan rasa kecewa kerana tindakan membuta tuli pihak TV3 menyebabkan periuk nasinya sebagai pelakon sedikit terjejas. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Adam. Kosmo!: Bilakah anda menyedari tentang perkara ini? ADAM: Saya mula menyedari tentang hal ini tahun lalu. Pada waktu itu, saya telah ditawarkan untuk memegang watak utama dalam sebuah telemovie berjudul Zikir Tanpa Bibir. Setelah telemovie tersebut siap sepenuhnya, produsernya ada berjumpa dengan pihak TV3 untuk mendapatkan hak penyiaran. Namun, sejurus selepas mereka mendengar nama saya, telemovie tersebut ditolak mentah-mentah. Mereka memberikan alasan bahawa saya merupakan ahli Pas. Apakah reaksi anda setelah dikhabarkan tentang perkara itu? Saya sangat terkejut. Saya tidak pernah menyertai mana-mana parti politik mahupun mengikuti sebarang ceramah atau perhimpunan. Saya berasa seperti difitnah. Adakah ini merupakan kali pertama drama lakonan anda ditolak untuk disiarkan? Tidak. Baru-baru ini, saya telah dijemput untuk menghadiri rakaman program ilmu berjudul Muhammad Ku. Namun, setelah merakamkan sebanyak dua episod, produser rancangan itu menghubungi saya dan memberitahu, khidmat saya tidak diperlukan lagi. Tambahnya, babak yang melibatkan penampilan saya telah dipotong dan digantikan dengan orang lain. Apakah alasan produser tersebut? Alasannya tetap sama, saya orang Pas. Pada pendapat anda, apakah yang menyebabkan pihak TV3 bertindak sebegitu? Saya pun tidak pasti. Mungkin ini adalah rentetan daripada isu gambar saya bersama Datuk Dr. Haron Din yang dimuat naik oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dalam sebuah blog awal tahun lalu. Apakah harapan anda terhadap isu ini? Saya berharap agar pihak TV3 berhenti daripada memfitnah saya. Jika benar saya merupakan ahli Pas, buktikan. Saya berasa sedikit terkilan kerana ada antara selebriti yang secara terang-terangan terlibat dengan parti tersebut tetapi masih dibenarkan muncul dalam drama pada slot waktu perdana. Apakah perkembangan terbaharu anda? Saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri Kerambit dan pada masa yang sama terlibat dalam drama bersiri Gerak Khas. - IZWAN MOHD. ISA | |
Posted: Tekanan ujian Ikon SiarawanOleh MOHD. IZUAN ROSELI BARISAN peserta Ikon Siarawan bersaing sesama sendiri untuk merebut gelaran juara serta habuan wang berjumlah RM100,000. TUGASAN yang diberikan dalam program realiti pencarian bakat pengacara versatil, Ikon Siarawan semakin menguji mental dan fizikal kesemua 12 finalis apabila dilihat semakin tertekan dengan ujian yang diberikan. Hal ini jelas dilihat apabila kini hanya 10 finalis sahaja yang berjaya mengekalkan kerusi di Ikon Siarawan sepanjang tiga minggu program tersebut berlangsung. Setiap lapangan media termasuk bidang pengacaraan, juruhebah radio dan pembaca berita diuji dalam memastikan finalis benar-benar layak bergelar Ikon Siarawan. Menurut mentor selaku tenaga pengajar Ikon Siarawan, Shuhaimi Mohamed, pada minggu pertama tiada penyingkiran dilakukan kerana finalis kebanyakannya masih belum diuji dengan sepenuhnya. "Kita ingin memberi masa kepada finalis untuk selesa dengan situasi dan menimba sebanyak mungkin ilmu untuk menjadikan mereka seorang personaliti televisyen yang versatil. "Pada peringkat permulaan, kami lebih menekankan aspek komunikasi kepada pelajar. Di samping itu, kami juga memberi kebebasan kepada finalis melakukan gaya tersendiri mengikut kesesuaian cabaran yang diberikan," ujarnya usai sesi rakaman Ikon Siarawan di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini. Shuhaimi menambah, setakat tiga minggu berada dalam gelanggang Ikon Siarawan, perubahan dari segi personaliti dan keyakinan diri dapat dilihat dalam setiap diri finalis. "Kesemua mereka sememangnya mempunyai potensi yang besar dalam bidang ini, namun kebanyakan mereka perlu digilap dari segi personaliti dan keyakinan diri. Alhamdulillah, perubahan mereka dapat dilihat sedikit demi sedikit. "Bagaimanapun, saya sangat berpuas hati dengan setiap pencapaian semua finalis. "Walaupun agak sukar untuk membimbing mereka disebabkan kebanyakan finalis tidak mempunyai asas dalam bidang pengacaraan, namun kesungguhan mereka membuatkan saya kagum," katanya. Shuhaimi memberitahu, pada minggu pertama tiada penyingkiran berlaku, namun pada minggu kedua iaitu cabaran juruhebah radio, sebanyak dua orang finalis telah tersingkir disebabkan markah keseluruhan dan pilihan juri. "Tiada apa yang boleh dilakukan disebabkan ia merupakan salah satu format program realiti. Walaupun kedua-dua Ikon Siarawan iaitu IS Shah dan IS Edwin mempunyai kelebihan dalam bidang juruhebah radio iaitu pernah berkhidmat di Labuan FM, namun ia belum mampu mengekal mereka berada dalam gelanggang Ikon Siarawan. "Itulah program Ikon Siarawan, pada minggu yang akan datang cabaran dan tugasan yang akan diberikan kepada finalis semakin mencabar dan kita hanya mahu yang betul-betul layak dan berkemampuan sahaja dinobatkan sebagai juara IS," ujarnya. Dalam pada itu, finalis yang tersingkir, Mohd. Shahreyzam Awang, 26, (IS Shah) berkata, dia telah memberikan yang terbaik sepanjang program tersebut berlangsung, namun nasib tidak menyebelahinya pada kali ini. "Setelah mendapat tahu tersingkir, saya mengakui ada sedikit perasaan kecewa dan terkilan kerana tidak dapat berjuang bersama rakan-rakan Ikon Siarawan yang lain dan mengecapi cita-cita saya untuk menjadi seorang juruhebah radio. "Pengalaman menjadi salah seorang juruhebah radio di Labuan FM telah digunakan sepenuhnya, Namun, nasib tidak menyebelahi saya, walaupun tersingkir saya berpuas hati kerana telah memberikan yang terbaik sepanjang tiga minggu," ujarnya. Sementara itu, Raydwin Robin, 24, (IS Edwin) menyatakan, peluang untuk berada dalam IS merupakan salah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakannya. Banyak ilmu yang telah ditimba, terutamanya daripada personaliti Radio Televisyen Malaysia (RTM) termasuk pembaca berita, Norlela Mohd. Nor. "Saya sangat bersyukur kerana kebanyakan personaliti televisyen RTM tidak kekok mencurahkan ilmu, terutamanya mengenai selok-belok dalam bidang media. Mereka juga banyak memberi petua untuk kekal lama dalam bidang yang penuh mencabar ini. "Walaupun tersingkir pada peringkat permulaan, ia tidak mungkin mematahkan semangat saya untuk terus berkecimpung dalam bidang pengacaraan kerana sejak kecil saya bercita-cita untuk menjadi seorang juruhebah radio," katanya. Ikon Siarawan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM100,000 untuk juara, naib juara RM50,000, tempat ketiga sebanyak RM30,000 manakala tempat keempat dan kelima pula masing-masing bakal memperoleh wang tunai RM5,000. Program tersebut bermula pada 3 Mei lalu pada setiap hari Sabtu pukul 9 malam dan disiarkan melalui saluran TV2. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |