{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Infiniti

Posted by Admin

Kosmo Online - Infiniti


Pengguna perlu fahami objek langit

Posted:

Pengguna perlu fahami objek langit

Pengguna perlu fahami objek langit

Oleh HAFIZ AHMAD

MEMINATI dunia astronomi sejak di bangku sekolah terus membuak sehingga ke usia dewasa. Bagi mendalami alam angkasa lebih luas, Muhammad Rafiq Abdul Rahim, 26, berkira-kira membeli sebuah teleskop untuk melihat sendiri keindahan ruang galaksi.

Keputusan untuk memiliki teleskop tidak dibuat dengan serta-merta tetapi dilakukan secara berperingkat memandang keseriusan jejaka kelahiran Seremban, Negeri Sembilan itu semakin kukuh sejak sekembalinya dia ke tanah air selepas bertahun menuntut di luar negara.

Banyak yang perlu dipelajari Rafiq memandangkan ketika menuntut di Shibaura Institute of Technology, Tokyo, Jepun, dia terpaksa melupakan seketika minatnya untuk memberi tumpuan dalam pelajaran.

Dia yang kembali aktif sejak awal tahun ini banyak membaca di internet mengenai teleskop bersesuaian untuk seorang amatur. Pada masa sama, Rafiq turut mengikuti bengkel-bengkel dan salah satunya anjuran seorang aktivis astronomi, Shahrin Ahmad.


AMIRUL HAZIM (kiri) dan Muhammad Rafiq belajar mengenali peralatan teleskop di Bandar Sri Damansara.


"Selepas mengikuti bengkel tersebut, saya semakin yakin untuk memilih jenama teleskop yang bersesuaian," ujarnya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bengkel Kenali Teleskopku oleh Shahrin banyak memberi penekanan dan tunjuk ajar kepada individu yang baru berjinak-jinak dalam dunia astronomi. Pengisian program fokus untuk panduan memilih teleskop dan menerangkan fungsi-fungsi teleskop yang biasa digunakan oleh pencerap amatur dan profesional.

Ia merupakan satu inisiatif Shahrin untuk menggalakkan lebih ramai menceburi dan memahami dunia astronomi dalam kalangan masyarakat tempatan. Pada masa sama mendidik orang ramai membeli dan menggunakan teleskop dengan betul.

Ini kerana Shahrin banyak menerima rungutan dan soalan mengenai teleskop daripada peminat tempatan astronomi yang tidak tahu memilih jenama yang sesuai selain mampu dimiliki.

"Masalah paling ketara apabila ramai yang telah membeli teleskop tetapi ketika mahu menggunakannya, mereka menghadapi kesukaran kerana tidak tahu perkara asas," kata bapa kepada empat orang anak itu membuka bicara ketika ditemui Infiniti di rumahnya di Sri Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KANTA ruang pandang teleskop pelbagai jenis jarak yang boleh ditukar ganti.


Asas

Perkara paling asas bagi seorang pencerap amatur adalah mengenali dengan baik objek-objek yang terdapat di langit. Ia bagi memudahkan mereka sewaktu melakukan aktiviti pencerapan kelak.

Jenis-jenis objek seperti bintang, sistem solar dan satelit boleh dipelajari di laman web atau bahan bacaan berkaitan. Malah, laman web milik Shahrin sendiri, www. falakonline.net banyak berkongsi informasi berguna untuk pembaca.

Khatam pengenalan asas itu, Shahrin menasihatkan golongan amatur tersebut untuk mencuba teropong binokular bagi mendapatkan perspektif yang lebih luas ketika mencerap langit. Ia merupakan alat penting yang perlu ada bagi seorang pencerap kerana mempunyai fungsi yang berbeza dengan teleskop.

Teropong binokular digunakan untuk mendapatkan sudut pandangan yang luas ketika melakukan aktiviti pencerapan. Selepas mendapat objek khusus yang ingin dilihat secara fokus, pencerap akan menggunakan teleskop yang dapat memberikan imej jelas dan terperinci.

"Selepas mahir menggunakan teropong binokular, barulah mereka bersedia untuk beralih kepada sebuah teleskop," tambah Shahrin.

Pada asasnya, teleskop terbahagi kepada dua jenis yang biasa digunakan iaitu refractor (pembias) dan reflector (pembalik). Teleskop refractor menggunakan kanta manakala reflector dari biasan cermin.

Kedua-dua pembias tersebut terletak di dalam Optical Tube Assembly (OTA) atau bahagian panjang teleskop. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu saiz (aperture) dan panjang OTA. Sebuah teleskop bergantung kepada saiz kanta atau cermin yang dimahukan yang akan menentukan kebesaran aperture.

Panjang OTA bermaksud jarak titik fokus cahaya yang masuk merentasi kanta atau dibalikkan cermin hingga ia difokuskan menjadi satu imej. Tangkapan imej awalan tersebut biasanya tidak jelas dan kabur, maka komponan yang dipanggil kanta mata atau eyepiece dapat menerangkan objek tersebut.


BINOKULAR atau teropong digunakan bagi mendapatkan perspektif lebih luas ketika mencerap langit.


Teleskop

Sebuah teleskop turut dilengkapkan dengan pemegang OTA atau dipanggil mount. Ia terbahagi kepada dua jenis iaitu Altazimuth (AltAz) dan Equatorial. Perbezaan antara kedua-duanya adalah merujuk kepada paksi pergerakan OTA.

Bagi AltAz, ia mempunya dua paksi iaitu boleh digerakkan ke atas atau bawah dan kiri atau kanan. Ia sedikit rumit bagi mencerap objek yang bergerak kerana perlu membuka paksi tersebut untuk menukar arah kedudukan teleskop.

Masalah itu boleh diatasi jika menggunakan pemegang jenis Equatorial yang hanya mempunyai satu paksi kekal yang perlu dihalakan ke arah titik utara. Ia mudah untuk mengikuti pergerakan atau laluan objek melalui gerakan secara manual.

"Namun begitu, setiap teleskop biasa tidak boleh menukar pemegang kerana ia hanya sesuai dengan set yang sedia ada sahaja. Ini bermakna, jika teleskop yang dibeli dilengkapkan dengan pemegang Equatorial, ia tidak boleh diganti dengan AltAz," kongsi Shahrin.

Selain kedua-dua pemegang tersebut yang digerak secara manual, terdapat dua jenis lagi yang biasa digunakan oleh seorang profesional iaitu bermotor dan bermotor-komputer.

Pemegang bermotor membolehkan OTA bergerak secara automatik mengikut pergerakan objek manakala jenis bermotor-komputer, teleskop mampu mencari dan mengikuti objek mengikut arahan pencerap.

Sebagai contoh, jika pencerap mahu melihat planet Marikh, mereka hanya perlu memasukkan maklumat ke dalam alat kawalan pemegang bermotor-berkomputer. Seterusnya, ia akan mencari objek tersebut tanpa perlu digerakkan secara manual.

"Masalah berlaku apabila ada pencerap yang tidak tahu memasukkan maklumat betul. Kesilapan itu boleh menggagalkan carian," tutur Shahrin.

AMIRUL HAZIM menunjukkan hasil gambar yang diambil daripada kamera kompak melalui ruang pandang pada teleskop ketika belajar mengenali peralatan teleskop.


Penjagaan

Teleskop perlu dijaga seperti sebuah kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR). Ia perlu disimpan dalam udara yang bergerak bagi mengelakkan tompokan kulat. Selain itu, teleskop yang terdedah kepada cahaya matahari terlalu lama juga akan menyebabkan haba terkumpul yang boleh merosakkan lensa.

Terdapat empat jenis teleskop yang popular dalam kalangan astronomi tempatan dan luar negara iaitu Orion, Celestron, Meade dan Skywatcher. Kesemua mempunyai fungsi hampir sama iaitu mencerap objek cakerawala yang terang dan besar.

Harga minimum bagi sebuah teleskop untuk seorang amatur adalah lingkungan RM800 dan ke atas. Walaupun mahal, ia berbaloi kerana mampu bertahan dalam tempoh yang lama. Walaupun ada teleskop yang jauh lebih murah antara RM200 hingga RM300, tetapi ia menghasilkan kualiti imej yang rendah selain mudah rosak.

"Maka pelaburan yang dikeluarkan tidak sia-sia malah berbaloi dengan harga yang ditawarkan," kata Shahrin.

Bersetuju dengan mentornya, Amirul Hazim Kamarulzaman, 18, berkata, pencerap baharu memikirkan dalam jangka masa panjang ketika membeli sebuah teleskop. Harga mahal adalah berpatutan dengan teknologi teleskop yang dimahukan.

Sehingga kini, pelajar Kolej Matrikulasi Pulau Pinang itu sudah memiliki empat buah teleskop sejak bergiat aktif dalam bidang astronomi lima tahun lalu. Salah satu daripadanya berharga RM1,100 jenama Celestron yang dihadiahkan oleh keluarganya.

"Kepuasan tidak terletak pada harga tetapi fungsi-fungsi yang terdapat pada teleskop tersebut. Rasa berbaloi apabila dapat mencerap dan mengambil gambar objek angkasa," ujarnya.

Lenovo Yoga 2 11 ciri asas komputer

Posted:

Lenovo Yoga 2 11 ciri asas komputer

Lenovo Yoga 2 11 ciri asas komputer

Oleh KHAIRUL ANUAR ABDUL RAHMAN


LENOVO mempunyai operasi di lebih daripada 60 negara. - Gambar hiasan


EVOLUSI dunia pengkomputeran telah memperlihatkan perubahan dari pelbagai sudut. Era komputer bermula sebagai satu mesin gergasi yang memerlukan ruang penyimpanan sebesar bilik atau sebesar bangunan.

Segalanya semakin berubah. Cuba anda bayangkan kemampuan sebuah komputer yang begitu besar kini dimuatkan ke dalam komputer yang kecil, membolehkannya dibawa ke mana sahaja. Semua itu tidak mungkin berlaku tanpa kemajuan teknologi pemproses mikro yang memungkinkan reka bentuk komputer berubah seiring dengan keperluan zaman ini.

Secara umumnya, pengguna hari ini memerlukan komputer yang bukan sahaja mampu melakukan tugasan harian dengan mudah malah pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Pada masa yang sama, komputer hari ini juga menyediakan platform untuk pengguna berkomunikasi dengan teman sekerja, sahabat handai dan juga ahli keluarga menerusi capaian internet jalur lebar tanpa wayar.

Lenovo merupakan salah sebuah pengeluar komputer yang sentiasa selari dengan kehendak pengkomputeran semasa. Sejak mengambil alih segmen pengkomputeran peribadi daripada Perbadanan Perniagaan Mesin Antarabangsa (IBM), Lenovo telah memperkenalkan pelbagai penyelesaian pengkomputeran kepada pengguna.

Barisan model Yoga adalah model terkini keluaran Lenovo yang menawarkan keseimbangan antara prestasi pengkomputeran dan mobiliti, direka khusus buat pengguna yang memerlukan akses kepada komputer ketika berada di luar pejabat. Yoga ditawarkan dalam tiga model iaitu Yoga 2 Pro, Yoga 11S dan Yoga 2 11.

Terkini

Antara ketiga-tiga model tersebut, Yoga 2 11 dikategorikan sebagai model mampu milik berbanding dua model Yoga yang lain. Sesuai dengan namanya, Yoga 2 11 menawarkan skrin beresolusi 1,366 x 768 piksel dengan ukuran 11.6 inci dan berat 1.4 kilogram.

Ia boleh dikategorikan sebagai ringan dan amat sesuai kepada mereka yang perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain. Sungguhpun secara relatifnya model ini lebih berat berbanding Macbook Air keluaran Apple, skrin Yoga 2 11 ini boleh dipusingkan dan digunakan dalam mod yang berbeza.

Dengan ukuran 207 x 298 x 18 milimeter, model keluaran Lenovo itu lebih nipis berbanding kebanyakan model yang ditawarkan di pasaran. Salah satu ciri penting bagi sesebuah komputer riba ialah papan kekunci yang mempunyai ruang dan jarak kekunci yang tidak terlalu rapat antara satu sama lain bagi mengelakkan kesilapan ketika menaip. Yoga 2 11 memenuhi ciri papan kekunci yang baik kerana mempunyai ruang yang mencukupi bagi menaip dengan selesa.


LENOVO Yoga 2 11 merupakan komputer yang boleh dilipat dalam pelbagai sudut seperti khemah, buku atau rata menjadi tablet pintar.


Yoga 2 11 juga merupakan penyelesaian bagi mereka yang inginkan komputer riba dan pada masa yang sama memerlukan fungsi sebuah tablet. Model tersebut membolehkan skrin dilipat bagi mengaktifkan fungsi tablet.

Skrin boleh dilipat mengikut bentuk V, seakan-akan bentuk khemah bagi memberikan pengalaman menonton video atau untuk membuat demonstrasi kepada bakal klien atau presentasi di dalam mesyuarat sesama teman sekerja.

Satu lagi ciri menarik tentang model tersebut ialah mampu mengesan perubahan mod seperti daripada mod komputer riba kepada mod tablet, orientasi skrin akan berubah secara automatik.

Ia juga akan memaparkan papan kekunci maya sebaik sahaja skrin dilipat, tanpa perlu mengubahnya secara automatik. Bekalan kuasa bateri juga merupakan aspek yang perlu diberi penilaian sebelum membuat keputusan membeli sesebuah komputer. Yoga 2 11 mampu membekalkan kuasa menerusi baterinya untuk kegunaan kira-kira enam jam sebelum perlu dicas semula.

Pilihan

Dari sudut prestasi, sungguhpun nadi Lenovo Yoga 2 11 dijana oleh unit pemproses Intel Pentium dan bukannya pemproses i5 atau i7, namun ia sudah memadai untuk melaksanakan tugasan menggunakan aplikasi Microsoft Office atau melayari internet. Tetapi ia bukanlah model yang sesuai bagi mereka yang merancang untuk bermain permainan komputer atau bercadang untuk membuat suntingan video yang sudah pasti memerlukan spesifikasi perkakasan yang tinggi.

Kesimpulannya, model ini sesuai untuk hampir apa sahaja tugasan asas, daripada penyediaan material untuk persembahan Power Point, dokumen Word atau sebagai satu kit pemasaran bagi mereka yang terlibat di dalam dunia jualan dan pemasaran. Bagaimanapun, tugasan yang memerlukan sumber pengkomputeran tinggi perlu menggunakan alternatif lain yang selari dengan kehendak pengguna.

Leave a Reply

Raja Alias

G. Musang

J. Bahru

Terengganu

A. Setar